Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 24/09/87
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN BUKU SASTERAWAN
NEGARA USMAN AWANG
Yang Berbahagia Datuk Hassan Ahmad,
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka;
Saudara Usman Awang;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Saya berbangga kerana diberi penghormatan untuk
melancarkan dua buah buku karya Sasterawan Negara, Saudara
Usman Awang pada pagi ini. Saya percaya kedua-dua buah buku
ini akan menjadi khazanah yang sangat berharga di dalam
kesusasteraan kita.
2. Saudara Usman Awang adalah di antara sebilangan kecil
penulis Melayu yang dibaca dengan meluas oleh pelbagai kaum
di negara ini. Beliau juga adalah di antara penulis
tempatan yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan
karya-karyanya telah banyak diterjemahkan ke dalam
bahasa-bahasa lain. Ini membuktikan bahawa Saudara Usman
Awang telah berjaya melampaui batas bangsa dan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Izinkan saya pada mulanya untuk menyentuh sedikit
mengenai sastera dan sasterawan secara umum. Memang
kesusasteraan milik masyarakat dunia. Pengucapan sastera
tidak mengenal ras atau warna kulit. Kerana itulah sastera
dapat dihayati oleh setiap orang. Karya penulis-penulis
Barat misalnya dibaca oleh kita, sasterawan India dikenali
oleh peminat sastera di negara ini, seperti juga
novelis-novelis Afrika dan Amerika Latin dengan mudah dapat
diterima oleh pembaca di sini.
4. Kita boleh bertanya dan soalan ini telah diulang beribu
kali dan telah menimbulkan pelbagai tanggapan dan
reaksi. Apakah agaknya matlamat sastera? Memberikan
kepu asan? Berkongsi pengalaman? Menyedarkan masyarakat?
Memberikan keinsafan? Atau hanya sebagai bahan untuk mengisi
masa lapang? Soalan ini sampai bilapun tidak akan terjawab
sepenuhnya. Setiap orang mempunyai sikap dan pemikiran
yang tersendiri. Setiap sasterawan mempunyai sebab mengapa
dia menulis.
5. Tetapi satu perkara adalah jelas, bahawa sastera tidak
akan bermakna sekiranya sasterawannya tidak mempunyai
sesuatu komitmen kepada diri atau pembacanya. Sastera tidak
boleh terhasil dari satu ruang kosong. Sastera tidak akan
mendapat perhatian masyarakat sekiranya ia tidak bertolak
dari suara atau aspirasi masyarakat itu. Sastera
yang boleh diterima umum terhasil daripada tindak-balas yang
langsung di antara masyarakat dengan penciptanya. Karya
yang paling eksperimental sekalipun sebenarnya merupakan
reaksi, baik keresahan atau kekecewaan, seseorang sasterawan
terhadap masyarakatnya. Inilah yang kita harapkan daripada
para sasterawan kita iaitu karya-karya dihasilkan daripada
suara dan aspirasi rakyat.
6. Di samping itu sasterawan juga harus menyedari realiti
politik dan sosial kita. Sastera juga lahir sebagai
percikan daripada tuntutan atau keperluan setempat dan
diwarnakan pula dengan ciri atau sifat yang khusus bagi
tempat di mana hasil karya itu lahir. Walaupun nasionalis
kita menggunakan sastera untuk memperjuangkan kemerdekaan
pada satu ketika dahulu, seperti juga pejuang kebangsaan
menggunakan sastera di negara-negara lain untuk mencapai
tujuan yang sama, namun terdapat perbezaan yang tersendiri
daripada segi keperluan dan pendekatan sesuatu daerah
atau wilayah itu. Biar apapun cita-cita sasterawan, dia
tidak boleh semata-mata menolak masyarakatnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Saudara Usman Awang dikatakan telah mengubah cara kita
melihat hasil sastera lama. Sajak-sajaknya berbau tradisi
tetapi menampakkan suara ketegasan dan keberanian yang cukup
istimewa. Kalau Saudara Usman Awang dikatakan seorang
penyair romantis,mungkin pada cara berbahasa atau kelembutan
gubahannya, tetapi di sebalik kelembutan itu terdapat suara
keresahan dan kritikan yang tajam.
8. Kita harus sedar yang lama itu tidak semestinya kuno
atau tidak penting. Sebaliknya banyak yang boleh kita
pelajari dari tradisi kebudayaan, kesusasteraan dan kesenian
yang silam. Jikalau kita menyingkap kekuatan dan daya cipta
orang-orang yang terdahulu daripada kita dan menyesuaikannya
dengan keperluan atau kehendak semasa, kita akan mendapat
nilai-nilai yang ideal di dalam membina tradisi masyarakat
semasa.
9. Tidak semua yang lama itu pula baik dan boleh diikuti.
Ada nilai-nilai yang perlu dikikis atau dilupakan. Maka
dalam usaha membina satu masyarakat
Malaysia yang bermaruah dan dihormati, dan dapat diuji
ketahanannya, kita harus bersedia untuk menimba yang baik
dari yang silam dan mengenepikan pula nilai-nilai yang akan
merugikan masyarakat.
10. Kita harus berani menyatakan sesuatu nilai yang lama
itu salah atau tidak secocok dengan keperluan sekarang.
Kita juga harus berani menerima hakikat bahawa dalam
membentuk satu masyarakat yang baru dan progresif, kita
perlu menolak mana-mana nilai yang kita rasa merugikan atau
boleh menghalang cita-cita masyarakat semasa. Kita juga
harus berani memberi tafsiran baru terhadap nilai-nilai lama
itu seperti yang telah dilakukan dengan jayanya oleh
Saudara Usman Awang di dalam beberapa buah karyanya.
11. Sasterawan tidak harus menggunakan kertas dan pena
untuk menyuarakan sikap atau pemikirannya sahaja, tetapi
seharusnya sentiasa peka kepada perubahan dan kecenderungan
semasa dan secara aktif terlibat di dalam kegiatan-kegiatan
masyarakat. Semenjak sekian lama, Saudara Usman Awang tidak
hanya bergiat sebagai sasterawan tetapi turun ke gelanggang
memperjuangkan nasib rakyat sebagai wartawan, budayawan dan
sebagai pembela sosial.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyentuh
sedikit mengenai amalan membaca di negara ini. Mungkin
ianya agak terpesong sedikit daripada sastera dan
sasterawan, tetapi saya rasa ini adalah satu perkara yang
kita sama-sama harus fikirkan.
13. Negara-negara maju mempunyai peratusan yang tinggi di
kalangan rakyat mereka yang membaca akhbar, majalah, buku
pengetahuan, buku cerita dan sebagainya. Di Malaysia hasil
daripada usaha-usaha Kerajaan untuk menggalakkan minat suka
membaca, kegemaran membaca semakin lama semakin meningkat
dan dengan itu ilmu pengetahuan juga turut meningkat.
14. Walau bagaimanapun ramai akan mengakui bahawa kita belum
lagi berpuas hati dengan perkembangan minat suka membaca
ini. Mungkin di bandar-bandar kita, telah mencapai
sedikit-sebanyak kemajuan tetapi di bandar-bandar pun banyak
lagi yang harus kita lakukan untuk menyemaikan minat ini.
Jikalau kita tidak begitu berpuas hati dengan kemajuan di
bandar-bandar, apatah lagi perasaan kita dengan keadaan di
luar bandar. Tabiat suka membaca ini kurang berkembang di
desa mungkin kerana faktor ekonomi dan mungkin kerana
kurangnya masa lapang. Walaupun terdapat berbagai faktor
yang menghalang meningkatnya kegemaran membaca di luar
bandar, kita harus berusaha bersungguh-sungguh mencari jalan
supaya kedudukan sekarang ini akan menjadi bertambah baik.
Minat suka membaca ini mestilah ditanamkan daripada kecil
lagi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15. Saya difahamkan dua buah buku yang dilancarkan hari ini
mengandungi karya-karya Saudara Usman Awang yang terbaik dan
setengah-setengahnya telah menjadi lagenda sepanjang
penglibatannya dalam bidang kesusasteraan. Kepada Saudara
Usman Awang, kumpulan karya yang dilancarkan hari ini tidak
seharusnya bermakna bahawa beliau tidak boleh berkarya lagi,
atau telah mencapai kemuncak daya-ciptanya. Sebaliknya,
kita masih berharap akan karya-karya daripada beliau.
16. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan kedua-dua
buah buku karya Sasterawan Negara, Saudara Usman Awang.
Terima kasih.
|