Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	11/03/87 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM TAHUNAN DEWAN 
			PERNIAGAAN DAN PERINDUSTRIAN 
			KEBANGSAAN MALAYSIA (NCCIM) 




 Yang Berbahagia Dr. Nawawi Mat Awin,
     Yang Di-Pertua NCCIM;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan  puan-puan sekalian.
    Saya  mengucapkan  terima kasih kepada Dewan Perniagaan
dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia yang  telah  menjemput
saya  ke  Majlis  Makan  Malam Tahunan Pertubuhan ini.  Saya
percaya majlis jamuan tahunan ini akan  merapatkan  hubungan
sesama  sendiri  serta meningkatkan lagi aktiviti perniagaan
dan perusahaan di negara kita.
2.   Saya pernah menyuarakan di majlis seperti ini yang lalu
supaya NCCIM mengadakan perbincangan dan majlis jamuan untuk
ketua-ketua negara asing dan rombongan mereka  yang  melawat
Malaysia.    Semasa  atau selepas jamuan, perbincangan boleh
diadakan  bagi   meningkatkan   pengetahuan   dan   mendapat
peluang-peluang  perdagangan dan perusahaan baru dengan para
pengusaha dan ahli perniagaan negara  asing.    Saya  sangat
gembira  oleh  kerana  NCCIM  telah  berbuat  demikian untuk
beberapa delegasi yang telah melawat negara ini. Saya  yakin
NCCIM telah  mendapat  faedah daripada majlis jamuan seperti
itu.    Saya  berharap  aktiviti-aktiviti  seperti  ini akan
diteruskan pada masa akan datang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3.   Ekonomi  negara  kita telah menempa pertumbuhan positif
tahun lalu, walaupun hanya setengah peratus keluaran  negara
kasar.      Ini  merupakan  satu  petanda  yang  baik  kalau
dibandingkan dengan pertumbuhan negatif  yang  dialami  bagi
tahun sebelumnya iaitu tahun 1985.  Bukan sahaja pertumbuhan
positif  tahun  lalu yang seharusnya menggalakkan kita untuk
berusaha  lebih  giat  lagi,  bahkan  harga-harga   barangan
komoditi kita telah menunjukkan kenaikan yang menggalakkan.
4.   Saya yakin ramai daripada tuan-tuan dan puan-puan telah
maklum   berkenaan   dengan  harga-harga  barangan  komoditi
baru-baru  ini.     Walaupun  ianya   lebih   rendah   kalau
dibandingkan   dengan   harga-harga   sebelum   tahun  1984,
harga-harga yang meningkat baru-baru  ini  seharusnya  dapat
membantu  usaha  kita  untuk memulihkan ekonomi negara.  Apa
yang kita harapkan ialah supaya harga barangan komoditi  ini
akan  terus  stabil dan mencapai paras harga yang memuaskan.
Di samping itu kita tidak harus lupa bahawa bukan harga yang
tinggi  yang  penting  tetapi  kurangnya   kos   pengeluaran
daripada  harga  jualan.   Untuk ini usaha bagi meningkatkan
produktiviti dengan menurunkan kos mesti diutamakan.
5.   Walaupun  kedudukan   ekonomi   dua-tiga   bulan   lalu
bertambah    cerah,    Kerajaan    akan    terus   mengambil
langkah-langkah yang telah dilaksanakan beberapa tahun  lalu
bagi  memulihkan  kedudukan  ekonomi negara kita.   Kerajaan
akan terus berwaspada mengenai perbelanjaan sektor awam.  Di
samping itu, Kerajaan juga akan  terus  menggalakkan  sektor
swasta   meningkatkan   pelaburan,   terutama  dalam  sektor
perkilangan.
6.   Salah satu strategi pembangunan  ekonomi  negara  dalam
jangka   panjang  ialah  memajukan  sektor  perkilangan  dan
perindustrian,    terutama    untuk    barangan     eksport.
Barang-barang   perkilangan   atau   manufactures  merupakan
barangan eksport yang  tertinggi  sekali  semenjak  beberapa
tahun  yang  lalu.    Negara ini telah mengeksport kira-kira
$13.6 ribu juta pada tahun  lalu  dan  jumlah  ini  dijangka
meningkat  kepada  kira-kira  $15.2  ribu  juta  tahun  ini.
Daripada segi Keluaran Dalam  Negara  Kasar  pula,  barangan
perkilangan  merupakan  yang kedua terbesar selepas keluaran
sektor pertanian, ternakan, perhutanan dan perikanan.    Ini
menunjukkan  barangan  perkilangan  mempunyai  pengaruh yang
semakin penting dalam ekonomi negara kita.
7.   Ekonomi negara masih lagi sedikit sebanyak  dipengaruhi
oleh   barangan   komoditi,   tetapi  kita  hendaklah  terus
mengambil langkah supaya negara kita  dalam  jangka  panjang
tidak  lagi  terlalu  bergantong  kepada  barangan  komoditi
seperti  getah,  timah,  kelapa  sawit,  kayu   balak    dan
petroleum. Kita seharusnya  sedar  bahawa  barangan komoditi
semakin  lama  semakin  berkurangan  pengaruhnya  di   dalam
pengeluaran  barangan perindustrian.   Antara sebab-sebabnya
ialah  penumpuan  barangan  ganti  atau   substitutes   bagi
barangan komoditi.
8.   Dengan   itu,  walaupun  kita  masih  bersandar  dengan
barangan komoditi, Kerajaan  akan  terus  memberi  perhatian
kepada   sektor  perkilangan  dan  sektor-sektor  yang  kita
mempunyai  potensi  seperti  pelancongan.     Sebab   itulah
Kerajaan   berusaha   bersungguh-sungguh   bagi   mengadakan
beberapa  galakan  untuk  para  pengusaha  menceburi  sektor
pembuatan,  terutama  bagi  barang-barang  yang  boleh  kita
eksport bagi  meningkatkan  lagi  aliran  tukaran  asing  ke
negara ini.
9.   Usaha  memajukan sektor perkilangan akan berjaya dengan
sokongan  pihak  swasta.    Dengan  penurunan  kadar  faedah
pinjaman baru-baru ini, saya berharap pelaburan dalam sektor
perkilangan  akan  meningkat  dengan  pesat  oleh kerana kos
pelaburan berkurangan.  Saya juga berharap Dewan  Perniagaan
dan   Perindustrian   Kebangsaan  dan  Dewan-Dewan  gabungan
haruslah memberi galakan kepada  para  ahlinya  meningkatkan
pelaburan masing-masing dalam sektor ini.
10.  Tahun  lalu  Kementerian  Perdagangan dan Perindustrian
telah  meluluskan  berbagai  projek  dengan  cadangan  modal
pelaburan   atau   proposed   capital  investment  berjumlah
kira-kira  $5,165  juta.    Saya  perhatikan  jumlah  ekuiti
tempatan  hampir  tiga  per  empat  daripada  jumlah ekuiti,
dengan satu suku lagi daripada pelaburan asing.
11.  Negara kita mempunyai potensi yang  besar  bagi  sektor
perkilangan    ini   diperkembangkan.      Antaranya   ialah
pengeluaran komponen kereta Proton Saga,  barangan  elektrik
dan  eletronik  dan barangan makanan.  Para pelabur tempatan
mestilah yakin bahawa mereka boleh menggunakan  potensi  ini
bagi  mempastikan peratusan barangan perkilangan ini semakin
meningkat supaya ianya menjadi asas ekonomi pada masa depan.
Ianya juga akan dapat mengurangkan kadar  pengangguran  yang
kita  alami  pada  masa  ini.   Di samping itu Kerajaan akan
terus membantu sektor perkilangan di negara ini supaya ianya
akan menjadi satu sektor yang  dapat  menggantikan  industri
barangan  komoditi  dan pada suatu masa kelak sebagai sektor
utama ekonomi negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Negara kita masih  lagi  mengeksport  barangan  melalui
negara  ketiga  terutama  negara  jiran.    Eksport  kita ke
Singapura  masih  lagi  yang  kedua  terbanyak  di  kalangan
rakan-rakan  perdagangan  kita.    Seperti  yang  kita semua
maklum kebanyakan barangan yang dieksport ke negara itu akan
dieskport semula ke  negara-negara  lain.    Saya  menyedari
keadaan  hari  ini  menunjukkan  kedudukan  yang  lebih baik
daripada  tahun-tahun  sebelumnya,  tetapi  improvement  itu
masih  lagi  tidak  memuaskan.    Adalah  menjadi tugas para
pedagang kita untuk mengeksport terus ke negara-negara asing
supaya bukan sahaja keuntungan negara akan bertambah  tetapi
kita  juga  akan  memperolehi  pasaran  dan lain-lain urusan
eksport.  Di samping itu penggunaan  perkhidmatan  insurans,
perundingan  dan sistem pengangkutan seperti perkapalan akan
meningkat lagi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13.  Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk bercakap
sedikit mengenai pengurusan NCCIM ini.  Apa yang dapat  saya
perhatikan  ialah  sekretariat  dewan-dewan gabungan seperti
Dewan Perniagaan dan Perindustrian  Cina,  Dewan  Perniagaan
dan   Perindustrian   Melayu,   dan   Dewan  Perniagaan  dan
Perindustrian Antarabangsa adalah  lebih  kuat  dan  teratur
dalam  membuat  penyelidikan  dan pengumpulan data-data bagi
membantu  para  ahli  dewan  masing-masing.     Bagi   badan
kebangsaan  NCCIM  pula saya berpendapat usaha-usaha seperti
ini haruslah diperkukuhkan lagi supaya segala maklumat  yang
dikumpul  dapat  digunakan  dengan  berkesan  oleh ahli-ahli
dewan gabungan.
14.  NCCIM haruslah mempunyai sistem  datanya  sendiri  yang
dapat   memberi   maklumat   yang  lebih  bermakna  mengenai
aktiviti-aktiviti  ekonomi  negara.    Misalnya  data   yang
mencukupi  hendaklah  diusahakan bagi mengesan aliran keluar
tukaran wang asing yang berhubung rapat dengan akaun  semasa
bagi  imbangan  kewangan  negara.    NCCIM  seharusnya terus
memainkan peranannya bagi mengurangkan aliran keluar tukaran
wang   asing   bagi   pembayaran   insurans,    perundingan,
pelancongan dan perkapalan.
15.  Kita  hendaklah  yakin  dengan keupayaan ekonomi negara
ini.  Hanya segelintir daripada para pengusaha  dan  pelabur
tempatan  yang  tidak  mempunyai keyakinan tentang keupayaan
ekonomi kita akan pulih semula.   Saya berharap  ramai  lagi
para pengusaha akan mempunyai keyakinan dan kita semua harus
memberi sumbangan terhadap memulihkan ekonomi negara kita.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
16.  Sekali   lagi  saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada
Ahli-Ahli Jawatankuasa Dewan  Perniagaan  dan  Perindustrian
Kebangsaan  Malaysia  kerana menjemput saya ke majlis jamuan
makan malam ini.  Akhirnya saya mengucapkan salam  sejahtera
dan  semoga  kita  semua terus berusaha untuk memajukan lagi
negara kita ini.
     Terima kasih.

 
 



 
Google