Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT
Tarikh/Date : 05/12/86
Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG
AKTA RAHSIA RASMI (PINDAAN) 1986
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan iaitu satu Rang Undang-Undang
bernama Suatu Akta untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972
dibaca kali yang kedua sekarang.
2. Rang Undang-Undang ini adalah bertujuan untuk meminda
Akta Rahsia Rasmi seperti berikut:-
(a) untuk memasukkan takrif "bahan" dan "rahsia rasmi"
kepada Akta;
(b) untuk memasukkan peruntukan baru yang memberi
kuasa kepada Menteri yang bertanggungjawab untuk
menambah, memotong atau meminda perkara-perkara
yang telah disenaraikan dalam jadual di bawah
takrif "rahsia";
(c) untuk memasukkan peruntukan yang memberi kuasa
kepada seseorang Menteri, Menteri Besar atau Ketua
Menteri bagi sesuatu Negeri untuk melantik
mana-mana pegawai awam bagi mengelaskan atau
classify suratan-suratan, maklumat-maklumat atau
bahan-bahan rasmi sebagai "Rahsia Besar",
"Rahsia", "Sulit" atau "Terhad" untuk
menjadikannya "rahsia rasmi" sebagaimana yang
ditakrifkan;
(d) untuk memasukkan satu peruntukan yang memberi
kuasa kepada mana-mana Menteri berkenaan, Menteri
Besar, Ketua Menteri dan pegawai-pegawai awam yang
tertentu untuk mengelaskan semula atau declassify
__________________
"rahsia rasmi" pada bila-bila masa supaya ianya
tidak lagi menjadi "rahsia rasmi";
(e) untuk mengganti perkataan-perkataan seperti
"benda, suratan dan maklumat" dengan perkataan
"rahsia rasmi" yang terdapat dalam Seksyen-Seksyen
7A dan 8 berikutan kemasukan takrif perkataan
"rahsia rasmi";
(f) untuk memasukkan peruntukan baru yang memberi
kuasa kepada mana-mana Menteri berkenaan, Menteri
Besar, Ketua Menteri bagi sesuatu negeri dan
pegawai-pegawai awam yang tertentu untuk membuat
perakuan bahawa sesuatu suratan rasmi, maklumat
atau bahan adalah "rahsia rasmi" dan perakuan ini
hendaklah menjadi keterangan yang conclusive atau
muktamad dan ianya tidak boleh dipersoalkan dalam
mana-mana mahkamah atas apa-apa jua alasan;
(g) untuk memasukkan satu peruntukan yang mana akan
memberi hak pembelaan kepada pegawai-pegawai awam,
sekiranya dituduh, mereka tidak akan didapati
bersalah jika apa-apa yang dilakukan itu adalah
dalam menjalankan tugas rasmi atau telah mendapat
kuasa untuk berbuat demikian;
(h) untuk membuat peruntukan di mana hukuman optional
denda yang sedia ada dihapuskan daripada
Seksyen-seksyen 4, 7A, 7B, 8, 9(2), 11, 12 dan
13(1);
(i) untuk menggantikan denda-denda yang sedia ada
dalam Seksyen-seksyen yang tersebut di atas dengan
suatu hukuman minima penjara bagi tempoh satu
tahun;
(j) untuk menambah tempoh maksima bagi hukuman penjara
dalam Seksyen 11 dan 12 daripada 3 kepada 7 tahun.
Tempoh maksima bagi penjara dalam Seksyen-seksyen
lain, iaitu Seksyen 4, 7A, 7B, 8, 9(2) dan 13(1)
adalah dikekalkan;
(k) untuk memasukkan satu Jadual kepada Akta di mana
diletakkan satu persatu jenis suratan dan maklumat
yang akan menjadi "rahsia rasmi";
Tuan Yang di-Pertua,
3. Pindaan kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 ini telah menarik
perhatian ramai dan ramai juga yang menentang pindaan ini.
4. Kerajaan sengaja membaca pindaan kedua lebih awal
kerana Kerajaan ingin memberi peluang seluas-luasnya untuk
rakyat mengetahui isi kandungan pindaan ini dan membuat
teguran-teguran untuk dikaji oleh Kerajaan. Kita tidak
berhajat untuk menyembunyikan apa-apa kerana kita ingin
melihat semua pihak tahu akan hukuman-hukuman yang akan
dikenakan jika sesiapa membocorkan rahsia Kerajaan. Hasil
daripada bacaan pertama pindaan kedua pada bulan Oktober
tahun ini ialah Rang Undang-Undang Akta Rahsia Rasmi
(Pindaan) 1986 yang ketiga yang bacaan kali pertamanya
dibuat pada 2hb. Disember, 1986.
5. Bahawa Kerajaan menitik-beratkan pandangan ikhlas oleh
rakyat terbukti daripada tindakan Kerajaan membenarkan
pindaan yang asal termansuh melalui pembubaran Dewan untuk
Pilihanraya 1986. Kerajaan Barisan Nasional tidak berniat
untuk membelakangkan keluhan rakyat jika keluhan ini
benar-benar mempunyai asas. Yang menjadi masalah kepada
Kerajaan ialah mengasingkan protes yang berbau politik
dengan keluhan yang ikhlas dan jujur.
6. Dalam masalah pindaan kepada Akta Rahsia Rasmi atau OSA
bagi kali yang kedua ini, Kerajaan mendapati bahawa protes
yang nyaring yang didengar lebih banyak disebabkan oleh
kepentingan politik pihak-pihak tertentu khususnya parti dan
pertubuhan pembangkang. Bagi mereka menentang apa sahaja
yang dibuat oleh Kerajaan sudah menjadi tabiat walaupun
mereka tahu tindakan Kerajaan ini adalah baik untuk rakyat
dan negara. Mereka ini menggunakan apa saja institusi untuk
kepentingan politik mereka sehingga terjejas imej dan
credibility institusi-institusi berkenaan.
Tuan Yang di-Pertua,
7. Kerajaan mendapati ramai daripada mereka yang membuat
protes, beranggapan seolah-olah tidak ada undang-undang
Rahsia Rasmi di Malaysia di waktu ini. Mereka juga cuba
memberi gambaran seolah-olah hanya Malaysia sahaja yang
mengadakan Akta Rahsia Rasmi.
8. Sebenarnya, Akta Rahsia Rasmi memang sudah ada di
Malaysia dan di hampir semua negara di seluruh dunia. Jika
tidak, maka berhaklah pengintip atau spy negara asing
mendapat semua maklumat. Akta Rahsia Rasmi Malaysia ditiru
daripada akta rahsia rasmi British, kerana banyak
undang-undang kita dipungut terus dari Britain.
9. Masalah dengan akta rahsia di mana-mana juga ialah
mentafsirkan apa ianya yang dianggap sebagai rahsia
Kerajaan. Masalah ini menjadi rumit kerana sesuatu yang
menjadi rahsia pada satu masa, tidak boleh dikekalkan
sebagai rahsia di waktu yang lain. Demikian kertas-kertas
Jemaah Menteri dianggap rahsia sehingga ia dibincang oleh
Jemaah Menteri. Selepas itu, ada yang kekal sebagai rahsia,
umpamanya strategi mempertahankan negara, dan ada juga yang
perlu diisytiharkan kepada umum selepas sahaja mesyuarat
Jemaah Menteri tamat. Di antara dua ekstrim ini ada yang
dirahsiakan buat beberapa waktu dan ada yang status
rahsianya boleh ditamatkan dalam sebulan, setahun atau
beberapa tahun kemudian. Dengan itu, maka sukarlah bagi
Kerajaan berkata bahawa Kertas Jemaah Menteri yang ini
rahsia dan yang itu tidak. Supaya kertas Jemaah Menteri
terpelihara, semuanya dikelaskan sebagai rahsia. Malangnya
ini boleh menyebabkan pegawai atau sesiapa juga dituduh
membocorkan rahsia apabila mereka mengguna kertas Jemaah
Menteri untuk apa juga maksud.
10. Syarat dan spesifikasi barangan yang akan dibeli oleh
Kerajaan adalah rahsia pada mulanya. Begitu juga pandangan
dan syor pegawai-pegawai. Akhirnya syarat dan spesifikasi
perlu diumumkan supaya pembekal dapat mengetahuinya.
Tawaran-tawaran yang dibuat oleh pihak berkenaan perlu
dikaji dan penilaian dibuat. Jikalau undang-undang lama
digunakan, maka berbagai fasa dalam proses menender kontrak
atau bekalan menimbulkan kerumitan kerana adakalanya fasa
itu rahsia dan pada fasa yang lain pula tidak rahsia.
11. Jelaslah Akta Rahsia Rasmi yang lama terlalu luas dan
menimbulkan masalah bagi orang ramai dalam urusan mereka
dengan Kerajaan. Untuk mengelak daripada keanihan inilah
maka Kerajaan, atas desakan rakyat, telah menggubal pindaan
kepada Akta Rahsia Rasmi 1972. Dengan itu hanya
dokumen-dokumen tertentu sahaja akan menjadi rahsia rasmi
dan tindakan yang jelas perlu diambil untuk menjadikan
sesuatu dokumen rasmi itu tidak rasmi lagi.
12. Masalah yang dihadapi dengan Akta Rahsia Rasmi yang
lama dapat dilihat daripada satu kes pembocoran rahsia yang
dibicarakan dalam tahun 1978. Dalam kes tersebut seorang
Ahli Yang Berhormat telah terlibat dan Mahkamah memutuskan
bahawa apa sahaja dokumen atau maklumat yang disimpan atau
yang ada dalam tangan Kerajaan adalah "rahsia" selagi
Kerajaan tidak mengizinkan bagi ianya dilepaskan atau diberi
kepada pengetahuan awam. Soalnya ialah apakah semua ratusan
ribu surat Kerajaan dalam satu-satu tahun itu rahsia dan
apakah caranya keizinan Kerajaan diberi untuk menjadikan
sesuatu surat itu tidak rahsia?
13. Memandangkan betapa anehnya undang-undang rahsia yang
begitu luas yang dikuat-kuasakan sekarang, Kerajaan tidaklah
menggunakannya melainkan jika perkara yang dibocorkan itu
serius. Sebab itu semenjak hampir 30 tahun kita merdeka
hanya 5 kali sahaja Kerajaan membuat dakwaan di bawah Akta
Rahsia Rasmi yang sedia ada. Kerajaan tidak menggunakan
Akta ini untuk mendakwa orang awam atau pemberita dengan
sewenang-wenangnya. Kes-kes yang dibawa ke Mahkamah
melibatkan pembocoran rahsia yang serius yang menjejaskan
kepentingan awam atau keselamatan negara. Walaupun Kerajaan
berhati-hati dalam menguatkuasakan undang-undang yang sedia
ada, seseorang itu tidak mungkin tahu bila ia akan didakwa
dan bila ia tidak boleh didakwa.
14. Apabila Kerajaan mengemukakan Rang Undang-Undang Akta
Rahsia Rasmi (Pindaan) kepada sidang terakhir Dewan
Parlimen, pada bulan Mac lalu, beberapa pihak menegur bahawa
takrif rahsia tidak jelas. Oleh kerana itu, Kerajaan telah
menarik balik Rang Undang-Undang itu dan berjanji akan
mengkaji dan, jika boleh, membuat takrif 'Rahsia Rasmi'
secara yang lebih jelas.
15. Inilah yang dibuat oleh Kerajaan dalam membentangkan
pindaan baru kepada Akta Rahsia Rasmi di persidangan Dewan
kali ini. Takrif yang dibuat terbahagi kepada dua. Yang
pertama ialah dokumen-dokumen yang disenaraikan dalam jadual
adalah rahsia sehingga tindakan diambil oleh Menteri,
Menteri Besar atau Ketua Menteri, Ketua Setiausaha
Kementerian, Ketua Jabatan dan Setiausaha Kerajaan Negeri
untuk menyatakan dokumen itu tidak lagi rahsia. Terdapat
dalam jadual kepada Akta Rahsia Rasmi (Pindaan) 1986 yang
baru, senarai dokumen-dokumen rahsia yang berikut:-
Jadual
"Suratan, rekod keputusan dan pertimbangan Jemaah
Menteri termasuklah juga suratan, rekod keputusan dan
pertimbangan jawatankuasa-jawatankuasa Jemaah Menteri;
Suratan, rekod keputusan dan pertimbangan Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuklah juga suratan,
rekod keputusan dan pertimbangan
jawatankuasa-jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri;
Suratan berkenaan dengan keselamatan negara, pertahanan
dan perhubungan antarabangsa."
16. Jika dokumen yang tidak terdapat dalam jadual ini
hendak dirahsiakan kerana sebab-sebab tertentu, maka dokumen
itu hendaklah dicap 'Rahsia Besar' atau 'Rahsia', 'Sulit'
atau 'Terhad' dan dinyatakan oleh Menteri, Menteri Besar
atau Ketua Menteri atau pegawai-pegawai tertentu yang diberi
kuasa. Pegawai-pegawai ini adalah pegawai-pegawai kanan
yang bertanggungjawab.
17. Prosedur untuk menjadikan sesuatu dokumen itu rahsia
ditentukan mengikut peraturan-peraturan pengurusan. Umumnya
dokumen ini akan ditanda dengan jelas dan akan diurus hanya
oleh pegawai-pegawai yang diberi kuasa sahaja.
Dokumen-dokumen ini juga akan disimpan secara tertib dan
pegawai-pegawai tertentu akan bertanggungjawab terhadap
simpanan dan penggunaan dokumen-dokumen ini.
Tuan Yang di-Pertua,
18. Perkara yang kedua dalam pindaan kepada Akta Rahsia
Rasmi 1972 ini adalah berkenaan dengan hukuman penjara
secara mandatori sekurang-kurangnya satu tahun. Hukuman ini
menjadi perlu kerana dokumen-dokumen rahsia Kerajaan tidak
ternilai harganya.
19. Sudah menjadi satu amalan dalam dunia moden ini bagi
pemberita dan akhbar membeli dokumen yang dicuri oleh
orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Dalam persaingan
yang hebat antara akhbar-akhbar, pembocoran rahsia Kerajaan
boleh menjadikan seseorang pemberita terkenal dan akhbarnya
laris dijual. Bahawa pembocoran ini boleh mengancam
keselamatan atau kestabilan negara tidak lagi menghalang
pemberita daripada menyiarkan rahsia Kerajaan. Apakah
gunanya kita menangkap dan menghukum pengintip-pengintip
asing atau foreign spies jika orang kita boleh membocorkan
rahsia negara dengan sewenang-wenangnya.
20. Pembocoran rahsia juga boleh digunakan oleh pegawai
untuk tujuan-tujuan tertentu. Di negara-negara barat,
pegawai tentera sering membocorkan rahsia untuk menentukan
bahawa alat yang dibeli oleh Kerajaan adalah yang diminati
oleh mereka. Kadang-kadang mungkin cara ini digunakan
kerana tidak mahu dibekalkan dengan alat yang tidak baik.
Tetapi boleh jadi juga perbuatan ini dilakukan kerana
disogok dengan wang oleh pihak pembekal yang tidak dipilih.
21. Apabila sesuatu kontrak Kerajaan bernilai puluhan atau
ratusan juta, bukan sahaja sogokan yang diberi tinggi
nilainya, tetapi jika pembocor itu ditangkap dan dihadapkan
ke Mahkamah, denda yang dikenakan boleh dibayar oleh pihak
yang memberi rasuah.
22. Dalam keadaan seperti ini di mana pihak yang
membocorkan rahsia boleh mendapat wang yang banyak, lebih
banyak daripada denda yang dikenakan dan denda itu juga
boleh dibayar oleh pihak yang mendapat manfaat daripada
pembocoran, denda sudah tidak ada makna lagi. Hanya hukuman
penjara yang boleh menjadi deterrent kepada mereka yang
membocorkan rahsia Kerajaan.
23. Di sini, timbul soal mandatori -- iaitu jika sesiapa
didapati bersalah, Mahkamah dimestikan menjatuh hukuman
penjara tidak kurang daripada satu tahun. Soal mandatori
ini bukanlah baru. Dalam kes menggunakan senjata api semasa
rompakan, atau di bawah undang-undang ISA atau Akta Dadah
Berbahaya, hukuman mati adalah mandatori.
24. Apakah ini menghalang budibicara Mahkamah dalam
menjatuhkan hukuman? Sebenarnya dalam apa juga kesalahan,
undang-undang biasanya menghadkan hukuman maksima dan
adakalanya hukuman minima dan Mahkamah tidak boleh
menjatuhkan hukuman secara sukahati. Zaman hakim
menjatuhkan hukuman seperti Nabi Sulaiman sudah berlepas.
25. Dengan menentukan secara tepat hukuman yang dikenakan
apabila didapati bersalah, undang-undang ini adalah lebih
adil. Soal budi-bicara yang tidak selalunya sama antara
seorang hakim dengan seorang hakim yang lain, tidak akan
timbul. Di samping itu, kesan hukuman sebagai deterrent
akan tercapai. Selagi ada harapan hukuman boleh
diringankan, selama itulah hukuman tidak begitu berkesan
sebagai deterrent.
Tuan Yang di-Pertua,
26. Di sini ingin saya sekali lagi menarik perhatian
mengenai Kerajaan yang memerintah. Kita percaya bahawa
Kerajaan sekarang dan Kerajaan-Kerajaan di masa-masa depan
di Malaysia adalah demokratik dan bertanggungjawab serta
tidak menyalah-gunakan kuasanya. Bahawa hanya 5 kes
pembocoran rahsia sahaja yang didakwa di Mahkamah dalam
jangkamasa 29 tahun, jelas menunjukkan bahawa Kerajaan amat
berhati-hati dalam menggunakan Undang-Undang Rahsia Rasmi
ini.
27. Memandangkan bahawa hukuman di bawah pindaan baru ini
lebih berat, maka Kerajaan akan mengkaji dengan lebih teliti
lagi kes-kes yang hendak didakwa ke Mahkamah. Untuk
menjamin bahawa seseorang itu tidak dianiayai, maka
peruntukan yang sedia ada dikekalkan, iaitu selepas pihak
polis menyelesaikan siasatan dan berpendapat ada kes yang
perlu didakwa, pihak Pendakwa Raya akan memutuskan sama ada
dakwaan akan dibuat. Sudah tentu hanya kes-kes di mana
kepentingan awam atau kepentingan negara menghendaki didakwa
sahajalah yang akan dibawa ke Mahkamah.
28. Seperti biasa pihak yang dituduh boleh mempertahankan
diri mereka dalam Mahkamah. Mungkin juga Mahkamah akan
memutuskan bahawa yang dituduh tidak bersalah. Di Malaysia,
perkara ini bukan mustahil kerana Kerajaan tidak mempunyai
apa-apa pengaruh ke atas Mahkamah.
29. Pegawai-pegawai Kerajaan mungkin khuatir bahawa mereka
lebih terdedah kepada tuduhan pembocoran daripada orang
lain. Dalam menjalankan tugas mereka, tidak dapat tidak,
mereka akan menggunakan dokumen-dokumen yang rahsia. Untuk
melindungi pegawai-pegawai ini peruntukan dimasukkan dalam
Rang Undang-Undang ini yang berbunyi seperti berikut:-
"Mana-mana orang yang dipertuduh dengan apa-apa
kesalahan di bawah Akta ini tidaklah boleh disabitkan
jika dia membuktikan yang dia melakukan mana-mana
perkara itu dalam menjalankan tugas rasminya atau
dengan kuasa sepatutnya."
Tuan Yang di-Pertua,
30. Kerajaan berfikir panjang sebelum mencadangkan pindaan
kepada Akta Rahsia Rasmi yang saya kemukakan ini. Kerajaan
telah memberi pertimbangan yang serius kepada kekhuatiran
yang ikhlas pihak yang menegur peruntukan dalam Rang
Undang-Undang ini. Memang benar Kerajaan tidak akan
menimbang teguran daripada pihak yang berkepentingan politik
yang setelah gagal memujuk rakyat supaya tidak memberi
majoriti 2/3 kepada Barisan Nasional, sekarang cuba hendak
memecah undi Barisan Nasional dengan mencadangkan
Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional mengundi secara bebas.
31. Pengundian oleh ahli-ahli Barisan Nasional di Dewan ini
adalah bebas dalam menentukan Rang Undang-Undang Akta Rahsia
Rasmi (Pindaan) ini lulus atau tidak. Janganlah berfikir
apabila semua ahli Barisan Nasional menyokong Kerajaan, maka
whip telah digunakan.
32. Kerajaan, saya ulangi, sedia menimbangkan teguran yang
ikhlas daripada orang ramai. Sebab itu satu Rang
Undang-Undang Akta Rahsia Rasmi (Pindaan) 1986 yang baru
telah dikemukakan kepada Dewan ini pada 2hb. Disember.
Pindaan yang baru ini mengandungi pindaan-pindaan terhadap
pindaan yang dibuat dalam Rang Undang-Undang Akta Rahsia
Rasmi (Pindaan) yang dikemukakan bagi bacaan kali yang
pertama pada 27 Oktober 1986. Pindaan yang baru ini
bertujuan mengurangkan lagi jenis-jenis dokumen yang
disenaraikan dalam jadual.
Tuan Yang di-Pertua,
33. Parlimen, Kerajaan dan saya juga tidak keliru atau
confuse sedikitpun apabila membuat undang-undang. Kita
membuat peruntukan yang cukup dan menggunakan perkataan yang tepat
apabila menggubal undang-undang. Tetapi pihak-pihak lain
masih boleh membuat tafsiran yang lain. Mungkin juga
undang-undang yang tertulis dibelakangkan kerana ingin
mendaulatkan undang-undang yang tidak tertulis. Amalan di
negara lain boleh menjadi contoh tetapi jika kita mempunyai
undang-undang tertulis, sepatutnya yang tertulis inilah yang
digunakan. Jika tidak, maka sia-sia sahajalah kita membuat
undang-undang.
34. Kerajaan tidak berasa frustrated asalkan pertimbangan
dibuat dengan penuh ilmiah dan mengikut amalan yang sudah
menjadi peraturan dan tradisi bagi sesuatu institusi. Yang
mendukacitakan ialah apabila pertimbangan dibuat kerana
lain-lain sebab.
35. Dalam demokrasi kita membahagi-bahagikan kuasa untuk
menjamin keadilan berlaku. Bagi Parlimen yang membuat
undang-undang, kita terdedah kepada kehendak rakyat. Lima
tahun sekali di negara ini, Ahli-ahli Parlimen ditemuduga
semula oleh rakyat. Jika ahli itu tidak menjalankan
tugasnya dengan memuaskan, maka ia tidak akan dipilih
semula. Demikian juga jika parti yang menjadi Kerajaan
tidak dapat memuaskan kehendak rakyat, maka Parti yang
menjadi Kerajaan itu boleh dijatuhkan dalam pilihanraya.
36. Tentulah tidak adil jika Ahli-ahli Parlimen dan
Kerajaan boleh menentukan nasibnya sendiri. Tentulah
keadilan sukar dicapai jika Parlimen boleh mendakwa sesiapa
yang mengecam atau menegur Parlimen atau Kerajaan atau Ahli
Parlimen, membicara dan menghukum pihak yang dituduh. Lebih
tidak adil lagi ialah apabila Parlimen dan Ahli-ahlinya yang
diberi keistimewaan bercakap dengan bebas dalam Dewan,
menggunakan kebebasan itu untuk mencela orang lain yang
tidak mungkin berpeluang menjawab celaan itu. Parlimen dan
Ahli-ahli Parlimen tidak boleh mencabul hak rakyat biasa
dengan sewenang-wenangnya kerana perbuatan ini merupakan
'abuse of rights' oleh Parlimen atau Ahli-ahli Parlimen.
Privilege is not meant to be abused, oleh apa-apa institusi
sekalipun.
37. Dalam demokrasi amat penting sekali institusi-institusi
tidak menyalah-gunakan kuasa yang diberi kepadanya.
Sebaliknya, institusi-institusi ini harus bertindak tegas
dan adil dan tidak mencari populariti jika sesuatu demokrasi
itu ingin maju dan kekal dan institusi itu tidak mahu maruah
dan kredibilitinya hilang.
38. Apabila undang-undang digubal oleh Parlimen, dan ini
adalah hak Parlimen, tujuannya jelas. Seseorang yang
mungkin keliru boleh merujuk kepada ucapan anggota yang
memperkenalkan undang-undang kepada Parlimen dan perbahasan
yang berlaku untuk mengetahui maksud undang-undang
berkenaan. Jika ini dibuat, tidak akan timbul kekeliruan di
pihak sesiapa dan keadilan akan wujud.
39. Rang Undang-undang Akta Rahsia Rasmi (Pindaan) ini
telah dikaji dengan teliti oleh Kerajaan dengan
mengambil-kira pandangan yang ikhlas yang dibuat oleh
rakyat. Sehingga kini telah dibentangkan tiga deraf
undang-undang ini, hasil daripada teguran orang ramai
terhadap peruntukan-peruntukan dalam Rang Undang-Undang ini.
Kepada mereka yang membuat teguran yang ikhlas Kerajaan
mengucapkan terima kasih.
40. Tidak sesiapapun boleh menafikan bahawa Kerajaan
terpaksa merahsiakan sebahagian daripada urusannya.
Sebenarnya, semua pertubuhan, bahkan orang persaorangan pun
perlu merahsiakan sebahagian daripada apa yang dilaku atau
dirancangkan. Umpamanya, tidak akan ada perniagaan jika
bank dan syarikat tidak dibolehkan merahsiakan sebahagian
daripada urusan mereka. Sebab itu dalam Banking Act
terdapat peruntukan bahawa segala transaction antara bank
dengan pelanggan mereka adalah rahsia.
41. Dalam dunia akhbar, rahsia amatlah penting. Akhbar
biasanya tidak mahu memberitahu siapa yang menulis
sebahagian daripada surat-surat atau rencana-rencana yang
disiarkan oleh mereka. Pemberita pula sering mencari
punca-punca berita dan kadang-kadang menyiarkan komen oleh
apa yang disebut sebagai 'sumber yang boleh dipercayai'.
Apabila ditanya siapakah punca sesuatu maklumat atau berita
itu, mereka berkata ini adalah rahsia dan mereka tidak boleh
memberitahu siapa punca itu untuk memelihara punca tersebut.
Kadang-kadang tidak ada punca sebenarnya -- hanya maklumat
yang dicipta -- dan ini juga rahsia. Justeru itu, akhbar
dan pemberita lebih faham akan pentingnya rahsia dalam
sesuatu urusan.
Tuan Yang di-Pertua,
42. Ahli Yang Berhormat dari Tanjung, sebagai Ketua
Pembangkang, telah menulis surat kepada saya untuk menyemak
minit Mesyuarat Jemaah Menteri serta perjanjian berkenaan
dengan Maminco. Sepertimana termaklum, minit mesyuarat dan
kertas berkaitan adalah Rahsia Kerajaan. Ketua Pembangkang
tidak berhak menyemaknya.
43. Dengan membuat permohonan ini, Ketua Pembangkang
meletakkan saya dalam keadaan serba salah. Kalau saya tidak
membenarkan beliau menyemak, maka saya mungkin dituduh
menyembunyikan sesuatu. Sebaliknya, jika saya membenarkan
beliau menyemak, maka ini akan menjadi satu precedence di
mana Ketua Pembangkang dan ahli-ahli lain, kerana berbagai
sebab, juga berhak menyemak Minit Mesyuarat Jemaah Menteri
dan lain-lain dokumen Kerajaan. Dengan ini, segala rahsia
Kerajaan tidak mungkin menjadi rahsia lagi.
44. Saya tidak berhasrat membenarkan sesiapa yang tidak
berhak menyemak dokumen rahsia Kerajaan semata-mata kerana
ingin mengelak daripada Kerajaan dituduh melakukan sesuatu
yang curang. Walau bagaimanapun, dalam perkara Maminco ini
Kerajaan sanggup membenarkan bekas Perdana Menteri menyemak
minit dan perjanjian antara Marc Rich dan Maminco kerana
minit tersebut tidaklah rahsia kepada beliau. Dengan itu,
beliau boleh mengetahui sama ada kenyataan Kerajaan dalam
Dewan ini benar atau tidak. Terpulanglah kepada bekas
Perdana Menteri untuk membuat kenyataan tentang kebenaran
apa yang dimaklumkan kepada Dewan ini oleh Timbalan Menteri
Kewangan. Saya ingin menjelaskan juga bahawa Timbalan
Menteri Kewangan tidak berhak membaca Minit Mesyuarat Jemaah
Menteri. Beliau cuma diberi maklumat tertulis berkenaan
dengan kandungan minit itu bagi tujuan menjawab soalan di
Dewan ini. Oleh kerana beliau tidak berhak mendapat minit
mesyuarat Jemaah Menteri yang sepenuhnya, maka tidak
dapatlah beliau memberikannya kepada sesiapa.
Tuan Yang di-Pertua,
45. Tujuan saya membuat huraian tentang kepentingan rahsia
dalam masyarakat ialah supaya orang ramai akan sedar bahawa
rahsia adalah sebahagian daripada keperluan urusan
masyarakat. Jika kita tahu apa yang ada dalam hati
tiap-tiap orang dalam dunia ini, keamanan tidak akan wujud.
Tidak ada siapa yang akan ada kawan seorang pun. Malahan
suami dan isteri tidak akan dapat mendirikan rumahtangga
yang bahagia.
46. Rahsia perlu bagi masyarakat. Dalam urusan Kerajaan
atau perniagaan mungkin ada orang yang akan menyalah-gunakan
hak merahsiakan urusan ini. Untuk ini ada cara-cara lain
bagi mengesan dan bertindak. Tetapi merahsiakan urusan
mesti dibuat jika Kerajaan, atau perniagaan atau orang
persaorangan, hendak menguruskan kerja-kerja mereka. Jika
rahsia-rahsia ini dibongkarkan oleh orang-orang yang tidak
bertanggungjawab atau yang mempunyai kepentingan yang lain,
maka segala urusan dan rancangan masyarakat akan gagal.
Dalam keadaan ini tentulah masyarakat akan menjadi
kucar-kacir dan tidak akan maju dan mara ke hadapan. Untuk
mengelakkan kucar-kacir inilah maka hukuman terpaksa
dijatuhkan ke atas sesiapa yang membocorkan rahsia Kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua,
47. Dengan itu adalah mustahak bagi Akta Rahsia Rasmi 1972
itu dipinda:-
(1) untuk menjelaskan apa dia 'rahsia rasmi' dengan
memasukkan takrif kepada perkataan-perkataan itu;
(2) dengan mengadakan takrif lebih tepat perkataan
'rahsia rasmi' bersama dengan kuasa Menteri untuk
meminda Jadual seperti yang dicadangkan dalam Rang
Undang-Undang. Kuasa juga diberi kepada Menteri,
Menteri Besar dan Ketua Menteri dan
pegawai-pegawai awam yang tertentu untuk mengelas
semula atau declassify rahsia rasmi Kerajaan.
Adalah diharapkan dengan pindaan ini orang ramai
akan lebih terlindung daripada dituduh membocorkan
rahsia Kerajaan dan kepentingan negara akan lebih
terpelihara.
(3) untuk menentukan bahawa sesuatu dokumen atau
maklumat rasmi itu adalah benar-benar 'rahsia
rasmi' dengan mengadakan perakuan yang mana tidak
boleh lagi dipersoalkan di dalam Mahkamah.
Sebenarnya peruntukan ini tidak mengubah keadaan
yang ada sekarang. Sekarang ini, sebagaimana juga
yang telah diputuskan oleh sebuah Mahkamah, semua
dokumen atau maklumat yang ada di tangan Kerajaan
tidak boleh dilepaskan atau diberikan kepada orang
awam melainkan dengan izin Kerajaan. Dalam lain
perkataan, semuanya itu adalah 'rahsia' melainkan
ianya dilepaskan dengan kebenaran atau izin
Kerajaan. Peruntukan baru ini cuma bertujuan
untuk menjelaskan lagi bahawa cuma Kerajaan sahaja
yang benar-benar mengetahui pada saat dan ketika
mana sesuatu dokumen atau maklumat itu sepatutnya
dijadikan rahsia. Dengan adanya peruntukan ini
cuma Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri bagi
sesuatu Negeri dan pegawai-pegawai awam atasan
yang tertentu sahaja yang diberi kuasa untuk
membuat perakuan itu;
(4) untuk menjelaskan lagi akan hak pegawai-pegawai
awam sekiranya dituduh, peruntukan diadakan supaya
mereka tidak lagi mempunyai perasaan takut-takut
atau khuatir apabila mereka perlu melepaskan
maklumat-maklumat yang ada di tangan mereka dalam
menjalankan tugas rasmi mereka;
(5) untuk mempastikan supaya terdapat satu hukuman
minima penjara bagi tempoh satu tahun untuk
menunjukkan betapa serius dan beratnya
kesalahan-kesalahan itu dan pesalah-pesalah yang
didapati salah diberi hukuman yang setimpal;
(6) penalti-penalti yang terdapat di Seksyen 11 dan 12
sekarang ini menentukan tempoh maksimanya tidak
lebih daripada 3 tahun dipenjara tidak mencukupi
dan ini tidak akan dapat mencegah orang-orang
daripada melakukan kesalahan-kesalahan itu. Oleh
yang demikian, adalah dicadangkan supaya tempoh
maksima penalti bagi kedua-dua Seksyen itu
dinaikkan daripada 3 kepada 7 tahun.
48. Butir-butir mengenai peruntukan Rang Undang-Undang ini
boleh didapati di dalam huraian kepada Rang Undang-Undang.
Tuan Yang di-Pertua,
49. Ingin saya menyatakan bahawa setiap undang-undang itu
dibuat setelah pelbagai perkara dan masalah diambil kira
semoga matlamatnya tercapai dengan tidak mengorbankan soal
keadilan. Kerajaan akan mempastikan bahawa Akta Rahsia
Rasmi ini akan dikuatkuasakan dengan adil dan saksama.
Tuan Yang di-Pertua,
50. Saya mohon mencadangkan.
|