Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT
Tarikh/Date : 04/12/86
Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG
AKTA DADAH BERBAHAYA (PINDAAN) 1986
(BACAAN KALI YANG KEDUA)
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang
bernama Suatu Akta untuk meminda Akta Dadah Berbahaya, 1952,
dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya, dibacakan
kali yang kedua sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
Sejajar dengan hasrat untuk memerangi dan membasmi
ancaman serta masalah dadah, Kerajaan dengan sokongan rakyat
telah mengambil berbagai langkah semenjak beberapa tahun
kebelakangan ini untuk memperbaiki dan memperkukuhkan
usaha-usahanya dalam bidang pencegahan, penguat-kuasaan dan
pemulihan. Salah satu langkah utama yang telah diambil
ialah menyemak dan meminda Akta Dadah Berbahaya, 1952 untuk
mewujudkan penalti yang lebih berat bagi kesalahan-kesalahan
dadah.
2. Langkah-langkah ini telah membolehkan Kerajaan
bertindak dengan lebih tegas dan berkesan terhadap ancaman
dadah yang dihadapi oleh negara, sehingga Malaysia terkenal
dan disanjung sebagai salah satu negara yang sanggup
memerangi ancaman dadah dengan penuh keazaman dan tenaga
yang perlu.
Tuan Yang di-Pertua,
3. Namun demikian, pengedaran dadah di negara ini didapati
masih dalam tahap yang merbahaya. Ini dapat dilihat,
misalnya, daripada jumlah penagih dadah yang dilapor atau
dikesan. Bagi jangkamasa 1970 hingga Oktober 1986 jumlah
kumulatif penagih dadah yang dikesan buat pertama kalinya
ialah 119,713 dan jumlah penagih baru yang dikesan bagi
tahun ini sahaja iaitu hingga bulan Oktober ialah 5,897.
4. Di samping itu, adalah diperhatikan bahawa semenjak
Akta Dadah Berbahaya, 1952 dipinda dalam tahun 1983 dan 1984
untuk mewujudkan penalti yang lebih berat bagi kesalahan
memiliki 5 gram atau lebih heroin atau morfin, atau 250 gram
atau lebih candu mentah dan candu masak, pengedar-pengedar
dadah telah mengubah corak pergerakan mereka. Ramai
daripada mereka yang ditangkap sekarang didapati memiliki
dadah kurang daripada jumlah yang ditetapkan itu untuk
mengelak daripada hukuman yang terdapat sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
5. Kajian juga menunjukkan bahawa penggunaan ganja atau
kanabis telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan
ini. Begitu juga dengan masalah pemilikan daun koka dan
kokain. Penagihan berasaskan kokain sedang meningkat di
dunia barat dan mungkin akan merebak ke rantau ini jika
langkah-langkah pencegahan awal tidak diambil.
6. Memandangkan kenyataan dan perkembangan-perkembangan
yang saya telah huraikan itu, adalah didapati
peruntukan-peruntukan tertentu dalam Akta Dadah Berbahaya,
1952 perlu dipinda untuk mengenakan penalti yang lebih berat
lagi bagi kesalahan-kesalahan tertentu sebagai satu usaha
pencegahan atau 'deterrent'. Di samping itu pindaan juga
perlu untuk mengubah-suaikan peruntukan-peruntukan berkenaan
dengan perkembangan-perkembangan baru dalam pengedaran
dadah, dan menyelaraskan penalti-penalti yang ditetapkan
bagi kesalahan-kesalahan yang sama serius.
Tuan Yang di-Pertua,
7. Penalti yang lebih berat yang dicadangkan sebagai
'deterrent' yang lebih berkesan dalam Rang Undang-Undang
berkenaan melibatkan pengwujudan atau penambahan hukuman
sebat mandatori, hukuman penjara atau hukuman denda. Walau
bagaimanapun, penekanan adalah diberi kepada hukuman sebat
sebagai alat 'deterrent' yang nyata lebih berkesan. Penalti
penjara dan denda dicadang untuk ditingkatkan cuma bagi
kesalahan-kesalahan yang melibatkan jenis dadah-dadah yang
tertentu di mana penalti sekarang didapati terlalu ringan
dan tidak seragam dengan penalti-penalti yang diperuntukkan
bagi kesalahan-kesalahan lain yang sama serius.
Tuan Yang di-Pertua,
8. Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa hukuman sebat
adalah ditujukan kepada pengedar-pengedar yang kesalahan
mereka tidak mendedahkan mereka kepada hukuman mati yang
mandatori. Hukuman sebat ini bukanlah untuk kesalahan
menjadi penagih. Kerajaan berharap dengan adanya tindakan
tegas terhadap pengedar-pengedar ini, masalah penagihan
juga, insya-Allah, dapat dibendung. Bagi penagih-penagih
pula, sudah ada undang-undang untuk menghukum mereka dengan
cara menahan mereka di tempat-tempat pemulihan. Di samping
itu, semasa mereka berada di pusat-pusat tersebut, mereka
dikehendaki menjalani rawatan dan pemulihan.
Tuan Yang di-Pertua,
9. Apabila pindaan-pindaan yang dicadangkan dalam Rang
Undang-Undang ini diterima dan diluluskan, maka akan
wujudlah satu sistem penalti yang terselaras bagi kesalahan
pemilikan dan pengedaran berbagai jenis dadah berasaskan
'toxity'. Sistem penalti ini adalah seperti berikut:
i. Pertama, penjara maksima 5 tahun atau denda maksima
$20,000, atau kedua-duanya bagi pemilik-pemilik dadah
dalam amaun yang kecil. Amaun ini berbeza bagi
berbagai dadah mengikut 'toxity', seperti berikut:
kurang daripada 2 gram heroin, morfin, atau
'monoacetylmorphines'; kurang daripada 5 gram kokain;
kurang daripada 20 gram kanabis atau resin kanabis;
kurang daripada 100 gram candu mentah atau candu masak;
dan kurang daripada 250 gram daun koka. Penalti
penjara bagi kesalahan ini sedia wujud dalam akta
sekarang dan tidak berubah. Penalti denda juga sedia
wujud sama ada denda maksima $10,000 atau $20,000.
Tetapi sekarang dicadang untuk diseragamkan menjadi
maksima $20,000 berasaskan 'toxity'.
ii. Keduanya, penjara di antara 2 hingga 5 tahun dan
hukuman sebat 3 hingga 9 kali bagi pemilik-pemilik
dadah yang dianggap pengedar kecil-kecilan, yang
memiliki antara 2 hingga 5 gram heroin, morfin, atau
'monoacetylmorphines'; 5 hingga 15 gram kokain; 20
hingga 50 gram kanabis atau resin kanabis; 100 hingga
250 gram candu mentah atau candu masak; dan 250 hingga
750 gram daun koka. Mengikut undang-undang yang ada
sekarang, penalti bagi pengedar kecil-kecilan ini
adalah sama seperti bagi pemilik-pemilik dadah yang
disebutkan di kategori satu tadi. Memandangkan
pengedar-pengedar kecil-kecilan inilah yang
memperalatkan penagih dan lain-lain orang untuk
memperkenalkan dadah kepada mangsa yang baru, maka
penalti yang lebih berat adalah difikirkan perlu bagi
mereka.
iii. Ketiga, penjara 5 tahun hingga seumur hidup dan sebat
tidak kurang daripada 10 kali bagi pengedaran dadah
dalam amaun yang masih tidak terlalu banyak, iaitu 5
hingga 15 gram heroin, morfin, atau
'monoacetylmorphines'; 15 hingga 40 gram kokain; 50
hingga 200 gram kanabis atau resin kanabis; 250 hingga
1000 gram candu mentah atau candu masak; dan 750 hingga
2000 gram daun koka. Undang-undang sekarang
memperuntukkan penalti penjara yang sama dan hukuman
sebat tidak kurang daripada 6 kali.
iv. Keempat, hukuman mati bagi mereka yang memiliki dadah
dalam amaun yang membawa anggapan pengedaran atau
'trafficking' iaitu 15 gram atau lebih heroin, morfin,
atau 'monoacetylmorphines'; 40 gram atau lebih kokain;
200 gram atau lebih kanabis atau resin kanabis; 1000
gram atau lebih candu mentah atau candu masak; dan 2000
gram atau lebih daun koka. Perlulah saya sebutkan di
sini bahawa hukuman mati ini sedia wujud bagi
kesalahan-kesalahan yang melibatkan dadah jenis heroin,
morfin, 'monoacetylmorphines', kanabis, resin kanabis,
candu mentah dan candu masak dalam undang-undang
sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
10. Dengan ringkasnya demikianlah sistem penalti yang akan
wujud dengan adanya pindaan-pindaan kepada Akta Dadah
Berbahaya, 1952 yang dicadangkan dalam Rang Undang-undang
ini. Selain daripada pindaan kepada sistem penalti yang
saya sebutkan tadi, terdapat satu sahaja pindaan kecil,
iaitu terhadap takrif 'crude cocaine'. Takrif 'crude
cocaine' yang terdapat di Seksyen 2 Akta sekarang akan
digugurkan kerana istilah tersebut tidak digunakan dalam
mana-mana peruntukan lain dalam Akta itu.
Tuan Yang di-Pertua,
11. Akta Dadah Berbahaya, 1952 merupakan salah satu alat
yang penting dalam strategi Kerajaan untuk membasmi ancaman
dadah, dan pindaan-pindaan yang dicadangkan kepadanya dalam
Rang Undang-Undang ini akan menjadikannya lebih berkesan
lagi. Dengan itu, saya mohon Rang Undang-Undang tersebut
disokong dan diluluskan oleh Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang di-Pertua,
12. Saya mohon mencadangkan.
|