Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT 
Tarikh/Date 	: 	28/10/87 
Tajuk/Title  	: 	KENYATAAN YAB PERDANA MENTERI 
			MERANGKAP MENTERI DALAM NEGERI 




 Tuan Yang Dipertua,
Saya  bangun  untuk  melaporkan  kepada Dewan yang mulia ini
mengenai beberapa tindakan yang  telah  diambil  oleh  pihak
Polis dalam sehari dua ini.
Tuan Yang Dipertua,
2.   Sepertimana   yang   kita  semua  maklum,  negara  kita
mempunyai  penduduk  berbilang  kaum  yang  juga   menganuti
agama-agama  yang  berlainan.    Justeru  itu  bukan  sahaja
perpaduan sukar dicapai, tetapi keretakan,  pecah-belah  dan
ketegangan  mudah  berlaku di antara kaum kerana sensitiviti
isu kaum, isu agama dan isu kebudayaan.
3.   Semenjak 1981 Kerajaan  telah  cuba  mengelak  daripada
mengawal  terlalu  ketat kegiatan dan gerak-geri rakyat yang
mungkin boleh menyebabkan berlakunya ketegangan antara  kaum
dan   antara  agama.     Pihak  Kerajaan  telah  membebaskan
kebanyakan daripada mereka yang berada dalam tahanan sebelum
tahun  1981.    Kerajaan  telah  meluluskan   lebih   banyak
permohonan  mencetak  akhbar  dan  majalah.   Kerajaan telah
membenarkan  laporan  dan  rencana,  yang  dahulu   ditakrif
sebagai   hasutan,   disiarkan   dalam   akhbar-akhbar   dan
majalah-majalah.   Kegiatan kebudayaan yang  dahulu  ditegah
atau  dihadkan,  telah  diberi   kelonggaran.   Perhimpunan,
seminar, dailog dan juga rally  yang dahulu dianggap sebagai
menghasut,   tidak   diambil   tindakan    oleh    Kerajaan.
Badan-badan  politik,  sosial dan professional bebas membuat
bermacam-macam tohmahan dan  tuduhan  melulu  yang  bercorak
perkauman terhadap Kerajaan.
4.   Kerajaan   percaya  bahawa  rakyat  Malaysia,  terutama
pemimpin-pemimpinnya, sudah dewasa dan tahu membendung  diri
sendiri  tanpa  kawalan  oleh  Kerajaan.    Kerajaan percaya
mereka ini sedar bahawa ketenteraman dan  kestabilan  negara
kita  perlu dipelihara dengan rapi.  Kerajaan percaya bahawa
mereka sedar bahawa pembangunan Malaysia  dan  kesejahteraan
rakyatnya  bergantung  kepada  ketenteraman  dan kestabilan.
Kerajaan  juga  berpendapat   bahawa   rakyat   tidak   akan
dipengaruhi  oleh  kegiatan  dan  tohmahan  orang-orang yang
tidak bertanggungjawab ini.
Tuan Yang Dipertua,
5.   Kita semua masih ingat peristiwa 13 Mei 1969.  Tentulah
tidak ada di  antara  kita  yang  suka  mencetuskan  rusuhan
berdarah  seperti  itu  sekali lagi.   Oleh itu, sikap tidak
bertanggungjawab dan kegiatan menjolok isu-isu yang sensitif
sepatutnya tidak berlaku.
6.   Walau bagaimanapun, pihak  Polis  yang  sepanjang  masa
memerhati  dan  meneliti  perkembangan politik dan lain-lain
gerak-geri rakyat, mendapati bahawa ada pihak-pihak tertentu
yang tidak menghargai sikap  Kerajaan.    Mereka  sebaliknya
menggunakan  peluang  daripada  pendirian Kerajaan ini untuk
memperalatkan isu-isu sensitif untuk kepentingan mereka  dan
dalang-dalang  mereka.    Mereka  tidak  memperdulikan kesan
buruk akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab itu.
Tuan Yang Dipertua,
7.   Pihak  Polis  mendapati  bahawa  beberapa   tokoh   dan
pemimpin parti pembangkang dan kumpulan-kumpulan yang sebulu
dengan  mereka  telah  dengan  sengaja membesar-besarkan isu
yang ada kaitan dengan kaum.
8.   Pihak  DAP   khususnya,   terlalu   memainkan   isu-isu
perkauman  Cina  dan  India secara terbuka.   Mereka memberi
gambaran bahawa Kerajaan menindas  kaum-kaum  ini.    Mereka
mengadakan   rapat-rapat   umum,   mesyuarat   awam,  rally,
demonstrasi  dan  lain-lain  kegiatan  untuk  membakar  hati
orang-orang  Cina  dan  India terhadap Kerajaan dan terhadap
orang-orang Melayu.
Tuan Yang Dipertua,
9.   Pihak Polis mendapati  bahawa  pemimpim-pemimpin  parti
DAP  amat  gemar  menggunakan  isu-isu yang berbau perkauman
untuk mendapat sokongan bagi parti  mereka.    Mereka  bukan
sahaja  berlagak  sebagai  juara kaum Cina dan India, tetapi
juga sengaja mencabar parti-parti kaum Cina dan India  dalam
Kerajaan  kerana  kononnya  tidak memperjuangkan kepentingan
kaum-kaum mereka.  Dengan ini maka parti kaum Cina dan India
dalam Kerajaan pun melenting dan cuba  pula  untuk  melebihi
parti DAP dalam ketebalan perkauman mereka.
10.  Usaha  menjadi  jaguh  ini  meningkat apabila DAP dapat
mengalahkan beberapa calon parti Cina dalam Barisan Nasional
dalam Pilihanraya 1986.   DAP sengaja  mengejek  parti  Cina
dalam  Barisan  Nasional  sebagai 'running dogs' parti UMNO.
Dengan ini maka semakin bertambahlah usaha  parti  Cina  dan
India dalam Barisan Nasional untuk membuktikan bahawa mereka
juga  kuat  dari  segi  perkauman,  bahkan  lebih  kuat lagi
daripada DAP dan pemimpin-pemimpinnya.
11.  Berbagai isu dijadikan asas ujian tentang  siapa  lebih
kuat  perkaumannya.    Beberapa  daripada  isu-isu  ini amat
sensitif termasuk soal tarian  singa,  soal  koperasi,  soal
papantanda  dan  iklan,  soal  Bahasa Cina, soal Bukit Cina,
soal pakaian, soal ikrar murid sekolah, soal mata  pelajaran
elektif  di Universiti Malaya, KBSR, soal Pribumi/Bumiputera
dan akhir-akhir ini soal guru sekolah Cina.  Satu  perbuatan
yang  amat  bahaya  ialah  penggunaan  kuil  untuk mesyuarat
perkauman.
12.  Dalam  ucapan-ucapan  yang  dibuat  sewaktu  membincang
isu-isu  ini,  banyak  kata-kata  kesat  yang boleh ditakrif
sebagai hasutan, disuarakan dengan lantang.
13.  Reaksi daripada  orang  Melayu  juga  meningkat  kerana
sebab-sebab   yang   tersebut  sehingga  ke  peringkat  yang
melampaui batas.
14.  Semua   ini   dilaporkan   oleh    akhbar-akhbar    dan
majalah-majalah  dan  media  massa  ini  juga semakin berani
melapor  dan  membuat  rencana-rencana  yang  membakar  hati
kaum-kaum  yang  terlibat.    Beberapa  akhbar  dan  majalah
sengaja    menokok-tambah    hasutan-hasutan    ini    untuk
memperluaskannya kepada seluruh rakyat.
15.  Di  masa yang sama pihak yang pro-komunis tidak berdiam
diri.   Mereka memang  menangguk  di  air  yang  keruh  ini.
Mereka menghasut melalui badan-badan sah dan tidak sah.  Ada
bukti  yang  menunjukkan  bahawa  mereka  mendapat ilham dan
sokongan moral dan material  dari  pihak-pihak  luar  negeri
yang tidak ingin melihat negara kita tenteram dan maju.
Tuan Yang Dipertua,
16.  Selain  daripada  perkauman, perkara yang merenggangkan
jarak perhubungan antara kaum adalah agama  yang  berlainan.
Sepatutnya  soal  berlainan  agama boleh diatasi.  Malangnya
kerana  kepentingan  politik  dan   fanatik   agama,   jarak
perpisahan  antara  penganut  agama-agama yang berbeza telah
menjadi lebih  jauh  disebabkan  oleh  kegiatan  pihak-pihak
tertentu.
17.  Beberapa  pemimpin  parti  PAS  telah cuba bukan sahaja
memecahbelahkan  orang  Islam  sesama  Islam,  tetapi   juga
menghasut  orang  Islam  supaya benci dan marah kepada orang
Kristian dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas.
18.  Soal  orang  Islam  diKristiankan  telah   sengaja   di
besar-besarkan   oleh   beberapa   orang   untuk   mengambil
kesempatan  daripada  suasana  syak-wasangka   di   kalangan
orang-orang  Islam  terhadap  kegiatan orang-orang Kristian.
Sudah ada tanda-tanda bahawa  hasutan  daripada  orang-orang
tertentu  ini  telah  menolong  meningkatkan lagi ketegangan
antara penduduk di Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
19.  Semenjak zaman British memerintah lagi, segala kegiatan
pendakwah Kristian mengembangkan agama Kristian di  kalangan
orang-orang   Islam   adalah   dilarang.      Pihak  British
menghormati perjanjian  dengan  Raja-Raja  Melayu  berkenaan
dengan sekatan terhadap pendakwah Kristian ini.
20.  Dalam  Perlembagaan  Malaysia  yang  merdeka,  terdapat
peruntukan   undang-undang   yang    menegah    perkembangan
agama-agama  lain  di  kalangan  orang-orang  Islam.    Kita
percaya bahawa gereja-gereja Kristian dan  pendakwah  mereka
sedar  akan larangan ini dan tidak akan membuat sesuatu yang
mereka tahu akan menyebabkan ketenteraman negara tergugat.
21.  Umumnya pihak gereja-gereja Kristian berhati-hati dalam
perkara ini dan  tidak  cuba  berdakwah  di  kalangan  orang
Islam.  Malangnya, ada sebuah gereja yang telah cuba berbuat
demikian.    Mereka  tidak  begitu berjaya.   Hanya beberapa
orang  sahaja  yang  dilahir  sebagai   orang   Islam   yang
terpengaruh  dengan mereka.   Beberapa orang daripada mereka
ini mempunyai  masalah  peribadi  atau  mencari  kesempatan.
Siasatan  menunjukkan  bahawa jumlah mereka tidak pun sampai
50 orang dan mereka ini pun belum menerima sepenuhnya  agama
Kristian.
22.  Namun  demikian  kegiatan  gereja  ini  diketahui  oleh
beberapa  orang  Islam  yang  kemudian  menghebohkan  cerita
kononnya   beribu-ribu   orang  Islam  telah  diKristiankan.
Akibat daripada cerita-cerita yang sengaja  dibesar-besarkan
ini, iklim perhubungan kaum menjadi lebih tegang.
Tuan Yang DiPertua,
23.  Akibat  daripada semua pergolakan ini keadaan di negara
kita telah menjadi amat tegang sekarang.   Pihak Polis  yang
bertanggungjawab terhadap ketenteraman dan kestabilan negara
berpendapat  bahawa  kita  sudah  sampai  kepada  tahap yang
merbahaya bagi negara.
24.  Polis berpendapat, dan saya bersetuju  dengan  pendapat
mereka,   bahawa  Kerajaan  tidak  boleh  menunggu  sehingga
rusuhan  tercetus  sebelum   bertindak.      Langkah-langkah
mencegah  kejadian rusuhan perlu diambil sekarang juga untuk
menyelamatkan  negara  daripada  bahaya  dan  bencana   yang
mungkin dihadapinya.
Tuan Yang Dipertua,
25.  Kita  telah  merdeka lebih daripada 30 tahun.  Di waktu
kita  mula  bekerjasama  di  antara  kaum   untuk   mencapai
kemerdekaan,  kita  telah  bersetuju dengan beberapa perkara
yang menjadi asas kemerdekaan dan Perlembagaan negara kita.
26.  Kita semua  telah  mengiktiraf  keistimewaan  kedudukan
bumiputera  dan  hak  kerakyatan bagi bukan Melayu, termasuk
kaum Cina dan India, yang layak dan  memilih  untuk  menjadi
warganegara Malaysia.
27.  Kita  telah  mengakui  bahawa  agama Islam adalah agama
rasmi  Malaysia  tetapi  agama-agama  lain  boleh  diamalkan
dengan bebas.
28.  Kita  telah  bersetuju  bahawa  Bahasa Kebangsaan ialah
Bahasa Melayu tetapi kaum-kaum yang lain berhak  menggunakan
bahasa-bahasa mereka.
29.  Persetujuan  ini  mestilah  dihormati oleh semua pihak.
Perkara-perkara ini tidak boleh disoal oleh sesiapa.    Jika
ada  mana-mana pihak menyoal hak sesuatu kaum, maka kaum itu
akan menyoal balik hak  kaum  yang  mencabarnya.  Maka  akan
meningkatlah  soal-menyoal, caci-mencaci dan cabar-mencabar.
Dengan itu, keadaan menjadi keruh dan tegang dan  kestabilan
negara akan tergugat.
Tuan Yang DiPertua,
30.  Negara tidak mampu mengalami rusuhan kaum.  Negara kita
mengalami  kemelesetan  ekonomi  dan  ramai  daripada tenaga
kerja kita menganggur.   Jika  kemelesetan  ekonomi  ditokok
dengan  keadaan  politik  yang tidak stabil dan rusuhan kaum
pula berlaku, negara ini akan  menjadi  huru-hara.    Rakyat
akan hidup dalam ketakutan dan terus menderita.  Pembangunan
dan    kemajuan    negara    dan   rakyat   akan   terjejas.
Peristiwa-peristiwa yang kita  lihat  di  Asia  Barat,  Asia
Selatan dan Ireland Utara akan menimpa kita.
31.  Kerajaan   bertanggungjawab   terhadap   keamanan   dan
kestabilan negara dan oleh itu bersetuju  di  atas  tindakan
yang diambil oleh pihak Polis.
32.  Memandangkan  bahawa keadaan dalam negeri adalah tegang
dan untuk menjayakan tindakan Polis,  saya  sebagai  Menteri
Dalam   Negeri  telah  mengambil  keputusan  untuk  melarang
sebarang  perhimpunan  atau  rally  di   seluruh   Malaysia.
Larangan  ini juga bermakna perhimpunan raksaksa UMNO pada 1
November ini dibatalkan.
33.  Semua perhimpunan awam atau rally, sama  ada  di  dalam
bangunan-bangunan  atau di luar, adalah dibatalkan, termasuk
yang telah mendapat kebenaran terlebih awal dahulu.
Tuan Yang DiPertua,
34.  Akhir kata, saya menyeru kepada rakyat  sekelian  serta
semua  pihak  untuk  memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan
dalam   usaha-usahanya   untuk   menjamin   perpaduan    dan
persefahaman.    Kerajaan  tidak akan teragak-agak mengambil
tindakan  tegas  ke  atas  mereka  yang   cuba   menimbulkan
huru-hara   atau   menghalang   Kerajaan  dalam  menjalankan
kewajipannya untuk menjaminkan kestabilan  dan  ketenteraman
negara demi kesejahteraan semua rakyat.

 
 



 
Google