Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL HILTON KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 25/09/87
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA PELANCARAN MALAYSIA FEST
Yang Berhormat Datuk Sabaruddin Chik,
Menteri Kebudayaan dan Pelancongan;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur
kerana menjemput saya untuk melancarkan "Malaysia Fest '87"
yang diadakan buat pertama kalinya. Memandangkan bahawa
banyak aktiviti akan dijalankan dalam masa sembilan hari
yang akan datang, saya percaya "Malaysia Fest '87" akan
menjadi acara yang penting kepada industri pelancongan di
negara kita.
2. Industri pelancongan merupakan penyumbang yang keempat
terbesarnya kepada pendapatan tukaran wang asing negara.
Industri ini telah menghasilkan kira-kira 1.6 ribu juta
ringgit pada tahun lepas. Pendapatan ini masih boleh
diperbaiki, dan dengan itu sudah sewajarnyalah Kerajaan
memberi perhatian yang berat kepada industri
pelancongan. Ini terbukti dengan penubuhan Kementerian
Kebudayaan dan Pelancongan. Di samping itu Kerajaan telah
memperuntukkan 100 juta ringgit untuk membiayai
aktiviti-aktiviti memajukan industri pelancongan, khususnya
di bidang promosi. Peruntukan tersebut, kita percaya, akan
membolehkan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan
melaksanakan kempen-kempen penggalakan pelancongan yang
lebih agresif di pasaran-pasaran yang telah dipilih.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Industri pelancongan mempunyai dua aspek yang penting.
Pertamanya ialah pembangunan atau usaha-usaha menyediakan
kemudahan-kemudahan bagi pelancongan, dan keduanya ialah
usaha-usaha pemasaran pelancongan atau memperkenalkan
Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
4. Sebagai destinasi pelancongan, Malaysia mempunyai
potensi yang besar. Kita mempunyai berbagai daya tarikan,
negara tropika yang panas sepanjang tahun, kita mempunyai
laut dan pantai yang panjang, dan bagi mereka yang berminat
kepada alam semula jadi, kita mempunyai pusat-pusat
peranginan di pergunungan, Taman Negara dan taman-taman
rekreasi hutan. Di samping itu, kita juga mempunyai
kemudahan-kemudahan membeli-belah, pelbagai jenis makanan,
pakaian, muzik, tarian dan lain-lain lagi yang semuanya
boleh menarik para pelancong untuk datang ke negara kita.
5. Sungguhpun kita baru memasuki industri pelancongan secara
lebih serius, kita berharap akan dapat membangunkan industri
ini bagi faedah jangka panjang. Kementerian Kebudayaan dan
Pelancongan bertanggungjawab untuk menyusun rancangan
pembangunan jangka panjang yang diperlukan oleh industri
pelancongan. Kementerian ini juga bertanggungjawab
mendapatkan sokongan dan kerjasama daripada lain-lain agensi
Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
6. Adalah penting untuk kita menentukan supaya Malaysia
boleh kekal sebagai destinasi pelancongan dalam jangka
panjang. Di samping mampu menerima kunjungan pelawat yang
semakin bertambah, destinasi pelancongan negara kita
hendaklah sesuai dengan citarasa serta pilihan pelancongan
antarabangsa.
7. Tanggungjawab ini bagaimanapun bukanlah semata-mata
terletak di bahu Kerajaan. Sektor swasta, yang akan
mendapat hasil secara langsung atau tidak langsung, perlu
menyediakan kemudahan-kemudahan pengangkutan, penginapan,
makanan, tempat membeli-belah, tempat-tempat persiaran,
kegiatan sukan dan sebagainya. Mereka hendaklah menyediakan
perkhidmatan serta kemudahan yang konsisten dan berpatutan.
8. Aspek yang kedua seperti yang telah saya sebutkan ialah
penggalakkan dan pemasaran Malaysia sebagai pusat
pelancongan. Ini adalah perkara yang tidak begitu
sulit, berbanding aspek yang pertama iaitu pembangunan
kemudahan-kemudahan pelancongan di negara kita. Kita boleh
menyatakan demikian oleh kerana kita telah mempunyai
sedikit-sebanyak jentera, kemahiran dan beberapa strategi
untuk pemasaran. Apa yang kita perlukan ialah penilaian
semula ke atas jentera, kemahiran dan strategi yang kita
perolehi, serta penilaian semula pasaran serta teknik
penggalakkan. Dalam perkara ini, saya merasa gembira bahawa
PATA '86 sudah mulai menunjukkan hasil yang positif. Sektor
perhotelan mula merekodkan peningkatan bagi kadar
penginapan, sungguhpun bilangan bilik hotel semakin
bertambah.
9. Selain daripada kedua-dua aspek ini dan tidak kurang
pentingnya ialah sambutan dan layanan oleh
kita terhadap pelancong yang akan menjadi tetamu kita.
Sambutan dan layanan ini tidaklah terhad kepada mereka yang
bekerja dalam industri pelancongan sahaja. Sebaliknya,
semua rakyat haruslah menganggap diri mereka sebagai tuan
rumah atau 'host' kepada semua pelawat ke Malaysia. Kita
semua harus ingat bahawa pelancong yang datang bukan sahaja
menjadi pelanggan kepada peniaga-peniaga dalam industri
pelancongan tetapi juga mereka berbelanja dan membeli-belah
dan kutipan daripada berbagai jenis cukai yang dikenakan
akan membiayai pembangunan negara yang mana semua rakyat
akan mendapat faedah daripadanya. Justeru itu semua rakyat
haruslah memberi layanan yang baik kepada para pelancong dan
menolong industri pelancongan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10. Di samping kita berusaha meningkatkan lagi tukaran
asing bagi negara kita, dengan menggalakkan lebih banyak
lagi pelancong melawat negara ini, kita juga harus berusaha
supaya pengaliran keluar tukaran asing, yang disebabkan oleh
rakyat Malaysia melancong ke luar negeri, tidak meningkat
dengan banyaknya. Walaupun banyak negara lain melarang
rakyatnya daripada melancong ke luar negeri, kita tidak mahu
berbuat demikian. Sebaliknya, industri pelancongan kita
harus berusaha supaya rakyat Malaysia gemar melawat dan
beristirehat di dalam negeri. Kemudahan dan layanan kepada
para pelancong dalam negeri hendaklah sesuai dengan
keperluan dan selera mereka dan mereka haruslah diberi
layanan yang sama seperti yang diberikan kepada pelancong-
pelancong luar negeri. Kemampuan dan citarasa penduduk
berbagai kaum dalam negara kita perlu diberi perhatian.
Tuan-tuan dan puan-puan,
11. Tabiat melancong dan bercuti di luar negeri tidak lagi
terhad kepada golongan yang kaya sahaja. Sekarang ramai
yang berpendapatan sederhana dan juga yang berpendapatan
rendah menjelajah ke seluruh dunia. Mereka ini tidak mampu
menginap di hotel 'lima bintang' atau five-star hotel.
Hotel sederhana sudah mencukupi asalkan dilengkapi dengan
kemudahan-kemudahan yang sempurna dan bersih. Oleh itu
industri hotel di negara kita hendaklah memberi perhatian
yang serius kepada keperluan golongan ini. Kos pengurusan
dan pengendalian yang rendah untuk hotel yang menampung
keperluan pelancong-pelancong pendapatan sederhana dan
rendah akan menjamin pulangan yang sama dengan pelaburan
dalam hotel bertaraf antarabangsa.
12. Berikutan dengan ini Kerajaan telah menetapkan bahawa
galakan baru bagi industri pelancongan adalah termasuk dua
jenis tempat penginapan bertaraf sederhana, iaitu rumah
tumpangan dan rumah rehat. Tempat-tempat penginapan ini
hendaklah menyediakan kemudahan asas yang perlu tanpa
mengabaikan kebersihan dan layanan. Kerajaan berharap
bank-bank akan memberi keutamaan juga kepada pinjaman bagi
pembinaan hotel-hotel yang menyediakan bilik-bilik dengan
kadar sewa yang rendah dan sederhana serta kemudahan-
kemudahan asas yang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Malaysia Fest '87 menunjukkan betapa petingnya
kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, serta
sektor swasta. Dalam hubungan ini, saya mengucapkan tahniah
kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan
Malaysia Fest '87 sebagai salah satu usaha kita memajukan
pelancongan di negara ini dan menjadikan Malaysia sebagai
destinasi pelancongan yang penting.
14. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan
"Malaysia Fest '87"
ini dengan rasminya.
|