Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:	WISMA MCA, JALAN AMPANG, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	16/11/86 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MCA 




Yang Berbahagia Pengerusi Majlis; Yang Berhormat Dato' Dr. Ling Liong Sik,
Presiden MCA; Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat MCA; Dif-Dif
Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat MCA kerana memberi
penghormatan kepada saya untuk merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA
ini. Kepada para perwakilan sekalian saya berharap Perhimpunan ini akan
menghasilkan sesuatu yang akan membantu mengukuhkan lagi MCA dan Barisan
Nasional.

2. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada
Dato' Dr. Ling Liong Sik yang telah diberi kepercayaan oleh ahli-ahli MCA
untuk mengetuai parti MCA. Saya mempunyai keyakinan di bawah kepimpinan
Dato' Dr. Ling Liong Sik, MCA akan bertambah kukuh lagi.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

3. Dalam negara yang demokratik seperti Malaysia kita mempunyai banyak
kebebasan. Walau bagaimanapun kebebasan sahaja tidak menjamin Malaysia dan
rakyatnya menjadi makmur dan bahagia. Kita tidak boleh menerima konsep
kebebasan individu ala Barat sehingga masyarakat menjadi mangsa. Seseorang
individu itu bebas dalam demokrasi yang kita amalkan hanya setakat
kebebasannya tidak mengancam masyarakat. Pendek kata dalam demokrasi kita,
kepentingan ramai atau kepentingan majoriti lebih utama daripada
kepentingan individu.

4. Di Malaysia, di mana penduduknya terdiri daripada berbagai kaum, banyak
perkara yang sensitif yang perlu diurus dengan diplomasi untuk mengelakkan
timbulnya masalah. Dalam Barisan Nasional kita mempunyai cara dan saluran
tertentu untuk membincangkan masalah-masalah yang sensitif. Begitu juga
Kerajaan mempunyai saluran dan forum tertentu, terutama bagi parti-parti
komponennya, untuk membincangkan perkara-perkara yang sensitif. Melalui
saluran dan forum ini, kita telah dapat mengatasi berbagai masalah. Di
negara-negara di mana masalah-masalah telah cuba diselesaikan melalui
perasaan atau emosi, masalah-masalah itu didapati berkekalan dan bertambah
buruk sepanjang masa. Akibatnya ialah rakyat rugi dan menderita.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

5. Di antara perkara-perkara yang sering menimbulkan emosi ialah
perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum. Dengan menggunakan saluran
yang ada, dan memindahkan isu itu dari tempat-tempat awam dan
jalan-jalanraya ke bilik mesyuarat, kita telah berjaya menyelesaikan
masalah kaum berkali-kali. Setelah pertelingkahan kaum yang terakhir dapat
diselesaikan, kita tidak lagi perlu menyoal status sesiapa. Kita tahu
bahawa warganegara Malaysia yang berketurunan Cina dan India bukanlah
pendatang asing dan mereka mempunyai hak yang sama dengan lain-lain
warganegara. Orang-orang Melayu dan bumiputera lain, daripada sudut
sejarah, adalah penduduk asal negara ini. Persetujuan ini dicapai bersama
dengan cara bermesyuarat yang tertib dan perkara-perkara ini tidak perlu
dibangkitkan lagi.

6. Sekarang ini masalah yang mengancam negara kita yang sebenar ialah
kemelesetan ekonomi. Kemelesetan ekonomi bukan disebabkan oleh kita,
tetapi oleh kejatuhan harga bahan mentah secara menyeluruh di seluruh
dunia. Di masa yang sama, nilai ringgit kita telah ditekan turun. Walaupun
bukan kita yang menyebabkan kemelesetan ekonomi di negara kita, kita tidak
boleh berdiam diri dan menunggu harga barangan kita meningkat semula. Kita
perlu menyusun langkah-langkah untuk memperbaiki semula ekonomi kita.

7. Kerajaan telahpun mengambil berbagai-bagai tindakan, dan mengubah
beberapa dasar untuk memulihkan ekonomi negara. Tetapi tindakan-tindakan
Kerajaan tidak akan mendatangkan hasil jika rakyat tidak sanggup
menghadapi cabaran ini dengan menjadi lebih produktif dan mengelak
daripada sebarang perbuatan yang boleh memburukkan lagi ekonomi negara.

8. Ekonomi negara adalah seperti air di sungai. Di waktu air naik, ia
berjalan deras dan segala sampah-sarap dan kekotoran di bawa arus dan
hilang di lautan. Tetapi apabila air surut, maka sampah-sarap terapung di
permukaan dan terlekat di tebing dan akan ternampaklah segala kekotoran
yang memang ada di dalam sungai.

9. Demikian juga apabila ekonomi meleset, maka timbul dan ternampaklah
segala kelemahan dan kecurangan yang telah berlaku. Adalah menjadi tugas
dan tanggungjawab kita untuk membersihkan ekonomi kita supaya apabila
ekonomi pulih semula, ia akan mempunyai asas yang lebih sihat.

10. Walaupun pedih proses ini, kita harus menganggap pengalaman kita
sekarang sebagai satu pelajaran. Kita harus berhati-hati apabila kita
memberi kepercayaan kepada mana-mana pengurus. Kita harus ada
aturan-peraturan dan kita harus menyemaknya selalu. Janganlah kita terlalu
tertarik dengan mendapat untung yang banyak dan cepat sehingga kita mudah
percaya kepada kata-kata manis orang-orang tertentu.

11. Kita telah lihat di negara ini orang ramai begitu mudah tertipu kerana
mereka ingin menjadi kaya cepat. Apabila ada orang yang berkata mereka
boleh membuat sepuluh ringgit menjadi seratus ringgit tanpa apa-apa usaha,
ada orang yang sanggup memberi ribuan ringgit duit mereka. Begitu juga
dengan chit-fund. Sungguhpun berkali-kali orang ditipu, ada lagi orang
lain yang sanggup menjadi pelanggan chit-fund.

12. Sebenarnya tidak ada cara yang mudah untuk mendapat untung. Penukaran
syer, kenaikan nilai harta, listing dalam stock exchange, spekulasi syer,
spekulasi komoditi, semuanya tidak boleh menjamin kekayaan jika tidak
diasaskan kepada perniagaan, pengeluaran dan penjualan barang-barang
berkenaan dengan harga yang menguntungkan. Sekarang kita sedar bahawa
apabila nilai syer atau komoditi atau harta jatuh, kita akan terperangkap
dengan hutang yang tidak mempunyai cagaran yang cukup. Pada ketika itulah
bank meminta kita menambah cagaran atau membayar semua hutang dan kita
akan terjerat.

13. Amanah amat penting dalam perniagaan. Ramai yang menghadapi masalah
sekarang ini adalah kerana menyalahgunakan amanah apabila mengurus
perniagaan. Sekali lagi mereka memikirkan mereka tidak akan terperangkap
kerana mereka akan dapat membayar balik hutang sebelum diketahui oleh
sesiapa. Tetapi, apabila ekonomi merosot dengan mengejut, maka segala
rancangan mereka terdedah dan mereka tidak dapat mengelakkan diri daripada
tindakan. Perbuatan membawa keluar matawang ringgit kita untuk ditukar
dengan matawang lain dengan harapan ringgit akan jatuh harga dan mereka
akan untung, adalah satu khayalan. Kerajaan akan menentukan ringgit naik
harga, bukan turun.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

14. Dalam usaha kita memulihkan ekonomi negara, kita perlu kepada 'a new
breed of managers' yang bersikap profesional dan ethical. Mereka tidak
harus tamak dan tidak boleh menggunakan peluang dan amanah yang diberi
kepada mereka untuk membuat perkara-perkara yang dilarang. Mereka harus
menumpukan kepada pengurusan yang baik. Orang yang mempunyai syarikat
sendiri tidak harus mengurus syarikat awam yang terlibat dengan perniagaan
yang sama. Dengan perkataan lain, kita ingin melihat pembentukan etika
baru bagi pengurus-pengurus syarikat di Malaysia.

15. Jika kita mendapat pelajaran daripada kemelesetan ekonomi dan kita
bersihkan diri kita dan kita tingkatkan amanah sebagai pengurus, maka
kemelesetan ekonomi boleh menjadi satu blessing in disguise. Tetapi jika
kita tidak mendapat apa-apa pengajaran daripada kemelesetan ekonomi negara
kita, maka sia-sia sahajalah penderitaan kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

16. Tanda-tanda pemulihan ekonomi negara kita sudahpun
ternampak. Malangnya, apabila sahaja ekonomi ternampak semakin baik, ada
sahaja perkara-perkara lain yang berlaku yang mencemar iklim politik dan
ekonomi negara kita. Kita terlalu sangat terbawa-bawa oleh apa yang
dikatakan proses-proses demokratik sehingga kita tidak peduli sama ada
proses ini membawa kebaikan atau tidak. We are too often taken up by the
so-called democratic processes to the extent that we ignore whether they
benefit to us or not.

17. Kita telah melalui proses ini berkali-kali, tetapi masih ada orang
yang tidak mendapat apa-apa pelajaran daripada pengalamannya. Mereka
berulang-ulang membuat perkara yang sama. Benarlah seperti kata George
Santayana, bahawa mereka yang tidak belajar daripada sejarah akan didera
dengan mengulangi kesilapan mereka berkali-kali. (Those who do not learn
from the lessons of history are con demned to repeat their mistakes).

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

18. Negara kita Malaysia adalah istimewa. Kita tidak serupa dengan negara
yang sudah maju di Eropah dan Amerika. Kita juga tidak serupa dengan
negara membangun yang lain. Oleh itu, jika kita pilih sistem Kerajaan dan
pentadbiran dari negara-negara lain, kita bukan sahaja perlu menyesuaikan
diri kita dengan sistem itu, tetapi di mana perlu, kita mesti
mengubahsuaikan sistem itu supaya boleh dipraktikkan di negara kita yang
istimewa ini.

19. Kita telah memilih demokrasi dengan kebebasan yang dipercayai menjadi
sebahagian daripada sistem demokrasi. Tetapi tidak ada gunanya demokrasi
dan kebebasan jika ia tidak menolong membawa kebahagiaan kepada kita dan
membangunkan negara kita. Tidak ada faedah jika sistem demokrasi berjaya
diamalkan tetapi negara kita hancur kerana amalan ini. Democracy for
democracy's sake is useless if it results in oppressive anarchy and the
destruction of our society. It is not the system that is important. It is
the good that it can bring to society that really matters.

20. Seorang negarawan dari sebuah demokrasi di Barat telah berkata, "I do
not agree with what he says, but I will defend his right to say
it". Tetapi di negara tersebut sekarang, mereka tidak segan-segan
mengambil tindakan terhadap sesiapa yang tidak secucuk dengan pendapat
umum. Jika Kerajaan tidak bertindak, masyarakat umum akan bertindak. Tidak
ada kebebasan yang absolute di mana-mana di dunia ini.

21. Jika demokrasi yang lama ini boleh membuat tafsirannya yang tersendiri
apabila difikirkan perlu, tidak ada satu sebab mengapa kita tidak boleh
membuat tafsiran kita sendiri. Oleh itu janganlah kita cepat mengecam
negara kita sebagai tidak demokratik semata-mata kerana kita tidak ikut
100 peratus amalan negara lain. Kita juga tidak harus berasa malu kerana
kita tidak conform kepada konsep-konsep tertentu negara lain. Adalah hak
kita menentukan corak negara kita mengikut keistimewaan negara kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

22. Saya percaya MCA akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi
prestasinya dan dengan itu memberi sumbangan yang lebih kepada keutuhan
Barisan Nasional dan juga Kerajaan. Saya juga percaya bahawa MCA dan
kepimpinannya yang baru berkemampuan untuk memikul tanggungjawab
ini. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan
Agung MCA ini. 
 

 



 
Google