Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 24/03/87
Tajuk/Title : PERASMIAN SEMINAR PERINGKAT
KEBANGSAAN ANJURAN GEMAPUTRA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Yang Berhormat Datin Paduka Rafidah Aziz,
Menteri Perusahaan Awam;
Yang Berbahagia Dato' Mohd Ali Haji Hashim,
Pengerusi Gemaputra;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Gabungan
Agensi-Agensi Amanah Bumiputera dan Perusahaan-Perusahaan
Awam, atau Gemaputra, yang telah menjemput saya untuk
merasmikan Seminar Peringkat Kebangsaan ini. Saya berharap
Seminar ini akan memberi perspektif yang lebih luas lagi
kepada agensi-agensi amanah dan perusahan-perusahaan awam
dalam menghadapi cabaran-cabaran korporat pada masa depan
terutama pada tahun-tahun 1990an.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Adalah menjadi dasar Kerajaan pada masa ini untuk
memberi peranan yang lebih besar kepada sektor swasta dalam
membangunkan negara. Ini dapat dilakukan kerana kita telah
dapat mewujudkan penyertaan bumiputera yang lebih aktif lagi
dalam dunia perniagaan
dan perindustrian, termasuklah melalui usaha-usaha
agensi-agensi amanah dan perusahaan-perusahaan awam. Dengan
itu apabila Kerajaan memberi peranan yang lebih penting
kepada sektor swasta untuk membangunkan negara ini,
bumiputera tidak seharusnya ketinggalan seperti zaman
sebelum merdeka dahulu.
3. Walau bagaimanapun proses meningkatkan peranan swasta
dalam membangunkan negara mestilah dilakukan secara
berperingkat-peringkat dan dalam hal ini, Kerajaan akan
mempastikan bumiputera mempunyai peluang yang secukupnya
untuk menyertai aktiviti-aktiviti dan usaha-usaha perniagaan
dan perusahaan swasta ini.
4. Justeru itu Kerajaan telah juga membuat pendirian
berkenaan dengan peranan agensi amanah dan
perusahaan-perusahaan awam pada tahun-tahun yang akan
datang, dan pendirian itu adalah selaras dengan dasar
meningkatkan peranan sektor swasta dalam pembangunan negara.
Kerajaan akan mementingkan daya usaha individu bagi
mewujudkan satu masyarakat perniagaan dan perusahaan di
kalangan bumiputera. Ini bermakna Kerajaan tidak akan
menggalakkan pemberian bantuan terus kepada mereka.
Agensi-agensi amanah dan perusahaan-perusahaan awam Kerajaan
yang menjadi saluran utama bagi mewujudkan masyarakat
seperti itu hendaklah menyesuaikan diri supaya dapat
menyediakan projek yang lebih mementingkan daya usaha
individu daripada memberi bantuan terus kepada mereka.
5. Salah satu langkah bagi mewujudkan daya usaha individu
yang saya maksudkan tadi ialah menswastakan
perbadanan-perbadanan dan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu
yang mempunyai potensi untuk disertai atau diambilalih oleh
para pengusaha bumiputera.
6. Saya berharap Kementerian Perusahaan Awam, serta
agensi-agensi amanah dan perusahaan-perusahaan awam yang
menganggotai Gemaputra akan memberi perhatian yang serius
terhadap penekanan Kerajaan ini. Ini tidak bermakna kita
mesti tergesa-gesa melaksanakan penswastaan tanpa
mengambilkira kesediaan bumiputera untuk mengambilalih
perusahaan dan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu.
Sebaliknya kita harus menilai bukan sahaja kesanggupan
individu bumiputera tetapi juga kemungkinan mereka berjaya
dalam bidang yang berkenaan.
7. Kerajaan menyedari bahawa agensi-agensi amanah dan
perusahaan awam telah memberi sumbangan dalam mewujudkan
satu masyarakat perniagaan dan perusahaan di kalangan
bumiputera. Namun demikian kita harus ingat bahawa biasanya
agensi dan perusahaan awam mendapat perlindungan istimewa
dari Kerajaan. Justeru itu pengalaman bumiputera dalam
badan-badan awam sahaja tidak mencukupi untuk mereka
bersaing apabila mereka mengambilalih badan awam yang
diswastakan. Untuk menentukan kemampuan pengurusan
bumiputera setelah diswastakan, badan-badan awam hendaklah
mengurangkan pergantungan mereka kepada Kerajaan untuk
perlindungan, kontrak dan sebagainya.
8. Kerajaan yakin bahawa bumiputera di dalam sektor swasta
akan dapat mewujudkan daya usaha yang lebih dinamik lagi
bagi memajukan satu-satu perusahaan atau perkhidmatan.
Unsur yang penting di sini ialah penanggungan risiko
daripada penanaman modal sendiri yang diperlukan. Sudah
menjadi kelaziman bahawa seseorang individu itu akan lebih
berusaha, lebih teliti dan lebih kreatif apabila menanggung
tanggungjawab yang berat sendiri. Ini dapat dibuktikan
apabila seseorang eksekutif daripada perusahaan-perusahaan
awam atau perkhidmatan awam berpindah ke sektor swasta.
Mereka yang berpindah ke sektor swasta ini biasanya tidak
bekerja hanya antara jam lapan pagi hingga empat petang
sahaja. Sebaliknya tenaga dan masa sepenuhnya digunakan
untuk menjayakan perniagaannya.
9. Berbalik semula kepada peranan agensi-agensi amanah dan
perusahaan-perusahaan awam ini, kita berbangga kerana
melalui agensi-agensi dan institusi-institusi ini, kita
telah dapat meningkatkan hakmilik dan penguasaan bumiputera
dalam sektor korporat. Peningkatan hakmilik ini mungkin
tidaklah seperti yang kita harapkan, tetapi ianya adalah
lebih baik dari keadaan tanpa badan-badan awam dahulu. Saya
berharap kejayaan ini akan menggalakkan kita untuk terus
berusaha bagi meningkatkan lagi hakmilik dan penguasaan
bumiputera dalam sektor korporat. Hakmilik dan penguasaan
bumiputera adalah jelas terdapat dalam sektor kewangan dan
bank, sektor perladangan dan sektor perlombongan. Tetapi
pada masa yang sama kaum-kaum bukan bumiputera juga bergerak
dan penyertaan mereka telah meningkat kepada kira-kira 56.7%
pada awal Rancangan Malaysia Kelima. Hanya perniagaan orang
bukan warganegara sahaja yang berkurangan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Mengenai Seminar Peringkat Kebangsaan ini, saya
tertarik hati dengan tajuknya iaitu 'Peranan Agensi-Agensi
Amanah Bumiputera dalam Kontek Menjayakan Matlamat DEB
Selepas 1990'. Perubahan zaman dan desakan ekonomi
antarabangsa akan memerlukan peniaga dan pengusaha
bumiputera, sama ada sebagai usahawan individu, sebagai
syarikat, mahupun agensi yang ditubuhkan untuk membantu
bumiputera, tidak lagi bersikap mengharapkan bantuan
Kerajaan.
11. Sekiranya terdapat sebilangan pengusaha bumiputera yang
tidak sanggup berdikari, maka agak sukarlah bagi pihak
Kerajaan membantu mereka ini. Namun demikian Kerajaan sedar
bahawa kita sedang menghadapi masalah ekonomi yang meleset
yang begitu menekan peniaga dan pengusaha bumiputera. Pada
masa ini Kerajaan akan memberi pertolongan yang mampu
diberi. Adalah diharapkan apabila keadaan pulih semula, dan
tanda-tanda pemulihan ekonomi sudah pun ada, bantuan dan
pertolongan Kerajaan tidak akan diperlukan lagi, peniaga dan
pengusaha bumiputera akan mampu berdikari dan bersaing
dengan semua pihak.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Pada satu ketika kita sering mendengar desakan supaya
peniaga dan pengusaha bumiputera bercita-cita besar atau
"think big". Tetapi ini tidak bermakna kita tidak perlu
bermula secara kecil-kecilan sebelum kita membesar.
Pengalaman semasa berniaga secara kecil-kecilan akan
menolong kita mengelak dari melakukan kesalahan-kesalahan
yang akan merugikan kita. Di masa perniagaan masih kecil,
kerugian, jika berlaku, tidak banyak dan kita masih boleh
mengatasinya. Tetapi, jika pengalaman pedih berlaku dalam
perniagaan besar, kita mungkin tidak mampu untuk
mengatasinya. Perniagaan yang kecil biasanya berkembang dan
membesar. Jika dipupuk ia boleh jadi perniagaan gergasi.
Oleh itu bersabar dan belajarlah. Dengan itu, masa dan
pengalaman semasa mengendalikan perniagaan kecil sebenarnya
tidaklah sia-sia jika kita menjadi pintar dan cekap dalam
peniagaan.
13. Bagi agensi-agensi amanah dan perusahaan-perusahaan
awam, sekiranya mereka gagal menguruskan harta dengan cekap
dan baik, dan lebih penting lagi, gagal meningkatkan nilai
harta yang ada pada mereka untuk faedah masyarakat dan
bangsa, maka Kerajaan akan memutuskan sama ada sesuatu
agensi atau perusahaan itu patut terus hidup atau patut
ditutup sahaja, ataupun diserahkan kepada pihak swasta.
Pengurus-pengurus badan-badan awam ini harus ingat bahawa
semasa mereka mengurus badan-badan ini mereka mendapat
pengalaman yang tidak terhingga nilainya tanpa risiko yang
dipikul oleh peniaga-peniaga persendirian.
14. Di samping itu jangan pula agensi-agensi amanah dan
perusahaan awam mencari bidang persaingan yang boleh
merosakkan peluang _ sistem ekonomi yang berpadu. Kita
tidak mahu melihat desa-desa dan kampung tradisional terus
terbiar, tanah ladang tidak diusahakan, nilai harta terus
lembab dan beku. Sebaliknya, desa dan perkampungan perlu
dijadikan pusat pertumbuhan ekonomi. Di sini saya berharap
perusahaan-perusahaan awam akan dapat, bersama-sama dengan
agensi-agensi lain, memajukan lagi sektor luar bandar.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
penganjur Gemaputra yang telah menjemput saya ke Seminar
ini. Adalah diharapkan Seminar ini akan dapat memberi
pandangan baru kepada para eksekutif agensi-agensi amanah
dan perusahaan-perusahaan awam mengenai perancangan dan
strategi yang lebih bermakna pada masa depan. Dengan
harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar
Peringkat Kebangsaan anjuran Gemaputra ini.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|