home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL MERLIN, SUBANG JAYA, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	09/12/86 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN 
			SERENTAK PERSATUAN-PERSATUAN POLIS 




 Tuan Pengerusi Majlis; Yang Berbahagia Tan Sri Mohd. Haniff Bin Omar,
Ketua Polis Negara; Pengerusi Persatuan Pegawai Kanan Polis Cawangan
Pegawai Yang Diwartakan; Pengerusi Persatuan Pegawai Kanan Polis Cawangan
Inspektor; Pengerusi Persatuan Pegawai Rendah Polis; Para Perwakilan
Ketiga-tiga Persatuan; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
rahmat dan kurniaNya dapat kita berkumpul bersama-sama pada hari ini
sempena dengan Persidangan Serentak Ketiga-tiga Persatuan Polis Diraja
Malaysia. Saya telah difahamkan bahawa inilah kali pertamanya di dalam
sejarah Pasukan Polis Diraja Malaysia ketiga-tiga Persatuan Polis, iaitu
Persatuan Pegawai Rendah Polis, Persatuan Pegawai Kanan Polis Cawangan
Inspektor serta Cawangan Pegawai Yang Diwartakan, mengadakan persidangan
serentak seperti ini. Saya juga telah difahamkan bahawa persatuan
tuan-tuan selama ini telah mengadakan persidangan masing-masing mengikut
kaedah persatuan tuan-tuan dan telah bergiat secara 'low key' dan
'maintaining a low profile' disebabkan, saya percaya, tuan-tuan adalah
anggota-anggota pasukan yang penuh berdisiplin.

2. Saya menyedari bahawa masalah-masalah yang dihadapi oleh
anggota-anggota polis adalah unik. Meskipun demikian, cara-cara
penyelesaiannya di masa-masa yang sudah adalah amat terpuji sekali, iaitu
melalui prinsip-prinsip dan lunas-lunas disiplin dan etika yang penuh
kesopanan. Malah nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan saya perhatikan
sentiasa terpelihara di kalangan persatuan-persatuan polis. Sikap 'low
profile' yang dipilih oleh persatuan tuan-tuan telah menyebabkan tuan-tuan
tidak mendapat publisiti langsung di dalam media massa. Ini sekali lagi
menunjukkan kedewasaan di dalam perjuangan tuan-tuan.

3. Pasukan Polis Diraja Malaysia adalah suatu perkhidmatan penting yang
diwajibkan oleh undang-undang negara supaya bertindak memulihkan
keadaan-keadaan yang mencemaskan, jika ianya wujud, yang mengancam
ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat. Justeru itu, pasukan polis
sentiasa memerlukan jentera pentadbiran dan operasi yang kukuh dan
berkesan di mana anggota-anggota pasukan hendaklah mencerminkan kewibawaan
dan keutuhan pasukan setiap masa. Saya yakin bahawa Pasukan Polis Diraja
Malaysia tetap berupaya untuk menghadapi sebarang keadaan di negara
ini. Hanya saya ingin menyampaikan pesanan kepada ahli-ahli persatuan
bahawa pendapat tuan-tuan hendaklah konsisten dengan realiti semasa. Saya
merestui perjuangan murni tuan-tuan selagi kewibawaan dan keutuhan pasukan
tidak diragui oleh masyarakat umum. Saya bersyukur kerana tuan-tuan selama
ini telah mempamerkan sikap dan pendirian yang amat rasional disepanjang
perjuangan tuan-tuan.

4. Pasukan Polis Diraja Malaysia adalah satu-satunya Jabatan Kerajaan yang
mempunyai anggota di setiap pelosok dan rantau negara. Jika tidak ada
Balai Polis, maka ada Pondok Polis di kampung-kampung dan kampung-kampung
baharu atau new villages di mana orang-orang kampung dapat meminta
pertolongan dan bantuan di masa-masa kecemasan. Oleh yang demikian,
anggota-anggota polis mestilah sentiasa bersedia untuk menunaikan tugas
ini dengan adil dan penuh kecekapan. Kebolehan anggota-anggota Polis
Diraja Malaysia dalam menjalankan tugas-tugas mereka di masa-masa yang
lampau, adalah bukti akan keupayaan mereka.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 

5. Kita mesti menerima dan mengakui hakikat bahawa kejayaan sesuatu
organisasi atau jabatan bergantung kepada tenaga anggota-anggotanya
sendiri, kepada bakat dan sumbangan-sumbangan individu dan kepada
perpaduan di kalangan pekerja. Ini bermakna bahawa setiap kakitangan
Kerajaan mesti menunjukkan bakatnya dan menyumbangkannya ke arah kejayaan
jabatannya. Tenaga manusia, jika dipergunakan dengan sempurna, akan dapat
mencapai tahap prestasi yang menakjubkan. Kecekapan dan keberkesanan bukan
hanya bererti membuat sesuatu dengan betul, tetapi membuat sesuatu yang
betul. 'Efficiency and effectiveness is not merely doing things right; it
is doing the right things'.

6. Sepertimana saya sebutkan tadi, persatuan-persatuan polis ini bergerak
secara 'low profile'. Walaupun demikian, pihak Kerajaan telahpun memberi
beberapa kemudahan kepada anggota-anggota pasukan polis, seperti misalnya,
baru-baru ini pihak Kerajaan telah meluluskan kepada anggota-anggota
pangkat rendah polis elaun bahasa sebanyak $25/- sebulan untuk tiap-tiap
bahasa yang diketahui tanpa mengenakan had jumlah bahasa. Saya tahu ada
beberapa tuntutan pihak persatuan polis yang belum dapat ditunaikan oleh
kerana keadaan ekonomi negara pada masa ini. Tetapi ini tidaklah bermakna
bahawa tuntutan-tuntutan tuan-tuan tidak boleh dikemukakan semula setelah
ekonomi negara kita pulih semula nanti.

7. Untuk membantu anggota-anggota pasukan keselamatan, Kerajaan juga
sedang memikirkan untuk memperluaskan bidang penggunaan wang daripada
Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara bagi faedah anggota-anggota
polis dan tentera. Beberapa kes telah didapati di mana anggota-anggota
polis telah tercedera atau meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya
semasa menjalankan tugas sekatan jalan raya, rondaan, kejar mengejar
penjenayah dan lain-lain lagi. Ada juga anggota-anggota polis yang
tercedera atau meninggal dunia akibat daripada kemalangan-kemalangan
semasa dalam latihan. Dalam hal ini, satu kajian akan dibuat mengenai
kemungkinan pampasan yang setimpal dapat diberikan kepada mereka yang
berkenaan.

8. Saya juga difahamkan bahawa pihak Persatuan-persatuan Polis menganggap
isu penubuhan semula Majlis Polis sebagai suatu isu utama. Saya sedar
bahawa buat masa ini anggota-anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia tidak
mempunyai badan perunding sebagaimana yang dipunyai oleh beberapa
perkhidmatan yang lain dalam Kerajaan. Saya ingin menyatakan bahawa
Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Awam sedang mengkaji
perkara ini dan dalam hal ini, kepentingan pihak polis akan diambilkira.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

9. Mengenai sajak yang telah dideklamasikan oleh Pengerusi Persatuan
Pegawai Rendah Polis tadi, saya menikmati dan memuji keindahannya dan saya
akan mengambilkira 'jeritan batin sang kundang kerdil, anak buah
temenggung' setiap kali saya mengenang jasa dan bakti yang telah
dicurahkan oleh anggota-anggota Polis Diraja Malaysia untuk tanahair kita.

10. Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan-persatuan
Polis yang telah menjemput saya ke Majlis ini. Dengan ini, saya dengan
sukacitanya merasmikan Persidangan Serentak Ketiga-tiga Persatuan Polis
Diraja Malaysia ini.

Wabillahi taufik walhidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 

 



 
Google