Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : GOMBAK, SELANGOR
Tarikh/Date : 29/09/87
Tajuk/Title : PERASMIAN MUZIUM ORANG ASLI
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam
bahagia.
Yang Amat Berhormat
Dato' Mohamad bin Mohd Taib,
Menteri Besar Selangor;
Yang Berhormat Menteri-Menteri dan
Timbalan-Timbalan Menteri;
Yang Berbahagia En. Jimin Idris,
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang
Asli;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Saya berterima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Orang
Asli kerana menjemput saya merasmikan Muzium Orang Asli ini.
Dalam masyarakat berbilang kaum adalah penting kita
mengetahui adat resam dan kebudayaan masing-masing. Saya
berharap Muzium ini akan membantu orang ramai mempelajari
dan memahami cara hidup masyarakat Orang Asli di negara ini.
2. Dengan adanya Muzium ini maka akan lebih terpeliharalah
warisan budaya masyarakat Orang Asli. Sebelum ini warisan
Orang Asli dipelihara dalam berbagai cara, termasuklah di
muzium-muzium lain di negara ini, di kampus-kampus dan di
Jabatan Hal Ehwal Orang Asli sendiri. Tetapi dengan
terbinanya Muzium ini warisan Orang Asli akan terpelihara
dengan lebih sempurna lagi.
3. Di samping itu Muzium ini akan membolehkan masyarakat
umum melawat dan memahami dengan lebih mendalam lagi cara
hidup dan adat resam Orang Asli. Walaupun kesempatan untuk
tinggal bersama Orang Asli akan lebih bermakna lagi bagi
memahami cara hidup Orang Asli, tetapi kesempatan melihat
artifek-artifek, pakaian dan peralatan-peralatan lain di
Muzium ini akan memberi peluang kepada orang ramai memahami
cara hidup mereka.
4. Saya gembira dengan cadangan Jabatan Hal Ehwal Orang
Asli yang ingin menjadikan Muzium ini sebagai sebuah pusat
pelancongan. Saya yakin muzium ini akan menjadi pusat
pelancongan bukan sahaja bagi masyarakat tempatan tetapi
juga kepada pelancong-pelancong luar negeri. Saya berharap
Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan mempastikan supaya
beberapa kemudahan untuk para pelancong akan disediakan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan
beberapa agensi lain telah memperjuangkan nasib dan masa
depan Orang Asli. Kerajaan terus menyediakan banyak
kemudahan dan perkhidmatan kepada Orang Asli untuk
meningkatkan lagi penglibatan mereka dalam pembangunan
negara. Sepanjang Rancangan Malaysia Keempat atau 'RME' dari
tahun 1981 hingga 1985, kira-kira 5,570 hektar tanah
telahpun diperuntukkan kepada Orang Asli untuk ditanam
dan dipulihkan dengan tanaman getah, kelapa sawit, buah-
buahan , kelapa, teh dan lada hitam. Seluas 1,000 hektar
lagi telahpun dimajukan dengan tanaman jangka pendek
seperti pisang, nenas dan betik di bawah projek Bumi Hijau.
Kerajaan juga menggalakkan Orang-orang Asli memelihara ikan
dan ternakan lain untuk memberi pendapatan sampingan kepada
mereka.
6. Masyarakat Orang Asli juga telah digalakkan untuk
menyertai kegiatan-kegiatan perniagaan dan industri kecil,
dan dengan itu beberapa buah kedai koperasi dan pusat
pemerosesan rotan telah ditubuhkan dalam tempoh RME. Di
samping itu satu program menyeluruh yang melibatkan lima
buah projek pengumpulan semula masyarakat Orang Asli telah
dilaksanakan di bawah RME bagi kira-kira 23,000 orang di
sepanjang Banjaran Titiwangsa atau Main Range. Seluas 13,
600 hektar tanah telah dibahagikan kepada mereka yang di
kumpulkan itu.
7. Di bawah RME Orang Asli juga telah mendapat faedah
daripada perkhidmatan-perkhidmatan asas yang disediakan.
Misalnya sebanyak 330 buah rumah, tiga buah blok rumah
pangsa yang mengandungi 57 unit kediaman, sebuah sekolah,
empat buah dewan makan, lima buah asrama sekolah dan lima
buah klinik telah didirikan. Kira-kira 600 buah rumah telah
dibekalkan dengan air bersih, sementara 640 buah rumah telah
dibekalkan dengan elektrik. Semua projek dan program yang
dilaksanakan itu adalah bagi menggalakkan penyertaan
masyarakat Orang Asli dalam proses pembangunan, memperbaiki
keadaan sosio-ekonomi mereka, dan menggalakkan mereka
mengamalkan cara-cara pertanian moden dan sistematik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Bagi tahun-tahun yang akan datang, Kerajaan akan
terus berusaha supaya masyarakat Orang Asl maju setapak
demi setapak seiring dengan proses pembangunan negara.
Bagi menjayakan program-program sosio-ekonomi Orang Asli,
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 40 juta ringgit bagi
pembangunan Orang Asli sepanjang Rancangan Malaysia Ke Lima
(RML) ini.Berbagai kemudahan asas dalam skim-skim yang sedia
ada akan diperluas dan dipertingkatkan lagi. Enam skim
penempatan semula yang baru untuk kira-kira 1,000 keluarga
Orang Asli akan dilaksanakan dalam tempoh RML.
9. Kemajuan Orang Asli melalui pendidikan akan terus
diberi perhatian. Dua buah asrama sedang dibina, sebuah di
Raub, Pahang, dan sebuah lagi di Bukit Lanjan, Selangor,
dengan setiap sebuah berharga 1.2 juta ringgit. Murid-murid
yang ditempatkan di asrama-asrama tersebut akan menghadiri
sekolah-sekolah yang berdekatan.
10. Di samping itu Kerajaan juga memberi kepentingan kepada
kesihatan dan perubatan bagi Orang Asli. Misalnya, Hospital
Orang Asli di Gombak ini sedang diperbaiki dan akan
dibekalkan dengan peralatan-peralatan baru. Kerajaan akan
membelanjakan 3.3 juta ringgit untuk tujuan ini. Kerajaan
akan terus meningkatkan kemudahan perubatan dan kesihatan
kepada Orang Asli pada masa depan.
11. Di samping itu, masyarakat Orang Asli akan digalakkan
menyertai rancangan-rancangan Lembaga Kemajuan Tanah
Persekutuan atau FELDA, terutamanya di kawasan di mana
bilangan Orang Asli adalah terlalu kecil untuk membolehkan
pembukaan skim penempatan semula. Kerajaan berharap Orang
Asli akan mengalami pembangunan sosio-ekonomi yang pesat,
secara teratur dan diterima dengan baik oleh masyarakat
Orang Asli seluruhnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan
penghargaan Kerajaan kepada masyarakat Orang Asli yang telah
membantu pasukan keselamatan kita dalam usaha membanteras
kegiatan-kegiatan komunis pada masa-masa yang lalu.
Dewasa ini ancaman komunis telah semakin berkurangan
berbanding dengan ancaman pada tahun-tahun 50an dan 60an.
Masyarakat Orang Asli, terutama mereka yang tinggal di
kawasan pendalaman, telah memberi maklumat mengenai
pergerakan musuh-musuh negara ini kepada pasukan keselamatan
kita. Apa sahaja maklumat daripada masyarakat Orang Asli
sudah tentu akan dapat membantu pasukan keselamatan
menghapuskan gerombolan komunis dikawasan-kawasan pendalaman.
13. Walaupun ancaman komunis itu tidaklah seperti dahulu,
kita mengakui bahawa ancaman itu masih ada dan kita semua
mestilah berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada. Justeru
itu Kerajaan berharap masyarakat
Orang Asli yang tinggal di pendalaman dapat terus membantu
pasukan keselamatan kita menghapuskan saki-baki musuh negara
ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Kepada kakitangan-kakitangan Jabatan Hal Ehwal Orang
Asli, saya berharap tuan-tuan dan puan-puan akan terus
berusaha memajukan kehidupan masyarakat Orang Asli di negara
ini. Kerajaan menghargai segala tugas yang dijalankan
dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.
15. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada
Jabatan Hal Ehwal Orang Asli yang telah menjemput saya ke
Majlis pagi ini. Adalah diharapkan Muzium ini akan menjadi
tumpuan para pelawat dan pelancong, baik dari dalam dan juga
luar negeri.
16. Dengan sukacitanya saya membuka Muzium Orang Asli ini
dengan rasminya.
Wabillahitaufik walhidayah wassamu'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
|