Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : TAMAN TASIK TITIWANGSA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 15/08/87
Tajuk/Title : UPACARA PENUTUP PERTANDINGAN
PERTOLONGAN CEMAS PERINGKAT
KEBANGSAAN PERSATUAN BULAN SABIT
MERAH MALAYSIA
Yang Mulia Tunku Tan Sri Mohamed bin Tunku
Besar Burhanuddin, Pengerusi Kebangsaan
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia;
Tuan Haji Noordin bin Haji Abdul Razak,
Pengerusi Pertandingan Pertolongan Cemas
Peringkat Kebangsaan;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan;
Para peserta pertandingan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bulan
Sabit Merah Malaysia kerana memberi kesempatan kepada saya
merasmikan upacara penutup Pertandingan Pertolongan Cemas
Peringkat Kebangsaan, Persatuan ini. Saya juga mengucapkan
tahniah kepada Persatuan Bulan Sabit Merah kerana telah
berjaya menganjurkan pertandingan ini buat kali yang ke
sepuluhnya.
2. Selama dua hari berturut-turut ahli-ahli Persatuan
Bulan Sabit Merah dari seluruh negara berada di Kuala Lumpur
untuk bertanding, menunjukkan kecekapan dan keistimewaan
masing-masing di dalam bidang pertolongan cemas. Sudah
menjadi kebiasaan dalam setiap pertandingan iaitu akan ada
yang menang dan akan ada yang kalah. Kepada yang berjaya
saya ucapkan tahniah dan berharap mereka akan terus berusaha
untuk meningkatkan lagi prestasi mereka. Kepada yang lain
pula saya berharap mereka akan lebih berusaha di masa-masa
akan datang.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
3. Sebagai sebuah pertubuhan sukarela yang dinamis,
sumbangan Persatuan Bulan Sabit Merah kepada masyarakat
tidak dapat disangkal lagi. Kegiatan-kegiatan Persatuan ini
seperti:-
- pertolongan kepada mangsa-mangsa banjir, kebakaran
dan tanah runtuh,
- pertolongan cemas perubatan,
- kegiatan menderma darah dan,
- perkhidmatan ambulans kecemasan 24 jam,
sememangnya telah diketahui umum.
Usaha-usaha seumpama ini telah menjadikan Persatuan Bulan
Sabit Merah salah sebuah pertubuhan sukarela yang cergas dan
disanjungi.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
4. Sepertimana yang kita sedia maklum belia-belia kita
juga memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.
Oleh itu adalah wajar mereka diperlengkapkan dengan
berbagai-bagai latihan dan kemahiran yang bermanfaat bagi
membolehkan mereka berbakti kepada masyarakat dan negara.
Saya percaya penglibatan belia dalam Persatuan Bulan Sabit
Merah ini adalah kena pada tempatnya dalam menguatkan
disiplin diri di samping memperlengkapkan diri dengan segala
kemahiran dan pengalaman dalam bidang-bidang tertentu.
5. Kini satu lagi masalah sosial iaitu penyalah-gunaan
dadah kian mengancam kehidupan seharian kita bahkan ianya
juga merupakan masalah yang dihadapi di merata dunia.
Bahaya ancaman dadah bukan sahaja menjadi masalah kepada
Malaysia tetapi juga kepada seluruh dunia. Kalau dahulu
langkah kita mengambil tindakan keras dan tegas terhadap
pengedar-pengedar dadah menerima kritikan, tetapi hari ini,
alhamdulillah, kita telah dapat menyedarkan masyarakat
antarabangsa akan betapa perlunya tindakan sedemikian.
Mereka juga semakin bersependapat dengan kita bahawa
tindakan dan hukuman yang kita kenakan kepada
pengedar-pengedar dadah bukanlah suatu tindakan yang kejam
tetapi sebaliknya adalah wajar dan ianya adalah semata-mata
untuk memastikan supaya masyarakat diselamatkan daripada
bahaya dadah.
6. Semenjak Kerajaan melancarkan kempen anti dadah pada
tahun 1983, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia telah
tampil ke hadapan untuk bersama-sama dalam program
membanteras penyalah-gunaan dadah. Penglibatan Persatuan
ini dengan menubuhkan pasukan petugas khususnya untuk
membantu Kerajaan dan PEMADAM adalah dihargai. Saya
berharap semua pihak sama ada pertubuhan - pertubuhan
sukarela, ibu bapa, guru-guru, Jabatan Kerajaan dan swasta
akan meningkatkan sumbangan dan usaha masing-masing untuk
membanteras masalah penyalah-gunaan dadah ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
7. Akhir kata saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada
Persatuan Bulan Sabit Merah kerana khidmat
mereka kepada masyarakat. Saya berharap khidmat bakti
Persatuan ini dapat ditingkatkan lagi demi kebaikan kita
bersama. Dengan ini, saya dengan sukacitanya menutup Acara
Pertandingan Pertolongan Cemas Peringkat Kebangsaan,
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dengan rasminya.
|