Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA
PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 24/04/87
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-38
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
Yang Mulia Pengerusi Majlis;
Y.B. Timbalan Presiden;
Y.B. Naib-naib Presiden;
Ahli-ahli Majlis Tertinggi;
Dif-Dif Kehormat;
Para Perwakilan;
Para Pemerhati;
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
PENDAHULUAN
___________
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana
dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita sekali lagi
bersama-sama menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang ke-38
ini. Saya bagi pihak parti dan Majlis Tertinggi mengucapkan
selamat datang kepada para perwakilan, pemerhati dan tetamu
sekalian ke Perhimpunan Agung ini. Marilah kita sama-sama
berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala supaya kita diberi
hidayat dan petunjukNya bagi menjayakan Perhimpunan Agung
ini mengikut lunas-lunas demokrasi, perlembagaan dan tradisi
parti demi keutuhan perjuangan murni parti UMNO.
PERGOLAKAN POLITIK ANTARABANGSA
_______________________________
2. Kita berhimpun pada hari ini dalam keadaan dunia yang
kehilangan arus dan arah. Manusia yang mempunyai
pengetahuan sehingga mampu mendarat di bulan; mempunyai
kebolehan berkomunikasi yang tidak kenal jarak jauh atau
dekat; dapat melihat kuman yang terkecil sekali serta
universe yang luasnya diukur dengan sejauh mana cahaya
bergerak pada satu tahun atau 'light-years' dan lain-lain
lagi yang lebih ajaib dari semua cerita ajaib; manusia
ini, tidak dapat mengurus hal ehwal dunia dengan baik supaya
segala sengketa dan masalah hidup rukun damai dapat diatasi.
3. Politik dunia sekarang ini memperlihatkan manusia
terbahagi kepada tiga blok yang tiap-tiap satu menentang
yang lain dengan kesan yang amat buruk kepada manusia. Jika
puak Barat dan puak Komunis tidak berperang secara langsung,
secara tidak langsung mereka berperang dengan memperalatkan
negara-negara ketiga.
4. Bunuh membunuh, menculik dan perasugut bukan sahaja
dilakukan oleh penjenayah tetapi juga oleh negara-negara.
Bahawa perbuatan ini kerapkali menganiaya orang yang tidak
terlibat dan tidak berdosa tidak diambil-kira. Ada negara
yang cuba 'assassinate' orang-orang tertentu dengan mengebom
kediaman mereka, sambil mengecam perbuatan mengganas atau
terrorisme.
5. Di dalam dunia Islam bermacam-macam rusuhan berlaku.
Culik dan perasugut menjadi senjata utama sehingga imej
Islam terjejas. Sementara sedikit sahaja daripada puak
Zionis yang dibunuh atau dicederakan dalam peperangan 40
tahun Arab-Israel, lebih daripada 1 juta orang Islam telah
dibunuh oleh orang Islam sendiri dengan senjata yang dibekal
oleh pihak Timur, Barat dan Israel.
IMPERIALISME EKONOMI
____________________
6. Dalam bidang ekonomi juga jenayah tidak kurang. Di
Amerika Syarikat lebih seratus bank telah bankrap, sementara
di Britain sebuah bank yang besar sedang disiasat oleh
Kerajaan. Saham-saham syarikat gergasi telah
dimanipulasikan oleh pengarah-pengarahnya melalui 'insider
trading'; broker bursa saham terlibat dengan berbagai
jenayah komersial, bahkan dengan pengedaran dadah.
Saham-saham yang tidak berharga atau 'junk shares' dijual
dengan harga yang tinggi yang tidak ada kena mengena dengan
pulangan daripada pelaburan.
7. Kerajaan-Kerajaan Barat tidak mahu menaikkan cukai
untuk membiayai perbelanjaan mereka. Oleh itu mereka
bermuafakat mencari jalan keluar dengan mendesak
negara-negara kaya yang mengeksport kepada mereka untuk
menaikkan nilai matawang. Dengan itu maka nilai Yen dan
Deutschmark meningkat naik dan menjadi beban kepada
negara-negara miskin.
8. Tetapi negara-negara kaya ini tidak juga dapat
mengurangkan import mereka dari negara-negara yang
berkenaan. Masalah ekonomi Eropah-Amerika tidak juga dapat
diatasi.
9. Penipuan yang ketara sekali ialah penekanan yang dibuat
ke atas harga bahan mentah. Dengan menggunakan teknologi
baru mereka meningkatkan pengeluaran bahan mentah sehingga
melebihi permintaan terhadap barang-barang ini. Di masa
yang sama negara-negara industri yang terbesar mencipta
teknologi baru yang boleh mengurangkan penggunaan bahan
mentah yang dijual oleh negara-negara membangun. Dengan
bertambahnya pengeluaran dan kurangnya penggunaan, maka
pasaran bahan mentah dibanjiri dengan barang-barang yang
tidak ada pembeli. Dengan itu harga bahan-bahan mentah
turun dengan mendadak.
10. Kita biasa mendengar cogankata "yang kaya menjadi lebih
kaya, yang miskin menjadi lebih miskin". Dalam masyarakat
manusia biasanya jika seseorang menjadi kaya, ada sahaja
orang yang miskin yang dapat menumpang kekayaan ini. Sebab
itu apabila pelombong maju dan kaya banyak peluang pekerjaan
dan peluang perniagaan wujud. Kerajaan juga dapat mengutip
cukai yang kemudiannya diagihkan di kalangan rakyat, melalui
subsidi dan projek.
11. Tetapi negara-negara kaya yang menjatuhkan harga bahan
mentah dengan sengaja berjaya menambahkan kekayaan mereka
dari kerugian negara yang miskin. Dalam tahun 1986 tidak
kurang daripada 70,000 juta atau 70 billion dolar Amerika
telah dinikmati oleh negara kaya kerana harga bahan mentah
jatuh dengan teruk. Di samping itu harga barangan buatan
mereka telah meningkat tinggi dan sekali lagi negara miskin
terpaksa menanggung kerugian kerana terpaksa membeli dengan
harga yang mahal. Dalam masa yang sama nilai hutang negara
miskin meningkat kerana kenaikan nilai matawang negara yang
memberi pinjaman.
POLITIK KUASA-KUASA BESAR
_________________________
12. Politik Barat dan Timur tidak pernah sejuk.
Masing-masing menuduh bahawa satu pihak mempunyai niat jahat
apabila mana-mana pihak membuat cadangan perdamaian atau
keamanan. Rundingan di meja menjadi konfrontasi yang
kemudian menjadi pertandingan tuduh-menuduh. Apabila
pemimpin tertinggi Barat dan Timur berjumpa di Iceland,
awal-awal lagi pihak akhbar Barat berkata bahawa perjumpaan
itu tidak akan memberi hasil yang baik. Justeru itu sikap
pemimpin lebih mirip kepada permusuhan.
13. Apabila rundingan gagal maka berkatalah nujum-nujum
akhbar "Bukankah kami sudah berkata perjumpaan itu tidak
mungkin membawa hasil?". Maka mereka memuji diri sendiri
kerana mereka anggap mereka begitu bijak. Dan negara-negara
kecil pun mengeletar kerana takut perang nuklear akan
berlaku dan dunia ini musnah sama sekali.
14. Hakikatnya kuasa besar tahu perang nuklear akan
memusnahkan kedua-dua pihak, tetapi masing-masing ingin
mempunyai bilangan senjata nuklear yang terbanyak. Maka
mereka berbelanjalah sehingga bukan sahaja kedudukan
kewangan negara mereka terjejas, tetapi kewangan dunia pun
menjadi buruk. Yang betul-betul menderita ialah
negara-negara membangun seperti Malaysia.
15. Walaupun umumnya negara-negara di seluruh dunia
ternampak tidak sihat, tetapi tidaklah semua negara-negara
ini menderita. Ada yang semakin maju dan kaya. Pada
analisa yang terakhir maju-mundurnya sesuatu bangsa
bergantung kepada bangsa itu sendiri. Negara-negara seperti
Korea dan Taiwan memperolehi begitu banyak nikmat semasa
dunia tidak sihat kerana sikap bangsa mereka.
16. Kita dapati mereka ini sanggup bekerja keras supaya
barangan keluaran mereka dapat menandingi dari segi mutu dan
harga barangan keluaran negara lain. Soal tidak ada bahan
utama atau pasaran tempatan yang besar tidak menghalang
mereka. Semua ini diatasi dengan ketekunan, kerajinan dan
disiplin yang dipupuk oleh kebudayaan mereka secara sedar
atau tidak sedar.
17. Apa yang jelas daripada prestasi yang dicapai oleh
negara-negara di dunia di zaman kemelesetan ini ialah
maju-mundurnya bangsa dan negara bergantung kepada
sifat-sifat yang ada pada penduduk atau rakyat. Jika rakyat
sanggup berusaha dengan penuh minat maka berjayalah negara
dan bangsa itu. Jika sebaliknya rakyat tidak sanggup
berusaha, segala bantuan menjadi sia-sia sahaja.
DASAR-DASAR NEGARA
__________________
Para Perwakilan sekalian,
18. Setelah memenangi pilihanraya 1986 dengan mendapat
mandat yang besar daripada rakyat, Kerajaan telah menumpukan
perhatiannya kepada strategi dan usaha untuk meneruskan
pembangunan negara. Dengan tidak ada lagi gangguan-gangguan
daripada parti-parti lawan, adalah difikir bahawa langkah
yang diatur oleh Kerajaan dapat dijalankan dengan licin dan
lancar.
19. Dasar luar dan dasar dalam negeri telah diselenggarakan
dengan tegas. Walaupun Malaysia adalah negara kecil, kita
tegas dalam memperjuangkan sesuatu yang kita fikir adil.
Kita telah mengambil bahagian cergas dalam perbahasan dan
tegas dalam tindakan mengenai beberapa masalah penting di
dunia.
20. Kita mengecam Soviet Russia kerana menakluk
Afghanistan. Secara terbuka kita menyokong Mujahideen
Afghan dan kita memberi tempat dan bantuan kepada perwakilan
mereka di Malaysia. Sikap kita ini didorong oleh perasaan
persaudaraan Islam dan sifat kemanusiaan kita.
21. Di Asia Barat, kita terus menyokong PLO sebagai wakil
tunggal orang-orang Palestin. Kita tidak mahu mengiktiraf
kumpulan-kumpulan serpihan. Pendirian kita adalah
konsisten.
22. Berkenaan dengan perang Iraq-Iran kita bukan sahaja
berkecuali tetapi berusaha untuk mendamaikan kedua-dua
negara ini. Kita menganggap peperangan ini sebagai
pembaziran yang hanya menguntungkan Israel dan
penyokong-penyokong mereka.
23. Sikap kita terhadap regim Afrika Selatan dan apartheid
adalah jelas. Kita mengutuk sekeras-kerasnya apartheid dan
kita menyokong pemerintahan majoriti kulit hitam di Afrika
Selatan.
24. Kita tidak bermusuh dengan Amerika Syarikat atau
negara-negara Eropah, bahkan kita tidak mahu bermusuh dengan
sesiapa selain daripada Afrika Selatan dan Israel. Tetapi
tidak bermusuh tidak bermakna kalau sesiapa melakukan
perbuatan yang kejam, yang tidak adil kita harus berdiam
diri. Sebab itulah kita kecam tindakan Amerika Syarikat dan
United Kingdom terhadap Libya.
25. Memang benar sebagai sebuah negara kecil pendirian kita
tidak akan menggoncang dunia, tetapi negara dan bangsa yang
bermaruah tidak boleh berdiam diri hanya sanya kerana
perbuatan yang buruk dilakukan oleh kuasa yang besar.
Keadilan tidak bererti jika ada pilih kasih atau takut.
Demikian juga ketegasan tidak bermakna jika kita
memilih-milih untuk bersikap tegas.
26. Dalam sejarah negeri-negeri Melayu terdapat amalan
menghantar bunga emas ke negara-negara yang lebih kuat
daripada kita. Kita hormati adat tetapi bukan semua adat
perlu dikekalkan. Amalan sujud kepada sesiapa sahaja kerana
takut atau kerana wang bukanlah adat yang harus kita
kekalkan.
27. Maruah bangsa dan maruah negara perlu kita pertahankan.
Jika tidak, kemerdekaan tidak bermakna. Apa dianya
kemerdekaan jikalau sesiapa sahaja boleh mengongkong kita?
Apa dianya kemerdekaan jika kita letakkan diri kita di bawah
telunjuk orang-orang lain?
28. Kita tidak harus angkuh dan sombong. Kita harus
berbaik-baik dengan orang lain. Kita harus sederhana dan
toleran. Tetapi semua ini diasaskan kepada reciprocity,
atau timbalbalas, iaitu jika kita menghormati mereka pihak
mereka pula hendaklah menghormati kita. Inilah asas dasar
luar negeri kita. Kita bukan client state atau negara
pelanggan kepada sesiapa.
29. Di dalam negeri, kita bersikap pragmatis dan terbuka.
Malangnya ramai pihak yang mengambil kesempatan
menyalah-gunakan sikap kita. Satu langkah yang diambil pada
tahun 1981-82 ialah untuk tidak menghalang penerbitan
akhbar, majalah dan buku-buku dalam negeri. Jika pada hari
ini terdapat begitu banyak akhbar-akhbar dan buku-buku,
termasuk buku-buku yang melempar fitnah dan tuduhan liar,
sebabnya ialah kerana semenjak tahun 1981 kita bersikap
lebih liberal.
30. Sikap liberal Kerajaan diasaskan kepada kepercayaan
bahawa masyarakat Malaysia sudah dewasa dan matang dan kenal
antara kaca dengan permata. Namun demikian jika kebebasan
ini sering disalah-guna, sikap liberal ini terpaksa
ditamatkan.
31. Kerajaan juga tidak suka menggunakan kuasa dengan
sewenang-wenangnya. Orang-orang dalam tahanan yang tidak
benar-benar mengancam keselamatan negara telah dibebaskan.
Daripada hampir 600 orang dalam tahanan sebelum Kerajaan ini
mengambil-alih, kini hanya 30 orang hard-core terrorists
sahaja yang masih ditahan. Namun demikian jangan sesiapa
memikir bahawa Kerajaan ini lemah. Jika ada sesiapa yang
cuba menimbulkan huru-hara tindakan tegas akan diambil.
EKONOMI DAN KEWANGAN
____________________
Para Perwakilan sekalian,
32. Semenjak tiga tahun yang lepas kita telah cuba
memperbaiki kedudukan kewangan negara. Kita tidak lagi
berhutang tanpa mengambil kira pembayaran balik yang mesti
dipikul oleh negara kelak. Kita telah mengurangkan
perbelanjaan Kerajaan yang sering meningkat dahulu. Kita
telah cuba mengurangkan beban bayaran gaji dengan cara
memindah kepada swasta bahagian-bahagian khidmat Kerajaan
yang difikirkan tidak semestinya diuruskan oleh Kerajaan.
33. Kemelesetan ekonomi dunia serta kejatuhan secara
menyeluruh semua harga bahan mentah memerlukan perubahan
strategi ekonomi kita. Di waktu ini negara-negara yang
mengeluarkan barangan buatan seperti Korea Selatan, Taiwan
dan Hong Kong mendapat lebihan dagangan yang amat tinggi.
Kita bernasib baik kerana di waktu bahan mentah masih
berharga tinggi kita tidak lupa akan sektor pembuatan. Kita
telah meningkatkan perkembangan industri asas (basic
industries) dan lain-lain perusahaan pembuatan.
34. Justeru itu di zaman kemelesetan harga bahan mentah ini
kita dapat menumpang industri pembuatan. Kita sudah menjadi
negara utama di dunia dalam pengeluaran komponen elektronik
dan alat pendingin. Industri tekstil dan pakaian juga
mencapai kejayaan yang cemerlang.
35. Di antara industri berat, kilang kereta Proton
mempunyai potensi yang tinggi. Semenjak ianya mula
mengeluarkan kereta, kilang Proton menarik minat bukan
sahaja mereka yang ingin mengimport Proton Saga ke
negara-negara mereka, tetapi juga syarikat-syarikat motor
antarabangsa yang bercadang menggunakan kilang Proton untuk
mengeluarkan komponen kereta mereka.
36. Kilang Proton juga membantu kilang-kilang komponen
tempatan dan ramai peniaga dan pengusaha lain. Peniaga
kecil dan penjaja juga mendapat nikmat daripada industri
kereta ini.
PENGUSAHA-PENGUSAHA DAN PENIAGA-PENIAGA KECIL
_____________________________________________
Para Perwakilan sekalian,
37. Sepertimana termaklum tumpuan tidak diberi kepada
perniagaan dan perusahaan besar sahaja.
Perusahaan-perusahaan kampung, peniaga-peniaga kecil dan
penjaja-penjaja semuanya mendapat bantuan dalam bentuk wang
atau kemudahan seperti ruang atau tempat berniaga. Barangan
kerja tangan mendapat pasaran yang baik dan mutu barangan
ini dipertingkatkan. Di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur
terdapat pusat pasaran kraftangan iaitu Karyaneka.
Masalahnya sekarang ialah untuk mendapat barangan yang
bermutu yang memenuhi permintaan yang kian meningkat.
38. Demikianlah usaha yang dibuat sehingga pelukis-pelukis
yang dahulunya tidak mempunyai tempat untuk mempamerkan
hasil karya mereka, sekarang ini sudah dapat banyak tempat.
Hatta para penyair pun boleh menarik pelanggan dengan
mendeklamasikan sajak mereka di tempat-tempat yang dikhaskan
untuk mereka.
39. Perniagaan dan perusahaan yang bukan tradisional telah
diperkenalkan oleh agensi-agensi Kerajaan dan disambut baik
oleh bumiputera. Jambu, pisang emas, jagung, kelapa muda,
asparagus dan beberapa buah-buahan tempatan laris dijual dan
dieksport. Sate yang dahulu dapat dijual oleh orang yang
pandai buat sate sahaja, sekarang dapat dijual oleh sesiapa
sahaja melalui sistem franchise. Pendek kata jika ada
kesanggupan, memang ada peluang berniaga atau berusaha.
PENTINGNYA DASAR EKONOMI BARU (DEB)
___________________________________
Para Perwakilan sekalian,
40. Kemelesetan ekonomi membawa kesan yang buruk kepada
hampir semua negara membangun. Memang ada sebuah negara
jiran yang ekonominya mencatatkan pertumbuhan. Pertumbuhan
ini, di antara lain, disebabkan mereka tidak ada masalah
pembahagian kekayaan antara bumiputera dengan bukan
bumiputera.
41. Jika kita tidak perlu mengawasi pertumbuhan ekonomi
untuk menentukan perbezaan antara kaum tidak menjadi lebih
ketara, atau dengan perkataan lain, jika kita sanggup
gugurkan sahaja DEB, pertumbuhan ekonomi negara kita juga
akan meningkat dengan pesat. Tetapi DEB adalah pilihan
kita. Kita tidak mahu berbangga dengan pertumbuhan ekonomi
yang pesat tetapi bumiputera menjadi papa-kedana. Dasar
Kerajaan sekarang masih lagi diasaskan kepada agihan
kekayaan secara adil dan saksama antara kaum walaupun
terjejas sedikit pertumbuhan ekonomi. Biarlah kita lambat
sedikit asalkan selamat.
PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM
___________________________
Para Perwakilan sekalian,
42. Di antara dasar dan matlamat terpenting Kerajaan ialah
dasar penerapan nilai-nilai Islam. Tekanan utama Kerajaan
ialah terhadap nilai-nilai seperti persaudaraan, amanah,
disiplin, kejujuran, keadilan, tuntutan kekayaan di dunia
secara halal, toleransi dan lain-lain nilai murni.
43. Di antara nilai-nilai Islam ialah kita tidak
menggunakan paksaan untuk menentukan orang lain turut kita.
Islam lebih mengutamakan pujuk rayu daripada paksaan.
Menggambarkan Islam sebagai agama yang tidak toleran, tidak
bertimbang rasa dan kejam adalah perbuatan yang mencemar
nama baik Islam dan menyekat perkembangannya.
44. Selaras dengan penerapan nilai-nilai Islam kita telah
berusaha untuk membersihkan pengurusan dalam semua bidang.
Setelah ekonomi negara mengalami kemerosotan, maka
terdedahlah beberapa amalan yang tidak sihat di kalangan
para peniaga dan para pengurus. Tindakan telah diambil
terhadap mereka yang menyamun duit orang lain yang
diamanahkan kepada mereka. Malangnya kita tidak dapat
mengesan dan mendapat bukti secukupnya akan kecurangan
pengarah-pengarah, pengurus-pengurus dan peniaga-peniaga
ini. Tetapi kita tidak putus asa. Akan kita tentukan
penipu akan menerima balasan yang setimpal dengan
jenayahnya.
45. Di samping itu Kerajaan tidak mahu melihat mereka yang
tertekan kerana kemelesetan ekonomi dijadikan sasaran
tindakan bank-bank umpamanya. Institusi-institusi kewangan
telah dinasihatkan supaya tidak terlalu keras menuntut
bayaran atau mengambil tindakan undang-undang. Kerajaan
tidak mahu melihat peniaga dan pengusaha bumiputera
khususnya, tersekat apabila ekonomi pulih semula.
PENINGKATAN PENGURUSAN KERAJAAN
_______________________________
Para Perwakilan sekalian,
46. Pengurusan Kerajaan tidak dilupakan dalam usaha
memelihara ekonomi negara di zaman kemelesetan. Kerajaan
percaya ubat yang mustajab sekali di waktu kita tidak berada
ini ialah mengurangkan belanja ke paras yang kita mampu
sahaja dan meningkatkan lagi daya pengeluaran. Kita boleh
meminjam lagi untuk berbelanja seperti di zaman mewah,
tetapi ini bermakna menggadaikan masa depan kita.
47. Tindakan penswastaan dan pengurangan kakitangan
Kerajaan adalah bertujuan mengurangkan beban Kerajaan.
Seberapa yang mungkin kita akan tentukan tidak ada sesiapa
yang teraniaya kerana pendekatan ini.
48. Sebenarnya, kesan baik dari tindakan-tindakan Kerajaan
sudahpun mula dirasai. Rizab kita sudah meningkat sekali
ganda berbanding dengan keadaan tiga tahun dahulu.
Perbelanjaan pembangunan bagi Rancangan Malaysia Kelima
dapat ditingkatkan semula daripada 37 ribu juta kepada 48
ribu juta ringgit. Kita telah dapat menyelamatkan 2 ribu
juta ringgit wang pampasan kerana projek-projek yang telah
diikat janji tidak perlu dibatalkan.
49. Projek-projek Kerajaan di zaman dahulu adalah projek
sosial semata-mata. Jalanraya dibina tanpa banyak mengambil
kira perolehan daripadanya. Demikian juga khidmat telefon,
pelabuhan, pelajaran, perubatan dan lain-lain. Jika bayaran
dikenakan, ini adalah sebagai mengambil syarat sahaja.
50. Kerajaan membiayai khidmat-khidmat ini melalui cukai
daripada punca lain -- seperti cukai pendapatan, cukai
eksport dan import, cukai jalan dan cukai jualan. Di waktu
kos pentadbiran rendah kita dapat membiayai khidmat-khidmat
sosial dari cukai biasa. Tetapi sekarang kos sudah
meningkat berpuluh kali ganda. Oleh kerana itu sebahagian
daripada kos khidmat perlu dipindahkan kepada pihak swasta
atau Kerajaan memungut sedikit bayaran daripada khidmat
tertentu.
51. Kerajaan tidak boleh dan tidak berhajat untuk mendapat
balik semua kos yang terlibat. Jika diswastakan sekalipun,
elemen subsidi terpaksa diadakan kerana pihak swasta juga
tidak mungkin menampung semua kos dengan kutipan yang akan
diperolehi. Sebab itulah kita sanggup memajak seluruh
sistem keretapi dengan bayaran $1/- sahaja.
MARUAH BANGSA
_____________
Para perwakilan sekalian,
52. Maruah sesuatu bangsa tidak boleh dipertahankan
semata-mata dengan meminta supaya orang lain tidak
menghinakan bangsa itu. Apa yang perlu dibuat ialah
membuktikan bahawa bangsa berkenaan mempunyai sifat-sifat
yang mulia dan berjaya.
53. Dalam bidang politik orang-orang Melayu telah berjaya
sehingga kini. Tetapi dalam bidang agama, sosial dan
ekonomi pencapaian kita belum begitu memuaskan.
54. Kita belum berjaya dalam bidang agama kerana jelas
sekali kita tidak mengamalkan banyak daripada ajaran Islam.
Ada di antara kita tidak mahu bersaudara, kita sering
membelakangkan amanah, kita tidak begitu toleran, kita tidak
begitu memberi penghargaan kepada keadilan dan lain-lain
lagi. Sebab itulah kita menganjurkan penerapan nilai-nilai
Islam.
55. Dalam bidang sosial orang-orang Melayu sering
memencilkan diri daripada orang lain. Justeru itu kita
tidak begitu berjaya mempengaruhi sesiapa. Kita lebih suka
menggunakan kuasa untuk mendapat kerjasama daripada mengguna
kemesraan untuk tujuan yang sama. Untuk kejayaan dalam
bidang politik, sosial dan ekonomi, pergaulan kita sesama
sendiri dan dengan kaum-kaum lain adalah faktor yang
penting.
56. Di dalam bidang ekonomi kejayaan kita amat terhad.
Pencapaian sebanyak 18% bagi kaum bumiputera dalam bidang
ekonomi diperolehi kerana peranan agensi-agensi Kerajaan.
Sebilangan kecil orang-orang Melayu yang mencapai sedikit
kejayaan bergantung semata-mata kepada perniagaan dengan
Kerajaan. Tanpa Kerajaan, orang Melayu tidak dapat
bersaing.
57. Ini bukanlah pencapaian yang dimaksud dan diharapkan
oleh kita dalam perancangan DEB. Kita hendak orang-orang
Melayu menyertai bidang ekonomi dengan kebolehan dan
kekuatan mereka sendiri. Jika Kerajaan membantu, ini adalah
pada permulaan sahaja atau dalam pembekalan
kemudahan-kemudahan asas untuk menembusi bidang yang
dimonopoli oleh kaum-kaum lain.
58. Menyedari hakikat ini kita telah cuba mengenalpasti
akan sebab-sebab kegagalan orang-orang Melayu dalam berbagai
bidang. Kita dapati ada kelemahan yang ketara daripada segi
sifat-sifat serta sikap-sikap orang-orang Melayu. Untuk
mengatasi kelemahan-kelemahan ini Kerajaan bercadang untuk
mengadakan kursus-kursus secara menyeluruh untuk mendedah
dan memperkenalkan kepada orang-orang Melayu khususnya akan
sifat-sifat dan sikap-sikap yang menjadi penghalang kepada
kejayaan mereka dan bagaimana mereka boleh mengatasi
halangan-halangan ini.
59. Kem-kem latihan untuk maksud ini, serta juga
pelatih-pelatih sudah disediakan. Demikian juga kurikulum
dan bentuk kursus. Dalam peringkat pertama
pemimpin-pemimpin politik di peringkat tertinggi sekali dan
pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri
telahpun mengikuti kursus ini.
60. Tekanan dalam kursus ini ialah mengkritik diri sendiri
dan bukan mengkritik orang lain. Setelah mengenali
kelemahan diri sendiri maka baharulah seseorang itu akan
dapat membetulkan dirinya. Amalan mengkritik orang lain
tidak digalakan kerana orang lain tidak akan membetulkan
diri mereka kerana teguran dari kita.
61. Setakat ini hasil kursus ini adalah memuaskan. Adalah
diharapkan melalui kursus-kursus ini kita akan dapat
melahirkan orang-orang Melayu yang lebih cekal, lebih
bertanggungjawab dan lebih berdedikasi dalam segala usaha
mereka. Jika maksud kursus ini dicapai, orang-orang Melayu
khususnya, tidak akan lagi bergantung semata-mata kepada
Kerajaan dan kuasa politik untuk menentukan kejayaan mereka.
Mereka akan berjaya kerana kebolehan mereka sendiri. Dengan
ini masa depan mereka akan lebih terjamin.
UMNO: TERAS POLITIK NEGARA
__________________________
Para perwakilan sekalian,
62. UMNO adalah harapan orang-orang Melayu. Segala-galanya
yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan UMNO.
Kita telah menangkis Malayan Union, kita telah mencapai
kemerdekaan, kita telah mengisikan kemerdekaan ini dengan
pembangunan, kita telah meningkatkan ekonomi dan pelajaran
orang-orang Melayu dengan menggunakan kekuatan yang kita
dapati daripada UMNO.
63. Jika UMNO berjaya menghasilkan semua ini sebabnya
bukanlah semata-mata kerana UMNO merupakan sebuah pertubuhan
yang bersemangat kebangsaan. Semangat kebangsaan penting
dalam memperjuangkan kemerdekaan dan semua parti politik
yang memperjuangkan kemerdekaan memang mempunyai semangat
kebangsaan. Bahkan banyak parti-parti politik yang lebih
kuat semangat kebangsaan mereka daripada UMNO.
64. Tetapi setelah merdeka, banyak parti-parti politik
kebangsaan di lain-lain negara tidak dapat memerintah dengan
sempurna dan membawa kebahagiaan kepada bangsa mereka.
Bermacam-macam masalah dan penyakit menyerang parti-parti
ini. Akibatnya negara yang mereka bebaskan daripada
penjajah menjadi lemah dan mundur dan rakyat menderita lebih
daripada di zaman penjajah. Banyak daripada parti-parti ini
bertukar corak dan mengenepikan demokrasi. Banyak yang
berpecah dan hilang begitu sahaja.
65. Sebaliknya, UMNO mempunyai falsafah yang membolehkannya
membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada rakyat dan
negara. Kerana UMNO tidak terlalu ekstrim, UMNO dapat
membentuk satu rangka kerjasama dengan lain-lain kaum dan
parti-parti politik di Malaysia. UMNO mengutamakan keamanan
dan tidak suka kepada keterlaluan. UMNO menghormati dan
memegang kuat kepada konsep dan amalan sistem Demokrasi
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
66. Hasilnya ialah Sabah dan Sarawak dapat menyertai
Semenanjung dan tertubuhlah Malaysia. Penduduk berbagai
kaum dan suku-kaum dapat hidup aman dan dapat bekerjasama
dengan tidak merusuh seperti berlaku di negara-negara lain.
67. Hasilnya ialah pembangunan desa dan pembangunan bandar
yang pesat. Hasilnya ialah pelaburan yang banyak yang dapat
menampung dan memberi peluang pekerjaan kepada sebahagian
besar daripada belia-belia yang membanjiri pasaran kerja
daripada sekolah-sekolah dan universiti-universiti.
68. Memang benar kita menghadapi bermacam-macam masalah dan
dugaan. Parti-parti lawan tumbuh dengan subur dalam sistem
demokrasi tajaan UMNO. Pada satu ketika, negara-negara
jiran berkonfrantasi dengan kita. PAP semasa Singapura
berada dalam Malaysia telah mengugut ketenteraman dengan
slogan 'Malaysian Malaysia' mereka. Pakistan memutuskan
hubungan diplomatik dengan kita kerana sokongan kita kepada
India. Kita dianggap sebagai neo-colonialis kerana dasar
kita menyokong kuasa-kuasa barat ketika itu.
69. Di dalam negeri pula, Kelantan mengugut menarik diri
dari Persekutuan. Sarawak di bawah seorang pemimpin
tertentu menolak kuasa pusat dan Sabah bergelora apabila
sebilangan daripada penduduk Sabah mengugut untuk keluar
dari Malaysia kerana Singapura sudah disingkir dari
Malaysia.
70. Pengganas komunis terus mengganas selepas merdeka.
Ketua Polis Negara dibunuh di tengah-tengah bandar Kuala
Lumpur dan Tugu Peringatan dibom. Ketua Polis Perak
ditembak mati. Ramai anggota keselamatan terbunuh atau
cedera.
71. Tentera Merah Jepun menawan Bangunan American
International Assurance. Rusuhan kaum berlaku pada tahun
1969 dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dibakar.
72. Memang terdapat tragedi dan peristiwa buruk dalam
sejarah Malaysia yang merdeka. Tetapi negara yang dipimpin
oleh pemimpin-pemimpin UMNO, negara yang Kerajaan mempunyai
UMNO sebagai teras Kerajaan campuran telah berjaya mengatasi
semua masalah ini. Semua peristiwa buruk menjadi peristiwa
sementara, berkat kecekapan UMNO yang menerajui Kerajaan.
73. Selagi UMNO kukuh dan kuat, keupayaan UMNO mengatasi
masalah tidak boleh dipertikaikan. Falsafah UMNO amat
sesuai untuk pemerintahan sebuah negara berbilang kaum
seperti Malaysia. UMNOlah yang memberi kestabilan kepada
negara Malaysia ini.
74. Allahyarham Tun Dr. Ismail telah berkata bahawa apabila
generasi selepas merdeka dewasa, mereka akan menimbulkan
masalah. Mereka ini tidak tahu pahit maung perjuangan untuk
kemerdekaan. Mereka ini akan menganggap kemerdekaan dan
segala nikmat daripadanya sebagai perkara biasa. Mereka ini
juga akan mempunyai expectation yang tinggi.
75. Memang benar apa yang diperkatakan oleh pemimpin
terkemuka UMNO ini. Tetapi Allahyarham Tun Dr. Ismail tidak
menduga semua masalah yang akan menyerang UMNO. Oleh kerana
generasi muda perlu diberi tempat dalam UMNO maka
terkecewalah beberapa ahli yang lebih awal menyertai UMNO.
76. Masalah pemimpin-pemimpin UMNO ialah sementara minat
untuk memeluk gunung ada, tetapi apakan daya tangan tak
sampai. Seperti selimut yang pendek, menutup dada
mendedahkan peha, menutup peha mendedahkan dada. Telan mati
emak, luah mati bapa. Masalah ini akan menyerang sesiapa
juga yang memimpin UMNO.
77. Falsafah perjuangan UMNO tidak ada tolok bandingnya.
Ia tidak boleh dipertikaikan. Ia amat sesuai bagi negara
berbilang kaum ini di mana kaum bumiputera, khususnya
orang-orang Melayu begitu memerlukan perlindungan dan
bantuan.
78. Tetapi setelah ada di antara kita yang memilih untuk
membelakangkan tradisi, dan setelah beberapa orang ahli
mendahulukan cita-cita mereka daripada cita-cita bangsa,
falsafah UMNO tergugat dan tidak lagi dapat menjamin
kejayaan UMNO.
79. Nasib sesuatu bangsa ditentukan oleh bangsa itu
sendiri. Allah S.W.T tidak menghampakan bangsa yang
berikhtiar dan berusaha. Tuhan juga tidak akan menolong
mengubah nasib sesuatu bangsa jika bangsa itu tidak berusaha
untuk mengubah nasib mereka sendiri.
80. UMNO sebagai kumpulan yang terpenting dalam masyarakat
Melayu tidak boleh mengecualikan diri daripada terlibat
dengan perubahan dan nasib bangsa Melayu. Dan sebenarnya
penubuhan UMNO dan perlembagaannya mengiktiraf dan mengakui
tanggungjawab UMNO dalam menentukan nasib bangsa Melayu,
agama Islam dan negara.
PENUTUP
_______
Para perwakilan sekalian,
81. Sejarah menyaksikan peranan UMNO, ahli-ahlinya dan
pemimpin-pemimpinnya. Sejarah akan memuji atau mengutuk
orang Melayu mengikut kejayaan atau kegagalan mereka. Kita
tahu sejarah memberi nilai yang tinggi terhadap pencapaian
UMNO sehingga hari ini. Terpulanglah kepada kita semua
untuk menentukan hukuman sejarah terhadap apa yang akan
terjadi dari hari ini sehingga kepada dekad-dekad yang akan
datang.
82. Ingatlah, tidak ada seorang pun daripada kita, termasuk
saya sendiri, yang penting. Tidak ada seorang ahli UMNO
atau pemimpin-pemimpin UMNO yang penting walau apapun
jawatan mereka. Yang penting ialah pertubuhan ini, UMNO,
sebagai sebuah badan untuk mengubah nasib orang-orang
Melayu. Tanpa UMNO tidak ada satu pun yang boleh dibuat
oleh sesiapa daripada kita, walau bagaimana bijak dan pintar
orang itu.
83. Oleh itu, haruslah kita berfikir dengan
sedalam-dalamnya tentang peranan kita dalam Perhimpunan ini.
Janganlah sejarah, janganlah generasi yang akan datang,
janganlah anak cucu kita mengutuk kita kerana kita
membenarkan nafsu menguasai kita dan kita kecewakan harapan
mereka.
84. Saya berdoa supaya kita akan selamat bersidang. Saya
berdoa semoga kita semua diberi taufik dan hidayah oleh
Allah Subhanahu Wataala.
WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH WASSALAMU ALAIKUM
WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
|