Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PUSAT
DAGANGAN DUNIA PUTRA, KL
Tarikh/Date : 19/09/87
Tajuk/Title : MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH
KEWARTAWANAN MALAYSIA
Yang Berbahagia Encik Mazlan Nordin,
Pengerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Institut Akhbar
Malaysia kerana menjemput saya ke majlis ini. Saya berasa
gembira kerana dapat sekali lagi hadir bersama tuan-tuan dan
puan-puan di Majlis Penyampaian Hadiah Kewartawanan ini.
2. Saya mengambil kesempatan ini untuk terlebih dahulu
mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang yang telah
berjaya di dalam kategori masing-masing. Kepada yang masih
belum lagi berjaya, teruslah berusaha.
3. Pertandingan-pertandingan yang diadakan ini, saya
percaya, akan menyumbang ke arah meninggikan lagi tahap
kemahiran para wartawan kita dan ini akan secara langsung
berperanan dalam meningkatkan lagi profesyen kewartawanan di
negara ini. Tuan-tuan dan puan-puan juga memainkan peranan
yang penting dalam membentuk dan meluaskan pengetahuan umum
kepada para pembaca. Laporan-laporan dalam akhbar-akhbar
yang dibaca pada setiap hari oleh begitu ramai daripada ahli
masyarakat kita sudah tentu, sedikit sebanyak, mempunyai
kesan ke atas pemikiran dan pendapat mereka.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
4. Pihak media massa dan Kerajaan telah berjaya mewujudkan
kerjasama yang boleh kita sama-sama banggakan. Kerjasama
ini harus kita pupuk dan pelihara supaya ianya terus erat.
Kita sedar bahawa ada pihak-pihak tertentu yang kurang
senang dengan kerjasama kita ini dan akan cuba melemahkan
hubungan rapat kita. Kita hendaklah berhati-hati.
5. Adanya kerjasama ini tidak bermakna bahawa pihak media
massa tidak harus dan tidak boleh membuat kritikan atau
teguran terhadap Kerajaan. Kerajaan sebenarnya menggalakkan
kritikan-kritikan dan ini kerap dibuat seperti yang dapat
kita baca dalam akhbar-akhbar dan penerbitan-penerbitan.
Tetapi kritikan-kritikan yang dibuat biarlah yang berasas,
membina, jujur dan dengan niat baik untuk meningkatkan lagi
persefahaman dan perpaduan.
6. Media massa juga bertanggungjawab memelihara ketenteraman
dan harmoni yang terdapat di negara kita. Peranan ini adalah
berat dan media massa di negara ini telah memikul dan
melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan. Kerajaan
sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi perpaduan dan
kestabilan supaya pembangunan sosio-ekonomi negara ini terus
berkembang. Segala usaha yang boleh diberikan oleh pihak
media massa dan juga lain-lain pihak bagi mencapai objektif
ini bukan sahaja dialu-alukan tetapi juga merupakan
tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Media massa mestilah bersama-sama bertindak ke arah
mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih sejahtera. Dalam
hal ini adalah penting bagi pihak media massa menentukan
agar laporan-laporan yang dibuat tidak mendatangkan kesan
negatif. Jika persefahaman dan perpaduan tergugat, maka
ketenteraman dan keselamatan negara akan terancam. Mengawal
dan memulihkan keadaan memerlukan banyak masa dan tenaga
selain daripada kesulitan-kesulitan yang timbul.
8. Tidaklah benar bahawa untuk membuktikan kredibiliti,
pihak media massa harus bersikap konfrantasi. Hubungan yang
rapat dan mesra antara Kerajaan dengan media massa tidak
semestinya akan menghilangkan kredibiliti media massa.
Sepertimana kita sedia maklum kefahaman yang wujud di antara
Kerajaan dengan media massa di negara kita ini merupakan
satu kerjasama positif yang telah memberi manfaat kepada
pembangunan dan kemajuan negara kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan
penghargaan Kerajaan kepada pihak media massa di atas
sumbangannya kepada usaha-usaha Kerajaan dalam membawa
kesejahteraan kepada negara dan rakyat. Walaupun terdapat
sebilangan kecil di kalangan media
massa yang mempunyai sikap yang berlainan, tetapi pada
keseluruhannya media massa di negara ini telah membuktikan
keikhlasan dan kewibawaan dalam melaksanakan
tanggungjawabnya.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
10. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada yang menang
hadiah-hadiah kewartawanan pada kali ini. Saya juga
mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Institut Akhbar
Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis yang mesra ini.
Terima kasih.
|