home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT Tarikh/Date : 18/03/87 Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN USUL MENGENAI LAPORAN ULANGKAJI DAN PERSEMPADANAN BAHAGIAN-BAHAGIAN PILIHANRAYA PARLIMEN DAN NEGERI BAGI NEGERI SARAWAK Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan:- "Bahawa Dewan ini membuat ketetapan di bawah seksyen 10 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan bahawa draf Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihanraya) (Negeri Sarawak) 1987, yang telah dibentang dalam Dewan ini pada 10hb. Mac, 1987 bersama dengan laporan Suruhanjaya Pilihanraya bertarikh 14hb. Februari, 1987 mengenai persempadanan bahagian-bahagian pilihanraya Parlimen dan Negeri dalam Negeri Sarawak dan yang akan dibuat di bawah seksyen 12 Jadual tersebut untuk menguatkuasakan syor-syor yang terkandung dalam laporan tersebut, adalah diluluskan". Tuan Yang di-Pertua, 2. Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, menurut Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihanraya adalah bertanggungjawab untuk mengulangkaji dan mempersempadankan semula bahagian-bahagian pilihanraya Parlimen dan Negeri pada lat tempoh tidak kurang daripada 8 tahun. Sesuai dengan kehendak peruntukan tersebut, Suruhanjaya Pilihanraya telah menjalankan ulangkaji bahagian-bahagian pilihanraya Parlimen dan Negeri bagi Negeri Sarawak mulai daripada 15hb. Mac, 1986. Ulangkaji terakhir yang dilakukan bagi Negeri Sarawak ialah pada 31hb. Disember, 1977. 3. Ahli-ahli Yang Berhormat tentu masih ingat bahawa pada bulan Oktober 1985 Dewan Rakyat telah meluluskan rang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1985 iaitu Akta A631 yang berkuatkuasa pada 24hb. Februari, 1986. Menerusi Akta ini pindaan telah dibuat kepada Perkara 46 Perlembagaan yang mengakibatkan kerusi Parlimen bagi Negeri Sarawak bertambah daripada 24 kepada 27. Di samping itu, Dewan Undangan Negeri Sarawak telah meminda Perkara 14(2) Perlembagaan Negeri Sarawak pada 18hb. Mei, 1985 menerusi Ordinan No. 5 tahun 1985. Ordinan ini juga berkuatkuasa pada 24hb. Februari, 1986. Dengan berkuatkuasanya Ordinan ini kerusi bagi Dewan Undangan Negeri Sarawak telah bertambah sebanyak 8 kerusi lagi menjadikan jumlahnya 56 kerusi. 4. Saya ingin menegaskan bahawa pembentangan usul ini tidak ada kaitan sama sekali dengan perkembangan politik di Sarawak sekarang ini. Usul ini telah dijadual untuk dibentangkan di sidang Parlimen kali ini lama sebelumnya. Berlakunya perkembangan politik di Sarawak itu semasa usul ini dibentangkan adalah secara kebetulan semata-mata. Tuan Yang di-Pertua, 5. Sepertimana yang saya nyatakan pada awal tadi tugas mempersempadankan bahagian-bahagian pilihanraya Parlimen dan Negeri bagi Negeri Sarawak ini adalah tanggungjawab Suruhanjaya Pilihanraya. Suruhanjaya itu di dalam memulakan tugasnya untuk mengulangkaji dan mempersempadankan semula bahagian-bahagian pilihanraya perlu mematuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan. Di samping terdapatnya peruntukan berhubung dengan lat tempoh ulangkaji yang perlu dipatuhi, Suruhanjaya juga perlu mematuhi had tempoh ulangkajian itu perlu disiapkan. Tugas-tugas ulangkaji dan persempadanan ini perlu disiapkan dalam masa dua tahun selepas kerja-kerja dimulakan berpandukan kepada Fasal (9) dan (10) Perlembagaan Persekutuan. Tugas persempadanan yang dijalankan oleh Suruhanjaya bermula pada 15hb. Mac, 1986, bilamana notis pengesyoran sempadanan bahagian pilihanraya disiarkan kepada umum. 6. Sukacita saya memberitahu Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa Suruhanjaya Pilihanraya telahpun menyiapkan laporannya setelah mematuhi sepenuhnya prosedur-prosedur yang ditentukan oleh Bahagian II Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Di samping itu syor-syor yang terkandung di dalam laporan itu adalah juga dibuat dengan berpandukan kepada prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Bahagian I Jadual yang sama. Laporan ulangkaji dan persempadanan ini telah diserahkan kepada saya pada 18hb. Februari, 1987, sebagaimana yang dikehendaki oleh syksyen 8 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Laporan itu telah juga dibentangkan di dalam Dewan ini sebagai Kertas Statut No. 76 Tahun 1987. 7. Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat dapat lihat, laporan Suruhanjaya Pilihanraya itu mengandungi enam bab iaitu Bab 'A' hingga Bab 'F'. Saya percaya segala isi laporan itu telah diteliti oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Walau bagaimanapun, izinkan saya memberikan sedikit keterangan mengenai isi kandungan laporan tersebut. 8. Bab 'A' mengandungi maklumat-maklumat mengenai bidang kuasa dan lat tempoh ulangkaji di samping penerangan-penerangan bersabit dengan unit ulangkaji, skop dan bidang kuasa Suruhanjaya Pilihanraya, pindaan yang telah dibuat kepada Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sarawak, bilangan kerusi Parlimen dan Negeri bagi Negeri Sarawak dan juga penerangan mengenai pindaan sempadan-sempadan Parlimen dan Negeri yang telah dijalankan. 9. Berhubung dengan apa yang diistilahkan sebagai unit-unit ulangkaji, sukacita saya jelaskan bahawa mengikut Fasal (6) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, Malaysia telah dibahagikan kepada tiga unit ulangkaji yang berasingan ___________________ iaitu Negeri-Negeri Tanah Melayu termasuk Wilayah ______________________________ Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Negeri Sabah dan Negeri ____________ ______ Sarawak . Sepertimana yang Ahli-ahli Yang Berhormat sedia _______ maklum ulangkaji bagi unit ulangkaji Negeri-Negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan) dan Negeri Sabah telahpun dijalankan pada tahun 1984 dan bahagian-bahagian pilihanraya yang dipersempadankan semula bagi unit-unit ulangkaji Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah itu telahpun digunakan bagi pilihanraya umum tahun 1986 yang lepas. 10. Bagi maksud pilihanraya bahagian-bahagian pilihanraya yang dipersempadankan semula oleh Suruhanjaya Pilihanraya bagi Negeri Sarawak setelah ianya diluluskan kelak akan dapat dikuatkuasakan apabila Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan untuk pilihanraya Negeri dan apabila Dewan Rakyat dibubarkan untuk pilihanraya Parlimen. Perlu diterangkan bahawa selagi Dewan-Dewan yang saya nyatakan tadi tidak dibubarkan atau tidak dengan sendirinya terbubar maka selama itulah masih terpakai bahagian-bahagian pilihanraya yang telah disempadankan mengikut urusan persempadanan yang akhir tahun 1977 yang lepas iaitu bahagian-bahagian pilihanraya yang wujud pada masa sekarang ini. 11. Di dalam Bab 'B' Suruhanjaya Pilihanraya ada memberikan keterangan yang jelas mengenai ulangkaji dan persempadanan yang telah dijalankan termasuk prinsip-prinsip persempadanan, daftar pemilih yang digunakan, purata bilangan pemilih, pemetaan serta keterangan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan nama-nama bahagian pilihanraya. 12. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mengikut keterangan yang terkandung di dalam laporan Suruhanjaya itu daftar pemilih yang digunakan sebagai asas sebagaimana yang dikehendaki oleh seksyen (3) Bahagian I Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan ialah daftar pemilih yang disahkan pada bulan Januari 1986. Jumlah pemilih bagi Negeri Sarawak mengikut daftar pemilih yang berkenaan ialah 607,232 orang. Angka ini merupakan 47.14% lebih daripada jumlah pemilih tahun 1977 bilamana ulangkaji dan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihanraya Negeri Sarawak yang terakhir dijalankan. Jumlah pemilih pada ketika itu ialah 412,676. Tuan Yang di-Pertua, 13. Satu perkara yang diambil perhitungan juga berkaitan dengan jumlah pemilih ini ialah purata pemilih bagi Negeri Sarawak. Mengikut laporan yang dibentangkan ini purata pemilih Parlimen ialah 22,490 manakala purata pemilih negeri ialah 10,843. Di dalam laporannya, Suruhanjaya Pilihanraya ada memberikan ulasan mengenai kesukaran yang dihadapi oleh pihaknya di dalam usaha mengseimbangkan pemilih bagi tiap-tiap bahagian pilihanraya berpandukan secara ketat kepada fakta purata pemilih. Ini adalah disebabkan oleh keadaan topografi dan demografi Negeri Sarawak yang amat luar biasa menyebabkan bilangan pemilih yang diwujudkan bagi bahagian tertentu di kawasan luar bandar khususnya kawasan-kawasan pendalaman adalah lebih rendah daripada yang sepatutnya. Perkara ini memang tidak dapat dielakkan bagi Negeri Sarawak memandangkan bahawa konsentrasi penduduk adalah terhad kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja. Kesukaran yang timbul ialah di dalam segi mengseimbangkan bilangan pemilih dan keluasan kawasan pilihanraya yang patut diwujudkan. 14. Sepertimana yang kita semua sedia maklum Sarawak, dengan kawasan seluas 124,448 km persegi adalah negeri yang terbesar di Malaysia. Penduduk yang kecil, iaitu kira-kira 1.5 juta orang tidak setimpal dengan keluasan kawasan negeri itu. Satu ciri demografi yang berbeza bagi Negeri Sarawak ialah bahawa di samping konsentrasi penduduk yang besar di kawasan bandar, terdapat taburan penduduk yang tinggal secara berkelompok di merata-rata kawasan pendalaman yang sukar dihubungi. Masyarakat di kawasan-kawasan ini yang juga mempunyai hak yang sama untuk mengundi dan hak untuk memilih wakil, perlu juga diletakkan di bawah bahagian pilihanraya tertentu. Namun demikian, untuk mengimbang keadaan penduduk dengan keluasan kawasan maka Suruhanjaya telah cuba sedaya-upaya bukan sahaja untuk menentukan bahawa terdapat bilangan pemilih yang berpatutan bagi satu-satu bahagian pilihanraya tetapi juga menentukan bahawa bahagian pilihanraya itu tidak begitu luas hingga memberi kesukaran yang amat besar kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih kelak. 15. Ahli-ahli Yang Berhormat juga sedia maklum bahawa di samping keadaan topografi dan demografi yang luar biasa yang terdapat di Negeri Sarawak, satu faktor yang sukar diatasi tetapi memberi kesan dan mempengaruhi keputusan-keputusan Suruhanjaya di dalam menentukan sempadan bahagian pilihanraya khususnya bagi kawasan-kawasan luar bandar di Negeri Sarawak ialah mengenai faktor pengangkutan dan perhubungan. Sungguhpun terdapat banyak perubahan disebabkan oleh pembangunan yang pesat yang berjalan di Negeri Sarawak sejak persempadanan terakhir dijalankan dalam tahun 1977 yang lalu, namun kekurangan kemudahan pengangkutan dan perhubungan masih menjadi faktor penghalang yang besar khususnya untuk memenuhi kehendak mewujudkan pada keseluruhannya bahagian-bahagian yang ideal dari segi pentadbiran termasuk urusan perjalanan pilihanraya bagi bahagian-bahagian berkenaan. Sungai-sungai, sama ada kecil atau besar, masih menjadi saluran pengangkutan dan perhubungan yang utama kerana jalanraya-jalanraya masih berkurangan dan hanya terdapat di antara bandar-bandar besar sahaja. Dengan hal yang demikian amatlah sukar bagi Suruhanjaya Pilihanraya untuk benar-benar mempersempadankan bahagian-bahagian pilihanraya secara memenuhi sepenuhnya kehendak berbagai prinsip yang terkandung di dalam Jadual Ketiga Belas Perlembagaan atau mempersempadankan bahagian-bahagian pilihanraya yang kesemuanya dapat ditadbirkan dengan cara yang mudah dan berkesan oleh Wakil-wakil Rakyat yang akan dipilih kelak. Tuan Yang di-Pertua, 16. Di dalam Bab 'C' laporan persempadanan ini terdapat maklumat mengenai syor-syor Suruhanjaya, notis-notis yang telah dipamerkan, rayuan-rayuan dan bantahan-bantahan yang telah diterima dan pindaan kepada syor-syor Suruhanjaya dan persempadanan semula yang telah dibuat. Sebanyak 66 rayuan telah diterima apabila syor pertama dipamerkan mulai 15hb. Mac, 1986 hingga 15hb. April, 1986. Sebanyak 38 siasatan tempatan telah dijalankan di Negeri Sarawak dalam bulan Jun dan bulan September, 1986. Pindaan-pindaan dibuat selepas siasatan-siasatan tempatan dijalankan. Setelah notis dan syor-syor pindaan yang kedua dipamerkan pada 20hb. November, 1986, sebanyak 17 rayuan telah diterima dan sebanyak 5 siasatan tempatan telah dijalankan pada 20hb. dan 21hb. Januari, 1987. Dengan tindakan-tindakan itu saya yakin bahawa rakyat Negeri Sarawak telah diberikan peluang sepenuhnya untuk mengambil bahagian di dalam proses persempadanan ini sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan. Ulasan-ulasan sepenuhnya mengenai rayuan-rayuan dan siasatan-siasatan yang telah dijalankan ada terkandung di dalam Bab 'E' laporan itu. 17. Bab 'D' dalam laporan itu mengandungi perakuan-perakuan Suruhanjaya mengenai bahagian Parlimen dan Negeri bagi Negeri Sarawak. Butir-butir lanjut mengenai segala perakuan Suruhanjaya ini adalah terkandung di dalam Jadual I dan Jadual II kepada laporan itu dan peta yang menunjukkan semua bahagian pilihanraya Parlimen dan Negeri adalah sepertimana yang diberikan di dalam Jilid II iaitu Bab 'F'. Peta yang disediakan adalah berasaskan kepada peta asas yang paling kemaskini yang mengandungi rangkaian jalanraya, sungai-sungai dan sebagainya yang didapati sehingga penghujung tahun 1985. Tuan Yang di-Pertua, 18. Saya percaya bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian adalah sependapat dengan saya bahawa ulangkaji bahagian-bahagian pilihanraya bagi Negeri Sarawak perlu dibuat bukan semata-mata sebagai menepati kehendak Perlembagaan bahawa bahagian-bahagian pilihanraya di negeri tersebut harus diulangkaji pada lat tempoh tidak kurang daripada 8 tahun sekali bahkan ianya harus dijalankan memandangkan kepada perkembangan-perkembangan yang pesat yang berlaku di Negeri Sarawak terutama di dalam bidang ekonomi dan sosial dalam tempoh kira-kira 10 tahun yang lalu. Di samping itu, dengan adanya penambahan bilangan penduduk dan bilangan pengundi yang pesat di negeri tersebut maka pertambahan kawasan pilihanraya Parlimen dan Negeri juga akan membukan peluang kepada rakyat Sarawak untuk mendapat perwakilan yang lebih seimbang dan berkesan. Saya percaya Ahli-ahli Yang Berhormat akan menyambut baik ulangkaji dan persempadanan semula yang telah dijalankan itu dan memberi sokongan terhadap syor-syor yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Tuan Yang di-Pertua, 19. Draf Perintah persempadanan bahagian pilihanraya Negeri Sarawak 1987 adalah dibentangkan bersama ini sebagai Kertas Statut No. 77 Tahun 1987 dan sebelum saya mencadangkan supaya draf Perintah itu diluluskan oleh Dewan yang mulia ini, sukalah saya mengambil kesempatan untuk melahirkan rasa penghargaan kepada Pengerusi, Ahli-ahli, Pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan Suruhanjaya Pilihanraya yang telah bekerja dengan penuh dedikasi bagi menjalankan urusan ulangkaji bahagian-bahagian pilihanraya dan seterusnya menyediakan laporan untuk dibentangkan di dalam Dewan ini dalam masa yang lebih pendek daripada yang dijangkakan. Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan. |