Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ANGKASAPURI 
Tarikh/Date 	: 	29/05/87 
Tajuk/Title  	:	PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 1407 
			HIJRAH/1987 MASIHI 




 Bismillahir rahmanir rahim.
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Walillahilhamd
    Syukur Alhamdulillah, sekali lagi kita umat Islam dapat
merayakan  kemenangan  kita  melawan  nafsu  sepanjang bulan
Ramadan yang  mulia.    Berbagai  dugaan  telah  kita  lalui
sepanjang bulan Ramadan, tetapi di sebalik dugaan itu, Allah
Subhanahu  Wataala  telah  menyediakan berbagai-bagai hikmat
dan nikmat.    Dan  dengan  limpah  rahmat  Allah  Subhanahu
Wataala,   kita   telah   berpuasa   dan  insya-Allah  telah
meneguhkan lagi iman kita.
Muslimin dan muslimat sekalian,
2.   Umat Islam pada zaman ini  banyak  menghadapi  cabaran.
Kelemahan   yang   terdapat   pada   umat   Islam  hari  ini
dieksploitasikan dengan  sepenuhnya  oleh  pihak-pihak  yang
memang merancang untuk memecah-belahkan masyarakat Islam dan
menggugat  lagi  ketahanan  umat  Islam.    Rancangan mereka
menjadi   bertambah   mudah   kerana   negara-negara   Islam
seluruhnya   banyak  bergantung  kepada  negara-negara  yang
bersimpati dengan musuh-musuh Islam.    Negara-negara  Islam
yang  sedang  membangun juga tidak terlepas daripada menjadi
sasaran mereka.  Di negara kita dengan cara halus dan  tidak
langsung, mereka menghasut golongan-golongan tertentu supaya
bertindak   mengancam   kestabilan,   kerana   kestabilanlah
menjamin kemajuan serta ketahanan  sesebuah  negara.    Kita
harus  sedar  hakikat  ini,  dan  jauhilah  sengketa  sesama
sendiri jika orang-orang Islam ingin mencapai kejayaan.
3.   Ini juga bermakna kita mestilah menjaga perpaduan  oleh
kerana  dengan  perpaduan  sahajalah kita dapat melaksanakan
apa  sahaja  yang  kita  rancangkan  dan   apa   yang   kita
cita-citakan.    Sebaliknya,  perpecahan akan membawa kepada
kemunduran dan mungkin juga menandakan permulaan terhapusnya
sesebuah masyarakat  itu.    Masyarakat  Islam  di  Sepanyol
dahulu,   masyarakat   Islam  di  bawah  Kesultanan  Melaka,
masyarakat Islam di  Afghanistan  dan  masyarakat  Islam  di
Palestin,  semuanya  mengalami  kemunduran,  antara lainnya,
kerana mereka berpecah dan tidak bersatu-padu.
4.   Dengan  itu  kita  umat  Islam  di  Malaysia  hendaklah
berpandu  kepada  pengalaman-pengalaman  seperti  ini dengan
mengelakkan daripada berlaku segala bibit yang boleh membawa
kepada perpecahan di kalangan umat Islam.    Di  bulan  yang
mulia  ini, marilah kita merenung ajaran-ajaran Al-Quran dan
mengamalkannya untuk mengelakkan  bibit-bibit  yang  membawa
perpecahan.
5.   Salah  satu  bibit yang membawa gejala perpecahan ialah
sikap suka  mempercayai  berita-berita  sebelum  diselidiki.
Yang  selalu terjadi ialah selepas beberapa bulan atau tahun
kemudian baharulah  kita  tahu  bahawa  sesuatu  berita  itu
adalah  palsu  dan  fitnah  sahaja.   Seseorang yang beriman
seharusnya  menyelidik  dahulu  apa-apa   berita.      Allah
Subhanahu   Wataala   berfirman  di  dalam  Al-Quran,  Surah
Al-Hujuraat ayat 6, yang bermaksud: "Wahai orang-orang  yang
beriman!    Jika  datang  kepada  kamu seorang fasik membawa
sesuatu  berita,   maka   selidikilah   (untuk   menentukan)
kebenarannya,  supaya  kamu  tidak  menimpakan  sesuatu kaum
dengan perkara yang tidak diingini -- dengan sebab kejahilan
kamu (mengenainya) -- sehingga menjadikan kamu menyesali apa
yang kamu telah lakukan".   Ini patut  kita  amalkan  supaya
sesuatu  padah  buruk  tidak  akan menimpa sesuatu kaum atau
orang perseorangan.
6.   Tidak semua berita yang kita  terima  semestinya  tidak
benar,  tetapi  ada  kemungkinan  juga  sebahagian  daripada
berita-berita itu direka untuk sesuatu tujuan.  Justeru  itu
kita  mestilah  berwaspada dan taksub dengan seruan Al-Quran
iaitu menyelidik terlebih dahulu semua berita yang  didengar
supaya  kita  tidak  berpecah belah kerana fitnah.   Amatlah
bersalah dan berdosa  jika  kita  dengan  mudahnya  menolong
menyebar berita-berita yang kesahihannya tidak kita ketahui.
7.   Di  samping  itu  kita  haruslah hormat-menghormati dan
bersopan-santun sesama kita.   Ayat-ayat di  dalam  Al-Quran
selalu  dimulai  dengan kata-kata "Wahai orang yang beriman"
apabila menyeru umat  Islam  supaya  berbudi,  bersopan  dan
hormat-menghormati.   Ini menunjukkan bahawa kita umat Islam
tidak dapat memisahkan antara iman dengan sopan santun dalam
hidup kita.  Inilah nilai-nilai yang patut kita pegang untuk
meneruskan perpaduan yang telah kita pupuk selama  ini,  dan
di  Hari  Raya  yang mulia ini haruslah kita abadikan semula
nilai-nilai murni itu untuk menggantikan sikap yang  mungkin
membawa perpecahan.
8.   Al-Quran  juga mengingatkan kita supaya jangan mencemoh
dan  merendah-rendahkan  sesuatu  puak  atau  kumpulan  oleh
kerana  puak  atau  kumpulan  yang dicemoh itu mungkin lebih
baik daripada kita.   Seterusnya  Al-Quran  dalam  ayat  11,
Surah  Al-Hujuraat,  juga  melarang sebahagian daripada kita
menyatakan perkara-perkara yang menjadi  keaipan  atau  yang
memalukan  orang lain.   Bahkan kita umat Islam yang beriman
juga dilarang  panggil-memanggil  seseorang  dengan  gelaran
yang   buruk,   terutama   sesama  orang  Islam.    Al-Quran
mengingatkan kita bahawa amatlah buruknya sebutan nama fasik
kepada seseorang bagi seseorang yang beriman.  Perbuatan itu
dianggap  sebagai  perbuatan  zalim  sekiranya  kita   tidak
bertaubat.
9.   Di  samping  itu,  di hari yang mulia inilah kita harus
menjauhkan diri daripada mempunyai sangkaan-sangkaan  buruk.
Apabila kita mempunyai sangkaan atau anggapan buruk terhadap
seseorang  atau  sesuatu  kumpulan  itu, selalunya kita akan
mengumpat  dan  menghamburkan  kata-kata  yang   kesat   dan
menghasut.  Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam ayat 12,
Surah Al-Hujuraat, yang bermaksud: "Jauhilah kebanyakan dari
sangkaan  kerana  sesungguhnya  sebahagian dari sangkaan itu
adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau  mencari-cari
kesalahan   dan   keaipan  orang;  janganlah  setengah  kamu
mengumpat setengahnya yang lain.  Adakah seseorang dari kamu
suka memakan daging saudaranya yang telah mati?"
10.  Sebaliknya  di  bulan  yang  mulia  inilah  kita  harus
memupuk  nilai-nilai  yang  boleh memperkukuhkan keharmonian
dan perpaduan.  Apatah lagi nilai-nilai ini akan  menebalkan
lagi  keimanan  kita kepada Allah Subhanahu Wataala.  Dengan
perpaduan kita  akan  terus  maju  bagi  kepentingan  agama,
masyarakat dan negara.
Muslimin dan muslimat,
11.  Marilah  kita  bersama-sama  bersyukur  ke hadrat Ilahi
atas pengurniaan perpaduan, kesejahteraan dan keamanan  yang
kita nikmati di negara ini.  Dengan perasaan kesyukuran kita
juga  memohon  ke  hadrat  Ilahi supaya ini akan berkekalan,
supaya kita semua dapat meningkatkan kemajuan  dalam  bidang
agama,  masyarakat  dan negara.  Hanya mereka yang bersyukur
sahaja, hanya mereka yang dapat menghargai  pemberian  Ilahi
yang    berbagai-bagai    bentuk    itu   akan   dikurniakan
nikmat-nikmat yang berlebihan  lagi.    Inilah  janji  Allah
Subhanahu   Wataala.     Seharusnya  kita  bersyukur  dengan
pencapaian kita terutama di dalam usaha kita meluaskan syiar
Islam.
12.  Di samping kita bersyukur, kita harus juga berusaha dan
berikhtiar untuk menjaga kepentingan umat Islam  dan  negara
pada  masa  hadapan.    Semoga  Allah Subhanahu Wataala akan
sentiasa memberi petunjukNya kepada kita semua.
Muslimin dan muslimat,
13.  Pasukan-pasukan keselamatan kita meneruskan tugas-tugas
mereka walaupun pada Hari Raya.  Kita tidak boleh  melupakan
anggota-anggota  pasukan  keselamatan  kita  dan pengorbanan
yang  mereka  lakukan.    Kita  mengucapkan  setinggi-tinggi
penghargaan  dan  Selamat Berhari Raya kepada mereka di mana
juga mereka berada.   Kita  berdoa  semoga  Allah  Subhanahu
Wataala  melindungi  mereka  semasa  menjalankan tugas-tugas
mereka.
14.  Kepada saudara-saudari kaum Muslimin, saya  mengucapkan
Selamat  Hari Raya Aidilfitri dan semoga kita semua mendapat
hidayat Allah Subhanahu  Wataala.    Kepada  saudara-saudari
yang   bukan   Islam,   rayakanlah  hari  yang  bahagia  ini
bersama-sama dengan rakan-rakan Islam anda.
15.  Akhir kata, saya  serta  keluarga  saya  memohon  maaf,
zahir  dan  batin,  di  atas apa juga kesilapan yang mungkin
telah kami lakukan.  Selamat Hari Raya Aidilfitri.
     Wabillahitaufik       walhidayah       wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Walillahilhamd.

 
 



 
Google