Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL MERLIN SUBANG, SHAH
ALAM, SELANGOR
Tarikh/Date : 29/08/87
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MIC
Yang Berhormat Dato' S. Samy Vellu,
Presiden MIC;
Yang Berhormat Dato' S. Subramaniam,
Timbalan Presiden MIC;
Ahli-ahli Exco MIC;
Para perwakilan MIC;
Wakil-wakil Parti-parti
Komponen Barisan Nasional;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Saya mengucapkan terima kasih kepada MIC kerana
menjemput saya untuk merasmikan Perhimpunan Agungnya bagi
tahun ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan tahniah kepada Dato' Samy Vellu yang telah
menang tanpa bertanding jawatan Presiden MIC. Ucapan
tahniah juga kepada Dato' Subramaniam yang turut menang
tanpa bertanding. Walau bagaimanapun, para perwakilan MIC
akan membuat pemilihan untuk jawatan-jawatan yang lain dan
dalam hal ini saya berharap pemilihan akan berjalan dengan
teratur mengikut lunas-lunas demokrasi.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
2. Dua hari lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan kita
yang ke-30. Kita bersyukur dan berbangga kerana negara kita
telah mencapai kemajuan dan kemakmuran. Kita juga sungguh
bernasib baik kerana rakyat Malaysia mendapat manfaat
daripada kemerdekaan ini. Sepertimana kita maklum, kemajuan
dan pencapaian yang kita nikmati ini bukanlah datang dengan
begitu sahaja tetapi ianya adalah hasil daripada sumbangan
dan pengorbanan rakyat Malaysia keseluruhannya.
3. Dalam memperjuangkan kemerdekaan, kita telah
bekerjasama dengan erat, bersikap toleran, mengutamakan
persefahaman serta mengambilkira kepentingan dan perasaan
masyarakat majmuk negara kita ini. Kita telah banyak
bertolak-ansur dalam semangat persaudaraan dan perpaduan.
Begitu juga halnya dengan penubuhan Malaysia. Memang
benar, banyak perkara telah dibangkit dan dibincangkan
ketika itu tetapi ini tidaklah menghairankan
kerana sudah semestinya berbagai-bagai isu terpaksa
diselesaikan terlebih dahulu sebelum persetujuan dapat
dicapai. Apa yang dibanggakan ialah walaupun ada terdapat
perbincangan-perbincangan yang begitu hangat tetapi
kepentingan rakyat serta negara sentiasa diutamakan. Kerana
inilah kita dapat bersama-sama menikmati kejayaan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
4. Kita sedia maklum bahawa dalam rundingan-rundingan
Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional di masa-masa yang
lalu, perbincangan-perbincangan diadakan dengan cara
teratur, bersopan-santun dan dengan 'decorum'. Sepertimana
kita juga maklum, pada masa-masa yang lalu apa juga masalah
yang dihadapi oleh Barisan Nasional telah kita bincangkan
melalui saluran-saluran yang telah kita tentukan.
Berbagai-bagai perkara penting telah kita rundingkan dengan
teliti dan terperinci, tetapi di dalam keadaan serta suasana
yang tenteram tanpa emosi. Hasilnya ialah kata sepakat yang
mencerminkan sikap toleransi dan kesederhanaan kita
semua. Keupayaan Barisan Nasional untuk menyelesaikan
sesuatu isu tanpa berlagak sebagai juara di hadapan orang
ramai adalah salah satu faktor yang menyebabkan Barisan
Nasional kuat dan kukuh. Ahli-ahli Barisan Nasional juga
menaruh kepercayaan penuh bahawa kata sepakat pemimpin-
pemimpin mereka semasa berunding tidak akan membelakangkan
perjuangan parti mereka. Oleh itu mereka berdiri teguh di
belakang sebarang keputusan yang dibuat oleh pemimpin
mereka.
5. Tetapi, akhir-akhir ini keadaan sudah agak berubah.
Pemimpin-pemimpin nampaknya suka berlagak sebagai hero untuk
mendapat sokongan ahli dan sekumpulan orang bagi diri mereka
sendiri tanpa mengambil-kira kesan terhadap
Barisan Nasional, bahkan negara. Dalam negara berbilang
kaum, dalam parti campuran kaum dan fahaman seperti Barisan
Nasional, kita tidak boleh menjadi hero kaum kita tanpa
menjejaskan imej kita sebagai pemimpin semua rakyat. Kita
tidak dikehendaki membelakangkan terus semua kepentingan
kaum dan parti kita demi kepentingan kaum dan parti lain
dalam Barisan Nasional. Sementara kita patut menjaga
kepentingan kaum kita, janganlah kita mudah tersinggung
dengan perkara titik-bengek atau remeh-temeh. Jika kita
ingin perkara kecil ini diketengahkan, memang ada saluran
untuk kita berbuat demikian dalam Barisan Nasional tanpa
heboh-heboh. Gunakanlah saluran yang ada ini.
6. Dalam pada itu pihak yang tidak perlu menghadapi
pengadilan masyarakat lima tahun sekali hendaklah juga
mengenal prioriti dalam sesuatu perjuangan. Janganlah
kerana kedudukan sendiri tidak boleh digugat, maka tidak di
ambilkira masalah orang yang terpaksa menghadapi
pengadilan rakyat lima tahun sekali. Satu daripada sebabnya
kita gagal mengimbangkan kedudukan antara kaum ialah kerana
kita begitu asyik dengan simbolisma yang tidak ada substance
atau isi. Dengan menghabiskan segala tenaga dan masa
memperjuangkan simbol-simbol yang kita ciptakan, maka
perjuangan yang sebenar tidak lagi mendapat perhatian.
7. Jika kita mengkaji sejarah Perikatan dan Barisan
Nasional, kita akan tahu bahawa kita telah dapat mengatasi
semua pertelingkahan antara parti atau kaum yang telah
muncul sejak sebelum merdeka lagi. Rusuhan kaum pada tahun
1969 pun dapat diselesaikan dengan baik. Justeru itu, kita
harus yakin bahawa sebarang masalah antara kita dalam
Barisan Nasional atau antara kaum di Malaysia dapat kita
selesaikan akhirnya. Yang diperlukan ialah kesabaran dan
penggunaan cara-cara yang tidak menambahkan lagi kerumitan
kepada masalah yang dihadapi. Semua pihak haruslah sedar
akan perkara ini dan berusaha supaya penyelesaian sebarang
masalah menjadi lebih mudah. Disamping itu, kita harus ingat
bahawa penyelesaian yang terbaik ialah satu penyelesaian
yang tidak memenuhi sepenuhnya tuntutan mana-mana pihak yang
terlibat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Perbandingan antara dahulu dengan sekarang tidak boleh
dibuat dengan sewenang-wenangnya. Dakwaan bahawa semuanya
baik dahulu dan semuanya tidak baik sekarang tidak berasas.
Perkauman yang ketara juga wujud dahulu. Sebab itulah
berlaku Peristiwa 13 Mei. Yang berbeza ialah kita lebih
liberal sekarang dan ramai yang mengambil kesempatan
daripada kebebasan yang diberi untuk menyentuh
perkara-perkara sensitif. Perlembagaan juga telah dicabul
berkali-kali tanpa tindakan oleh Kerajaan.
9. Kerajaan sanggup meneruskan dasar liberal ini tetapi
Kerajaan bertanggungjawab menentukan bahawa liberalisma
tidak disalahtafsir dan disalahgunakan. Liberalisma bukan
bermakna lesen atau permit untuk membuat apa sahaja sehingga
ketenteraman negara terancam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Ada pendapat yang berkata bahawa Kerajaan sekarang ini
lemah dan boleh dipermainkan. Tetapi, jikalau ketenteraman
negara terancam, maka keutamaan diberikan kepada pemulihan
ketenteraman dan bukan kepada dasar liberal Kerajaan.
11. Jika rakyat menghargai liberalisma, rakyat mesti
pandai memelihara kebebasan yang diberi. Untuk tujuan
ini, undang-undang tidak berkesan. Ramai daripada rakyat
sudah bijak dan pandai mengelak daripada tuduhan mencabuli
undang-undang. Lebih buruk lagi, ramai daripada rakyat yang
sudah pandai menggunakan undang-undang untuk mengelak
daripada tindakan undang-undang. Ada orang yang menuntut
"Rule of Law". Tetapi orang yang sama, atau jenis yang
sama, yang menidakkan "Rule of Law" melalui kepintaran
mereka memperalatkan undang-undang -- termasuk apa yang
dikenal sebagai "British Common Law". Saya khuatir aliran
ini akan membawa discredit kepada profession dan
institusi-institusi tertentu. Jika ini berlaku,
akibatnya buruk sekali kepada semua pihak, termasuk mereka
yang begitu pintar menyalahgunakan liberalisma tadi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Satu daripada tugas utama Kerajaan di waktu ini ialah
pemulihan dan pembangunan ekonomi. Untuk mencapai matlamat
ini, kita perlukan kestabilan politik. Memandang pentingnya
kestabilan politik untuk ekonomi dan minat Kerajaan
memulihkan ekonomi, nampaknya ada setengah pihak yang
sengaja cuba mengambil kesempatan dengan mencabar Kerajaan.
Mereka ini lupa bahawa sungguhpun bermacam-macam masalah
menyerang negara pada tahun 1986, Barisan Nasional masih
juga dapat mengekalkan pemerintahannya dengan kelebihan dua
pertiga.
13. Barisan Nasional tidak begitu mudah ditewaskan dengan
taktik memperkecilkan suara ramai. Rakyat negara ini tidak
akan rela demokrasi dihapus dan digantikan dengan oligarchy.
Tugas Barisan Nasional dan Kerajaan Barisan Nasional ialah
melindungi demokrasi. Parti-parti komponen Barisan
Nasional, termasuk MIC, mestilah berjuang memelihara
demokrasi. Kita mesti tentukan kekuatan dalam parti
masing-masing dan kita jalinkan kerjasama antara parti-parti
komponen. Dengan itu, segala usaha oleh 'the destabilizers'
akan dapat dipatahkan dan kestabilan politik serta
pembangunan ekonomi dapat diteruskan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Parti kita, Barisan Nasional sangat istimewa. Beberapa
negara merasa kagum dengan keistimewaan dan kebolehan kita
bekerjasama untuk mentadbirkan negara ini. Pengalaman kita
ini sangat unik. Janganlah kita benarkan suara-suara
sumbang dalam masyarakat kita cuba menghalang dan
mengubahkan haluan yang kita telah setujui bersama. Kita
mesti kukuhkan lagi perpaduan dan persefahaman sesama kita
dalam menentang mereka yang mempunyai kepentingan politik
yang sempit.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
15. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada MIC
kerana menjemput saya ke Perhimpunan ini. Saya berharap
Perhimpunan ini akan menentukan dengan bijaksana dan adil
mereka yang akan memenuhi jawatan-jawatan yang ditandingi.
Saya juga berharap Perhimpunan MIC ini akan dapat
mengukuhkan lagi MIC dan Barisan Nasional. Dengan harapan
ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Perhimpuan Agung MIC
ini.
|