Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN TUN ISMAIL PUSAT DAGANGAN 
			DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	03/01/87 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN SEMINAR "KE ARAH 
			PENINGKATAN KEUPAYAAN PENGURUSAN DI 
			NEGARA INI" 




 Assalamu'alaikum   warahmatullahi   wabarakatuh   dan  salam
sejahtera.
Yang Berbahagia
     Tan Sri Sallehuddin bin Mohamed,
     Ketua Setiausaha Negara;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
    Saya mengucapkan terima kasih  kepada  pihak  penganjur
kerana  menjemput  saya  berucap  serta  merasmikan  seminar
sehari ini.  Saya difahamkan bahawa seminar ini akan menjadi
satu program tahunan.   Perjumpaan seperti  ini,  diharapkan
dapat  meningkatkan  sumbangan  daripada  semua perkhidmatan
awam   kepada   pentadbiran    dan    pembangunan    negara.
Perkhidmatan    awam    adalah    meliputi    berbagai-bagai
perkhidmatan dan dengan  itu  perjumpaan  tahunan  ini  akan
memberi   kesempatan  kepada  ketua-ketua  jabatan  daripada
berbagai perkhidmatan memahami tentang peranan masing-masing
serta menyelesaikan  masalah-masalah  yang  dihadapi  secara
bersama.
2.   Tema  yang  dipilih  pada perjumpaan yang pertama  ini,
iaitu  'Ke  Arah   Peningkatan
Keupayaan Pengurusan Di Negara  Ini'  adalah  sesuai  sekali
memandangkan  kepada  peristiwa-peristiwa  yang  berlaku  di
sekitar   sektor    awam    dan    juga    sektor    swasta.
Peristiwa-peristiwa   ini   memberi   cabaran  kepada  pihak
pengurusan  untuk  membuktikan  keupayaannya  dalam  membawa
perubahan-perubahan   serta   membantu  menggerakkan  semula
ekonomi negara.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
3.   Pengurusan tidak diperlukan jika  seseorang  itu  hidup
seorang diri berasingan.  Orang yang bertapa seorang diri di
tempat  terpencil di mana tidak ada manusia lain tidak perlu
kepada pengurusan -- iaitu  ia  tidak  perlu  mengurus  atau
mengadakan urusan dengan sesiapa.
4.   Jika  dua  orang  manusia  mengadakan  perhubungan maka
pengurusan perlu diadakan.  Kedua-dua mesti mengatur  secara
sedar  atau  tidak  sedar  perhubungan  antara mereka supaya
tidak berlaku terlalu banyak konflik antara mereka dan  jika
mereka  bersetuju,  supaya  wujud  satu  peringkat kerjasama
antara mereka.  They have to manage their relationship so as
to extract something from their contact.
5.   Semakin  besar  sesuatu  masyarakat,  semakin  kompleks
pengurusan   yang   diperlukan.      Di  peringkat  keluarga
pengurusan lebih mudah daripada peringkat kampung, peringkat
kampung daripada  peringkat  bandar,  dan  peringkat  bandar
daripada  peringkat negeri.   Semakin besar sesebuah negeri,
iaitu semakin ramai penduduk atau semakin  luas  wilayahnya,
semakin sulitlah pengurusan yang diperlukan.
6.   Oleh  sebab  ini  masyarakat yang primitif tidak besar.
Di zaman batu, masyarakat yang dapat diadakan terhad  kepada
satu  keluarga sahaja.  Jika anak lelaki membesar dan dewasa
lalu mencabar ketua keluarga, akibatnya ialah  ia  mengambil
alih  sebagai  ketua  jika  ia berjaya menewas ayahnya, atau
jika  ia  gagal  ia  terpaksa  berpindah  untuk   mengadakan
keluarganya  sendiri.   Di beberapa tempat di dunia sekarang
ini pun, sistem ini masih ada.
7.   Jika  sesuatu   kumpulan   manusia   berjaya   mengurus
masyarakat  yang  lebih  besar yang termasuk extended family
dan kemudian famili-famili yang lain, maka satu tamadun akan
wujud di mana kecekapan  mengurus  sama  ada  disedari  atau
tidak   tetap  meningkat.    Tamadun-tamadun  yang  terkenal
seperti di  Egypt,  Cina,  Greece,  Roma,  Farsi,  Arab  dan
lain-lain   adalah   hasil   kecekapan   pengurusan,   iaitu
pentadbiran,  yang  terdapat   dalam   masyarakat-masyarakat
tersebut.
8.   Demikianlah sejarah.
9.   Di zaman yang moden ini kecekapan mengurus adalah lebih
penting  lagi kerana manusia terpaksa mengadakan perhubungan
antara satu sama lain, antara satu  masyarakat  dengan  satu
masyarakat lain, antara satu bangsa dengan satu bangsa lain,
bahkan  masyarakat  manusia  telah  cuba menguruskan seluruh
dunia.  Berjaya atau tidaknya sesuatu masyarakat atau bangsa
itu  bergantung  kepada  tahap  kecekapan  pengurusan   yang
terdapat dalam masyarakat atau bangsa itu.  Kesedaran inilah
yang  menyebabkan  kita  di  Malaysia memberi tekanan kepada
latihan   pengurusan   sehingga   kita   menubuhkan   sebuah
universiti khusus untuk mata pelajaran ini.
10.  Dalam  Seminar  ini, saya yakin tuan-tuan dan puan-puan
akan   mendengar   berbagai   pendapat   tentang   cara-cara
meningkatkan  kecekapan  pengurusan.   Tekanan tentulah akan
diberi kepada berbagai sistem pengurusan yang telah  dicipta
secara  sedar  atau  tidak  sedar.    Ada bangsa-bangsa yang
mewarisi kecekapan pengurusan yang  telah  dibangunkan  oleh
generasi   demi   generasi   bangsa   mereka.      Ada  pula
bangsa-bangsa moden yang telah menggubal  sistem  pengurusan
secara  ilmiah  dengan  membuat  case  studies dan lain-lain
analisa.
11.  Bila kita sarankan slogan 'Pandang  ke  Timur',  selain
daripada  etika  kerja,  kita  juga  menyebut tentang sistem
pengurusan Jepun.   Sistem  ini  yang  memerlukan  rundingan
'dari  bawah  ke  atas',  lifetime employment, dan lain-lain
mungkin dianggap clumsy dan memakan masa, tetapi yang  tidak
dapat dinafikan ialah syarikat-syarikat dan perusahaan Jepun
lebih   kerap  berjaya  daripada  gagal,  berbanding  dengan
syarikat-syarikat negara-negara lain.   Mungkin ada  sesuatu
dalam sistem Jepun ini yang menentukan kejayaan mereka.
12.  Sebelum   daripada  pengenalan  sistem  public  limited
company  di  Malaysia,   syarikat-syarikat   dimiliki   oleh
individu   atau  keluarga.    Pengurusan  syarikat  keluarga
dikendalikan  oleh  anggota  keluarga  yang  biasanya  bukan
professional  dalam bidang pengurusan.  Kecekapan pengurusan
berasas kepada kepintaran semulajadi  pengasas  atau  kepada
pendedahan semasa kecil lagi akan kegiatan perniagaan.
13.  Oleh  kerana  tradisi  pengurusan di Malaysia diasaskan
kepada pengurusan syarikat kepunyaan sendiri atau  keluarga,
amalan-amalan      ini     dibawa     kedalam     pengurusan
syarikat-syarikat public limited  juga.    Sebab  itu,  kita
lihat   pengurus  dan  pengarah  berlagak  seolah-olah  wang
syarikat adalah milik mereka dan mereka  boleh  membuat  apa
sahaja  dengan  wang ini.  Ketertipan pengurusan, sistem dan
cara bekerja dalam syarikat kepunyaan awam tidak diindahkan.
Maka berlakulah perkara-perkara  yang  tidak  diingini  yang
sedang kita lihat sekarang.
14.  Walaupun  Kerajaan bukanlah sebenarnya sebuah syarikat,
tetapi pentadbiran negara melalui apa  juga  jenis  Kerajaan
masih  merupakan  satu  jenis  pengurusan.   Di zaman feudal
dahulu pentadbirannya adalah sama dengan pengurusan syarikat
keluarga atau family  company,  dan  zaman  sekarang  adalah
zaman   Kerajaan   sebagai   public   limited  company  yang
memerlukan cara pengurusan syarikat jenis ini.
15.  Perbezaan yang ketara dalam pengurusan  Kerajaan  ialah
tidak  adanya  profit  motive, yang merupakan insentif utama
dalam syarikat perniagaan.     Ini  menyebabkan  sikap  atau
attitude yang kadang-kadang tidak sihat.  Bagaimana soal ini
boleh  diatasi  mungkin akan dibincangkan oleh tuan-tuan dan
puan-puan nanti.   Saya sebaliknya  ingin  menyebut  sedikit
tentang  sifat-sifat  peribadi yang pada anggapan saya perlu
diberi perhatian, kerana sifat-sifat  ini  sebenarnya  lebih
penting  dan  berkesan  daripada  apa juga sistem pengurusan
yang diamalkan.  Kita tidak boleh melupakan bahawa  akhirnya
semua sistem mesti dikendalikan oleh manusia "and the system
is  only  as  good  as  the people who man it".  Sistem yang
terbaik sekalipun tidak akan  mendatangkan  hasil  sekiranya
orang  yang  menjalankannya  tidak  berkebolehan  dan  buruk
sifatnya.
16.  Sifat yang  terpenting  sekali  ialah  amanah.    Dalam
urusan  peribadi  amanah  masih  diperlukan.   Tetapi amanah
menjadi perkara utama dalam menguruskan tugas dan harta yang
bukan  milik  diri  sendiri.    Dalam  pengurusan  Kerajaan,
seperti   juga   dalam   pengurusan  syarikat  awam,  amanah
diperlukan kerana kita menjadi pemegang amanah atau  trustee
kepada  urusan dan harta milik orang lain.  Sementara untung
atau rugi pengurusan harta sendiri akan  dipikul  oleh  diri
sendiri,  untung  atau  rugi  pengurusan harta awam akhirnya
akan dipikul oleh orang awam.  Oleh itu komitmen kita  kerap
berbeza  antara dua tugas ini kerana kita sering lupa bahawa
kita juga  adalah  anggota  masyarakat  awam  dan  apa  yang
menimpa masyarakat akan menimpa kita juga.
17.  Orang   yang  kuat  beramanah  akan  menganggap  bahawa
pengurusan  harta  awam  hendaklah   dibuat   dengan   penuh
tanggungjawab,  sama  atau lebih lagi daripada tanggungjawab
apabila mengurus harta sendiri.  Jika ini  menjadi  perasaan
orang  yang  mengurus harta awam, maka pengurusan tentu akan
dibuat dengan baik.  Tidak akan ada penyelewengan, kecuaian,
pembaziran, rasuah dan sebagainya.  Dalam Kerajaan  hasilnya
tentulah  pentadbiran  yang  licin  dan  berkesan  yang akan
membawa kebaikan kepada masyarakat  dan  negara,  yang  mana
kita sendiri akan menikmatinya.
18.  Kebersihan  fikiran  dan  kebersihan  fizikal mempunyai
peranan  sebagai  sifat  yang  boleh  menolong  pentadbiran.
Sangkaan  buruk  terhadap dasar atau arahan akan memesongkan
usaha menjayakan dasar dan arahan  berkenaan.    Orang  yang
berfikiran bersih akan menumpu kepada kebaikan sesuatu tugas
yang  dipertanggungjawabkan kepadanya.  Tanpa sangkaan buruk
fikirannya tidak akan terganggu.   Dengan minat  yang  penuh
sesuatu tugas dapat dijalankan dengan sempurna.
19.  Kebersihan fizikal secara langsung akan membantu kerja.
Diri   sendiri   dan   persekitaran   perlu   bersih   untuk
mengurangkan  segala  gangguan.    Untuk  memahami   peranan
kebersihan  fizikal,  kita boleh menggunakan lojik "reductio
ad absurdum" iaitu jika tubuh  badan  kita  kotor  dan  kita
berada  dalam tempat yang penuh dengan najis dan busuk, kita
tidak dapat berfikir dengan  sempurna  atau  bekerja  dengan
mendatangkan   hasil   yang  penuh.    Kesihatan  kita  akan
terganggu dan kita tidak dapat memberi  100%  tenaga  kepada
tugas  kita.    Jika  kita  terlibat dengan pengurusan dalam
suasana atau environment yang begitu buruk sekali,  mustahil
pengurusan   itu   menghasilkan   kejayaan  yang  cemerlang.
Sebaliknya, jika sekitar kita bersih dan indah, bukan sahaja
tidak  akan  ada  gangguan   tetapi   satu   semangat   akan
mempengaruhi  kita  untuk bekerja dengan lebih minat.  Jelas
daripada  perbandingan  antara  yang  ekstrim   ini   bahawa
pencapaian  antara  yang terkotor dan yang terbersih amatlah
ketara. Oleh itu semakin bersih sekitar kita, semakin selesa
dan tinggi pencapaian tugas kita.
20.  Oleh kerana itu, kebersihan mental dan  fizikal  adalah
sifat  yang  menyumbang  kepada prestasi pengurusan.  Negara
yang tidak teratur dan kotor dan  penuh  dengan  tohmah  dan
fitnah  tidak pernah menjadi negara yang maju dan bertamadun
tinggi.  Bagi yang pernah pergi ke beberapa negara asing dan
memerhati keadaan sekitar, perbandingan  boleh  dibuat  yang
akan membuktikan peranan kebersihan fizikal dan mental dalam
menjayakan  sesuatu  negara.    Dan sudah tentu kejayaan itu
adalah hasil daripada pengurusan yang baik.
21.  Kecekapan mengurus mungkin berasal daripada sifat-sifat
semulajadi.    Tetapi  kecekapan  lebih  bergantung   kepada
pengalaman  atau  pendedahan  kepada amalan yang terdapat di
sekeliling dan latihan yang boleh didapati.  Walaupun amanah
dan kejujuran  lebih  penting  dalam  pengurusan,  kecekapan
boleh membantu untuk mencapai kejayaan dalam pengurusan.  Di
kalangan  bangsa  yang  tidak  mempunyai tradisi pengurusan,
latihan dalam bidang ini menjadi  lebih  penting.    Dan  di
zaman  moden  ini  cara-cara  pengurusan  tidak lagi menjadi
rahsia seperti di zaman dahulu.  Jika kita  sanggup  belajar
dan  kita  sanggup mengamalkan apa yang telah kita pelajari,
dan ini amatlah penting, kita boleh  menjadi  cekap.    Satu
sifat  semulajadi  manusia  ialah  jika  sesuatu  itu dibuat
berulang kali, maka kecekapan akan  meningkat.    Oleh  itu,
tidak   ada   sebab   kenapa   seseorang   ini  tidak  dapat
meningkatkan tahap kecekapan  pengurusannya  ke  paras  yang
maksima baginya.
22.  Pelajaran pengurusan, seperti juga lain-lain pelajaran,
tidak  mencukupi  sehingga kita mendapat pengalaman.  Jangan
sangka  bahawa  setelah  mendapat  ijazah  management   atau
business administration, maka kita lebih tahu daripada orang
yang  tidak berijazah tetapi mempunyai pengalaman yang luas.
Proses pendedahan kepada pengurusan  beberapa  tahun  adalah
perlu  sebelum kecekapan diperolehi.  Lebih luas pengalaman,
biasanya  lebih  tinggi  kecekapan  dan  lebih   berhasillah
pengurusan.
23.  Amanah,  kebersihan  dan  kecekapan  adalah sifat-sifat
yang  terpenting  dalam  menentukan  berjaya  atau  tidaknya
pengurusan.    Namun  demikian ada lagi lain-lain sifat yang
juga diperlukan  bagi  menjayakan  pengurusan.    Kerajinan,
kesetiaan,  disiplin, kepintaran berkomunikasi dan lain-lain
membantu keberkesanan sesuatu pengurusan.
24.  Jika  kita  ingin  meningkatkan  kecekapan  pengurusan,
semua  sifat-sifat  ini perlu ditekankan.   Dalam usaha kita
untuk  memperbaiki  sesuatu  keadaan,  kita  terlalu  taksub
dengan  pembentukan sistem.  Kadang-kadang kita begitu asyik
dengan sistem sehingga kita lupa kepada  manusia  yang  akan
menjalankan   sistem  itu.    Apabila  kita  dapati  sesuatu
pengurusan itu gagal, kita menyalahkan sistem dan kita  cari
atau   ciptakan   sistem   yang   lain  yang  kononnya  akan
memperbaiki  sistem  yang  lama.     Malangnya,  kita   akan
mendapati  bahawa  sistem yang baru ini juga kurang berhasil
setelah orang yang sama menggunakannya.
25.  Dalam sebuah buku yang bertajuk "Made in  Japan",  Akio
Morita,  pengasas  dan Ketua Pegawai Eksekutif atau CEO Sony
Corporation, menceritakan tentang  sistem  pengurusan  Jepun
sekarang.   Sebenarnya sistem ini dipaksa oleh pihak Amerika
Syarikat selepas mereka menewaskan Jepun dalam Perang  Dunia
Kedua.  Sebelum perang syarikat Jepun semuanya dikuasai oleh
syarikat  gergasi  atau  zaibatsu yang mengurus dengan kuasa
yang authoritarian.    Mereka  boleh  memilih  dan  membuang
pekerja  sesuka  hati mereka.  Pekerja bekerja kerana takut;
di samping itu mereka berpendapat mereka juga bekerja kerana
kepentingan negara.  Dengan itu zaibatsu Jepun berjaya dalam
bidang pembuatan terutama dalam membekalkan  jentera  perang
mereka.
26.  Untuk   menghancurkan   kuasa   syarikat  gergasi  ini,
Pentadbiran Tentera Amerika Syarikat  mengharamkan  syarikat
besar bercorak holding company dan tidak membenarkan pekerja
dibuang   kerja.    Inilah  asalnya  "lifetime  employment".
Tetapi pengurusan syarikat menjadikan "lifetime  employment"
ini  sebagai  satu aset.   Mereka memupuk sikap kekeluargaan
dan  kesetiaan  yang  tidak  berbeza  daripada   patriotisme
pekerja  Jepun  dalam zaibatsu.   Perbezaan antara eksekutif
dan pekerja, antara white  dan  blue  collar,  tidak  begitu
ditekankan.   Dalam Kerajaan di Malaysia kita juga mempunyai
lifetime employment tetapi ini nampaknya menghalang disiplin
dan iklim kekeluargaan tidak menjelma.
27.  Yang jelas daripada pengalaman Akio Morita ialah sistem
tidak menentukan kejayaan pengurusan.   Yang  penting  ialah
sikap dan sifat-sifat yang ada pada pekerja Jepun.  Apa juga
sistem  yang  digunakan,  kesetiaan  pekerja  dan  kefahaman
pengurusan dalam  bidang  saikologi  manusia  dan  saikologi
perhubungan  antara  manusia  dengan  manusia  boleh membawa
kejayaan yang cemerlang.   Demikian  Sony  Corporation  yang
bermula  40  tahun  dahulu  dalam sebuah bangunan department
store yang telah dibom dan terbakar, sekarang menjadi sebuah
syarikat  gergasi  yang  tidak  kurang   besarnya   daripada
zaibatsu dahulu.
28.  Jika  kita  menerima  bahawa  yang penting bukan sistem
pengurusan tetapi sikap orang yang  menjalankan  pengurusan,
maka   apabila   sesuatu   sistem   menunjukkan  tanda-tanda
kegagalan, janganlah kita terlalu mudah menyalahkan  sistem.
Ada  baiknya  jika kita kaji kelemahan yang mungkin ada pada
diri  kita  sendiri.     Janganlah  kita   terlalu   ghairah
menyalahkan  orang  lain  atau sistem yang diamalkan.   Kita
lebih berkuasa ke atas diri  kita  daripada  ke  atas  orang
lain.  Justeru itu, kita lebih berkeupayaan membetulkan diri
kita sendiri daripada diri orang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
29.  Matlamat  kita  ialah peningkatan pengurusan.   Sebelum
kita cipta banyak lagi sistem dan method  untuk  memperbaiki
pengurusan  pentadbiran kita, kita harus menoleh ke belakang
untuk mengkaji beberapa pendekatan yang telah kita cuba yang
sepatutnya meningkatkan prestasi pengurusan kita.    Sebagai
contoh, kita boleh memeriksa manual kerja dan fail meja.
30.  Saya  percaya  jika  kita rujuk kepada manual kerja dan
fail meja bagi  setiap  pekerjaan  yang  kita  buat,  dengan
check-list  dan carta aliran kerja atau work-flow chart yang
disediakan, segala urusan boleh  diselesaikan  dengan  licin
dan  cepat.   Soal yang patut kita tanya ialah apakah manual
dan  carta  ini  kurang  baik   atau   kita   tidak   begitu
menggunakannya?   Jika   kita  telah  menggunakannya  dengan
sepenuhnya tetapi prestasi masih rendah, eloklah kita  cipta
sistem  dan  method  yang  baru.    Jika tidak, eloklah kita
mencuba  lagi.    Saya  sebutkan  ini  sebagai  satu  contoh
bagaiman  kita  ghairah  dengan mencipta sistem tetapi tidak
menggunakannya dengan sepenuhnya.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
31.  Saya telah cuba  memberi  pendapat  saya  yang  mungkin
relevant  dengan  tajuk Seminar.   Saya berharap seminar ini
dapat  menolong  menjayakan  peningkatan   pengurusan   yang
dicita-citakan.   Kita juga mengadakan banyak seminar tetapi
hasilnya tidak begitu nyata.    Mungkin  Seminar  ini  boleh
mencadangkan  satu  cara  bagi  menilai  dengan  tepat kesan
Seminar ini dalam meningkatkan  pengurusan  di  negara  kita
ini.  A seminar should not be just an academic exercise.  It
should yield practical and tangible results.
Tuan-tuan dan puan-puan,
32.  Dengan   kata-kata   ini,   saya   dengan   sukacitanya
merasmikan  Seminar  Tahunan  Pegawai-Pegawai  Tinggi  Dalam
Sektor Awam ini.
     Wabillahi    taufik    walhidayah   wassalamu   alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google