Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN TUN HUSSEIN ONN PUSAT
DAGANGAN DUNIA PUTRA, KL
Tarikh/Date : 12/09/87
Tajuk/Title : PERASMIAN KONVENSYEN KEMISKINAN
PERGERAKAN PEMUDA UMNO
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat
Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak,
Pemangku Ketua Pergerakan
Pemuda UMNO Malaysia;
Ahli-Ahli Exco Pemuda UMNO;
Dif-Dif Kehormat;
Saudara-saudara sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda
UMNO Malaysia kerana menjemput saya ke Konvensyen Kemiskinan
ini dan juga melancarkan Buku Panduan Bertindak Pergerakan
ini. Adalah menjadi harapan saya semoga Konvensyen ini akan
memberi manfaat kepada masyarakat serta membantu pihak
Kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan di negara ini.
Saudara-saudara sekalian,
2. Semasa saya membuat lawatan ke luar negeri beberapa
tahun yang lalu, seorang juruhebah televisyen yang
menemuramah saya telah bertanya apakah yang diusahakan oleh
Malaysia bagi membasmi kemiskinan atau poverty di kalangan
rakyat Malaysia.Juruhebah tersebut mempunyai anggapan rakyat
yang dikategorikan sebagai miskin di negara ini adalah papa-
kedana, kebuluran dan tiada bertempat tinggal seperti
gambaran kemiskinan yang digemari dan disebar luas oleh
media massa Barat.Apabila mereka bertanya tentang kemiskinan
di Malaysia maka terbayang dalam pandangan mereka orang yang
tersadai di bawah jambatan atau di tepi jalan, kotor dan
tidak berpakaian yang sempurna, meminta-minta sambil
mendukung anak yang buncit perut. Sebenarnya, kemiskinan
di Malaysia tidaklah ditahap itu. Tidak ada siapa yang
merana kerana kebuluran di Malaysia.
3. Namun demikian, kemiskinan memang wujud di Malaysia -- iaitu
kemiskinan secara relatif. Apa yang dibuat ialah kita
menentukan tafsir dan takrif kemiskinan mengikut pandangan
para perancang ekonomi iaitu sesiapa yang pendapatannya
kurang daripada sekian banyak dianggap sebagai miskin.
Benar, termasuk dalam golongan miskin orang yang tidak ada
pendapatan langsung dan terpaksa meminta sedekah, tetapi
bilangan mereka amatlah kecil. Yang lainnya adalah miskin
secara relatif iaitu miskin jika dibandingkan dengan yang
kaya. Sebenarnya, ramai daripada mereka yang ditakrifkan
sebagai miskin di Malaysia, tidak akan termasuk dalam
golongan orang yang miskin mengikut takrif kemiskinan
di kebanyakan negara-negara yang terkenal dengan
kemiskinannya.
4. Apabila kita mengatakan bahawa masih terdapat 18%
rakyat negara ini yang di dalam lingkungan kemiskinan, ianya
bermakna bahawa pendapatan 18% penduduk-penduduk kita ini
adalah dibawah garis pendapatan yang dianggap oleh kita
sebagai dalam lingkungan kemiskinan. Golongan 18% ini
tidaklah lapar sehingga membawa kepada maut atau tidak
mendapat sebarang kemudahan asas seperti persekolahan,
perubatan dan pengangkutan. Yang miskin di negara ini masih
lagi boleh mengecap sedikit sebanyak kemudahan hidup yang
asas, dan juga dapat mengecap sedikit sebanyak
kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan.
Saudara-saudara sekalian,
5. Bermula dari Rancangan Malaysia Kedua antara tahun
1971-75 sehinggalah sekarang, konsep kemiskinan dan
strategi-strategi untuk mengatasinya, telah sering dihalusi,
diubahsuai dan diperbaiki dengan tujuan untuk membawa
kesejahteraan kepada rakyat. Sepertimana yang kita maklum,
kadar kemiskinan pada keseluruhannya telah menurun dari
49.3% dalam tahun 1970 kepada 18% dalam tahun 1984.
Strategi-strategi membasmi kemiskinan telah lebih ditujukan
ke kawasan luar bandar, yang mana kadar kemiskinan adalah
lebih tinggi. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna
Kerajaan telah mengabaikan sektor bandar. Kemiskinan di
bandar juga diberi perhatian oleh Kerajaan.
6. Semenjak kita melancarkan Dasar Ekonomi Baru, Kerajaan
sentiasa mengkaji kekesanan program-program pembasmian
kemiskinan ini. Hasil daripada kajian-kajian ini,
pengubahsuaian corak dan strategi pembangunan telah dibuat
dari masa ke masa. Walau bagaimanapun, ciri-ciri asas
seperti pentingnya peningkatan daya pengeluaran dan
pendapatan, penceburan dalam sektor moden dan aktiviti-
aktiviti yang lebih produktif dan menguntungkan,
pewujudan peluang-peluang pekerjaan, serta penyediaan
kemudahan-kemudahan asas dan sosial untuk meningkatkan
mutu kehidupan rakyat terus dikekalkan, walau apa pun
perubahan strategi yang berlaku.
7. Jikalau dibandingkan peruntukan dan tindakan Kerajaan
Malaysia untuk mengurangkan kadar kemiskinan di luar dan di
dalam bandar, dengan peruntukan di negara-negara yang
dikenali sebagai LDC's atau Less Developed Countries, jelas
terbukti bahawa peruntukan dan tindakan Kerajaan kita
amatlah tinggi dan tegas. Sebenarnya, jikalau negara yang
miskin membelanjakan wang dan tenaga sebanyak yang kita
belanjakan, kebanyakan daripada kemiskinan dapat dihapuskan.
Di Malaysia, walaupun ada kejayaan tetapi masih ramai yang
kekal dengan kemiskinan mereka. Apakah sebabnya yang
tindakan dan usaha Kerajaan tidak begitu berhasil? Apakah
kita hanya memerlukan tambahan peruntukan dan usaha untuk
mencapai cita-cita kita? Atau apakah ada sesuatu yang
tersalah dalam strategi kita?
8. Untuk menjawab soalan-soalan ini kita harus menganalisa
sebab-sebab kenapa ada kemiskinan dan kekayaan, kenapa ada
masyarakat yang miskin dan masyarakat yang kaya, kenapa ada
bangsa yang miskin dan bangsa yang kaya, kenapa ada negara
yang miskin dan negara yang kaya? Kita tahu ada negara yang
kaya dengan sumber alam tetapi miskin, dan ada negara yang
tidak ada sumber-sumber asli atau natural resources tetapi
kaya. Tanpa mengetahui sebab-sebab kemiskinan berlaku,
segala usaha untuk membasmi kemiskinan mutlak akan gagal.
Kefahaman ini penting kerana tanpanya mungkin kita akan
membuat syor-syor yang tidak berkesan dalam usaha kita untuk
membasmi kemiskinan.
9. Kita semua telah mendengar cerita mengenai seorang
peminta sedekah yang tidak diberi makanan untuk
menghilangkan kelaparannya tetapi sebaliknya diberikan kail
untuk mengail ikan. Mungkin ada di antara kita yang
memikirkan perbuatan ini tidak berperikemanusiaan. Tetapi
kita tahu bahawa kail itu boleh menolong menghilangkan
kelaparan si miskin lebih lama lagi daripada pemberian
sedikit makanan untuk hari itu sahaja.
10. Demikian juga jika pemberian bantuan sahaja difikirkan
mencukupi untuk mengatasi masalah kemiskinan,maka kita tidak
mungkin berjaya membasmi kemiskinan. Yang sepatutnya
diusahakan ialah kita hapuskan sebab-sebab yang sebenarnya
kemiskinan berlaku. Memberi wang dan bekalan secara langsung
bukanlah caranya untuk menghapuskan kemiskinan. Tindakan ini
adalah untuk pemulihan sementara sahaja. Kemiskinan akan
berulang dan akan terus berlaku.
11. Contoh yang terbaik mengenai cara membasmi kemiskinan
ialah pemberian biasiswa. Kita tahu betapa ramainya anak
kepada keluarga yang miskin sekarang sudah berpindah dari
bawah garis kemiskinan ke atas garis kemiskinan.
Jika wang sebanyak nilai biasiswa itu diberi terus kepada
keluarga miskin, mereka akan keluar daripada lingkungan
kemiskinan bagi satu atau dua tahun sahaja, kemudian mereka
akan kembali menjadi miskin. Dengan biasiswa, penerima yang
mendapat pelajaran akan dapat meningkatkan pendapatannya
secara berkekalan. Biasanya penerima biasiswa akan membantu
keluarga masing-masing.
12. Ini tidak bermakna bantuan secara langsung tidak
diperlukan. Bekalan jalan, kelinik, sekolah, air dan letrik
dan lain-lain lagi -- semuanya akan menolong dan
mengurangkan belanja keluarga yang miskin. Jika
infrastruktur yang dibekalkan ditaksir nilainya
daripada segi pengurangan belanja keluarga-keluarga miskin,
maka garis kemiskinan dapat diturunkan lagi dan bilangan
yang ditafsir sebagai miskin akan menjadi lebih rendah lagi.
13. Berasaskan kepada pemberian kail dan bukannya makanan
segera, Kerajaan telah cuba memperkenalkan cara pertanian
moden, mencuba perladangan berkelompok, mendirikan industri
kecil, menubuhkan koperasi yang memasarkan baja dan
lain-lain keperluan pertanian serta lain-lain lagi.
Kerajaan juga telah cuba menyusun semula kampung-kampung dan
memperkenalkan cara-cara lain untuk menambahkan pendapatan.
14. Walaupun langkah-langkah Kerajaan telah berjaya
mengurangkan lagi tahap kemiskinan, tetapi berbanding dengan
usaha dan peruntukan yang telah dibuat, hasilnya tidaklah
seperti yang diharap-harapkan.
15. Apakah masalah yang menghalang kejayaan pendekatan
Kerajaan? Jika diambil contoh pemberian kail sekali lagi,
hasil yang baik hanya terdapat jika penerima kail sanggup
menggunakannya untuk memancing. Salah satu daripada masalah
yang menyekat kejayaan sepenuhnya usaha-usaha membasmi
kemiskinan ialah penerima bantuan tidak mahu atau tidak
dapat menggunakan bantuan dengan berkesan. Biasanya ini
disebabkan kurangnya kecekapan atau kepintaran atau kurang
minat.
16. Kurang kecekapan atau kepintaran boleh diatasi dengan
asuhan atau pengalaman. Setelah sesuatu dibuat berkali-kali,
tidak dapat tidak, kita akan menjadi cekap. Tetapi, jikalau
minat tidak ada, maka segala usaha, sistem, bantuan dan apa
sahaja pertolongan, semuanya tidak akan mendatangkan apa-apa
manfaat.
Saudara-saudara sekalian,
17. Dalam usaha kita untuk membasmi kemiskinan, analisa
yang mendalam perlu dibuat berkenaan dengan sebab-sebab
kejayaan tidak dicapai atau tidak tercapai sepenuhnya.
Menambahkan lagi bantuan sedangkan sebabnya bukanlah kerana
kurang bantuan tidak akan mendatangkan hasil yang bertambah.
18. Kerajaan memang mempunyai tanggungjawab untuk membasmi
kemiskinan. Tetapi jika usaha-usaha ini diserahkan semata-
mata kepada Kerajaan atau pihak lain, mungkin kejayaan
tidak akan dicapai. Si miskin juga mempunyai tanggungjawab
untuk memperbaiki nasibnya.
19. Sepertimana yang telah saya sebutkan pada permulaan
ucapan saya, ada negara-negara yang tidak mempunyai sumber
kekayaan tetapi kaya dan ada yang mempunyai sumber alam
tetapi miskin. Apakah sebabnya fenomena ini berlaku?
Sebabnya ialah falsafah dan sikap penduduk. Negara dan
masyarakat yang bersemangat, rajin dan sanggup mencuba dan
menghadapi cabaran tetap akan berjaya dan maju. Masyarakat
yang hanya berharap kepada pertolongan daripada pihak lain
tetap mundur walaupun buminya penuh dengan emas dan perak
dan subur.
Saudara-saudara sekalian,
20. Minat Pemuda UMNO untuk memahami masalah kemiskinan dan
memainkan peranan dalam mengurangkannya amatlah waras dan
mencerminkan tanggungjawab di kalangan pemuda. Kerajaan
mengalu-alukan sikap ini dan Kerajaan sedia meneliti
pendapat dan rumusan yang akan dibuat oleh Konvensyen ini.
Saya berharap perbincangan dibuat dalam suasana tenang tanpa
emosi. Kesedihan terhadap kemiskinan patutlah menggerakkan
kita untuk berusaha ke arah pengurangannya tetapi
kesedihan tidak boleh menentukan cara-cara kita bertindak.
Demikian juga perasaan kemarahan terhadap orang lain kerana
tidak membuat itu atau memberi ini. Yang perlu diutamakan
ialah realiti terhadap kemampuan dan sikap semua pihak untuk
mengambil tindakan-tindakan yang wajar.
Saudara-saudara sekalian,
21. Saya berharap perbincangan saudara-saudara pada hari
ini akan menghasilkan penemuan-penemuan yang bermanfaat dan
membantu usaha-usaha Kerajaan membasmi kemiskinan dalam
negara. Dengan harapan ini, saya dengan sukacita membuka
Konvensyen Kemiskinan ini dengan rasminya.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|