home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KOMPLEKS TABUNG HAJI, KELANA 
			JAYA, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	28/11/86 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN NADWAH WANITA 
			ISLAM SE MALAYSIA 




 Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.Yang Berhormat Dato Dr. Yusof
Noor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Dif-Dif
Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian; 

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput saya
untuk berucap dan seterusnya merasmikan Nadwah Wanita Islam Se Malaysia
ini. Saya berharap Nadwah ini akan membawa manfaat kepada kita semua,
terutama dalam menghadapi tahun-tahun hadapan yang lebih mencabar bagi
semua umat Islam.

Puan-puan sekalian, 

2. Wanita Islam di Malaysia seperti juga wanita Islam di lain-lain negara,
sedang menghadapi cabaran yang besar. Semenjak tamatnya Perang Dunia Kedua
satu 'revolusi' wanita telah berlaku di Barat hasil daripada pendapat
bahawa perkara yang utama bagi masyarakat manusia adalah equality, atau
perimbangan. Pendapat ini menegaskan bahawa semua, man sama ada lelaki
atau perempuan, putih atau hitam, miskin atau kaya, berpangkat tinggi atau
rendah, terpelajar atau tidak adalah sama dan sama berhak. Sekaligus
pendapat dan falsafah ini jelas adil dan patut di sanjung tinggi. Tetapi
apabila sesuatu prinsip, konsep atau falsafah dituruti tanpa sekatan atau
hadnya, maka keterlaluan akan berlaku dan tujuan yang baik boleh menjadi
buruk.

3. Prinsip equality ini berpunca daripada prinsip demokrasi yang memberi
taraf sama rata kepada semua manusia. Memang daripada segi lojik keadilan,
tidak patut ada diskriminasi antara manusia dengan manusia. Tetapi setakat
manakah persamaan ini hendak dibawa? 

4. Di Barat kita dapati konsep persamaan ini telah dibawa ke peringkat
yang tidak munasabah lagi. Dalam soal lelaki dan perempuan, mereka mesti
sama dalam segala-galanya. Oleh kerana perkataan 'Mr.' umpamanya tidak
mendedahkan sama ada lelaki itu sudah beristeri atau tidak, maka wanita
juga tidak mahu mendedahkan mereka sudah berkahwin dengan menggunakan
perkataan 'Mrs.' Maka diciptakan 'Ms.' yang tidak memberi maklumat tentang
bersuami atau tidak.

5. Terlanjur daripada itu, maka wanita Barat beranggapan mereka juga patut
bebas daripada segi moral sepertimana mereka percaya ada lelaki yang
bebas. Maka wujudlah 'singles bar' di Amerika Syarikat di mana lelaki dan
wanita datang tanpa teman untuk berjumpa antara satu sama lain dan
seterusnya. Dengan adanya ubat mencegah kehamilan, maka tidak ada
takut-takut lagi untuk wanita mengadakan perhubungan dengan sesiapa
sahaja, walaupun mereka sudah berkahwin.

6. Tetapi persamaan terus dikejar di Barat. Dalam semua bidang wanita
mesti sama dengan lelaki sehingga kita tidak lagi dapat mengenal yang mana
yang wanita dan yang mana yang lelaki. Pakaian, potongan rambut, kelakuan
dan cara bercakap mereka, semuanya meniru lelaki untuk kononnya
menghilangkan perbezaan antara wanita dan lelaki.

7. Lelaki pula, cuba menunjukkan bahawa mereka menyanjung tinggi persamaan
dan tidak lagi melayan wanita sebagai kaum yang lemah yang perlu dilindung
tetapi sebagai kaum yang sama dengan lelaki dan tidak perlu berbahasa
dengan mereka.

8. Namun demikian, amalan menjadikan wanita sebagai objek keghairahan
masih diteruskan. Wanita yang begitu sekali ingin disamakan dengan lelaki,
tidak segan-segan menggunakan kejelitaan mereka untuk memperolehi sesuatu
bagi diri mereka. Mereka mendedahkan tubuh badan mereka dengan tidak
berperasaan malu, sebagai umpan untuk sesuatu maksud.

9. Institusi perkahwinan hampir hapus di merata-rata tempat di
Barat. Sekarang ini bintang-bintang filem dan muzik yang terkenal -- tidak
segan mendapatkan anak di luar nikah. Peminat mereka dan orang awam pula
tidak lagi memandang kepada perbuatan ini sebagai tidak bermoral. Orang
ramai terus menyanjung tinggi mereka ini.

10. Oleh kerana institusi perkahwinan sudah lemah maka keluarga juga
kurang bermakna. Anak dipelihara oleh ibu secara sambilan dan tidak
dikenalkan kepada bapanya. Sudah tentu bapa tidak ambil tahu sama sekali
tentang nasib anak. Dengan itu, maka hancurlah keluarga sebagai yunit
masyarakat.

11. Demikianlah lanjutan daripada tuntutan untuk persamaan antara lelaki
dan perempuan yang berlaku di negara-negara Barat. Walaupun tidak ketara,
falsafah ini meresap juga di kalangan wanita Islam. Sekurang-kurangnya
falsafah ini mempengaruhi pemikiran wanita Islam sama ada secara negatif
atau positif.

12. Kita dapati ada wanita Islam yang takut akan aliran pemikiran wanita
Barat ini sehingga mereka menganggap tidak boleh wujud persamaan sama
sekali antara hak wanita dengan hak lelaki. Mereka ini berpendapat bahawa
kedudukan wanita begitu rendah sehingga mereka tidak lebih daripada harta
suami mereka yang boleh diperlakukan sesuka hati. Mereka berpendapat
bahawa pelajaran dan kerja bukanlah untuk mereka. Tugas mereka ialah
melahirkan dan memelihara anak serta menjaga rumah.

13. Di samping itu, terdapat juga wanita Islam yang begitu terpikat dengan
kebebasan wanita Barat ini sehingga mereka lupa akan tempat mereka dan
menuntut supaya taraf dan kedudukan mereka menjadi 100%, sama dengan
lelaki. Dan mereka ini pun terus melupakan sopan santun wanita Islam.

14. Dalam keadaan yang 'conflicting' ini, ada di antara wanita Islam yang
berada dalam keadaan serba salah. Satu jenis polarisasi berlaku antara
mereka yang ingin bebas dan mereka yang ingin memperhambakan diri kepada
lelaki sebagai tanda ke Islaman. Keadaan serba salah ini sedikit sebanyak
telah melemahkan keupayaan wanita Islam dalam memainkan peranan yang
berkesan dan baik bagi masyarakat Islam.

15. Seperti biasa sesuatu yang keterlaluan tidak boleh mendatangkan
faedah. Aliran pemikiran Barat yang ekstrim tidak boleh ditentang dengan
pengunduran wanita Islam keketerlaluan yang satu lagi. Kita perlu mencari
jalan yang tengah supaya tenaga kita tidak terjejas. Dan jalan yang tengah
atau sederhana adalah yang dituntut oleh agama Islam dalam semua bidang.

16. Islam sebenarnya ialah agama yang membebas dan memberikan taraf yang
saksama kepada wanita. Tetapi taraf ini tidak bermakna bahawa perbezaan
tidak wujud antara lelaki dengan perempuan. Ada tugas dan peranan yang
lebih sesuai dan lebih baik dimainkan oleh kaum wanita. Tuhan menjadikan
wanita dengan sifat-sifat tertentu yang memberi kelebihan kepada mereka
dalam setengah-setengah bidang. Amatlah tidak sesuai jika peranan ini
dimainkan oleh lelaki. Sebaliknya, sifat-sifat yang sama juga menghalang
wanita daripada bergiat dalam bidang-bidang lain yang mana kaum lelaki
lebih sesuai. Dengan itu, maka pembahagian tugas dapat dibuat dengan
mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak dan kepada masyarakat Islam.

17. Di samping itu, ada pula tugas-tugas dan kegiatan yang sesuai untuk
lelaki dan perempuan. Tidak ada sebab kenapa wanita tidak patut mengambil
bahagian dalam bidang-bidang ini. Dengan penyertaan wanita, maka akan
bertambahlah tenaga keluarga dan masyarakat Islam dan keupayaan mereka
bersaing dengan lain-lain masyarakat.

18. Jika kita semua faham dan terima hakikat ini, maka tidak akan berlaku
lagi pemberontakkan yang sia-sia oleh wanita yang kononnya ingin bebas
dalam segala-galanya dan ingin menjadi sama seperti lelaki. Demikian juga
tidak akan terasing dan sia-sia tenaga dan kebolehan wanita dalam
bidang-bidang yang mereka boleh memberi sumbangan.

19. Penerimaan hakikat ini juga akan menghilangkan tekanan jiwa yang
sering melanda setengah-setengah wanita Barat. Apabila kita menerima
sesuatu keadaan sebagai perkara perkara biasa dan kita tidak perlu
memberontak terhadapnya, kita akan menjadi lebih tenang dan lebih
berkeupayaan menumpu segala tenaga dan fikiran kepada tugas-tugas yang
perlu diselenggarakan. Dalam masyarakat yang wanitanya tenang dan
menyumbangkan tenaga mereka bagi memajukan masyarakat, sudah tentulah
kejayaan masyarakat itu lebih terjamin.

Puan-puan sekalian, 

20. Dalam keadaan kegelisahan dan tidak tentu arah di kalangan kaum
wanita, kaum lelaki juga kadang-kadang mengambil peluang. Dengan
memperalatkan agama Islam, mereka sering menidakkan hak wanita. Dalam
masyarakat Islam wanita kerap tertindas kerana ajaran yang kononnya
berasas daripada Islam yang menekan bahawa wanita tidak ada hak apa-apa
dalam Islam. Dengan itu wanita dikurung di dalam dan di luar rumah kerana
perasaan cemburu lelaki. Setiap kegiatan wanita tertakluk kepada kehendak
lelaki, dan mereka sanggup menghina wanita kerana ini kononnya adalah hak
lelaki dalam Islam. Ajaran Islam yang disampaikan kepada wanita lebih
tertumpu kepada amalan berbagai jenis larangan yang ditokok-tambah kepada
amalan agama Islam. Apa yang perlu dibuat oleh wanita untuk mengukuhkan
masyarakat Islam tidak diberi perhatian.

21. Sentimen ini juga terdapat di Malaysia di mana wanita sering menjadi
sasaran orang-orang yang ingin menguasai mereka. Apabila mereka ini sudah
berjaya menguasai fikiran wanita Islam, maka dibawalah ajaran Islam yang
kononnya menekan tentang dosa yang dipikul oleh wanita sepanjang masa
selagi mereka tidak dikahwinkan dengan orang-orang tertentu. Maka
berlakulah kahwin kontrak sementara yang mengutamakan kepentingan lelaki
semata-mata dan amalan poligami yang tidak seperti dikehendaki oleh agama
Islam.

22. Tidak syak lagi bahawa sebahagian daripada sebabnya masyarakat Islam
mundur ialah kerana kekeliruan tentang peranan wanita. Justeru itu,
eloklah jika wanita Islam Malaysia memberi perhatian kepada perkara ini.

Puan-puan sekalian, 

23. Orang Islam di Malaysia hanya separuh sahaja daripada penduduk negara
ini. Orang Islam Malaysia pula mundur dalam bidang pelajaran dan
ekonomi. Kita perlu kepada semua tenaga yang ada pada kita untuk mengatasi
kemunduran kita dan untuk bersaing dengan orang lain. Kita tidak boleh
melemahkan diri kita dengan menyingkirkan wanita Islam iaitu separuh
daripada orang Islam di Malaysia dari bidang-bidang yang wanita
berkemampuan dan sesuai.

24. Jika Nadwah ini dapat menggariskan jalan yang sederhana untuk wanita
Islam, maka masyarakat Islam di Malaysia, dan di seluruh dunia juga akan
memperolehi manfaat daripada perjumpaan ini.

25. Dengan harapan ini, saya membuka Nadwah Wanita Se Malaysia ini dengan
rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 

 



 
Google