Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT ISLAM
Tarikh/Date : 13/04/87
Tajuk/Title : MAJLIS PEMBUKAAN MUSABAQAH MEMBACA
AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berbahagia Dato' Seri Haji Kamaruddin
bin Md. Isa,
Pengerusi Jawatankuasa Pusat Musabaqah;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu
Wataala kerana dengan izinNya dapat kita sekali lagi berada
di majlis yang mulia ini iaitu Majlis Perasmian Musabaqah
Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1407
Hijrah, bersamaan 1987 Masihi.
Para hadirin yang mulia,
2. Musabaqah yang kita adakan pada tahun ini, seperti juga
pada tahun-tahun yang lalu bertujuan untuk meninggikan lagi
syiar Islam. Marilah kita berdoa semoga usaha kita ini
diredhai oleh Allah Subhanahu Wataala. Kita juga berharap
Musabaqah ini akan meningkatkan lagi kesedaran kita mengenai
ketinggian dan kesucian ajaran Islam yang disampaikan oleh
Allah melalui kitab suciNya Al-Quran.
3. Melalui kitab suci ini, Allah Subhanahu Wataala
mengajar kita umat manusia, khususnya umat Islam bagaimana
caranya untuk kita beribadat dalam erti yang khusus,
termasuklah sembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Ia juga
mengandungi pengajaran bagaimana kita seharusnya melakukan
ibadat dalam erti yang umum yang meliputi peraturan hidup di
dunia dalam urusan keluarga, ekonomi, politik dan negara.
4. Sesungguhnya Al-Quran dan Sunnah Rasullullah S.A.W.
menjadi satu suluhan kepada kita umat Islam untuk mengikuti
jalan-jalan yang lurus, jalan-jalan yang diredhai oleh Allah
Subhanahu Wataala bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan
juga di akhirat. Ajaran Al-Quran yang banyak itu
sewajarnyalah kita mempraktikkannya dalam kehidupan kita
sehari-hari.
Para hadirin yang mulia,
5. Tema Musabaqah pada tahun ini ialah "Umat Tegas, Islam
Teguh". Tema ini dipilih atas kesedaran Kerajaan akan
betapa pentingnya pembentukan peribadi umat yang sesuai
dengan fitrah kejadian manusia dan kehendak Islam.
Nilai-nilai negatif dalam perlakuan manusia hari ini,
termasuklah di kalangan orang-orang Islam di negara kita
juga, perlu diberi perhatian yang serius supaya dapat segera
dibendung, supaya kekuatan negara, kemuliaan umat Islam dan
ketinggian agama terus terjamin.
6. Kerajaan menyedari bahawa pembentukan peribadi umat
adalah salah satu tanggungjawabnya. Maka kerana itulah
Kerajaan dengan penuh kesedaran dan berani telah mengambil
langkah-langkah yang wajar dengan melaksanakan Dasar
Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran. Matlamat
yang hendak dicapai melalui dasar ini dan beberapa dasar
yang lain seumpamanya adalah untuk melahirkan insan yang
berakhlak mulia, yang bersifat tegas dalam tindaklakunya.
Menyentuh mengenai sifat tegas ini, Allah berfirman di dalam
surah Hud ayat 112 yang bermaksud, "Hendaklah engkau (Wahai
Muhammad) sentiasa tetap teguh atas jalan yang betul
sebagaimana yang diperintahkan kepadamu". Melalui ayat
Al-Quran ini Allah memberikan suatu arahan supaya kita umat
Islam mempunyai sikap yang tegas dalam tindaklaku kita.
Ketegasan adalah penting dalam segala urusan kerana tanpa
ketegasan matlamat kerja atau usaha tidak akan dapat
tercapai dengan sebaik-baiknya.
7. Sejarah hidup Rasulullah S.A.W. dan juga sejarah hidup
para Khulafa' Ar-Rasidin dan juga pejuang-pejuang serta para
ulamak Islam telah memperlihatkan sifat-sifat tegas mereka
dalam perjuangan untuk meninggikan syiar Islam. Natijah
dari sikap tegas itu muncullah sebuah masyarakat Islam yang
teguh dan kuat. Sebagai contoh, Rasulullah S.A.W. telah
terus berusaha mengembangkan syiar Islam walaupun Baginda
dipujuk rayu, diugut dan cuba disogok dengan bermacam-macam
kemewahan oleh kaum Quraish yang mahukan Baginda berhenti
daripada menyampaikan risalah Islam itu.
8. Selain daripada ketegasan yang ditunjukkan oleh
Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi pujuk rayu kaum
Musyrikin, Baginda juga telah memperlihatkan ketegasannya
dalam menegakkan keadilan pemerintahannya, tanpa pilih kasih
atau tunduk kepada mana-mana tekanan. Baginda menjelaskan
bahawa di antara sebab keruntuhan umat yang terdahulu ialah
kerana mereka pilih kasih dalam menjalankan hukum. Hukum
dijalankan ke atas orang-orang yang lemah dan rakyat biasa
sahaja, dan sebaliknya diketepikan hukum itu sekiranya
dilakukan oleh keluarga bangsawan, kenamaan atau dari
kalangan pembesar.
9. Contoh daripada ketegasan Rasulullah S.A.W. kemudiannya
telah menjadi panduan, yang berjaya membentuk peribadi para
sahabatnya dalam menjalankan tanggungjawab mereka, baik
sebagai Khalifah mahupun sebagai pemimpin-pemimpin. Saidina
Abu Bakar Al-Sidiq telah memperlihatkan satu contoh tegas
beliau yang sukar ditandingi, iaitu pada masa permulaan
beliau memegang jawatan Khalifah, di mana beliau terpaksa
berhadapan dengan golongan orang-orang Islam yang tidak mahu
membayar zakat dan juga golongan yang menyeleweng seperti
yang dipimpin oleh Musailamah Al-Khazzab. Dalam menghadapi
ancaman gerakan ini Saidina Abu Bakar Al-Siddiq telah
mengambil keputusan untuk memerangi mereka dan atas
ketegasan itu beliau dan tentera-tentera Islam telah berjaya
menghapuskan golongan penderhaka dan penyeleweng tersebut.
Dengan itu, maka terselamatlah ajaran Islam yang sebenar dan
hapuslah ajaran karut Musailamah yang mungkin melibatkan
generasi-generasi yang berikut.
10. Demikian sepintas lalu gambaran dari sejarah silam umat
Islam yang memperlihatkan bahawa ketegasan dalam bertindak
telah menjadi nadi yang menghasilkan kejayaan yang
cemerlang. Kita yakin bahawa kalaulah tidak kerana
ketegasan Rasulullah S.A.W. dalam menyampaikan risalah
Islam, maka tidak mungkin Islam akan berkembang dan sampai
kepada kita. Demikianlah juga tanpa ketegasan Saidina Abu
Bakar dalam menghadapi ancaman penderhaka dan pembelot, maka
bibit Islam yang mulai menumbuh di Mekah dan Madinah itu
sudah pasti menghadapi kesukaran untuk terus subur dan
membesar. Alhamdulillah dari ketegasan mereka yang diberi
hidayah oleh Allah itu kita hari ini dapat menikmati
keindahan Islam.
Para hadirin yang mulia,
11. Ketegasan adalah penting bagi umat Islam di negara ini.
Kita harus berusaha mencari jalan ke arah membentuk ummah
yang tegas, kerana dari ketegasan ummah, agama Islam akan
terus mulia dan dihormati serta diterima oleh seluruh
golongan masyarakat.
12. Kita perlukan pemimpin dan pentadbir yang tegas, kerana
matlamat sesebuah masyarakat dan negara ialah menjamin
keharmonian, keadilan dan juga kesejahteraan. Sekiranya
para pemimpin dan pentadbir negara terdiri dari kalangan
orang-orang yang tidak mempunyai sifat yang tegas dan yakin
kepada kebenaran, kepada tanggungjawab dan tugas yang
dipikulnya, maka akan lemahlah masyarakat keseluruhannya.
13. Perbuatan rasuah, pilih kasih dan ketagih arak dan
dadah terutamanya adalah ciri-ciri yang mencerminkan
peribadi yang tidak tegas dan tidak tahan menghadapi cabaran
dalam menjalankan tugas dan amanah. Sesebuah masyarakat dan
sesebuah negara yang dipimpin dan ditadbirkan oleh
peribadi-peribadi yang lemah akan ditimpa bencana, dan akan
hilanglah maruah bangsa, agama dan negara. Jadi dalam hal
ini wajarlah seluruh pemimpin dan pentadbir di negara ini
kembali menghayati sifat-sifat tegas yang dituntut oleh
Islam. Sekalipun dalam melaksanakan ketegasan ini kita
terpaksa berhadapan dengan berbagai rintangan, halangan dan
cemuhan kita harus terus berusaha dengan penuh semangat
serta menyerahkan diri dan bertawakkal kepada Allah dengan
kepercayaan penuh bahawa Allah sentiasa melindungi dan
memberi keamanan kepada pihak yang benar, sesuai dengan
firman Allah di dalam surah A-Li Imraan, ayat 159 yang
bermaksud, "Apabila engkau telah berazam, maka bertawakkal
kepada Allah".
Para hadirin yang mulia,
14. Selain daripada ketegasan di kalangan pemimpin dan
pentadbir, ketegasan di kalangan pendidik dan ibubapa adalah
juga penting, kerana keteguhan dan ketinggian akhlak
jenerasi muda banyak bergantung kepada mereka. Melalui
asuhan serta contoh-contoh yang ditunjukkan oleh para guru
dan ibubapa akan tersemat sifat yang mulia di kalangan
murid-murid dan anak-anak. Oleh itu guru-guru dan ibubapa
hendaklah sama-sama berusaha membantu ke arah melahirkan
umat yang tegas bagi menjamin keteguhan Islam di masa akan
datang. Peribahasa Melayu ada menyebutkan bahawa "melentur
buluh biarlah dari rebung".
Para hadirin,
15. Dalam usaha memupuk supaya sifat-sifat mulia dihayati,
maka Kerajaan telah mengadakan berbagai program pendidikan
Islam. Kursus-kursus, ceramah-ceramah, kelas-kelas
pengajian termasuklah program "Takmir Masjid" yang baru
dilancarkan, adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan yang
tegas bagi menjamin pembentukan peribadi Muslim yang
berakhlak mulia dan baik. Kejayaan yang diharapkan daripada
program ini tentu sukar diperolehi tanpa penglibatan kita
semua. Oleh itu saya berseru kepada seluruh kaum Muslimin
supaya menerima program-program ini dan melibatkan diri
dengan menghadiri majlis-majlis ceramah, kuliah-kuliah dan
kelas-kelas pengajian tersebut, kerana dengan berbuat
demikian akan bertambah pengetahuan kita dan insya-Allah
akan bertambah pula iman dan taqwa kita.
Mulimin dan muslimat sekalian,
16. Sekali lagi saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu
Wataala kerana dengan limpah kurnianya dapat kita
bersama-sama menghadiri upacara ini. Dengan nama Allah Yang
Maha Pemurah dan Maha Mengasihani, saya merasmikan Musabaqah
Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan ini.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|