Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : JALAN RAJA CHULAN, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 20/11/87
Tajuk/Title : PERASMIAN BANGUNAN ARAB-MALAYSIAN
Yang Berbahagia Dato Azman Hashim,
Pengerusi Lembaga Pengarah
Arab-Malaysian Merchant Bank Berhad;
Yang Berhormat Menteri-Menteri;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya berterima kasih kepada Lembaga Pengarah
Arab-Malaysian Merchant Bank Berhad kerana menjemput saya
merasmikan Bangunan Arab-Malaysian ini. Di negara kita ini,
banyak institusi kewangan mempunyai bangunan-bangunan
sendiri yang besar dan indah termasuklah Arab-Malaysian
Merchant Bank ini. Saya berharap Bank ini akan menempuh
masa hadapan yang kukuh seperti tersergamnya bangunan ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Dasar kewangan negara kita telah dilaksanakan untuk
menyokong pertumbuhan ekonomi, mendorong aktiviti-aktiviti
sektor swasta dan mengekalkan kestabilan di dalam sistem
kewangan. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk
membebaskan industri kewangan daripada kawalan-kawalan yang
tidak penting. Di masa yang sama, Kerajaan telah berusaha
mengadakan peraturan-peraturan untuk melindungi kepentingan
awam. Semua ini adalah untuk menggalakkan persaingan dan
kecekapan, serta mempastikan wujudnya kejujuran di kalangan
institusi-institusi kewangan.
3. Institusi-institusi kewangan di negara kita, seperti
bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan, telah
juga digalakkan membantu Kerajaan dalam usaha memulihkan
ekonomi negara. Sebagai komponen penting dalam sistem
kewangan negara, institusi-institusi kewangan haruslah
bersedia memainkan peranan mereka dalam pemulihan ekonomi
negara ini.
4. Salah satu asas bagi perkembangan ekonomi masa depan
ialah meningkatkan peranan sektor swasta dalam
aktiviti-aktiviti ekonomi. Institusi-institusi kewangan
berperanan penting dalam hal ini. Institusi-institusi
kewangan haruslah bekerjasama supaya sektor swasta dapat
meningkatkan penyertaan aktiviti mereka. Sebelum ini
Kerajaan pernah menyeru institusi-institusi kewangan supaya
membantu usaha pemulihan perniagaan yang menghadapi masalah
aliran wang tunai dewasa ini. Bank-bank terutamanya telah
digalakkan bersikap 'accommodative' dengan tidak menutup
atau foreclose sesuatu perniagaan, sebaliknya membantu
perniagaan-perniagaan yang mempunyai prospek masa depan yang
baik dan berdaya maju. Apa-apa usaha ke arah hal ini oleh
institusi-institusi kewangan haruslah dipuji.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Menyentuh tentang bank-bank saudagar di Malaysia,
bank-bank ini telah mengalami perkembangan yang memuaskan.
Walaupun kesan ekonomi yang lembab dewasa ini dirasai juga
oleh bank-bank perdagangan dan syarikat-syarikat kewangan,
bank-bank saudagar telah mengalami beberapa perkembangan
lain yang menggalakkan. Saya berharap bank-bank saudagar
akan terus memainkan peranan yang aktif bagi membantu para
pengusaha dan ahli-ahli perniagaan dalam mempertingkatkan
aktiviti-aktiviti perdagangan, perindustrian dan perniagaan.
6. Salah satu perkembangan baru dalam sistem kewangan kita
ialah pengwujudan pasaran cagaran kedua atau secondary
mortgage market. Pasaran cagaran kedua ini diwujudkan untuk
membolehkan institusi-institusi kewangan menjual cagaran
pinjaman perumahan mereka di pasaran cagaran kedua ini.
Pasaran ini akan dapat membebaskan institusi-institusi
kewangan daripada terus memegang pinjaman-pinjaman perumahan
jangka panjang, dan ini akan membolehkan institusi-institusi
kewangan menyalurkan lebih banyak wang untuk
pinjaman-pinjaman yang lebih produktif. Seperti yang kita
maklum, Kerajaan telah menubuhkan Cagamas Berhad, iaitu
sebuah perbadanan yang akan memainkan peranan yang penting
dalam pembangunan pasaran kedua ini.
7. Bank-bank saudagar mempunyai peranannya tersendiri
berkaitan dengan pasaran cagaran kedua ini. Bank-bank
saudagar diharapkan akan memainkan peranan yang aktif bagi
membangun pasaran dan mempertingkatkan perdagangan baru yang
berasaskan cagaran yang dikeluarkan oleh Cagamas Berhad ini.
Kerajaan berharap bank-bank saudagar akan bersama-sama
membangunkan pasaran cagaran untuk berbagai alat kewangan
atau financial instruments, termasuklah surat-surat jaminan
Kerajaan. Insentif yang diberikan kepada bank-bank saudagar
bagi melibatkan diri dalam pasar kedua kewangan ini patutlah
digunakan sepenuhnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah
kepada Arab-Malaysia Merchant Bank yang merupakan bank
saudagar yang pertama yang memegang ekuiti dalam sebuah
firma broker saham atau stockbroking firm. Kerajaan
berharap lain-lain bank saudagar yang layak akan mengambil
peluang dalam penyertaan ekuiti ini, supaya cita-cita
Kerajaan bagi meningkatkan sumber modal dan meningkatkan
profesionalisma dalam industri broker saham akan berjaya.
9. Di samping itu, beberapa buah bank saudagar telah
dibenarkan mengeluarkan sijil-sijil simpanan boleniaga atau
negotiable certificates of deposits. Walaupun terdapat
beberapa syarat yang dikenakan, pengeluaran sijil-sijil ini
merupakan satu lagi perkembangan yang disediakan oleh
Kerajaan bagi bank-bank saudagar bagi meningkatkan lagi
penglibatan mereka dalam sektor kewangan. Bank-bank
saudagar hendaklah juga menggunakan initiatif mereka untuk
mempastikan mereka memainkan peranan yang aktif supaya
ekonomi negara ini berkembang dengan lancar. Ekonomi yang
berkembang semestinya dapat menjamin masa depan semua pihak,
termasuklah bank-bank saudagar.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Saya ingin menyentuh sedikit mengenai institusi
kewangan dalam bidang perniagaan. Sebenarnya bank dan
lain-lain institusi kewangan bukan berniaga dengan duit atau
wang. Yang menjadi komoditi jual-beli institusi kewangan
ialah amanah. Mereka yang menggunakan institusi kewangan
untuk menyimpan, meminjam atau menggunakan lain-lain
kemudahan seperti cek, letters of credit, negotiable
certificates dan lain-lain berbuat demikian kerana mereka
percaya kepada institusi ini. Jika tidak, mereka tidak akan
menyimpan wang mereka, atau membayar dahulu atau membeli
nota-nota janji atau promissory notes yang dikeluarkan oleh
bank-bank. Yang mereka dapat ialah kertas atau surat yang
tidak dengan sendirinya mempunyai harga. Hanya yang
menentukan nilai bagi kertas-kertas ini ialah kepercayaan
bahawa bank akan menunaikan janji yang terdapat dalam
kertas-kertas berkenaan.
11. Oleh kerana komoditi yang terpenting yang diperniagakan
oleh bank-bank dan lain-lain institusi kewangan ialah
amanah, maka mereka mestilah menentukan bahawa sebarang
janji yang dibuat akan dihormati seratus peratus. Dengan
amalan ini mereka akan mempunyai kredibiliti dan perniagaan
akan menjadi laris, lebih daripada wang yang dimiliki
sebenarnya.
12. Tetapi bank dan institusi kewangan tidak menjadi badan
perniagaan jika tidak mempunyai pengurus, pegawai eksekutif
dan kakitangan. Jika bank-bank ingin mewujudkan amanah maka
semua anggota bank mestilah beramanah. Hanya apabila bank
terkenal dengan mempunyai pengurusan dan kakitangan yang
beramanah sahaja baharulah bank mempunyai kredibiliti dan
boleh berfungsi sebagai bank.
13. Pengurusan bank mestilah tegas dalam soal amanah ini.
Tiada maaf bagi sesiapa daripada kakitangan bank yang
mengabaikan kepercayaan pelanggan. Tindakan segera mestilah
diambil.
14. Negara juga tidak boleh membiarkan pengurusan bank yang
tidak jujur kerana seluruh masyarakat perniagaan dan
pengusaha tidak akan mengadakan hubungan dengan sebuah
negara yang terkenal dengan anggota banknya yang tidak
beramanah. Memandangkan betapa pentingnya kredibiliti dan
amanah dalam pengurusan bank untuk perkembangan ekonomi
negara, Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan
tegas terhadap sebarang penyelewengan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada
Lembaga Pengarah Arab-Malaysian Merchant Bank Berhad kerana
menjemput saya ke Majlis ini. Dengan ini, saya dengan
sukacitanya membuka Bangunan Arab-Malaysian ini dengan
rasminya.
|