Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 29/08/87
Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM DAN
PELANCARAN BUKU DAFTAR HARI
MERDEKA 1986
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam
sejahtera.
Yang Berhormat Datuk Seri Sanusi Junid,
Pengerusi Jawatankuasa Pusat
Perayaan Hari Kebangsaan;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya mengucapkan terima kasih kerana telah diberi
kesempatan untuk menyampaikan sepatah dua kata pada Malam
Pelancaran Buku Daftar Hari Merdeka 1986 ini.
2. Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah dan syabas
kepada Jawatankuasa Pusat Perayaan Hari Kebangsaan dan
Jawatankuasa Buku Daftar Hari Merdeka yang telah berjaya
menerbitkan buku ini buat kali keduanya. Saya yakin buku ini
penting dari segi nilai sejarah. Ia dapat dijadikan bahan
rujukan yang amat berguna kepada generasi muda untuk
memahami aspek sejarah, ekonomi, sosial dan kebudayaan
penduduk negara ini. Bagi para pelancong pula, ia dapat
memberi gambaran sepintas lalu tentang suasana dan cara
kehidupan di negara ini. Saya berharap buku ini,
yang merakamkan peristiwa-peristiwa sejak negara ini
mula mencapai kemerdekaan dan rakaman-rakaman sambutan
Perayaan Hari Kebangsaan pada tahun-tahun yang lepas, akan
menarik minat kita semua, terutama anak-anak muda supaya
semangat kemerdekaan negara sentiasa subur.
3. Buku ini juga merekodkan nama-nama beberapa buah
syarikat yang telah berjaya di dalam beberapa aspek
pertandingan. Ini adalah merupakan pengiktirafan Kerajaan
Malaysia kepada sektor swasta di atas sumbangan mereka di
dalam perkembangan dan kemajuan negara. Penyertaan sektor
swasta ini adalah selaras dengan konsep Persyarikatan
Malaysia iaitu bertujuan mewujudkan
satu kerjasama yang erat, bermakna dan berkesan di antara
pihak sektor awam dengan pihak swasta dalam menjayakan
pembangunan negara yang akan memberi manfaat kepada
kedua-dua pihak. Ianya juga menggambarkan semangat tinggi
di kalangan semua peringkat rakyat negara ini dalam
menegakkan maruah bangsa dan negara kita yang bertuah ini.
4. Di upacara sambutan tahun lalu, saya perhatikan bahawa
sambutan yang diberikan oleh pihak swasta dalam pertandingan
yang telah diadakan amatlah menggalakkan meskipun ketika itu
keadaan ekonomi negara kurang memuaskan. Pada masa
sekarang keadaan ekonomi negara telah beransur pulih
dan adalah diharapkan pertandingan seperti ini pada masa-
masa akan datang lebih menggalakkan lagi. Saya mengucapkan
tahniah kepada syarikat-syarikat yang telah berjaya di dalam
pertandingan yang telah dijalankan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Setiap 31 Ogos kita menyambut Hari Kebangsaan. Kita
merayakan Hari Kebangsaan pada setiap tahun bukanlah kerana
kita terpaksa merayakannya, tetapi ianya adalah salah satu
cara untuk mengingatkan kita akan penjajahan negara dan
bangsa kita selama kira-kira 400 tahun. Semangat dan
keberanian para pejuang tidak boleh dilupakan begitu
sahaja. Semangat perjuangan mereka seharusnya terus hidup
menyala dalam jiwa kita dan dalam jiwa generasi yang akan
datang. Kepada kita, semangat itu menjadi azimat dalam usaha
kita mengisi dan mencorakkan kemerdekaan ke arah yang
kita cita-citakan.
Justeru itu marilah kita memupuk semangat memperjuangkan
maruah bangsa, negara dan agama.
6. Salah satu cara untuk kita menebalkan semangat
perjuangan ini ialah memperingati jasa-jasa para pemimpin
yang telah berjuang dan berusaha gigih bagi memperjuangkan
kemerdekaan negara daripada tangan penjajahan. Para pejuang
kita itu bukan sahaja mereka yang berjuang selepas Perang
Dunia Kedua, tetapi juga mereka yang menentang penjajahan
berpuluh-puluh tahun sebelumnya, seperti Dato' Bahaman,
Datuk Naning, Datuk Janggut, Rosli Dobi dan Mat Salleh.
7. Tugas mereka dahulu telah selesai dan pada hari ini
kita merasa bersyukur dan terhutang budi atas perjuangan
mereka yang telah membolehkan kita mengecapi nikmat hidup di
dalam sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.
Tanggungjawab dan perjuangan kita pada hari ini merupakan
penerusan daripada apa yang telah diperjuangkan dahulu iaitu
memenuhi cita-cita rakyat untuk mencorakkan negara ini
mengikut dasar-dasar yang telah ditentukan, dan mengekalkan
kemerdekaan dan kemakmuran negara ini buat selama-lamanya,
serta mengekalkan sistem pemerintahan demokrasi yang ada
sekarang.
8. Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab berat yang
sukar dilaksanakan sekiranya kita tidak cukup persediaan
untuk menghadapi ujian dan cabaran yang mesti dihadapi atau
tidak sanggup berkorban untuk kepentingan negara ini.
Kejayaan pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu yang tidak
pernah patah semangat walaupun dalam keadaan serba
kekurangan seharusnya menjadi teladan kepada kita khususnya
anak-anak muda yang akan mewarisi kepimpinan negara kita
kelak.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Marilah kita menyambut Hari Kebangsaan 1987 ini dengan
penuh kesedaran dan bersemangat wira untuk kemajuan negara.
Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran
'Buku Daftar Hari Merdeka 1986' ini.
Wabillahitaufik walhidayah, wassalamu'alaikum
warahmatullhi wabarakatuh.
|