Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : WISMA MCA, JALAN AMPANG,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 11/07/87
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MCA
Yang Berhormat Dato' Dr. Ling Liong Sik,
Pemangku Presiden MCA;
Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat;
Wakil-wakil Kehormat Parti-Parti Komponen
Barisan Nasional;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
MCA kerana memberi penghormatan kepada saya untuk merasmikan
Perhimpunan Agung Tahunan MCA ini. Kepada para perwakilan
sekalian saya berharap Perhimpunan ini akan menghasilkan
sesuatu yang akan membantu mengukuhkan lagi MCA dan Barisan
Nasional.
2. Kejayaan Barisan Nasional mendiri dan memerintah negara
ini semenjak kita mencapai kemerdekaan adalah kerana kita
terdiri daripada golongan yang moderate. Kita lebih suka
menyelesaikan masalah antara kita dan masalah negara melalui
rundingan di meja daripada berkonfrontasi sesama kita.
Parti-parti lain tidak mungkin berjaya memerintah dalam
negara berbilang kaum ini kerana mereka lebih suka
bersengketa daripada bermuafakat. Mereka berpendirian
ekstrim dan menuntut dengan suara lantang kerana kononnya
inilah cara demokrasi. Akibatnya, demokrasi menang tetapi
mereka kalah dan masyarakat rugi.
3. Kejayaan kita ini bukanlah tidak dengan pengorbanan.
Sedikit sebanyak kita semua telah membuat pengorbanan demi
kebaikan bersama. Kita tidak suka 'kalah sabong, menang
sorak' atau mengikut perpatah Inggeris 'win the battle but
lose the war'. Kata perpatah Inggeris lagi, 'half a loaf is
better than no bread'. Pihak yang keterlaluan di kalangan
kita suka membuat tuntutan yang ekstrim yang tidak mungkin
dijayakan. Tetapi kepimpinan yang bertanggungjawab di
kalangan kita masih sanggup memimpin ke arah kesederhanaan
supaya kita dapat sekurang-kurangnya 'half a loaf' dan kita
korbankan yang setengah lagi. Harus kita ingat bahawa pihak
lain juga mesti menjaga credibility mereka, dan perlu
menerima 'the other half'. Inilah falsafah Barisan Nasional
yang telah memberi kejayaan kepada kita sejak merdeka.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
4. Ekonomi negara kita telah menunjukkan tanda-tanda
pemulihan dan saya percaya ini adalah berita yang baik
kepada kita semua. Dan untuk menentukan supaya pemulihan
ekonomi terus berjalan dengan lancar, rakyat Malaysia
keseluruhannya dan lebih-lebih lagi para pemimpin hendaknya
janganlah melakukan perkara-perkara atau meluahkan kata-kata
yang mungkin secara langsung ataupun tidak, menggugat
pemulihan ekonomi ini. Kadang-kadang saya rasa seolah-olah
kita orang-orang Malaysia adalah musuh ketat diri kita
sendiri -- 'we Malaysians are our own worst enemies'. Kita
lebih awal condemn apa juga rancangan untuk kebaikan yang
kita buat sehingga orang lain juga tidak dapat yakin akan
kebolehan kita. Dengan kehilangan keyakinan oleh semua
pihak, maka rancangan kita pun gagal. Maka puaslah hati
'the Prophets of doom' ini kerana ramalan mereka telah
menjadi kenyataan. Sebaliknya, bangsa-bangsa yang berjaya
lebih suka mengalu-alukan rancangan mereka sendiri, dan
untuk memelihara maruah dan komitmen mereka, mereka berusaha
supaya rancangan mereka tetap berjaya. 'We cannot win if we
start off by saying we will lose and then to ensure that our
prediction is right we work against the possibility of
winning'. Inilah yang selalu berlaku di Malaysia.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
5. Parti-parti komponen Barisan Nasional masing-masing
sememangnya berjuang untuk memajukan kedudukan sosio ekonomi
dan juga politik masyarakatnya sendiri. Ini tidak menjadi
satu kesalahan. Walau bagaimanapun dalam kita
memperjuangkan kepentingan kaum kita sendiri, kita mestilah
sentiasa berpandu dan mengamalkan kesederhanaan dan bersikap
rasional dalam setiap kegiatan kita. Kita mestilah sentiasa
berhati-hati dalam membuat apa-apa tuntutan jika kita hendak
mengelakkan diri daripada dituduh bertindak keterlaluan. Di
sinilah letaknya kebijaksanaan dan kematangan seseorang
pemimpin itu.
6. Kebelakangan ini pula kita banyak mendengar dan membaca
di akhbar-akhbar mengenai begitu banyak pendapat yang
berlainan di antara parti-parti komponen Barisan Nasional
mengenai beberapa perkara sehingga ianya memberi gambaran
seolah-olah parti-parti komponen Barisan Nasional tidak lagi
sepakat dan sealiran. Apa yang tidak diberi perhatian ialah
kejayaan Barisan Nasional mengatasi masalah akhirnya. Jika
kita pandang ke belakang, kita akan lihat begitu banyak
perselisihan yang difikir akan menghancurkan Barisan
Nasional, sekarang ini tidak menjadi masalah lagi. Kita
sudah menyelesaikan masalah-masalah ini. Anggapan orang
lain bahawa Barisan Nasional sudah lemah adalah mimpi
mereka.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
7. Sepertimana kita semua sedia maklum, Barisan Nasional
bergerak dan bertindak berpandukan, di antara lain, kepada
prinsip-prinsip kerjasama, bermuafakat dan bantu membantu di
antara satu sama lain. Barisan Nasional lebih mengutamakan
mesyuarah dan concensus. Barisan Nasional juga mementingkan
kerjasama, toleransi dan semangat tolak-ansur di antara
parti-parti komponen dalam usaha-usahanya untuk mencapai
persetujuan. Barisan Nasional lebih suka berbincang sesama
sendiri dahulu secara tertutup sekiranya berbangkit sesuatu
isu yang dianggap penting. Inilah yang kita lakukan
semenjak dahulu lagi dan tindakan-tindakan kita telah
berjaya menyelesaikan berbagai-bagai masalah, yang kalau
tidak dapat diatasi, tetap akan menghancurkan parti dan
Kerajaan campuran.
8. Walau bagaimanapun, pada akhir-akhir ini prinsip
toleransi, tolak-ansur dan kerjasama ini, pada hemat saya,
nampaknya agak tergugat sedikit. Terdapat pihak-pihak
tertentu yang telah membelakangkan prinsip mesyuarah kita
ini, prinsip sepakat dan prinsip saling hormat menghormati.
Terdapat juga di kalangan parti-parti komponen pihak-pihak
yang kerap dan nyaring menyuarakan sesuatu tanpa
mengambilkira asal-usul perkara yang dibangkitkan itu dan
tanpa memperhitungkan akibat tindakan gopoh mereka.
9. Saya berpendapat sekiranya ada ketidak-puasan hati
mengenai sesuatu perkara, parti-parti komponen Barisan
Nasional sepatutnyalah menggunakan saluran yang sedia ada
antara parti. Dengan berbuat demikian, kita dalam Barisan
Nasional dapat membincangkan sesama kita secara tertib,
teratur dan rasional. Jika tidak, faktor 'public posture'
akan complicate usaha ke arah penyelesaian.
10. Perjuangan Barisan Nasional dan perjuangan Kerajaan
yang dibentuk oleh Barisan Nasional adalah untuk menentukan
Malaysia terus aman, makmur, stabil dan tenteram. Tetapi
jika kita tidak berjaga-jaga kestabilan yang telah kita
capai akan hilang.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
11. Satu gejala politik yang perlu diawasi di negara ini
ialah kegiatan memindah kesetiaan wakil rakyat dari satu
parti kepada parti lain. Jika pemindahan ini adalah kerana
perbezaan pendapat atau ideologi, ini tidak mengapa,
walaupun agak tidak ethical. Wakil dipilih oleh rakyat
kerana, antara lain, ia dicalonkan oleh parti tertentu.
Jika ia tidak bersetuju lagi dengan partinya, ia sepatutnya
mengosongkan tempatnya.
12. Apa yang menjadi semakin jelas ialah pemindahan ini
adalah kerana wakil rakyat itu disogok atau dijanjikan wang
atau sesuatu yang lain. Perbuatan seumpama ini tidak
berbeza dengan penerimaan rasuah untuk tujuan tertentu.
13. Rasuah, walau apa juga bentuknya, tidak boleh dipandang
ringan oleh masyarakat atau Kerajaan. Jika disyaki bahawa
pemindahan kesetiaan mana-mana wakil rakyat adalah kerana
disogok wang atau lain-lain cara yang sedemikian, siasatan
akan dibuat terhadap wakil berkenaan dan jika didapati
benar, tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.
Politik wang tidak boleh dibenarkan berleluasa di negara
ini. Jika Kerajaan sudah boleh dibeli, maka bukan sahaja
demokrasi tidak bermakna lagi, tetapi juga negara ini
mungkin diperkosa oleh orang yang kaya, dan lebih buruk lagi
oleh kuasa asing. Oleh sebab itu, Kerajaan memandang berat
terhadap sebarang kegiatan yang cuba menjatuhkan Kerajaan
dengan menggunakan wang.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
14. Kemajuan dan kestabilan yang kita nikmati setakat ini
adalah hasil usaha kita bersama. Kerja dan beban yang berat
telah kita pikul bersama-sama. Berbagai-bagai rintangan dan
halangan telah sama-sama kita atasi. Dalam ertikata yang
lain dengan satu hati, kata sepakat dan keazaman rakyat,
Malaysia telah mengatasi berbagai cabaran dengan jayanya.
15. Malaysia adalah negara kita. Baik buruknya Malaysia
bergantung kepada cara kita mentadbir dan menguruskannya.
Baik kita menguruskannya, maka baik dan majulah negara kita
ini. Sekiranya kita cuai mentadbirkannya, buruklah
akibatnya. Malaysia pada umumnya mempunyai cukup kemudahan
untuk menampung keperluan asas masyarakatnya, tetapi
Malaysia tidak dapat memenuhi kehendak orang-orang yang
tamak. 'Malaysia has enough for everyone's needs, but not
for anyone's greed'.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
16. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada
Jawatankuasa Pusat MCA kerana telah menjemput saya ke
Perhimpunannya ini. Saya berharap Perhimpunan ini akan
berjaya menentukan dengan tenang siapa yang akan menjadi
pemimpin-pemimpin parti. Dengan harapan ini, saya dengan
sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung MCA kali ini.
|