Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 11/06/87
Tajuk/Title : SEMPENA MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT
PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN DAN
BINTANG-BINTANG SERTA PINGAT-PINGAT
Mengadap Duli Yang Maha Mulia
Seri Paduka Baginda Almutawakkil Alallah
Sultan Iskandar
D.K., Yang Di-Pertuan Agong Malaysia
Ampun Tuanku.
Bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat serta diri patek
sendiri, patek mohon menyembah setinggi-tinggi ucapan
tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sempena Majlis
Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan
Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat pada hari ini.
2. Sempena hari yang berbahagia ini, patek sekalian berdoa
ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga dilanjutkan usia
serta dilimpahkan rahmat dan hidayahNya kepada Duli Tuanku
serta Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja
Permaisuri Agong. Demikian juga, patek sekalian berdoa
semoga Tuanku berdua sentiasa di dalam kandungan sihat
walafiat, serta memerintah dan memegang teraju tertinggi
pemerintahan negara Malaysia, dengan bertambah daulat dan
kemuliaan.
Ampun Tuanku,
3. Ekonomi negara yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan
akhir tahun lalu terus berkembang tahun ini. Permintaan ke
atas barangan eksport negara telah bertambah dan harga
beberapa barangan komoditi telah meningkat ke paras yang
menggalakkan. Harga minyak petroleum semakin stabil, harga
minyak sawit telah meningkat, dan begitu juga dengan harga
bijih timah. Patek yakin proses pemulihan ekonomi negara
ini akan berterusan walaupun secara perlahan-lahan,
insya-Allah.
4. Di samping itu, kawalan ke atas import dan kawalan
kewangan yang ketat oleh Kerajaan semenjak beberapa tahun
yang lalu telah menampakkan hasil yang menggalakkan. Salah
satu contoh kejayaan kawalan itu ialah berkurangnya jumlah
import, sementara defisit akaun tak ketara atau 'invisibles
account' bertambah baik. Kejayaan langkah-langkah ini
dibayangkan juga melalui meningkatnya rizab antarabangsa
atau 'external reserves' negara kita.
5. Pada keseluruhannya Kerajaan yakin ekonomi negara akan
terus berkembang tahun ini. Kerajaan memerlukan inisiatif
yang lebih lagi daripada sektor swasta bagi meningkatkan
pelaburan dan pengeluaran barangan eksport. Dengan wujudnya
beberapa insentif oleh Kerajaan bagi para pelabur dan
pengilang sejak dua tahun lalu, penyertaan swasta semakin
menggalakkan. Walau bagaimanapun penyertaan swasta boleh
ditingkatkan lagi pada tahun-tahun yang akan datang.
6. Mengenai perpaduan pula, Alhamdulillah, kita bersyukur
dengan tahap perpaduan yang telah kita capai setakat ini.
Namun demikian Kerajaan akan terus berusaha untuk
meningkatkan lagi perpaduan rakyat supaya terbina satu
negara yang teguh lagi makmur. Insya-Allah, cita-cita
Kerajaan akan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wataala.
Ampun Tuanku,
7. Patek, bersama-sama dengan Menteri-Menteri,
Timbalan-Timbalan Menteri, dan sekalian kakitangan Kerajaan,
akan terus menumpukan usaha dan tenaga untuk menyempurnakan
tugas dan tanggungjawab patek sekalian dengan penuh semangat
dan tekad bagi menjamin kemakmuran, keselamatan dan
kebahagiaan rakyat dan negara Malaysia.
8. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, bagi
pihak diri patek, Kerajaan dan seluruh rakyat, patek dengan
segala hormat dan takzimnya mohon menyembah ikrar taat-setia
yang tidak berbelah bahagi kepada Duli Tuanku.
Ampun Tuanku, sembah patek harap diampun.
|