Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA
PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 02/12/87
Tajuk/Title : MAJLIS MALAM PERTANIAN NEGARA
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan selamat
sejahtera.
Yang Berhormat Dato' Seri Sanusi bin Junid,
Menteri Pertanian;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Saya difahamkan bahawa Malam Pertanian Negara yang
julung-julung kali diadakan ini, adalah satu usaha pihak
Kementerian Pertanian untuk menimbulkan kesedaran mengenai
kepentingan sektor pertanian dalam pembangunan negara.
Walaupun saya seringkali dijemput hadir dan berucap dalam
majlis atau seminar mengenai pertanian kepada petani-petani,
tetapi pada malam ini, audiencenya berbeza kerana para
jemputan juga adalah terdiri daripada golongan-golongan
profesional, cerdik pandai, ahli politik, ahli-ahli
perniagaan, pemimpin peladang dan nelayan, dan lain-lain
lagi.
2. Saya percaya dengan suasana ini Kementerian Pertanian
akan dapat memupuk kesedaran yang lebih menyeluruh tentang
pentingnya bidang pertanian ini. Saya berharap kehadiran
kita semua akan mewujudkan satu azam politik atau 'political
will' dalam proses pembangunan negara menerusi salah satu
sektor yang penting ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
3. Saya sengaja memilih perkataan 'political will' itu,
kerana saya melihat pembangunan bidang pertanian kita di
zaman penjajahan dahulu adalah diasaskan kepada kehendak
'political will' Kerajaan penjajah itu sendiri. Dasar
pertanian penjajah telah dilaksanakan bagi kepentingan
politik dan ekonomi negara dan negeri-negeri sekutu mereka.
Walaupun jelas Malaysia mempunyai potensi sebagai pengeluar
barang makanan, pengeluaran ini tidak digalakkan. Yang
digalakkan oleh penjajah ialah pengeluaran bijih timah dan
getah. Sekarang ini barulah kita tahu bahawa kambing
biri-biri pun boleh diternak secara besar-besaran untuk
eksport. Demikian juga dengan lain-lain ternakan dan
bahan-bahan makanan.
4. Walaupun kita boleh menyalahkan penjajah dahulu,
sekarang ini tidak ada gunanya kita menjadikan mereka
sebagai alasan kegagalan kita setelah kita berkuasa ke atas
dasar dan tindakan kita. Pandangan kita sudah terbuka
terhadap potensi pertanian. Jika kita tidak merebut peluang
atau kita gagal menjayakan perusahaan pertanian kita,
kitalah yang patut disalahkan. Justeru itu, marilah kita
kaji dan kenali akan sebab-sebab mengapa kita tidak
menggunakan peluang dan potensi kita itu.
5. Salah satu sebab mengapa kita tidak begitu berjaya
dalam bidang pertanian dan perikanan, selain daripada getah
dan kelapa sawit, ialah kerana kita menganggap pertanian
bukan sebagai satu kegiatan komersial tetapi hanya sebagai
satu usaha untuk keperluan makanan diri kita sahaja. Kita
tidak memikirkan akan keperluan negara lain terhadap hasil
pertanian kita. Dengan perkataan lain, kita tidak
memikirkan tentang pasaran dunia dan eksport. Oleh itu
kebanyakan daripada usaha pertanian kita ialah secara
kecil-kecilan dan tidak bercorak estet seperti ladang getah,
kelapa sawit dan koko yang jelas mendapat manfaat daripada
economies of scale. Selagi kita mengamalkan pertanian
sebagai kegiatan kecil-kecilan yang melibatkan hanya petani
tradisional, selama itulah perusahaan pertanian kita tidak
akan berkembang.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
6. Daripada segi pertanian, negara kita adalah negara
bertuah. Tanah kita subur, iklim kita baik, dan selain
daripada banjir sekali-sekala yang tidak menimbulkan bencana
yang besar, kita tidak dilanda oleh ribut taufan atau gempa
bumi serta gunung berapi. Faktor-faktor ini dengan
sendirinya menolong supaya kita lebih berupaya untuk
bersaing atau menjadi kompetitif. Kita juga mempunyai
kawasan bukit-bukau dengan iklim yang sesuai untuk
tanam-tanaman negara temperate. Dengan baja tiruan dan
teknik-teknik baru, boleh dikatakan hampir tidak ada pokok
yang tidak boleh tumbuh dan mengeluarkan hasil di negara
kita ini.
7. Begitu juga dengan bidang perikanan. Laut dalam kita
adalah sumber kekayaan negara kita. Kini kita baru sahaja
sedar akan hakikat ini. Sudah berpuluh-puluh tahun orang
asing meneroka dan meraih kekayaan dari laut dalam kita.
Kita bertempik marahkan orang-orang itu, sedangkan kita
sendiri tidak berupaya atau tidak berminat untuk
mengambilnya. Hari ini, apabila kita adakan satu kerjasama
atau cooperation dalam penangkapan ikan laut dalam, barulah
kita sedar bahawa kita telah sekian lama mengabaikan bidang
yang berpotensi besar ini. Saya rasa saya tidak perlu
mengulas lebih lanjut lagi mengenai faedah perikanan laut
dalam ini kerana ianya sudah jelas. Dengan tertubuhnya
Angkatan Nelayan Laut Dalam yang akan meneroka bidang ini
secara agresif tidak berapa lama lagi, nelayan dan negara
akan menikmati banyak faedah.
8. Dalam bidang penternakan pula, bukanlah mustahil kita
dapat menghasilkan semua jenis daging untuk keperluan kita
dan untuk eksport. Kita tidak terhad kepada ayam, itik,
kambing dan lembu. Kita boleh mengeluarkan daging rusa,
arnab, lamb atau daging kambing biri-biri dan mungkin juga
ayam piru atau turkey.
9. Melihat kepada suasana ini dan ditambah lagi oleh
penekanan Kerajaan ke atas sektor pertanian, maka kita harus
bertindak atas garis-garis 'thinking big' dalam bidang ini.
Pendekatan kita dalam mengurus usaha-usaha pertanian
mestilah bersifat 'national' dan pemasarannya mestilah di
peringkat 'global'.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10. Di zaman dahulu apabila penduduk Malaysia tidak begitu
ramai, kita boleh mengeluarkan barang-barang makanan untuk
keperluan sendiri dan tempatan sahaja. Setiap kampung atau
bandar boleh mengadakan kebun-kebun sayur, menternak ayam
dan lembu secara kecil-kecilan untuk membekalkannya.
Tambahan pula sistem kenderaan dan simpanan makanan segar
tidak mengizinkan pengeluaran yang banyak untuk seluruh
negara.
11. Tetapi sekarang ini kita mempunyai penduduk 16 juta
orang. Sebahagian besarnya tinggal di bandar-bandar besar
dan dikelilingi bukan lagi oleh kebun-kebun sayur tetapi
oleh kilang-kilang, ladang getah dan kelapa sawit. Enam
belas juta manusia ini memerlukan punca makanan secara tetap
dan mencukupi. Dengan itu pembekalan makanan terpaksa
dijadikan industri yang besar dan sofistikated. Ternakan
secara kecil-kecilan, berkebun di atas lot tanah yang kecil,
memancing ikan dengan menggunakan perahu tidak lagi dapat
menampung keperluan ini. Kita perlu kepada pertanian secara
besar-besaran walaupun untuk bekalan dalam negara sahaja.
Sudah tentu untuk mengeksport kita memerlukan susunan
industri pertanian seperti susunan dalam bidang penanaman
getah dan kelapa sawit.
12. Keperluan masyarakat moden dan besar ini menyebabkan
pertanian dan petani tradisional tidak lagi mampu
menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pembekal. Kita
perlukan industri pertanian yang moden dan besar. Malangnya
jika pertanian moden menggantikan pertanian tradisional maka
akan terputuslah punca pendapatan petani dan nelayan
tradisional. Inilah dilemma kita. Sudah tentu jika kita
ingin mengadakan industri eksport, hasil pertanian kita
tidak mungkin berjaya selagi kita kekal dengan sistem
pertanian tradisional.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
13. Ramai daripada kita yang sering menyatakan kesedihan
kita akan nasib nelayan. Mereka adalah golongan yang paling
miskin sekali dalam negara kita. Malangnya kita boleh
mengeluarkan air mata darah, kita boleh menangis seribu
tahun, tetapi kita tidak akan dapat mengurangkan kemiskinan
mereka ini, selagi mereka kekal dengan cara-cara menangkap
ikan yang lama atau menghadkan aktiviti-aktiviti mereka ke
sungai-sungai dan persisiran pantai sahaja.
14. Sebenarnya mereka yang mempertahankan cara hidup
tradisional ini menganiayakan kaum ini. Mereka yang terlalu
bersimpati dengan nelayan-nelayan tradisional ini
sebenarnya menghalang kemajuan mereka. Lebih awal mereka
ini menerima cara moden, menerima perubahan, lebih cepatlah
nasib mereka dipulih. Demikian juga dengan bidang-bidang
lain.
15. Tetapi kita tidak boleh khayal dengan pendapat bahawa
pertukaran daripada yang tradisional kepada yang moden
dengan sendirinya akan membawa kejayaan. Persiapan yang
cukup mestilah diadakan untuk menjayakan pertukaran ini.
Kita perlu kepada orang-orang yang terlatih terutamanya
dalam bidang pengurusan. Hanya dengan pendekatan yang
tersusun dan lengkap barulah dapat kita menikmati kejayaan
daripada pendekatan yang baru ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
16. Pertanian bukan lagi satu bidang untuk 'peasants' di
negara Malaysia yang moden ini. Sebab itu kehadiran cerdik
pandai serta pemimpin-pemimpin petani dan nelayan amat
bermakna dalam Majlis ini. Terpulanglah kepada tuan-tuan
dan puan-puan mencari jalan untuk melakukan perubahan yang
diperlukan tanpa membelakangkan kepentingan petani dan
nelayan tradisional. Dengan adanya begitu ramai orang yang
berpelajaran tetapi menganggur, inilah masanya untuk membuat
pertukaran.
17. Saya berharap kita dapat bersama-sama memikirkan
tentang dilemma ini. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala
akan membuka hati kita semua bukan sahaja untuk menerima
hakikat perubahan di alam sekeliling tetapi mencipta cara
untuk mendapat manfaat daripadanya khususnya dalam bidang
pertanian.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|