Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN TUN DR. ISMAIL, PUSAT
DAGANGAN DUNIA PUTRA, KL
Tarikh/Date : 06/11/87
Tajuk/Title : PERASMIAN SEMINAR KEBANGSAAN
KEBAJIKAN MASYARAKAT
Assamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan selamat pagi,
Yang Berhormat En. Mustaffa Mohamad,
Menteri Kebajikan Masyarakat;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa
Penganjur kerana menjemput saya untuk menyampaikan ucapan
dan seterusnya merasmikan Seminar Kebangsaan Kebajikan
Masyarakat pada pagi ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Saya difahamkan bahawa salah satu perkara yang akan
dibincangkan di dalam Seminar ini ialah mengenai
kanak-kanak, orang tua dan orang cacat. Kebajikan bagi
ketiga-tiga golongan yang tertentu ini amatlah perlu diberi
perhatian yang khusus, bukan sahaja oleh pihak Kerajaan,
bahkan juga oleh masyarakat keseluruhannya. Ketiga-tiga
golongan ini adalah terdiri dari mereka yang
memerlukan bimbingan, sokongan dan bantuan dari Kerajaan dan
masyarakat untuk membantu mereka hidup dalam kesejahteraan.
Tanpa bantuan dan perhatian oleh masyarakat, ada kemungkinan
masyarakat akan menghadapi masalah sosial yang berat
kemudiannya.
3. Kita sangat bertuah kerana negara kita telah membangun
dengan begitu pesatnya dan membawa kemajuan kepada semua
lapisan masyarakat, sehingga ada yang dapat hidup selesa dan
mewah. Malangnya terdapat juga masalah sampingan di
kalangan masyarakat ataupun individu yang kurang
berkemampuan untuk mengikuti arus perubahan ini.
4. Norma dan nilai masyarakat telah turut berubah, di mana
pada masa ini ramai yang terlalu mengutamakan kekayaan
kebendaan. Akibatnya ialah segala nilai-nilai yang mulia
diketepikan dalam perbuatan mengejar kekayaan sehingga
merosotlah tahap dan piawaian akhlak masyarakat. Keluarga
yang dahulu menjadi asas dan benteng masyarakat, sekarang
ini sudah retak. Ibu-bapa tidak lagi dekat dengan anak
mereka dan tidak lagi dapat mendidik dan menguasai gerakgeri
anak mereka secara berkesan. Sudah tentu abang dan kakak
tidak dapat mengawal adik-adik mereka seperti dahulu.
5. Dengan lemahnya institusi kekeluargaan, maka akan
terjejaslah prestasi masyarakat dan kemajuan
negara. Kerajaan memerlukan rakyat yang cergas dan
berdisiplin untuk menjamin kebahagiaan dan pembangunan
negara. Justeru itu pelbagai kemudahan dan perkhidmatan
telah disediakan oleh Kerajaan ke arah meningkatkan
pencapaian rakyat. Tetapi Kerajaan dengan sendirinya tidak
akan dapat mencapai matlamat yang mulia tanpa penyertaan
secara langsung dan penuh minat oleh keluarga dan anggota
masyarakat.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
6. Di zaman serba mencabar ini ibu bapa dan masyarakat
hendaklah selalu berwaspada terhadap kelakuan dan
tingkahlaku anak-anak mereka. Seseorang kanak-kanak
memerlukan perhatian, kasih-sayang serta bimbingan dan
pengawasan yang rapi dari ibu bapa atau penjaga mereka
untuk membolehkan mereka membesar sebagai seorang yang
berjaya. Ibu bapa perlulah juga memberi penekanan terhadap
pendidikan rohaniah kepada anak-anak mereka, kerana dengan
adanya asas keagamaan yang kuat akan dapat membantu
seseorang itu menangkis pengaruh-pengaruh yang kurang sihat.
7. Masyarakat perlu memainkan peranan mereka untuk
membantu, mengawal dan mengambil berat terhadap perilaku
kanak-kanak dan memberi teguran yang membina. Masyarakat
desa dahulu di mana tiap-tiap orang individu saling bantu
membantu di antara satu sama lain di dalam semua soal
kemasyarakatan, perlu dihidupkan semula dan dikembangkan
ke semua kawasan perumahan, terutama sekali dibandar-bandar.
Sifat individualisme atau mementingkan diri sendiri
tanpa menghiraukan jiran tetangga, perlulah dikikis
kerana kestabilan sesuatu masyarakat itu bergantung
kepada keutuhan ahli-ahlinya. Melalui usaha badan atau
pertubuhan sukarela, saya menyeru supaya usaha-usaha
kemasyarakatan dan perpaduan hendaklah dipupuk di kalangan
semua ahli masyarakat di negara ini.
8. Tuan-tuan dan puan-puan hadirin diharapkan dapatlah
berganding bahu di antara satu sama lain tanpa mengira
keturunan, bangsa dan agama, bagi mencurahkan tenaga bakti
dan memberi perkhidmatan kepada ahli masyarakat
yang memerlukannya. Melalui kerja-kerja kebajikan dan
bantuan yang dihulurkan sama ada berupa wang ringgit, tenaga
atau kepakaran akan mengeratkan lagi perhubungan
silaturrahim dan juga semangat perpaduan di negara ini.
Sebagai rakyat Malaysia kita perlulah hidup
hormat-menghormati di antara satu sama lain kerana
kesejahteraan dan kestabilan negara ini adalah bergantung di
atas keharmonian dan keteguhan rakyat keseluruhannya.
9. Sumbangan dan penyertaan masyarakat serta individu
dalam aktiviti-aktiviti kebajikan amatlah diperlukan oleh
Kerajaan untuk mengatasi dan membendung sesuatu masalah yang
timbul di kalangan masyarakat kita. Melalui
Seminar yang akan berjalan selama tiga hari ini, saya
berharap semoga para peserta sekalian akan dapat
membincangkan dengan terperinci mengenai masalah-masalah
semasa dan cara bagaimana untuk membendung dan mencari
pendekatan yang sesuai di segi penyelesaiannya, terutama
sekali di dalam bidang penglibatan masyarakat di dalam
kerja-kerja pencegahan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Tiap-tiap individu atau seseorang itu dilahirkan ke
dunia ini dengan sesuatu keistimewaannya. Walaupun
seseorang itu mengalami sesuatu kekurangan, seperti
kecacatan dan sebagainya, namun ia masih mempunyai
sesuatu keupayaan yang boleh digunakan jika diberi peluang
dan pengasuhan yang sempurna. Justeru itu, tiap-tiap tenaga
yang ada di dalam masyarakat kita perlulah digembeling untuk
memberi sumbangan dan khidmat terhadap pembangunan negara.
Seseorang itu sama ada ia seorang kanak-kanak, orang tua,
atau orang cacat, mempunyai sesuatu kebolehan yang boleh
digunakan dan digembeling untuk kepentingan dirinya dan
secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat.
Sehubungan dengan ini, sangatlah penting bagi mereka ini,
terutama mereka yang tua dan yang cacat, diberi segala
kemudahan dan sokongan untuk membolehkan mereka hidup dengan
lebih bermakna dan tidak tersisih dari masyarakat.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
11. Rakyat di negara ini sudah terkenal kerana kebaikan
atau kemurahan hati mereka, di mana ramai daripada kita
tidak teragak-agak untuk tampil ke hadapan atau memberi
sumbangan, sama ada tenaga atau wang ringgit, untuk membantu
mereka yang ditimpa kemalangan ataupun bencana. Sifat murah
hati dan suka membantu atau menolong seseorang di dalam
kesusahan adalah satu ciri yang baik yang ada di kalangan
masyarakat kita, dan tabiat ini sudah seharusnya
dikembangkan dan digembeling untuk kepentingan masyarakat
yang kurang bernasib baik melalui kerja-kerja amal ataupun
kebajikan. Saya berharap semoga kegiatan dan penubuhan
persatuan atau badan sukarela di negara ini dapat
diperkembangkan dan pihak Kerajaan sentiasa akan memberi
galakan dan dorongan, ataupun bantuan yang munasabah ke arah
pencapaian matlamat itu.
12. Melalui Seminar ini bolehlah dibincangkan cara yang
lebih berkesan untuk mempertingkatkan dan menggembeling
tenaga sukarela untuk kerja-kerja kebajikan di negara ini.
Saya berkeyakinan penuh bahawa Seminar ini akan dapat
memberi manfaat seperti yang diharapkan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah kepada
Kementerian Kebajikan Masyarakat di atas usahanya mengadakan
Seminar ini. Seterusnya, saya dengan sukacitanya merasmikan
Seminar Kebangsaan Kebajikan Masyarakat ini.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh, dan salam sejahtera.
|