Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ANGKASAPURI 
Tarikh/Date 	: 	30/08/87 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN 
			YANG KE-30 




 Assalamu'alaikum   warahmatullahi   wabarakatuh,  dan  salam
bahagia.
    Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu
Wataala kerana dapat kita sekali lagi bersama-sama menyambut
Hari Kebangsaan -- Hari Kemerdekaan negara  --  yang  ke-30.
Kita  juga bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita telah dapat
menyambut Hari Kebangsaan, tahun demi tahun,  dalam  keadaan
aman dan sejahtera.
2.   Pada  tahun  ini  genaplah  30  tahun negara kita bebas
daripada belenggu penjajah.    Ianya  sangat  bermakna  bagi
mereka  yang  menghargai  kebebasan  --  kebebasan  daripada
kehinaan oleh orang asing,  kebebasan  mentadbirkan  negara
sendiri, dan kebebasan menentukan hala kemajuan  negara  dan
bangsa  sendiri.    Dalam  tempoh  tersebut kita telah dapat
memajukan negara kita dalam semua bidang, termasuk  ekonomi,
pelajaran,   kesihatan,   pengangkutan,  kemudahan-kemudahan
awam, serta pertahanan dan ketenteraman awam.
3.   Dengan  itu,  tidaklah  menjadi  keangkuhan  jika  kita
berbangga dengan kejayaan kita.  Namun demikian marilah kita
bersama-sama   memastikan   supaya   kebanggaan   itu  tidak
melalaikan kita, sebaliknya akan  menebalkan  semangat  kita
semua untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang lagi pada
masa  hadapan.   Di samping itu, kita harus bersyukur kerana
kita semua dicucuri rahmat dan kebahagiaan yang berterusan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
4.   Perangkaan  menunjukkan  bahawa dua daripada tiga orang
penduduk  negara  kita  terdiri  daripada   generasi   muda.
Mengikut anggaran, kira-kira 68 peratus penduduk negara kita
adalah  di bawah umur 30 tahun.  Mereka tidak mengenal pahit
maung   penjajahan   dan   tidak   menyaksikan    perjuangan
kemerdekaan.    Walaupun  Sabah  dan Sarawak merdeka melalui
Malaysia   enam   tahun   kemudian,   generasi   belia    di
negeri-negeri  tersebut  terlalu  muda umur mereka pada masa
itu  untuk  mengalami  dan  memahami  akan  kehinaan   hidup
dijajah.    Dengan peredaran masa, penduduk negara kita yang
telah mengalami hidup  dijajah  dahulu  semakin  berkurangan
jumlahnya.    Justeru     itu     semakin    kurang   mereka
yang boleh membuat perbandingan dan menghargai  hidup  bebas
daripada penjajahan bangsa asing.
5.   Masalahnya  ialah jika kita tidak menghargai perjuangan
dan pencapaian kemerdekaan, kita  mungkin  tidak  menghargai
dan  mempertahankannya  dan  tidak  pula akan berusaha untuk
mengisi kemerdekaan dengan pembangunan  yang  memberi  makna
kepadanya.  Kita akan menganggap kemerdekaan sebagai perkara
biasa yang akan kita miliki untuk selama-lamanya.  Malangnya
kemerdekaan  bukan  suatu keadaan semula jadi dan penjajahan
bukan sudah lesap sama sekali.  Hakikatnya ialah  penjajahan
jenis  baru  telah  dicipta dan penjajahan ini telah berjaya
menakluk  semula  negara  dan  bangsa  yang  telah  mencapai
kemerdekaan.    Penjajahan yang dimaksudkan ialah penjajahan
ekonomi,   penjajahan  ideologi dan penjajahan kebudayaan.
6.   Penjajahan   ekonomi   mudah   sahaja   dilakukan  oleh
kuasa-kuasa ekonomi dunia.   Dengan cara  manipulasi  mereka
boleh  menjatuhkan  harga  barangan  kita sehingga tidak ada
keuntungan daripada hasil usaha kita.   Di masa  yang  sama,
mereka   menentukan   kos   pengeluaran   kita  tidak  dapat
diturunkan dengan melakukan hasutan supaya daya  pengeluaran
kita  tidak  mungkin  ditingkatkan.    Demikianlah  halusnya
hasutan orang-orang asing ini sehingga ada  di  antara  kita
yang sanggup  meminta  supaya  mereka  menghalang  pemulihan
ekonomi negara  kita.    Apabila  orang  asing  sudah  boleh
menentukan  maju  mundurnya  ekonomi  kita, maka terjajahlah
negara kita - ataupun hilanglah kemerdekaan kita.
7.   Demikian juga dengan kebudayaan.  Sementara  kebudayaan
sesuatu  bangsa  tidak dapat lagi mengelak daripada pengaruh
kebudayaan dunia, ada yang menyerah kalah dengan  mudah  dan
menerima  kebudayaan  asing.    Di  negara kita ini ada yang
membelakangkan nilai hidup kita sendiri  dan  meniru  dengan
bulat-bulat  kelakuan  dan tingkah laku bangsa lain.  Dengan
itu identiti bangsa kita tercemar dan  jikalau  perkara  ini
berleluasa  mungkin  identiti  kita  akan  digantikan dengan
identiti bangsa  penjajah.   Sekiranya  luput   nilai  hidup
kita,  maka  kita  tidak  berkuasa  lagi  ke  atas diri kita
sendiri.  Dengan itu kita dijajah.
8.   Sebaliknya, kita tidak begitu mudah meniru  aspek-aspek
kebudayaan  asing  yang  boleh  menguntungkan kita.   Dengan
tercemarnya kebudayaan kita dengan  aspek  kebudayaan  asing
yang  buruk  dan  penolakan nilai asing yang baik, maka kita
bukan sahaja dijajah tetapi menjadi bangsa yang  lemah  yang
tidak mungkin mempertahankan diri daripada apa juga pengaruh
penjajah dalam bidang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
9.   Salah   satu   daripada    nilai-nilai    yang    boleh
mempertahankan  kebebasan  dan  maruah kita ialah kesetiaan.
Sebab itu tema perayaan  Hari  Kebangsaan  tahun  ini  ialah
'Setia  Bersatu,  Berusaha  Maju'.   Kesetiaan di sini bukan
sahaja bermakna kesetiaan kepada negara, walaupun ini adalah
puncak kepada  kesetiaan  kita.    Kesetiaan  juga  bermakna
kesetiaan  kepada  diri  sendiri,  kepada  keluarga,  kepada
tempat tinggal dan kepada masyarakat.
10.  Apabila  kita  setia,  kita  bukan  sahaja  tidak  akan
mengkhianati  objek  kesetiaan  kita,  tetapi    kita   akan
berusaha  secara   positif  melindungi  objek kesetiaan kita
tadi.  Umpamanya kesetiaan kepada diri sendiri bermakna kita
bukan   sahaja   tidak    akan   mengkhianati   diri  dengan
menceburkan   diri   dalam   penagihan  dadah,  tetapi  kita
melengkapkan  diri  kita  dengan  ilmu dan   kemahiran  yang
boleh  membawa  manfaat  kepada kita.   Dengan itu kita akan
hidup lebih bahagia dan mulia.    Keluarga,  masyarakat  dan
negara  yang  dipenuhi  oleh individu yang bahagia dan mulia
ini tidak dapat tidak akan menjadi bahagia dan mulia juga.
11.  Jika  kesetiaan  kita  dipanjangkan  kepada   keluarga,
masyarakat, bangsa, agama dan negara, tidak dapat tidak kita
akan memperolehi  kehidupan   yang  bahagia  yang terlindung
daripada segala jenayah dan maksiat.    Mungkin  ini  adalah
harapan  yang  terlalu idealistik.   Mungkin ini tidak dapat
dicapai.   Tetapi  manusia  yang  bertamadun,  yang  berakal
fikiran  harus  cuba  untuk  mencapai  keadaan  yang  bersih
daripada sebarang  kecacatan  walaupun  kita  tidak  mungkin
mencapainya kerana hanya Allah Subhanahu Wataala sahaja yang
tidak cacat.  Tidak berusaha ke arah ini bermakna kita tidak
menghargai  segala  nikmat  yang diberi oleh Tuhan.   Dengan
perkataan lain kita tidak setia.   Sudah  tentu  kita  tidak
akan maju dan mencapai kejayaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Gejala yang dihadapi oleh negara berbilang  kaum  ialah
perselisihan  faham antara kaum.  Kita dapat lihat bagaimana
negara-negara diserang dengan rusuhan sehingga bukan  sahaja
keadaan  politik menjadi tidak stabil tetapi ekonomi merosot
dengan teruknya.  Memandang kepada kemungkinan  inilah  yang
Kerajaan  begitu  menekankan soal perpaduan.   Kita mengakui
bahawa perpaduan amatlah sukar dicapai.   Tetapi, jika  kita
mempunyai  satu  puncak  tumpuan kesetiaan, satu puncak yang
terkecuali, yang tidak memihak kepada  mana-mana  pihak  dan
kita  tujukan  kesetiaan  kita  kepadanya  maka perselisihan
antara  kita   akan  kurang  ketara.   Dengan adanya  sistem
Raja Berpelembagaan kemungkinan ini wujud.
13.  Dalam  semua  ini  kita perlu akan kesedaran dan usaha.
Tidak ada sesuatu yang boleh dijayakan tanpa usaha.    Lebih
gigih usaha kita lebih tinggi kemajuan kita.
14.     Kita semua sedar dan Kerajaan juga sedar bahawa tema
tahun ini 'Setia Bersatu, Berusaha Maju'  dengan  sendirinya
tidak  akan menghasilkan apa-apa.  Yang penting ialah amalan
kita dan penghayatan kita akan panduan yang diberi oleh tema
tersebut.
15.  Tiap slogan yang dicipta mempunyai niat yang  baik  dan
dipercayai boleh menolong kita mencapai kehidupan yang lebih
bahagia.  Oleh  itu  terimalah  slogan  ini  dan  gunakannya
sebagai  panduan.   Insya-Allah,  kita     akan   berbahagia
kerananya.
     Wabillahi    taufik    walhidayah   wassalamu   alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google