Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL PAN PACIFIC, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	23/11/86 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERJUMPAAN DAN MAKAN MALAM 
			POLIS-SEBARAN AM 




 Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 

Saya mengucapkan terima kasih kerana dijemput untuk menghadiri Majlis
'Polis - Sebaran Am' buat pertama kalinya sejak Majlis seperti ini
dianjurkan tiap-tiap tahun mulai tahun 1975 lagi. Saya berbangga melihat
kemesraan perhubungan yang terjalin rapat antara kakitangan media massa
dengan anggota-anggota Polis Diraja Malaysia.

2. Sesungguhnya, media massa merupakan unsur penting dalam perhubungan
antara polis dengan masyarakat umum. Orang ramai biasanya mengetahui
mengenai kegiatan-kegiatan polis, hal-hal jenayah, tindakan-tindakan
penguatkuasaan dan pencegahan yang diambil, menerusi apa yang dibaca dalam
surat-surat khabar atau apa yang didengar di radio dan dilihat di
televisyen. Pendeknya, media massa boleh membentuk persepsi orang ramai
terhadap pasukan polis menerusi penulisan atau persembahan mereka.

3. Usaha-usaha pihak media massa untuk menerbitkan sesuatu berita mengikut
selera atau sudut pandangan mereka boleh membantu atau menggagalkan
usaha-usaha polis. Media massa boleh meningkatkan kegelisahan orang ramai
terhadap kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara; media massa juga
boleh meningkatkan suasana penjenayahan atau 'criminal environment'. Namun
demikian, usaha-usaha pihak media massa juga berupaya untuk membongkar
kegiatan jenayah dan mengenalpasti penjenayah-penjenayah; melindungi orang
ramai daripada mereka yang korap dan mendorong orang ramai melibatkan diri
dalam kegiatan pencegahan jenayah dan lain-lain aktiviti untuk menegakkan
kedaulatan undang-undang negara.

4. Pihak media massa boleh mendapatkan daripada pihak polis berita-berita
yang tepat dan benar untuk disiarkan. Banyak tenaga dan masa dapat
dijimatkan kerana pihak media massa tidak perlu lagi menyiasat dengan
mendalam untuk mengumpul fakta-fakta dan bukti-bukti. Jelaslah bahawa
perhubungan yang erat antara pihak polis dengan pihak media massa adalah
penting.

5. Selain daripada kepentingan-kepentingan yang bertujuan untuk kebaikan
kedua-dua pihak, saya rasa yang lebih penting ialah hakikat bahawa
perhubungan yang erat antara polis dengan media massa adalah perlu untuk
mewujudkan masyarakat Malaysia yang aman, damai dan
bertanggungjawab. Pihak polis mewujudkannya menerusi usaha-usaha
menegakkan kedaulatan undang-undang negara dan keluhuran perlembagaan
sementara pihak media massa pula menerusi pemupukan daya intelek yang
sihat, harmonis dan dinamik. Pendeknya, perhubungan yang erat antara
kedua-dua pihak dapat memanfaatkan orang ramai amnya. Saya berbangga
kerana Majlis seperti ini dapat dianjurkan tiap-tiap tahun sejak tahun
1975. Saya yakin media massa kini tentunya dapat memahami dan menghayati
keikhlasan dan kejujuran pasukan polis untuk memupuk persahabatan ini.

6. Oleh kerana sebahagian besar daripada tugas-tugas polis menguatkuasakan
undang-undang, maka tindakan-tindakan anggotanya adalah terdedah kepada
penafsiran dan kritikan daripada pihak media massa. Media massa hendaklah
memperlihatkan fakta-fakta yang benar, tepat dan adil serta penganalisaan
yang kritikal tetapi konstruktif mengenai isu yang dihadapi. Media massa
janganlah menyalahkan pasukan polis keseluruhannya atas perbuatan
segelintir anggota-anggota polis yang engkar atau tidak beretika. Mungkin
pihak media massa dapat menyalurkan teguran dan pendapat yang membina
mengenai cara-cara yang baik dan praktikal untuk mengatasi sesuatu masalah
itu. Pasukan polis sentiasa bersedia untuk menerima kritikan atau teguran
demi untuk meningkatkan daya dan mutu perkhidmatannya.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

7. Perhubungan yang erat adalah juga perlu antara pihak media massa dengan
kakitangan Kerajaan yang lain. Dalam sebuah negara yang membangun di mana
masyarakatnya pula adalah berbilang kaum, kita memerlukan suasana yang
aman dan sejahtera untuk pembangunan negara. Rentak pembangunan negara
kita adalah juga bergantung kepada sikap dan kekuatan mental dan fisikal
setiap golongan rakyat untuk menghadapi cabaran-cabaran masa kini dan di
masa hadapan. Unsur-unsur negatif yang boleh menghalang perpaduan dan
pembangunan hendaklah dikikis dan dijauhi. Media massa yang
bertanggungjawab dan cintakan masyarakat dan negara akan berusaha memupuk
nilai-nilai yang murni di kalangan pembaca dan pendengar sebagai sumbangan
mereka untuk memajukan negara.

8. Perhubungan yang erat antara pihak media massa dengan kakitangan
Kerajaan adalah penting supaya program-program pembangunan dapat
dilaksanakan dengan berkesan. Mengkritik secara melulu adalah satu kerja
yang mudah tetapi mencari jalan penyelesaian memerlukan sifat-sifat yang
bertanggungjawab, rajin dan mempunyai daya pemikiran yang tajam dan
bernas. Dengan itu, pihak media massa hendaklah menanamkan semangat dan
sikap yang positif supaya cita-cita kita untuk membina sebuah negara yang
lebih kukuh dapat dicapai.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 

9. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana
menjemput saya ke Majlis ini. Saya percaya pasukan polis dan media massa
akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi kerjasama mereka bagi kebaikan
bersama. 
 

 



 
Google