Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	26/08/87 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1408 




 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Dato Dr. Yusof Noor,
     Menteri di Jabatan Perdana Menteri;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan;
    Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu
Wataala  kerana  dengan  rahmat dan hidayahNya dapatlah kita
bersama-sama menyambut Maal Hijrah bagi  tahun  1408  Hijrah
ini.  Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih
kepada  pihak  penganjur  kerana  menjemput  saya  ke Majlis
Sambutan Maal Hijrah ini.
2.   Hijrah atau perpindahan Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke
Madinah merupakan satu titik sejarah yang amat besar ertinya
ke atas perkembangan Islam dan juga kekuatan umatnya.
3.   Pentingnya Hijrah itu tidak dapat kita  nafikan  kerana
ia  adalah satu Sunnah Nabi yang  memberi  pedoman  terhadap
sikap  dan gerak-geri  kita.   Antaranya,  dengan  Hijrahlah
kedudukan umat Islam telah berubah.  Kalaulah sebelum Hijrah
mereka telah dihina, diseksa dan dihalang daripada melakukan
tuntutan-tuntutan agama, maka setelah  berhijrah  Rasulullah
s.a.w.  dan  umat  Islam  tidak lagi menerima penghinaan dan
penyeksaan.    Sokongan  kaum  Muslimin  di  Madinah,  serta
terlepasnya  daripada  cengkaman  golongan  Musyrikin Mekah,
telah  berjaya  membebaskan  umat  Islam  daripada  belenggu
penindasan dan penghinaan.
4.   Selain  daripada itu Hijrah juga telah mengubah keadaan
kesempitan hidup yang dialami oleh umat Islam  dalam  bidang
ekonomi.   Di   Madinah   khususnya,    orang-orang    Islam
berpeluang dan  berjaya membangunkan ekonomi mereka.  Hijrah
juga menjadikan kumpulan  Muslimin  yang  kecil  bilangannya
di  Mekah  dahulu  bertambah   besar   dan   kuat   sehingga
terbentuknya sebuah negara Islam di  Madinah.  Negara  Islam
yang  baru  muncul  itu kemudian  telah berkembang maju  dan
kuat  sehingga dapat   menandingi  pemerintahan-pemerintahan
lain  di  sekitarnya.     Kepimpinan  yang  ditunjukkan oleh
Rasulullah s.a.w.  sebagai  ketua  Negara Islam Madinah yang
kemudiannya diteruskan  oleh sahabat-sahabatnya  yang  jujur
dan ikhlas telah berjaya memperluaskan Negara Islam sehingga
ke  Eropah  dan  Asia Tengah.
5.   Hijrah  Rasulullah  s.a.w.  dari  Mekah ke Madinah juga
memberi  pengajaran  yang  penting kepada umat Islam.  Untuk
memastikan   perkembangan   agama   Islam,  Baginda  sanggup
berundur dahulu dan  merintis jalan  yang  lain  yang  lebih
selamat.   Demikian  juga  dengan kita umat Islam di   zaman
kemelesetan  ini.   Jika  kita  lemah  kita   harus  mencari
jalan  untuk menguatkan diri sebelum kita menghadapi sesuatu
cabaran.  Berundur sementara waktu tidak bermakna kegagalan.
Ianya satu strategi sahaja.  Kita tidak harus angkuh  dengan
taraf  kita sehingga kita tidak sanggup membuat sesuatu yang
dianggap rendah atau menghinakan, walhal perbuatan itu boleh
menolong kita apabila keadaan berubah.  Sebenarnya,  apabila
kita mengakui dan menerima hakikat itu dan kita menyesuaikan
langkah-langkah kita dengan hakikat  tersebut  demi kejayaan
jangka panjang, kita melakukan hijrah yang semangatnya tidak
berbeza dengan Hijrah junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w.
6.   Sesuai  dengan  perjuangan   Rasulullah   s.a.w.   yang
membetul   dan   memperkuatkan   akidah,   memperbaiki   dan
meningkatkan   ekonomi,   memaju   dan   meningkatkan   ilmu
pengetahuan  serta  membentuk dan memelihara Kerajaan Islam,
maka Kerajaan Malaysia sekarang ini juga  berusaha  ke  arah
itu.  Jika Kerajaan menyeru dan mengamalkan amalan berjimat-
cermat,  sebabnya  ialah  kerana  Kerajaan  menerima hakikat
kemelesetan  dan  perlunya  kita  mengubah  strategi   untuk
kejayaan  di masa depan.  Kita mengundur setapak ke belakang
untuk melangkah dua tapak ke hadapan.  Kita berhijrah.
7.   Sepertimana yang kita sedia maklum  bahawa  Hijrah  ini
ertinya  berpindah, maka kita umat Islam hendaklah berpindah
atau mengubah sikap yang kurang baik dan tidak menguntungkan
kepada  sikap  yang  lebih  berfaedah,   walaupun   terpaksa
berhadapan  dengan berbagai cabaran.  Nasib umat Islam tidak
akan berubah jika kita sendiri  tidak  mahu  mengubahkannya.
Sikap  manja, kurang berusaha, mengharap belas kasihan orang
adalah sifat-sifat hina yang tidak disukai  oleh  Islam  dan
bertentangan dengan semangat Hijrah ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8.   Hijrah   boleh   juga  kita  ertikan  sebagai  'keluar'
daripada     sesuatu    kedudukan    atau    keadaan    yang
buruk  atau  tertekan  kepada  keadaan yang lebih selesa dan
terjamin.  Umat Islam mestilah  mengutamakan  unsur  ikhtiar
dalam  hidup  kita  setiap  hari  oleh  kerana  penghijrahan
Rasulullah s.a.w. dari Mekah  ke  Madinah  adalah  merupakan
satu  ikhtiar.   Umat Islam dilarang menyerah segala-galanya
ke hadrat  Ilahi,  sebaliknya  kita  mesti  berikhtiar  bagi
menjayakan  apa  juga  projek  atau  aktiviti.    Kita tidak
seharusnya menyalahkan takdir jika kita gagal,  kerana  jika
kita berikhtiar dan mencapai kejayaan, itu juga takdir.
9.   Hari  ini  kedudukan  pengangguran  memang lebih tinggi
peratusnya daripada satu dekad yang lalu.  Di  samping   itu
keluasan  tanah yang  terbiar  juga meningkat dari masa-masa
yang lalu.  Di  sini  ikhtiar kita ialah  mengambil  langkah
bagi   mengurangkan   kedua-dua   gejala   pengangguran  dan
tanah-tanah terbiar  ini.    Selaras  dengan semangat Hijrah
ini,  anak-anak   muda  yang  menganggur   haruslah bersedia
mengerjakan tanah-tanah terbiar ini dengan aktiviti-aktiviti
pertanian  dan  juga   industri   kecil. Kita hendaklah juga
berikthiar menggunakan ilmu pengetahuan untuk memperkenalkan
apa-apa  pembaharuan,   walaupun    secara    kecil-kecilan,
bagi    memudahkan    kita   menjalankan   aktiviti-aktiviti
pertanian  atau  industri  kecil  di luar bandar.
10.  Peristiwa Hijrah juga  mengajar  kita  supaya  bersedia
menghadapi sebarang cabaran atau kemungkinan, dan dengan itu
berusaha   supaya  kemungkinan     sesuatu  peristiwa  buruk
tidak  berlaku.   Sebelum Hijrah,  Rasulullah  s.a.w.  telah
merapatkan perhubungan dengan pembesar-pembesar  Madinah dan
sudah  terdapat  perjanjian  dan  sumpah setia orang Madinah
kepada Baginda.    Apabila  di Madinah, penganut Islam telah
menghadapi  beberapa  percubaan daripada kaum Jahiliah untuk
menawan   Madinah.  Semua  dugaan  ini  telah  dapat diatasi
oleh  Rasulullah dan  pengikut-pengikutnya,  apabila  mereka
bersedia untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan buruk  dan
tentangan-tentangan seperti itu.
Tuan-tuan  dan puan-puan,
11.  Apa  yang  telah saya sebutkan adalah sebahagian sahaja
daripada  pelajaran  yang  boleh  diperolehi  daripada  satu
peristiwa  yang  amat  penting  dalam  sejarah  perkembangan
Islam.  Jika bahagian yang kecil ini sahaja memberi  panduan
kepada  kehidupan  umat  Islam,  ini  sudah  boleh  menjamin
kebahagiaan yang besar bagi kita.
12.  Dalam sambutan Maal  Hijrah  yang  akan  diadakan  pada
tiap-tiap  tahun,  kita  mungkin dapat memperolehi lain-lain
pelajaran pula daripada peristiwa Hijrah.   Tidak syak  lagi
bahawa  sedikit  demi  sedikit  sambutan  Maal  Hijrah  akan
menjadi   satu   daripada    cara    bagi      mengembangkan
ajaran  dan  nilai  hidup  umat Islam yang boleh menambahkan
kebahagiaan kita.   Oleh itu, kita  rayakanlah  Maal  Hijrah
dengan   penuh   kesedaran  dan  kefahaman  akan  pentingnya
peristiwa yang berkat ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13.  Sempena sambutan peristiwa Hijrah yang bersejarah  ini,
marilah   kita   bersama-sama  memperkuatkan  perpaduan  dan
mengembleng tenaga menjalankan kewajipan.  Sama-samalah kita
berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala  semoga  perjuangan
kita akan sentiasa diberkati dan dilindungiNya.
Wabillahitaufik  walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

 
 



 
Google