Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PERASMIAN KOMPLEKS FELDA DI TANJUNG
GELANG,PELABUHAN KUANTAN
Tarikh/Date : 05/09/87
Tajuk/Title : PERASMIAN PEMBUKAAN KOMPLEKS FELDA
DI TANJUNG GELANG,
PELABUHAN KUANTAN
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Amat Berhormat
Dato' Mohamed Khalil Yaakob,
Menteri Besar Pahang;
Yang Berhormat Dato' Dr. Sulaiman Hj. Daud,
Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan
Wilayah;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada FELDA kerana
menjemput saya merasmikan pembukaan Kompleks FELDA di
Tanjung Gelang, Pelabuhan Kuantan ini. Pembinaan Kompleks
ini merupakan satu lagi usaha FELDA ke arah perkembangan
perusahaan minyak sawit negara kita.
2. Industri pemerosesan minyak sawit Malaysia telah
mengalami perkembangan yang pesat dalam tempoh lima belas
tahun yang lalu. Kalau dahulunya eksport minyak sawit kita
adalah dalam bentuk minyak mentah, pada masa ini hampir ke
semua minyak yang dieskport adalah yang sudah diproses.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa pengusaha-pengusaha
yang terlibat dalam industri ini mempunyai keyakinan
untuk meneruskan kegiatan mereka.
3. Dalam pada itu, kebelakangan ini terdapat sungutan
daripada pengusaha-pengusaha tertentu yang merasakan
Kerajaan tidak memberi galakan yang secukupnya sehingga
banyak kilang penapisan mengalami kerugian dan terpaksa
mengurangkan operasi atau terdapat juga yang terus ditutup.
Kerajaan sebenarnya telah memberikan kemudahan yang
secukupnya bagi menggalakkan pertumbuhan industri
pemerosesan minyak sawit dan terpulanglah kepada mereka yang
berkenaan untuk menjayakannya. Kejayaan tidak dicapai
dengan mudah tanpa menghadapi cabaran dari segi kecekapan
pengeluaran dan pengurusan. Hanya dengan kebolehan kita
mengurangkan kos pengeluaran sahaja barulah kita dapat
bersaing dan meningkatkan keuntungan.
4. Dalam menghadapi cabaran ini kita perlu mengambil-kira
faktor-faktor kritikal seperti ketidak-stabilan pergerakan
harga, di samping sikap dan teknik pemasaran kita.
Ketidak-stabilan harga ini mungkin berpunca daripada sikap
pengusaha-pengusaha yang lebih menitik-beratkan pasaran dan
kaedah jualan tertentu, dengan tidak memperdulikan siapa dan
negara mana yang menjadi pembeli sebenar keluaran mereka.
Memang diakui jualan seperti ini adalah cara yang mudah,
tetapi ianya akan menggalakkan pertumbuhan orang tengah dan
ahli-ahli spekulasi yang menyebabkan harga barangan sentiasa
turun naik.
5. Dengan sifat mereka sebagai orang tengah dan ahli
spekulasi, golongan ini berjaya menurunkan harga barangan
kita apabila mereka boleh mendapat keuntungan dengan berbuat
demikian. Sebaliknya mereka boleh juga menaikkan harga
barangan apabila keadaan mengizinkan. Kesan daripada
pergerakan harga yang sentiasa turun naik amat ketara ke
atas ekonomi negara kita yang banyak bergantung kepada hasil
eksport pertanian.
6. Dua-tiga tahun lalu kita telah mengalami keadaan
ekonomi yang terjejas akibat daripada kemelesetan
harga barangan utama kita. Usaha-usaha haruslah
dipertingkatkan ke arah jualan secara terus kepada
pengguna-pengguna supaya harga dapat distabilkan dan
permintaan terhadap barangan kita menjadi berterusan.
Jualan secara terus juga akan membolehkan kita menapak di
pasaran berkenaan di samping menolong menjimatkan pertukaran
wang asing apabila kita menggunakan perkhidmatan
pengangkutan dan insuran negara sendiri.
7. Dalam hubungan ini pemerosesan seharusnyalah diikuti
dengan kegiatan pemasaran yang lebih dinamis dan teratur
bagi memperluaskan lagi pasaran untuk menghasilkan pulangan
yang baik kepada industri.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Dalam keadaan minyak sawit Malaysia menghadapi
persaingan daripada negara-negara pengeluar yang lain, di
samping persaingan daripada pengeluar minyak sayuran dan
lelemak gantian, kita haruslah sentiasa berusaha mencari
jalan untuk meningkatkan prestasi kita supaya dapat bersaing
dengan pengeluar-pengeluar lain.
9. Persaingan dalam apa bidang sekalipun adalah sesuatu
yang baik kerana daripada persaingan akan timbul keluaran
dan perkhidmatan yang lebih bermutu. Tetapi ada kalanya
persaingan dilakukan dengan cara yang tidak sihat yang akan
menyebabkan persaingan bertukar menjadi ancaman. Industri
minyak sawit tidak terlepas daripada ancaman yang bukan
sahaja ekoran kelembapan ekonomi,tetapi yang timbul daripada
usaha-usaha negara maju yang mulai tidak mempercayai doktrin
perdagangan bebas yang mereka sendiri ketengahkan.
10. Baru-baru ini negara-negara Kesatuan Ekonomi Eropah
cuba mengenakan 'levy' atau cukai ke atas import semua jenis
minyak sayuran ke negara-negara itu. Adalah nyata bahawa
prinsipnya bercanggah dengan prinsip perdagangan bebas. Di
Amerika Syarikat pula, Persatuan Pengeluar-Pengeluar Kacang
Soya Amerika yang menjalankan kempen terhadap minyak sawit
mendakwa bahawa minyak sawit membahayakan
kesihatan dan seterusnya mendesak Kerajaan mereka
mengeluarkan undang-undang supaya semua keluaran makanan
yang mengandungi minyak makanan tropika dilabelkan. Tujuan
sebenar kumpulan ini adalah semata-mata untuk mengabui mata
pengguna-pengguna di negara itu supaya tidak membeli
keluaran yang menggunakan minyak sawit dan dengan itu dapat
mengurangkan persaingan dari minyak sawit kita di pasaran
Amerika Syarikat dan negara-negara lain.
11. Ancaman-ancaman seperti ini tidak seharusnya dibiarkan
begitu sahaja. Langkah-langkah tertentu hendaklah diambil
bagi menyangkal usaha-usaha kumpulan-kumpulan ini. Ancaman
seperti ini hendaklah sentiasa diawasi dan di
samping itu kita harus membuat persediaan terhadap
ancaman-ancaman yang lebih besar di masa akan datang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Kejayaan negara kita dalam industri minyak sawit tidak
seharusnya dianggap mencukupi setakat pembukaan tanah dan
pembinaan kilang semata-mata. Kita harus meneruskan lagi
penglibatan barang-barang hiliran yang lebih bernilai yang
keluarannya boleh digunakan dalam industri pembuatan
barang-barang pengguna. Integrasi dalam industri seharusnya
dipanjangkan seberapa yang boleh untuk menambahkan nilai
keluaran eksport kita. Kegiatan hiliran seterusnya
bukan sahaja dapat menyumbang ke arah dasar Kerajaan untuk
mempercepatkan pertumbuhan sektor perkilangan negara, tetapi
juga untuk penyerapan teknologi. Kegiatan ini sedikit aka
sebanyak dapat menolong mewujudkan peluang-peluang pekerjaan
dan pendedahan kemahiran kepada tenaga buruh yang kian
bertambah.
13. Satu faktor kritikal yang menentukan kedudukan
persaingan kita ialah kos pengeluaran. Sehubungan dengan
ini adalah perlu bagi kajian dan kawalan sentiasa dibuat
untuk mengurangkan kos pengeluaran kepada paras yang paling
rendah, setanding dengan pengluar-pengeluar lain dengan
harapan pengurangan kos ini membolehkan kita bersaing
dengan lebih berkesan lagi. Kos pengeluaran adalah satu
cara mengukur kecekapan pengeluaran dan keupayaan kita
bersaing di pasaran, dan ini membolehkan kita mengekalkan
pasaran yang sedia ada di samping menembusi pasaran baharu.
14. Usaha pengurangan kos ini mestilah disokong dengan
usaha-usaha lain, terutamanya mutu keluaran. Ini amatlah
penting kerana keluaran yang bermutu rendah bukan sahaja
boleh menjejaskan imej dan kredibiliti negara, tetapi juga
memberikan kesan yang buruk kepada industri. Oleh itu kita
mestilah mengambil langkah-langkah yang perlu supaya mutu
keluaran sentiasa terjamin. Tanpa jaminan ini segala usaha
promosi yang dilancarkan tidak akan mendatangkan hasil
sepertimana yang diharapkan.
15. Di samping itu, penyelidikan dan pembangunan adalah
nadi kepada apa-apa juga industri termasuk industri minyak
sawit. Pada hakikatnya industri minyak sawit merupakan
industri yang penting kepada pendapatan negara, dalam mana
bidang penyelidikan dan pembangunan perlu diperluaskan. Apa
yang penting ialah hasil yang diperolehi hendaklah memberi
manfaat kepada industri secara langsung. Penyelidikan ini
hendaklah merangkumi keseluruhan industri iaitu meliputi
bidang-bidang pertanian dan pemerosesan dengan tujuan
meningkatkan daya pengeluaran, mengurangkan kos dan
peningkatan mutu serta mendapatkan kegunaan-kegunaan baru
untuk mempelbagaikan hasil keluaran kita.
16. Dalam kebanyakan industri, kegiatan yang saling berkait
lazimnya dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan sokongan
yang boleh mengukuhkan kedudukan industri yang berkenaan.
Bagi minyak sawit, kegiatan penapisan, kemudahan penyimpanan
dan pengendalian eksport adalah aspek-aspek penting yang
menentukan kecekapan industri ini dan membolehkan penjimatan
kos serta kelicinan operasi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
17. Saya berharap Kompleks FELDA di Pelabuhan Kuantan ini
akan memberi manfaat dari segi penyatuan kemudahan-kemudahan
itu. Dengan beroperasinya Kompleks ini, saya juga berharap
FELDA akan dapat menempa kejayaan dalam usahanya ke arah
perkembangan industri minyak sawit. Dengan harapan ini,
saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Kompleks FELDA
di Pelabuhan Kuantan ini.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|