Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 03/04/87
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM GAPENA - ESSO
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, serta salam
bahagia.
Yang Berusaha Prof. Ismail Hussein,
Ketua Satu GAPENA;
Yang Berusaha Encik Gerald Cox,
Pengerusi Esso Malaysia;
Ahli-ahli Jawatankuasa GAPENA;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa
Penganjur Majlis malam ini kerana sudi menjemput saya ke
Majlis ini. Saya merasa gembira kerana dapat hadir
bersama-sama dengan para penulis dan sasterawan tanahair
yang telah banyak memberi sumbangan kepada perkembangan
sastera dan budaya negara. Saya juga difahamkan bahawa
GAPENA akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilannya
esok. Kepada saudara-saudari sekalian, saya mengucapkan
selamat bersidang dan berharap semoga mesyuarat
saudara-saudari akan membenihkan idea-idea yang boleh
memperkayakan lagi bahasa, kesusasteraan dan budaya negara
kita.
2. Saya berbangga kerana dapat bersama-sama di majlis
penyampaian hadiah sastera Esso-GAPENA malam ini.
Tahniah saya ucapkan kepada kedua-dua pihak penganjur,
iaitu GAPENA dan Esso, yang diharapkan dapat meneruskan
usaha yang sangat bermakna ini.
Saudara-saudari sekalian,
3. Selaras dengan usaha-usaha memperbanyakkan karya
sastera dengan kerjasama rapat firma-firma swasta, saya
yakin banyak lagi firma-firma swasta yang dapat memberi
sumbangan ke arah memperkayakan bahan-bahan bacaan dan
buku-buku dalam Bahasa Malaysia. Pada hari ini kita telah
mendapati beberapa firma swasta yang bergabung dengan
badan-badan bahasa atau badan-badan penulis seperti GAPENA
untuk menganjurkan pertandingan sastera seperti novel,
cerita pendek dan puisi. Saya mengucapkan tahniah kepada
firma-firma dan pertubuhan-pertubuhan ini yang telah
berusaha mewujudkan karya-karya sastera yang bermutu.
4. Walau bagaimanapun, kita masih kekurangan bahan bacaan
atau buku-buku Bahasa Malaysia dalam berbagai bidang ilmu
pengetahuan seperti sains dan teknologi, perubatan, ekonomi,
kaji bumi dan sebagainya. Walaupun bahan-bahan bacaan dalam
bahasa Malaysia dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan
semakin hari semakin bertambah, tetapi masih banyak lagi
yang boleh kita usahakan supaya kita dapat menimba kesemua
sumber pengetahuan dan pelajaran dalam bidang-bidang itu
melalui Bahasa Malaysia.
5. Rangka kerjasama firma-firma dan pertubuhan-pertubuhan
yang berkenaan mungkin dapat diperluaskan kepada bidang
buku-buku ilmu pengetahuan. Di sini firma-firma yang
terlibat dalam pengeluaran dan pemasaran sesuatu barangan
mungkin dapat menaja penulisan dan penterjemahan buku-buku
ilmu pengetahuan dalam Bahasa Malaysia yang sedikit sebanyak
ada berkaitan dengan barangan keluaran mereka. Misalnya,
firma yang mengeluarkan barangan makanan mungkin dapat
menaja penulisan yang mendalam yang berkaitan dengan bidang
pemakanan atau nutrition. Kajian dan penulisan yang
dimaksdukan ialah mengenai perkara-perkara yang terbaru bagi
sesuatu bidang itu.
6. Seperti yang kita maklum pasaran untuk buku-buku ilmu
pengetahuan, pada amnya, adalah terhad dan sekiranya tiada
galakan atau penajaan, perkembangan buku-buku ilmu
pengetahuan ini mungkin tidak memuaskan dan tidak mendapat
sambutan. Penajaan kewangan dari firma-firma akan dapat
membantu para penulis untuk menghasilkan karya-karya mereka.
Dalam hal ini, adalah diharapkan bahawa firma-firma besar di
negara ini akan menimbangkan kemungkinan bekerjasama dalam
usaha-usaha memperbanyakkan bahan-bahan dan buku-buku
berbagai bidang ilmu pengetahuan ini. Usaha-usaha begini
sudah tentu akan mendaulatkan lagi Bahasa Malaysia sebagai
bahasa kebangsaan, perpaduan dan ilmiah di negara kita dan
juga di rantau Asia Tenggara ini.
7. Pada hemat saya usaha-usaha yang sebegini akan
membolehkan sektor swasta memainkan peranan yang lebih besar
lagi dalam bidang-bidang kebudayaan, termasuklah bidang
bahasa ini. Ini akan merupakan sebahagian daripada
sumbangan pihak swasta kepada perkembangan dan kemajuan
masyarakat sekelilingnya. Justeru itu kegiatan sedemikian
akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam
mempertingkatkan perkembangan ilmiah.
Saudara-saudari sekalian,
8. Sepertimana kita sedia maklum, semakin hari semakin
terbukti bahawa Bahasa Malaysia berjaya menjadi bahasa ilmu
dan bahasa perpaduan di negara kita. Walaupun terdapat
pertimbangan-pertimbangan yang sewajarnya bagi bahasa-bahasa
lain di negara kita, Kerajaan berbangga dengan terdapatnya
kesedaran di kalangan rakyat negara ini tentang pentingnya
mendaulatkan satu bahasa kebangsaan. Walaupun Bahasa
Kebangsaan telah mampu menjadi bahasa ilmiah, namun demikian
kita masih lagi mendengar suara-suara daripada pihak-pihak
tertentu yang masih lagi menyoal tentang kemampuan Bahasa
Kebangsaan. Mereka ini merupakan kumpulan kecil yang tidak
mahu menerima realiti. Saya ingin menegaskan di sini bahawa
Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Malaysia akan tetap
didaulatkan.
Saudara-saudari sekalian,
9. Saya juga ingin memberikan sedikit pendapat saya
mengenai sastera keseluruhannya. Pada pendapat saya, para
sasterawan haruslah juga berusaha dengan lebih lagi bagi
menyemaikan nilai-nilai yang murni, dinamis dan positif oleh
kerana nilai-nilai ini keseluruhannya akan membentuk watak
yang kita cita-citakan. Dengan membenihi dan membajai
nilai-nilai murni, dinamis dan positif ini, maka watak yang
positiflah yang akan lahir. Salah satu kumpulan yang
berpengaruh dalam hal ini ialah saudara-saudari sekalian.
Saya percaya para sasterawan tidak akan menghampakan harapan
kita bersama.
10. Walaupun terdapat perkembangan yang menggalakkan dalam
usaha-usaha ini, masih banyak lagi kelemahan yang harus kita
atasi. Para sasterawan boleh membantu mewujudkan satu
masyarakat yang mampu menghadapi persaingan ekonomi dan
sosial serta persaingan politik, terutama di peringkat
antarabangsa. Kita perlukan sebuah masyarakat yang
mempunyai kesanggupan menghadapi hidup yang kian mencabar.
Selain daripada itu, saya yakin kita semua inginkan kepada
masyarakat yang sanggup mengenali dan mengatasi
kelemahan-kelemahan diri sendiri. Dengan wujudnya
masyarakat yang sedemikian, saya percaya berbagai cabaran
yang dihadapi dapat diatasi, insya-Allah.
11. Malaysia memerlukan rakyat yang mempunyai kesedaran
nasional dan semangat patriotisme yang tinggi. Kita
memerlukan warganegara yang cintakan negara dan yang tidak
akan melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan perpaduan dan
keharmonian negara. Kita memerlukan warganegara yang
berdisiplin, berdedikasi dan beramanah tinggi. Lebih-lebih
lagi, kita memerlukan warganegara yang sentiasa bangga
bahawa dia adalah rakyat Malaysia.
12. Saya sedar bahawa hasrat ini bukan mudah dicapai dan
akan memakan masa yang panjang. Namun demikian, kita mesti
berusaha dengan bersungguh-sungguh oleh kerana hasrat ini
adalah mulia dan murni. Saya yakin para sasterawan juga
mempunyai cita-cita yang tinggi. Dari itu marilah kita
bersama -- para sasterawan, para penulis, ahli-ahli politik,
pemimpin masyarakat dan semua golongan -- berusaha ke arah
membina sebuah masyarakat Malaysia yang berdisiplin, dinamis
dan yang dihormati. Insya-Allah kita akan berjaya akhirnya
walaupun melampaui umur sebahagian daripada kita.
Saudara-saudari,
13. Pada 31hb. Ogos ini kita akan menyambut Ulangtahun
ke-30 kemerdekaan negara. Saya berbangga oleh kerana GAPENA
menggunakan kesempatan di upacara ini untuk memulakan
perayaan ulangtahun ke-30 kemerdekaan negara kita. Jika
kita merenung kembali, dalam jangkamasa 30 tahun ini,
Malaysia telah mencapai kemajuan yang pesat dalam berbagai
bidang. Kemajuan yang dicapai setakat ini adalah hasil
daripada usaha gigih kita sendiri memupuk perpaduan,
mengekalkan kestabilan politik serta memajukan ekonomi
negara. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita semua
untuk menentukan kemerdekaan kita ini terus kekal dan
bermakna.
14. Sumbangan para penulis dan sasterawan kepada perjuangan
mencapai kemerdekaan tercatit dengan tinta emas. Masyarakat
keseluruhannya merakamkan setinggi penghargaan terhadap
perjuangan dan pengorbanan mereka di dalam membela nasib
bangsa dan negara. Saya merasa gembira kerana pada Majlis
malam ini, terdapat sebilangan daripada para pejuang
kemerdekaan yang masih terus memberikan sumbangan mereka
terhadap pembangunan tanahair. Dalam hal ini, saya percaya
bahawa saudara-saudari para pejuang kemerdekaan akan terus
menyumbangkan khidmat bakti demi meningkatkan lagi maruah
bangsa dan negara.
Saudara-saudari sekalian,
15. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
penganjur kerana menjemput saya ke majlis permai ini. Saya
mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang hadiah sastera
Esso-GAPENA dan juga kepada semua para penulis dan
sasterawan yang telah mengambil bahagian menjayakan Majlis
ini. Dengan adanya semangat ingin meningkatkan lagi mutu
karya dan sastera ini, saya yakin ia akan mendorong kepada
peningkatan pencapaian kita dalam bidang sastera dan
kebudayaan.
16. Saya juga berterima kasih kerana diberi penghormatan
untuk melancarkan buku 'Pertemuan Dunia Melayu '82',
terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka yang merupakan kumpulan
kertas kerja 'Pertemuan Dunia Melayu' yang diadakan di
Melaka pada tahun 1982. Dengan ini saya dengan bangganya
melancarkan buku 'Pertemuan Dunia Melayu '82' ini.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh, serta salam bahagia.
|