Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ANGKASAPURI, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 04/04/87
Tajuk/Title : PELANCARAN HARI KESEDARAN SIVIK
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat
sejahtera.
Yang Berhormat Tengku Ahmad Rithauddeen,
Menteri Penerangan;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala,
kerana dengan limpah dan izinNya dapat kita hadir
bersama-sama di Majlis Pelancaran rasmi Hari Kesedaran Sivik
pada pagi ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada
saudara-saudari sekalian di atas sambutan dan sokongan yang
telah diberikan bagi menjayakan Majlis kita ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2. Tema yang dipilih bagi Hari Kesedaran Sivik ini
'Kesedaran Sivik Bermula Di Rumah', adalah amat sesuai dan
tepat sekali. Kita sedia maklum bahawa kesedaran sivik
seharusnyalah bermula di rumah, kerana kesedaran sivik
seharusnya ditanam kepada setiap anggota masyarakat semenjak
dari kecil
lagi, dengan sifat-sifat positif dan nilai-nilai murni
terhadap keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
3. Sivik adalah satu perkataan asing yang dipinjam oleh
kita tetapi konsep kesedaran sivik adalah konsep lama yang
baru diberi nilai yang tinggi. Kesedaran sivik bermakna
perasaan bertanggungjawab bukan sahaja terhadap harta
sendiri, tetapi juga terhadap harta orang ramai. Konsep ini
menjadi penting kerana dalam masyarakat moden harta orang
ramai meningkat dan perlu dihargai oleh rakyat demi
kepentingan rakyat sendiri.
4. Sebenarnya dalam memelihara harta orang ramai, kita
memelihara kepentingan kita sendiri. Walaupun harta itu
tidak berguna kepada kita secara langsung, tetapi
kerosakannya akan menambah beban kita. Ini adalah kerana
Kerajaan atau pihak kuasa tempatan terpaksa memperbaiki atau
menggantikan harta itu dengan menggunakan wang rakyat yang
secara langsung atau tidak langsung dikutip daripada kita.
5. Walaupun tidak semua daripada kita yang membayar cukai,
tetapi perbelanjaan yang diperuntukkan oleh Kerajaan
bermakna pengurangan perbelanjaan bagi lain-lain kemudahan
untuk kita semua.
6. Mungkin kita berpendapat bahawa wang ini sedikit
sahaja. Tetapi, jika dijumlahkan kerosakan seluruh negara
kerana kurangnya perasaan sivik, nilai harta yang rosak ini
boleh meningkat kepada puluhan juta ringgit setahun.
7. Selain daripada itu, kerosakan itu mengganggu
masyarakat. Jika sebuah lif dirosakkan, bukan sahaja
belanja memperbaikinya perlu dibuat, tetapi juga
pengguna-pengguna lif terpaksa turun-naik menggunakan
tangga. Bagi mereka yang tua dan yang sakit, banyak masalah
akan timbul. Di samping itu, keselesaan dan keindahan juga
akan terjejas dan semua penduduk negara ini akan menerima
imej yang tidak baik.
8. Sebaliknya, jika kita mempunyai kesedaran sivik dan
cermat dengan harta awam, kita akan membawa manfaat kepada
masyarakat, termasuk diri kita sendiri, bangsa dan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Masyarakat yang mempunyai kesedaran sivik akan hidup
mulia dan bahagia. Segala urusan kehidupan kita akan
menjadi licin dan mudah. Segala kerja akan berjalan dengan
baik dan cepat. Dan kita tidak perlu membazirkan masa atau
wang.
10. Dalam ruang-ruang akhbar, kita sering membaca tentang
sungutan-sungutan orang ramai kerana tidak mendapat layanan
yang baik di pejabat Kerajaan atau di kedai atau di mana
sahaja khidmat diberi. Sementara ada di antara
sungutan-sungutan ini yang berasas, kita harus ingat bahawa
mereka yang cuai ini adalah manusia biasa yang tidak berbeza
dengan mereka yang membuat sungutan. Sebenarnya yang
membuat sungutan itu juga mungkin bersikap tidak
bertanggungjawab jika dia yang memberi khidmat.
11. Perkara ini menjadi nyata kepada segolongan kita yang
memandu kereta. Walaupun seseorang itu tertib dan
berbudi-bahasa, tetapi apabila ia memandu kereta, ia
kehilangan kesabaran dan amat marah jika kereta di
hadapannya terlambat sedikit. Sebabnya ialah kita tidak
memupuk kesedaran sivik.
12. Di negara di mana kesedaran sivik kuat, seseorang
pemandu kereta bukan sahaja bersabar tetapi sanggup memberi
jalan kepada kereta lain. Ini adalah kerana pada kali yang
lain pula, ia akan diberi jalan. Dengan itu, memandu kereta
tidak menjadi beban, perjalanan menjadi lebih selesa dan
kemalangan kurang berlaku. Hasilnya ialah mereka sendiri
terpelihara.
13. Jika kita sedar bahawa soal kesedaran sivik ini
bukanlah soal orang lain membetulkan diri mereka tetapi
soalnya ialah kita semua sanggup mengakui kesalahan kita dan
membetulkan diri kita, maka usaha ke arah meningkatkan
kesedaran sivik akan lebih berjaya.
14. Kesedaran sivik merupakan satu usaha menukar nilai
hidup kita atau usaha membentuk sifat yang lebih baik bagi
kita. Langkah pertama ialah pengakuan oleh setiap orang
daripada kita bahawa kita bersalah dan perlu kita betulkan
diri kita. Jika kita suka menunjukkan jari kepada orang
lain dan mendesak mereka membetulkan diri mereka, maka usaha
ini akan gagal. Sebabnya ialah mereka yang kita tunjuk itu
menunjuk pula kepada orang lain atau kepada diri kita
sendiri sebagai pihak yang salah yang mesti membetulkan
dirinya dahulu. Disebabkan semua pihak menunjuk kepada
orang lain dan tidak seorang pun yang mengaku dirinya salah,
maka tiada siapa pun yang akan membetulkan dirinya. Maka
sudah tentulah usaha untuk membentuk kesedaran sivik ini
akan gagal.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
15. Pendapat umum ialah usaha membentuk kesedaran sivik ini
perlu dimulakan di masa kecil. Kita sedar bahawa jika
sesuatu tabiat yang baik telah dipupuk semasa kecil, ia
bukan sahaja lebih mudah diamalkan tetapi adalah juga lebih
kekal. Bagi tujuan ini, kita perlukan penglibatan ibu bapa
dan guru-guru secara besar-besaran.
16. Kesedaran sivik tidak boleh diajar dalam bilik darjah
sahaja. Ia mesti diajar sepanjang masa. Ini bermakna ibu
bapa dan guru-guru terpaksa mengawasi gerak-geri kanak-kanak
di bawah jagaan mereka sepanjang masa. Terdapat banyak
harta dan kemudahan awam di sekolah-sekolah yang mesti
dijaga dengan baik dan guru-guru mestilah menentukan
kemudahan-kemudahan tersebut terpelihara. Sekolah-sekolah
yang tidak mengalami kerosakan mencerminkan setakat mana
kesedaran sivik telah dipupuk di sekolah-sekolah berkenaan.
17. Sungguhpun kesedaran sivik boleh menjamin keselesaan
hidup kita, fakta-fakta lain perlu juga diambilkira. Pada
kebiasaannya, sama ada orang ramai menyambut desakan untuk
menjaga harta awam atau tidak bergantung kepada pemeliharaan
yang telah dibuat oleh mereka yang ditugaskan untuk
memelihara harta awam itu. Jika sesuatu harta awam itu
berada dalam keadaan yang terbiar kerana tidak dijaga dengan
baik, maka orang ramai tidak akan menjaganya, walaupun
mereka mempunyai kesedaran sivik.
18. Ini dapat dilihat daripada tabiat dan sikap kita
mengenai keadaan yang bersih. Kita telah mengadakan
undang-undang supaya orang ramai tidak membuang sampah di
sana-sini. Undang-undang ini gagal pada mulanya. Tetapi,
apabila bandar Kuala Lumpur dibersihkan dan di tanam dengan
pokok-pokok bunga yang dijaga rapi, didapati orang ramai
tidak lagi membuang sampah di sana-sini. Ini menunjukkan
bahawa jika kita ingin kesedaran sivik berkesan, persiapan
yang teliti dan baik mesti disediakan terlebih dahulu.
Mereka yang ditugaskan untuk membuat persiapan ini hendaklah
menjalankan kerja mereka dengan sebaik-baiknya.
19. Manusia adalah makhluk yang berakal. Manusia dapat
membendung nafsunya jika ia dapat memahami akan sebab
sesuatu itu. Jika kita hendak memupuk kesedaran sivik, maka
kita harus menerang dan menjelaskan sebabnya kesedaran sivik
ini baik bagi diri kita. Oleh itu adalah penting bagi kita
memperkenalkan makna dan maksud kesedaran sivik dan
sebab-sebabnya mengapa kesedaran ini penting bagi mewujudkan
masyarakat yang berdisiplin dan bahagia. Hari Kesedaran
Sivik ini bolehlah dianggap sebagai salah satu daripada
langkah bagi meningkatkan kesedaran ini. Langkah-langkah
yang lain hendaklah menyusulinya supaya sedikit demi sedikit
kesedaran sivik menjadi sebahagian daripada peribadi rakyat
Malaysia.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
20. Akhir kata saya berharap semua pihak akan memberi
perhatian dan sokongan dan bersama-sama berusaha menyumbang
serta mempraktikkan kesedaran sivik di kalangan masyarakat
demi keutuhan dan kesejahteraan bangsa dan negara. Dengan
ini, saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Hari
Kesedaran Sivik peringkat kebangsaan ini.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|