Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 09/07/87
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PAMERAN
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh;
Yang Berhormat Menteri-Menteri;
Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri;
Yang Berbahagia Ketua-Ketua Pengarah;
Dif-dif kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Lembaga
Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara serta Muzium Negara
kerana berjaya menganjurkan Pameran ini. Saya berpendapat
memang kena dan tepat masanya perhatian diberikan terhadap
pembangunan kanak-kanak di negara kita ini.
2. Pameran ini adalah lebih bermakna bersempena dengan
pengesahan 'Hari Ke-5 Billion' Bangsa-bangsa Bersatu pada
11hb Julai ini. Walaupun 'Day of Five Billion' ini adalah
satu hari yang bermakna dari perspektif pertumbuhan
kependudukan, tetapi ianya juga mempunyai erti yang besar
bagi kita, kerana lebih kurang setengah daripada jumlah 5
billion itu adalah terdiri daripada kanak-kanak yang berumur
bawah daripada 15 tahun. Oleh itu wajarlah kita semua
memikir semula nasib masa depan kanak-kanak, bekerjasama dan
menggembeling tenaga kita untuk membangun satu negara yang
sihat dan kukuh melalui pembangunan manusia, khususnya
kanak-kanak pada hari ini.
3. Saya difahamkan Pameran ini akan memberi tumpuan
terhadap penyebaran penerangan mengenai potensi membangunkan
atau develop kanak-kanak, faktor-faktor yang mempengaruhi
pembentukan akhlak, sikap dan tahap intelek kanak-kanak dan
sebagainya. Faktor-faktor ini meliputi peranan ibu bapa,
pendidik, para profesional dan seluruh masyarakat.
4. Masih ramai belum mengetahui mengenai dunia
kanak-kanak. Kita belum lagi mengetahui dengan sepenuhnya
apakah kaedah yang sesuai bagi kita mendapat hasil yang
optima di dalam membentuk kanak-kanak. Kita juga kurang
arif tentang akibat persekitaran terhadap pembentukan akhlak
dan emosi seseorang kanak-kanak itu. Pengetahuan kita
terhadap bagaimana seseorang kanak-kanak itu berkembang
adalah mustahak di dalam menghindarkan tingkahlaku yang
tidak baik, dan kita patut memperkenalkan kaedah-kaedah yang
efektif. Oleh itu, kita perlu menumpu dan meneruskan lagi
usaha di dalam memperkukuhkan dan memperkembangkan ilmu
pengetahuan kita dalam bidang kanak-kanak.
5. Kebudayaan dunia kini sudah banyak berubah. Anak-anak
terdedah kepada berbagai-bagai pengaruh, sama ada media
massa TV, wayang gambar, dan berbagai lagi
dipersekitarannya. Dari kecil lagi kanak-kanak kini telah
dapat menikmati permainan melalui komputer. Dari televisyen
pula berbagai-bagai perkara seperti cerita-cerita dan
kejadian-kejadian yang buruk seperti keganasan, jenayah,
nilai-nilai hidup yang asing dan kadangkala buruk akan
dilihat dan sudah tentu sedikit sebanyak akan mencorakkan
akhlaknya.
6. Kanak-kanak sekarang terdedah kepada bermacam-macam
pengaruh. Ibu bapa pula ada kalanya tersinggung dan kurang
yakin akan peranan mereka sebagai pendidik anak. Sebaliknya
ibu bapa mempunyai potensi pengaruh yang besar ke atas anak
mereka. Jika potensi ini diguna dengan baik, terutama di
masa anak mereka kecil lagi, nilai-nilai baik akan meresap
menjadi sebahagian daripada peribadi anak, yang tidak mudah
diubah dengan pendedahan kepada pengaruh lain di masa
membesar. Kegagalan ibu bapa menggunakan peluang didikan
awal ini akan memudahkan penerapan nilai-nilai yang tidak
diingini yang terdapat dalam masyarakat dunia moden ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Berbagai-bagai cara memberi galakan kepada kanak-kanak
telah disarankan dan ibu bapa memerlukan panduan-panduan
tentang cara-cara ini dengan mudah dan praktikal. Ibu bapa
tidak lagi boleh percaya bahawa setiap orang dari mereka
sudahpun dikurniakan kebolehan untuk mendidik anak dengan
jayanya. Sudah tiba masanya bagi kita mempelajari sedikit
sebanyak akan isi kandungan dan cara mendidik anak di rumah.
8. Tahap kesihatan kanak-kanak kita sudah lebih baik
daripada dahulu. Jika dahulu ramai kanak-kanak yang mati
akibat penyakit-penyakit berjangkit, tetapi kini kesihatan
kanak-kanak tidak begitu terancam. Oleh itu ibu bapa
berpeluang menumpukan lebih banyak masa kepada pembentukan
peribadi yang mulia.
9. Kanak-kanak yang cacat juga memerlukan bantuan-bantuan
untuk memaksimakan potensinya. Di sini masyarakat dan
ahli-ahli profesional tertentu boleh memainkan peranan yang
besar bagi mengeratkan dan memperbaiki hubungan semulajadi
di antara ibu bapa dan kanak-kanak, serta menggalakkan
keluarga supaya mengambil tanggungjawab yang lebih di atas
penjagaan anak mereka.
10. Anak-anak merupakan aset negara. Ibu bapalah yang
menjadi model yang ulung kepada anak mereka. Ibu bapalah
juga yang boleh mengawasi supaya pengalaman-pengalaman yang
dialami oleh anak-anak mereka merupakan pengalaman yang
membina akhlak dan meneguhkan imannya.
11. Ahli-ahli saikologi kanak-kanak bersetuju bahawa
seseorang kanak-kanak itu melalui peringkat perkembangan
yang tertentu dan melalui berbagai krisis yang datang
daripada kehendak-kehendak ibu bapa dan masyarakat.
Kegagalannya dalam melalui peringkat-peringkat ini akan
menjejaskan dan seterusnya mendatangkan kegagalan ataupun
kebingungan kepada seseorang kanak-kanak itu di dalam
masyarakat. Oleh itu, penjagaan yang bermutu dan
perlindungan semasa di peringkat awal kehidupan kanak-kanak
adalah sangat mustahak.
12. Kita sedar bahawa usaha ke arah membangunkan
kanak-kanak ini adalah satu usaha bersepadu. Maka adalah
amat mustahak usaha 'multi-sectoral' atau pendekatan
berbagai sektor dan berbagai disiplin ini diwujud atau
diperkukuhkan bagi menentukan kebajikan kanak-kanak. Kita
perlu menumpukan usaha terhadap memupuk dan membangun
kanak-kanak dengan nilai-nilai yang positif.
13. Sementara ibu bapa memainkan peranan utama dalam
pembentukan peribadi generasi akan datang, pihak lain tidak
pula boleh melepaskan tanggungjawab mereka. Di antara yang
dekat dengan kanak-kanak ialah guru-guru.
14. Setelah kanak-kanak ke sekolah, pengaruh guru ditokok
kepada pengaruh ibu bapa. Bahawa guru bukan sahaja menyemai
ilmu tetapi menjadi contoh dan teladan kepada kanak-kanak
yang menjadi murid mereka adalah satu kenyataan. Ramai
kanak-kanak mendewa-dewakan guru-guru tertentu. Ini memberi
peluang kepada guru berkenaan menolong membina segala nilai
yang mulia dalam hati kanak-kanak.
15. Masyarakat akan kecewa jika guru bersikap tidak
bertanggungjawab selain daripada menyemai ilmu. Latihan
rohani dalam bilik darjah dan di padang permainan tidak
kurang pentingnya berbanding dengan penyampaian berbagai
ilmu pengetahuan.
16. Akhirnya masyarakat keseluruhannya mempunyai
tanggungjawab dalam mendidik anak-anak dan menentukan nilai
hidup mereka. Masyarakat yang kasar, tidak berakhlak, malas
dan sebagainya tidak mungkin melahirkan generasi muda yang
bersopan, mulia dan rajin. Justeru itu, jika sesuatu
masyarakat itu ingin melihat anak-anak mereka dibesarkan dan
menjadi insan yang mulia, unsur-unsur negatif seperti ini
hendaklah terlebih dahulu dihindar dan diketepikan. Hanya
dengan menyeru supaya ibu bapa dan guru membentuk peribadi
yang baik di kalangan anak-anak tidak akan membawa kesan
yang kita harapkan. Kalau pada hari ini kita perhatikan
terdapat masyarakat yang mudah berjaya dan sebaliknya
terdapat juga masyarakat yang selalu gagal, kejayaan dan
kegagalan tersebut adalah bergantung kepada nilai hidup yang
diamalkan oleh masyarakat berkenaan. Oleh itu amatlah
penting masyarakat yang ingin melihat anak-anak dan generasi
baru yang baik mengamalkan sendiri segala amalan yang baik
yang boleh membawa kejayaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
17. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara serta
Muzium Negara kerana menjemput saya ke majlis pembukaan ini.
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran
'Duniaku' ini.
Wabillahi taufik Walhidayah Wassalamu alaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
|