Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 06/06/87
Tajuk/Title : PERSIDANGAN PERWAKILAN PARTI GERAKAN
Yang Berhormat Dato Dr. Lim Keng Yaik,
Pengerusi Parti GERAKAN;
Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
GERAKAN kerana telah sudi menjemput saya merasmikan
Persidangan Perwakilan Parti ini. Saya berharap Persidangan
Perwakilan ini akan berjalan lancar dan hal ini dengan
sendirinya akan menggambarkan kematangan ahli-ahli parti.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2. Barisan Nasional telah wujud berbelas tahun, dan
sebelumnya Perikatan juga telah wujud sekian lama. Dengan
itu, parti-parti komponen bolehlah sekarang dikatakan
sebagai sudah matang. Walaupun sesebuah parti komponen itu
akan menempoh masa turun atau naiknya, namun parti-parti
komponen telah membuktikan keupayaan mereka untuk bersatu
padu dalam menghadapi pilihanraya-pilihanraya dan
berbagai-bagai cabaran yang lain. Ini telah dibuktikan dari
masa ke semasa. Pada masa-masa yang akan datang juga saya
percaya parti-parti komponen yang menghadapi sedikit
sebanyak cabaran akan dapat menempohnya dengan jaya dan
bersatu akhirnya. Perpaduan yang jitu di kalangan
parti-parti komponen sangatlah penting supaya dapat kita
bersama-sama memberikan kepimpinan yang diperlukan ke arah
membangunkan negara kita.
3. Buat masa ini ada parti-parti komponen dalam Barisan
Nasional yang sedang menghadapi sedikit-sebanyak cabaran
dalam parti sendiri, dan ini termasuklah UMNO dan parti
GERAKAN. Perkara ini tidaklah merisaukan sangat oleh kerana
Barisan Nasional telah pun menempa kecemerlangan dalam
pilihanraya umum tahun lalu. Bahkan dalam pertandingan di
Gopeng baru-baru ini, kemampuan Barisan Nasional mencapai
kejayaan nyata sekali. Apa yang diharapkan ialah apa-apa
cabaran yang terdapat di kalangan parti-parti komponen akan
di antara lain meningkatkan kematangan berpolitik ahli-ahli
mereka.
4. Pada kita yang penting ialah menjaga perpaduan
keseluruhannya terutama apabila kita sedang menghadapi
satu-satu cabaran seperti kemelesetan ekonomi atau
ketegangan politik atau sosial. Perpaduan di kalangan
ahli-ahli sesebuah parti komponen dan di kalangan
parti-parti komponen sendiri adalah sangat penting bagi
mengatasi segala masalah atau cabaran. Kejayaan yang
cemerlang pula adalah sangat penting bagi Barisan Nasional
supaya dapat memerintah negara ini dengan lebih berkesan
lagi. Tidak mungkin kita dapat memerintah negara ini dengan
lebih berkesan sekiranya Barisan Nasional mendapat sokongan
yang terhad.
5. Mengenai GERAKAN pula, saya berasa bangga dengan
kejayaan yang telah ditempa oleh parti ini. Kekukuhan dan
keutuhan mana-mana parti komponen sesungguhnya adalah satu
sumbangan kepada kekuatan dan kekesanan Barisan Nasional.
Dalam hal ini, seharusnya tidak timbul apa-apa perasaan
cemburu di antara ahli-ahli komponen Barisan Nasional yang
lain, dan sememangnya saya percaya tidak ada perasaan
cemburu di antara satu parti komponen dengan parti komponen
yang lain dalam Barisan Nasional mengenai apa-apa kemajuan
yang dikecapi oleh mana-mana parti komponen. Sebaliknya,
kita harus saling sokong menyokong kerana kita semua
sebenarnya merupakan ahli-ahli dalam satu keluarga yang
besar di mana kekuatan kita ibarat kata orang puteh, adalah
"as strong as the weakest link".
6. Barisan Nasional merupakan satu parti yang matang dan
mempunyai cukup pengalaman untuk menakhodakan negara kita ke
arah kejayaan yang lebih pesat lagi. Ini adalah kerana
Barisan Nasional mempunyai ahli-ahli yang mewakili berbagai
kaum di negara ini dan diterima dan mendapat sambutan
daripada rakyat keseluruhannya. Ini terbukti pada setiap
kali kita mengadakan pilihanraya. Tidak ada parti lain
daripada Barisan Nasional yang boleh mengaku dirinya,
ataupun telah membuktikan kemampuannya untuk mewakili
masyarakat majmuk seluruh negara kita ini. Dan hakikat ini
jelas kerana pada setiap kali diadakan pilihanraya rakyat
akan menolak segala rayuan, janjian atau laungan parti lain.
Dan keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional inilah yang
harus kita pelihara dan pupuk dengan sebaik-baiknya supaya
ianya berterusan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
7. Mengenai ekonomi pula, kita harus berbangga dengan
perkembangannya akhir-akhir ini. Harga barangan kita telah
mula meningkat semula. Pelaburan juga telah meningkat, sama
ada pelaburan daripada para pelabur luar mahupun dalam
negeri. Keyakinan terhadap iklim ekonomi negara kita
semakin menebal. Semua ini adalah fakta-fakta yang tidak
boleh kita nafikan. Kita bertanggungjawab untuk sama-sama
menguatkan lagi keyakinan ini. Salah satu langkah yang
boleh kita sama-sama lakukan ialah menangkis gejala
khabar-khabar angin yang diada-adakan bagi mengeruhkan
semula suasana ekonomi kita.
8. Kita seharusnya tidak terpengaruh dengan berita rekaan
yang dibawa oleh anasir-anasir anti nasional itu, sebaliknya
kita harus menaruh keyakinan dan meneliti beberapa fakta
yang jitu mengenai ekonomi negara kita. Umpamanya rizab
antarabangsa Bank Negara kita telah meningkat tahun lalu
sebanyak $3,883 juta berbanding daripada tahun 1985. Ini
menjadikan rizab antarabangsa kita berjumlah kira-kira
$16,358 juta, iaitu satu jumlah yang tertinggi yang pernah
negara kita capai sejak hampir 30 tahun kemerdekaan kita.
Jumlah rizab kita ini adalah sama juga dengan keupayaan kita
mengimport selama 7.1 bulan. Sebagai perbandingan, pada
penghujung tahun 1985, rizab antarabangsa kita boleh
menampung import selama 5 bulan sahaja. Pada suatu masa
rizab negara kita pernah turun sehingga bersamaan kira-kira
3.5 bulan import sahaja.
9. Di samping itu kita harus juga bersyukur yang imbangan
pembayaran atau balance of payments negara kita tahun lalu
mencatatkan lebihan sebanyak $4,131 juta. Ini pun satu
rekod iaitu yang tertinggi yang pernah dicatitkan oleh
negara kita. Jumlah lebihan ini adalah $922 juta lebih
tinggi daripada lebihan tahun sebelumnya.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10. Kita tidak harus panik apabila berhadapan dengan
sesuatu masalah seperti kemelesetan ekonomi. Melempar
tuduhan bahawa orang itu salah, orang ini salah atau dasar
itu salah dan dasar ini salah bukan caranya bagi membetulkan
keadaan. Apa yang penting ialah mengkaji sesuatu gejala
dengan tenang, menentukan sebab-sebab yang sebenar, dan
menyusun langkah untuk mengatasi masalah itu. Jika kita
panik dan react secara membuta-tuli, maka keadaan akan
menjadi lebih buruk lagi.
11. Kemelesetan ekonomi negara kita disebabkan kita terlalu
bergantung kepada eksport bahan mentah untuk mendapat
tukaran asing. Sebaliknya kita boleh lihat beberapa Newly
Industrialising Countries atau NICs di Timur Asia mengalami
pertumbuhan ekonomi yang amat tinggi kerana mereka
bergantung kepada eksport barangan buatan. Dalam pada itu
kita juga harus sedar bahawa kurang larisnya eksport bahan
mentah kita ialah kerana kita adalah high-cost producers dan
tidak dapat bertanding dengan bahan-bahan lain atau
punca-punca lain.
12. Memandang kepada hakikat ini strategi kita, yang
pertama, ialah cuba mengurangkan kos pengeluaran bahan
mentah kita dan yang kedua ialah menumpu kepada bidang
pembuatan atau manufacturing untuk membantu pendapatan
tukaran asing.
13. Pihak Kerajaan telah membenarkan nilai matawang kita
jatuh sedikit dan ini menolong mengurangkan kos pengeluaran
kita. Tetapi ini tidak boleh diharapkan sangat kerana
ringgit yang murah meningkatkan kos bahan import yang
diperlukan untuk manufacture. Penurunan kadar faedah bank
juga boleh menolong. Tetapi, akhirnya yang terpenting ialah
kecekapan pengurus-pengurus kita mengurangkan kos
pengeluaran.
14. Dalam bidang pembuatan, kepakaran atau expertise kita
agak terhad. Namun demikian kita boleh mengatasinya dengan
mengadakan usahasama dengan pedagang-pedagang asing.
Tanda-tanda menunjukkan bahawa kemampuan kita dalam bidang
pembuatan sudah meningkat. Saya yakin bahawa akhirnya kita
akan mempunyai "optimum mix" antara eksport bahan mentah
dengan eksport barang buatan. Yang penting ialah kita tidak
mudah kecewa. Sebagai rakyat Malaysia kita harus menerima
"the good with the bad". Kalau kita menjadi "fine weather"
citizen sahaja, janganlah marah jikalau ketaatan kita
dipersoalkan. Pemimpin-pemimpin Gerakan, seperti juga
pemimpin-pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional,
mempunyai tanggungjawab menjelaskan keadaan yang sebenar
kepada rakyat.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
15. Saya berharap Persidangan ini akan dapat membawa
GERAKAN ke arah kekuatan yang bertambah lagi. Saya
mempunyai keyakinan bahawa GERAKAN akan dapat memainkan
peranan yang lebih lagi dalam membangunkan masyarakat dan
negara.
16. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada
Jawatankuasa Pusat GERAKAN kerana menjemput saya ke
Persidangan Perwakilan ini. Saya berharap GERAKAN akan
terus mencapai kejayaan pada tahun-tahun yang akan datang.
17. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya membuka
Persidangan Perwakilan Parti GERAKAN ini dengan rasminya.
Terima kasih.
|