Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN 
			DUNIA PUTRA 
Tarikh/Date 	:	21/11/87 
Tajuk/Title  	: 	JAMUAN MAKAN MALAM TAHUNAN 
			PERSATUAN PERKHIDMATAN TADBIR 
			DAN DIPLOMATIK 




 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berbahagia
     Tan Sri Dato Sallehuddin bin Mohamed,
     Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Dato' Hassan Ibrahim,
     Presiden Persatuan PPTD;
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
    Saya   mengucapkan  terima  kasih  kepada  Jawatankuasa
Persatuan  Perkhidmatan   Tadbir   dan   Diplomatik   kerana
menjemput saya dan isteri saya ke majlis makan malam tahunan
Persatuan  ini.    Saya  juga berharap majlis pada malam ini
akan  menjalinkan  hubungan  yang  lebih  erat   di   antara
ahli-ahli PPTD supaya ahli-ahli akan dapat meningkatkan lagi
kerjasama bagi mewujudkan perkhidmatan yang lebih cekap.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Semenjak tahun 1981, saya telah mengambil kesempatan di
majlis-majlis  makan  malam PPTD untuk mengutarakan beberapa
pandangan  ikhlas  saya  mengenai  fungsi  pentadbiran   dan
pengurusan bagi negara kita.  Pada malam ini juga ingin saya
bercakap mengenai aspek bentuk dan aliran pemikiran golongan
pemimpin  dan  pengurus  dan implikasinya kepada pembangunan
dan pentadbiran negara.    Aspek  ini  penting  oleh  kerana
seorang pemimpin atau pengurus berfungsi bukan hanya sebagai
pelaksana   atau  penyelesai  masalah  semasa,  tetapi  juga
sebagai pemikir utama  untuk  organisasinya.    Dalam  tempo
pembangunan  yang  ada  sekarang,  aspek  pemikiran ini amat
penting ditekankan.   Bentuk atau  hasil  pemikiran  seorang
pemimpin  atau  pengurus  itu  menentukan  arah  perjuangan,
matlamat dan  strategi  organisasinya.    Pemikirannya  juga
mempengaruhi tindakan dan sikap orang lain.  Baik-buruk mutu
pemikirannya  memberi kesan yang besar kepada organisasi dan
seterusnya kepada masyarakat dan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3.   Kita mengharapkan para pemimpin dan pengurus organisasi
di dalam negara  kita  dapat  memikul  tanggungjawab  mereka
dengan  baik,  bijaksana  dan sempurna; dengan bersih, cekap
dan amanah.   Kita mahukan pengurus  yang  sentiasa  memberi
perhatian   yang  berat  terhadap  matlamat  atau  'mission'
organisasinya dan tidak membuat sesuatu yang boleh dikatakan
menyeleweng, terpesong atau lari daripada asas dan  matlamat
organisasi   itu.     Kita  berharap  pemimpin-pemimpin  dan
pengurus-pengurus  dalam  Kerajaan   dapat   mendalami   dan
memahami masalah-masalah dan matlamat negara; dapat memahami
latar  belakang masalah-masalah tersebut, serta berhati-hati
apabila   mengkaji   dan   menghalusi   faedah-faedah    dan
risiko-risiko yang akan dan mungkin dihadapi sebelum sesuatu
keputusan  muktamad dibuat.   Kejayaan organisasi bergantung
rapat  kepada  mutu  pemikiran  pengurus;  yang   diharapkan
bersifat   kreatif,  membina,  'innovative'  dan  strategik.
Mereka harus sedar akan perkembangan-perkembangan yang  baru
dalam bidang pengurusan untuk membolehkan organisasinya maju
ke  hadapan.   Mereka harus mempunyai ketegasan disiplin dan
'resilience' bagi menguruskan konflik,  cabaran-cabaran  dan
persaingan-persaingan    yang   tetap   dihadapi   sepanjang
perjalanan pengurusan mereka.
4.   Pemimpin-pemimpin dan pengurus-pengurus organisasi yang
berwibawa  harus  mempunyai  sifat   pemikiran   yang   agak
menyeluruh  dan  jelas, atau clarity of mind, tentang haluan
perjalanan organisasinya.   Untuk mencapai tahap  ini,  kita
tidak boleh bersandarkan semata-mata kepada pendekatan logik
atau  'reason'  sahaja,  atau  membuat  keputusan berasaskan
pengutipan  data-data  dan   penglihatan   fenomena-fenomena
semasa  sahaja.    Pendirian  dan  tindakan  kita harus juga
berpandu kepada pembelajaran, pengalaman  serta  fakta-fakta
sejarah.     Tanpa  demikian,  kita  akan  terus  mengulangi
kesilapan-kesilapan  dahulu  dan  mengambil  tindakan   yang
terburu-buru.    Kita  tidak boleh juga mengenepikan fakulti
imaginasi   dan   'foresight'.      Pemimpin-pemimpin    dan
pengurus-pengurus yang baik akan dapat meramal dan menjangka
cabaran-cabaran  dan  keperluan-keperluan  masa  hadapan dan
sentiasa bersedia menghadapi masalah-masalah yang di  jangka
timbul.   Melalui fakulti imaginasi, kita dapat menghasilkan
idea-idea baru, dapat bertindak secara  proaktif  dan  dapat
menerokai peluang-peluang baru yang mungkin dapat dimajukan.
Pendekatan    ini    akan    membantu   untuk   menghasilkan
keputusan-keputusan dan tindakan yang  berkesan  serta  adil
dan bijaksana.
5.   Disamping  itu  kita  perlu  mengambil kira unsur-unsur
logik dan emosi.   Jika kita hanya  menggunakan  logik  atau
'reason'  tanpa  mengambil  kira  emosi  dan  perasaan, kita
mungkin membuat sesuatu yang tidak secucuk dengan  psikologi
manusia  dan  sifat-sifat  kemasyarakatan  yang  terdapat di
sekeliling kita.   Sebaliknya jika  kita  hanya  berpandukan
kepada  emosi  dan  perasaan,  kita  mungkin  akan  membakar
pemikiran dan  perasaan  orang  lain,  dan  seterusnya  akan
mengakibatkan tindakan-tindakan yang akhirnya sukar dikawal.
Oleh  itu  perlulah  ada  perseimbangan di antara penggunaan
unsur-unsur logik dan emosi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6.   Kita  tidak  menganggap  'vision'   kecemerlangan   ini
sebagai  satu impian sahaja.  Sebenarnya kita telah berusaha
dengan gigih untuk membentuk dan melahirkan golongan pemikir
dan pelaksana yang mahir, sihat dan cekap.  Nilai-nilai  dan
teras  kecemerlangan telahpun dihuraikan.  Gerakan kesedaran
telah dilancarkan.  Program-program pendidikan  dan  latihan
telah  dilipatgandakan.    Mereka  yang didapati menyeleweng
telah dihukum.  Banyak kejayaan telah  dapat  dihasilkan  di
semua  bidang  kehidupan  masyarakat, khususnya apabila kita
menilai kembali dan  mengambilkira  kemajuan-kemajuan  pesat
yang  telahpun  kita  capai dalam masa 30 tahun kebelakangan
ini.
7.   Dalam  kesungguhan  usaha  kita   untuk   membina   dan
membangunkan  negara,  banyak  lagi kemajuan dan pembaharuan
yang harus ditadbir dan dilaksanakan.  Untuk ini kita  tidak
mahu  lagi  melihat,  walaupun segelintir, kelompok-kelompok
dan golongan-golongan pemimpin dan  pengurus,  sama  ada  di
sektor  awam atau swasta, yang masih kurang cekap dan kurang
sempurna, yang boleh menjadi penghalang  kepada  usaha-usaha
kita  untuk  maju  ke hadapan, khsususnya untuk membina satu
masyarakat yang maju, aman dan berpadu.
8.   Dari semasa ke semasa  negara  juga  berhadapan  dengan
individu-individu  dan  kumpulan-kumpulan yang cuba memesung
aliran  pemikiran  kita  daripada  usaha-usaha   pembangunan
negara.   Mereka ini menaja pemikiran yang kurang sihat atau
negatif yang boleh menghalang  usaha-usaha  yang  baik  yang
telah  dilakukan  oleh Kerajaan.  Pemikiran yang negatif ini
boleh dilihat dalam beberapa bentuk.
9.   Bentuk yang pertama  ialah  sikap  dan  pendirian  yang
'rigid'  dan  negatif  terhadap idea-idea baru, serta pantas
menolak apa-apa cadangan atau rancangan-rancangan yang baru.
Kedua ialah pemikiran yang sempit dan 'parochial', mempunyai
penglihatan yang berjangka pendek,  dan  mementingkan  hasil
yang  diperolehi  dengan  cepat.  Satu lagi bentuk pemikiran
negatif   ini   adalah   pemikiran   yang    menitikberatkan
kepentingan   persendirian   atau  kumpulan,  tanpa  mengira
kesan-kesan yang buruk  kepada  organisasi,  masyarakat  dan
negara   pada  keseluruhannya.    Ada  pula  pemikiran  yang
sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk  menindas  dan
menghalang usaha-usaha orang lain, serta hanya dapat melihat
keburukan  dan kelemahan orang lain.  Akhirnya golongan yang
berfikiran negatif ini adalah  mereka  yang  sedia  menerima
tahap  prestasi  yang  rendah  dan yang senang dicapai tanpa
banyak usaha.
10.   Kita hendaklah menolak dan  menyingkir  segala  bentuk
pemikiran   yang  negatif  ini.    Gerakan  pemulihan  perlu
diadakan demi kepentingan,  kesejahteraan,  pembangunan  dan
keselamatan  masyarakat  dan  negara kita yang tercinta ini.
Sebaliknya  kita  hendaklah  meningkatkan  pengetahuan  kita
tentang   butir-butir   tugas  kita,  menyelia  dengan  baik
kerja-kerja yang dibuat oleh mereka yang  bekerja  di  bawah
kita,  dan  menentukan  segala matlamat dicapai dalam jangka
masa dan kos yang telah ditetapkan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
11.  Negara kita telah mengecap kemerdekaan selama 30 tahun.
Dalam jangka masa ini  banyak  perubahan  telah  berlaku  di
dalam  semua  bidang, baik dari segi ekonomi, sosial ataupun
politik.  Proses pembangunan boleh dilihat  dan  dirasai  di
bandar  dan di luar bandar di seluruh pelusuk tanahair kita.
Semua perubahan ini  telah  dibuat  dengan  penuh  kesedaran
tentang  keperluan  dan kesesuaiannya setelah mengambil kira
kesan dan akibatnya kepada negara dan rakyat keseluruhannya.
12.  Untuk maju ke hadapan, sesuatu organisasi  atau  negara
perlu  bergerak  dan menerima perubahan.   Jika kita berdiam
diri dan  menjadi  statik,  negara  kita  akan  ketinggalan.
Hasil-hasil   pengeluaran   kita  akan  menjadi  'obsolete'.
Justeru itu, kita terpaksa  menyesuaikan  diri  dan  merebut
peluang dari segala perubahan yang berlaku.  Kita memerlukan
pendekatan  dan strategi-strategi pembangunan yang baru bagi
menghadapi  corak  pertandingan   dan   persaingan   ekonomi
antarabangsa yang mencabar dan berubah-ubah.
13.  Oleh  itu  kita  tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya
kepada punca-punca  pendapatan  tradisional  seperti  getah,
kelapa  sawit,  balak,  timah  dan  petroleum.    Kita perlu
mencari  punca-punca   pendapatan   baru   untuk   menampung
keperluan-keperluan  negara  kita  pada  masa hadapan, iaitu
kegiatan-kegiatan  ekonomi  yang  berasaskan  perindustrian,
perdagangan  dan perkhidmatan.  Kita harus bertindak sebagai
'global  marketers'.    Untuk  itu,  kita  perlu   mempunyai
pemikiran  yang  positif,  yang  strategik  dan tidak gentar
menghadapi apa jua cabaran.   Saya  yakin  pemimpin-pemimpin
dan  pengurus-pengurus  dalam  perkhidmatan  awam  mempunyai
keupayaan  untuk  berbuat  demikian.    Yang  penting  ialah
semangat dan kesungguhan untuk mencari dan mencuba idea-idea
baru yang mempunyai potensi.
14.  Dalam  pada  itu,  perubahan  tidak  semestinya berlaku
secara 'revolutionary' dan mendadak.   Perkara-perkara  yang
baik   dan  berguna  harus  dikekal  dan  dipelihara.    Ada
nilai-nilai asas yang perlu kita pelihara  dan  pertahankan,
iaitu   nilai-nilai   yang  selama  ini  telah  menyatu  dan
mengukuhkan kita sebagai sebuah negara yang  merdeka.    Apa
yang  perlu  diubah  ialah  cara dan pendekatan yang diambil
untuk  mencapai  matlamat.    Matlamat  kita   ialah   untuk
menjadikan  Malaysia  sebuah  negara yang maju dalam segenap
bidang, yang aman makmur, di mana masyarakat berbilang  kaum
dapat  hidup  secara  aman  dan  harmoni.   Justeru itu kita
menolak perubahan-perubahan yang kita anggap  menjejas  atau
akan menggugat ketenteraman dan pembangunan negara atau yang
bertentangan  dengan  pendirian  dan  nilai-nilai asasi yang
menjadi pegangan hidup kita di Malaysia.  Malahan kita perlu
berusaha dengan  lebih  gigih  lagi  untuk  mempertahan  dan
memajukan  lagi  nilai-nilai  yang telahpun menjadi asas dan
teras kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara kita selama
ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15.  Saya sedar bahawa malam ini  adalah  juga  malam  untuk
kita  berkenalan  mesra.   Oleh itu, saya akhiri ucapan  ini
dengan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada  Presiden
dan  Ahli-ahli  Persatuan  PTD yang telah menjemput saya dan
isteri saya ke majlis ini.
     Wabillahitaufik     walhidayah     wassamu'     alaikum
warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera.
memberi  perhatian  yang  serius   untuk   mewujudkan   satu
keupayaan  perindustrian  yang  berasaskan  kepada  kualiti.
Saya berharap budaya kerja  yang  mengutamakan  kualiti  ini
akan   menjadi   asas   yang   akan   mempertingkatkan  lagi
pertumbuhan perindustrian kita.

 
 



 
Google