Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT
Tarikh/Date : 03/12/87
Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG
BERNAMA SUATU AKTA UNTUK MEMINDA
AKTA MESIN CETAK DAN PENERBITAN 1984
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-undang
bernama suatu Akta untuk meminda Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan 1984 di baca bagi kali yang kedua.
Tuan Yang di-Pertua,
2. Rang Undang-undang yang dibentangkan untuk pertimbangan
Dewan yang mulia ini bertujuan meminda dan mengemas-kinikan
beberapa peruntukan di dalam Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan, 1984 supaya menjadi lebih berkesan untuk
mencapai matlamat Akta tersebut iaitu bagi mengawal-selia
penggunaan mesin cetak dan penerbitan demi menjaga
ketenteraman awam dan kepentingan negara. Bagi maksud
mengadakan kawalan dan seliaan ke atas mesin cetak dan
penerbitan, Akta tersebut menetapkan tindakan-tindakan yang
menjadi kesalahan dan memberi kuasa kepada Menteri untuk
melulus, membatal atau menggantung sesuatu lesen atau permit
atas alasan-alasan dan sebab-sebab tertentu.
3. Akta itu juga membolehkan pihak berkuasa mengambil
tindakan tertentu bagi mengawal pencetakan, pengimportan,
penjualan, pengedaran dan pemilikan hasil penerbitan yang
tidak diingini. Peruntukan-peruntukan dalam Akta itu adalah
bertujuan mencegah pemilik mesin cetak dan penerbit akhbar
dan majalah daripada melakukan perkara-perkara yang boleh
menjejas ketenteraman awam dan kepentingan dan keselamatan
negara.
Tuan Yang di-Pertua,
4. Pada amnya peruntukan dalam Akta itu telah dapat
mencapai tujuannya. Walau bagaimanapun dari pengalaman
pihak yang melaksanakan Akta ini dan perkembangan semasa
maka Kerajaan berpendapat adalah perlu supaya beberapa
seksyen dalam Akta itu dipinda seperti yang terkandung di
dalam rang undang-undang di hadapan kita.
Tuan Yang di-Pertua,
5. Izinkan saya menyentuh fasal-fasal dalam Rang
Undang-undang ini satu persatu.
Fasal 2
_______
6. Fasal 2 dalam Rang Undang-undang ini bertujuan meminda
Seksyen 3 dengan menggugurkan perkataan "atau diperbaharui"
dalam subseksyen (5) Seksyen itu. Tujuan pindaan ini adalah
untuk mengatasi kekeliruan yang timbul sekarang dengan
penggunaan rangkaikata "atau diperbaharui". Pindaan ini
menghapuskan konsep pembaharuan lesen dan dengan pindaan ini
maka ianya menjelaskan bahawa tempoh sah laku sesuatu permit
ialah tempoh yang dinyatakan dalam permit itu. Seseorang
pemegang permit hendaklah memohon permit baharu apabila
tamat tempoh sah laku permitnya.
Fasal 3
_______
7. Fasal 3 menggantikan subseksyen (1) kepada Seksyen 7,
dengan satu subseksyen baru. Tujuan pindaan ini adalah
untuk menambah satu lagi sebab yang boleh digunakan oleh
Menteri untuk melarang pencetakan, penjualan, pengimportan,
pengedaran atau pemilikan sesebuah penerbitan. Di bawah
peruntukan sekarang Menteri boleh berbuat demikian jika
beliau berpuashati bahawa kandungan sesuatu penerbitan
memudaratkan ketenteraman awam, moral, keselamatan,
kepentingan awam atau negara atau yang berlawanan dengan
undang-undang. Dengan pindaan baru ini Menteri boleh
melarang sesuatu penerbitan jika penerbitan itu mengandungi
perkara-perkara yang mungkin menggemparkan fikiran orang
ramai.
8. Subseksyen (1) yang baru ini juga memberi kuasa kepada
Menteri untuk melarang hasil-hasil penerbitan masa hadapan
penerbit yang berkenaan.
Fasal 4
_______
9. Fasal 4 mewujudkan tiga seksyen baru iaitu Seksyen 8A,
8B dan 8C.
10. Seksyen 8A menjadikan perbuatan menyiarkan berita yang
tidak benar dengan niat jahat sebagai satu kesalahan di
bawah Akta ini. Di bawah peruntukan baru ini seseorang
pencetak, penerbit dan pengarang penerbitan yang berkenaan
serta penulis laporan atau makalah berkenaan boleh didakwa
dan jika disabit boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak
melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi 20,000 ringgit
atau kedua-duanya sekali.
11. Di masa-masa ke belakangan ini terdapat banyak
laporan-laporan yang tidak benar tersiar dalam akhbar-akhbar
dan majalah-majalah baik yang diterbitkan dalam negeri
mahupun dari luar negeri. Nampaknya pihak akhbar dan
majalah yang terlibat tidak menghiraukan kesan siaran berita
yang tidak benar ke atas pihak atau golongan yang menjadi
mangsa tindakan mereka atau kesan buruk ke atas keselamatan
dan ekonomi negara. Peruntukan baharu ini adalah bertujuan
menggalakkan pihak akhbar bersikap lebih bertanggungjawab.
Tuan Yang di-Pertua,
12. Saya ingin menarik perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat
bahawa pendakwaan bagi kesalahan di bawah Seksyen 8A ini
hanya boleh dibuat dengan kelulusan Pendakwaraya.
13. Dua peruntukan baru iaitu 8B dan 8C yang diwujudkan
memberi kuasa kepada Mahkamah untuk menahan dan menggantung
mana-mana penerbitan dalam keadaan-keadaan tertentu. Di
bawah Seksyen 8B, Mahkamah atas permohonan Pendakwaraya
boleh memerintahkan pengharaman sesuatu penerbitan selama
tempoh tidak melebihi enam bulan jika orang-orang yang
terlibat dengan penerbitan itu telah disabitkan atas apa-apa
kesalahan berkenaan dengan apa-apa jua yang disiarkan dalam
penerbitan itu. Seksyen 8C pula memberi kuasa kepada
Mahkamah atas permohonan Pendakwaraya menggantung sesuatu
penerbitan sementara menanti keputusan muktamad sesuatu
rayuan terhadap kes kesalahan berkenaan dengan apa-apa jua
yang disiarkan dalam penerbitan yang berkenaan.
Fasal 5
_______
14. Fasal 5 menggantikan subseksyen (1) kepada Seksyen 9
dengan satu subseksyen yang baru. Di bawah subseksyen (1)
baharu ini kuasa menolak pengimportan atau menahan
penghantar-serahan atau mengembalikan kepada pengirim
mana-mana penerbitan yang tidak diingini atas sebab-sebab
yang ternyata dalam subseksyen tersebut adalah diberi kepada
Menteri. Di bawah peruntukan lama kuasa itu diberi kepada
pegawai kanan berkuasa. Tujuan pindaan ini adalah untuk
meletakkan kuasa untuk menahan kemasukan sesuatu penerbitan
di tangan Menteri.
15. Walau bagaimanapun bagi membolehkan
penerbitan-penerbitan yang tidak diingini ditahan untuk
dikaji dan dikemukakan bagi keputusan Menteri, satu Seksyen
9A baru telah diwujudkan mengikut Fasal 6. Seksyen baru 9A
ini memberi kuasa kepada seseorang pegawai kanan berkuasa
untuk menahan penghantar serahan sesuatu hasil penerbitan
yang tidak diingini sementara menunggu keputusan Menteri.
Fasal 9
_______
16. Fasal 9 mewujudkan dua seksyen baru iaitu Seksyen 13A
dan 13B mengenai keputusan Menteri. Seksyen 13A
memperuntukkan bahawa keputusan Menteri menolak permohonan,
membatal atau menggantung sesuatu lesen atau permit adalah
muktamad dan tidak boleh disoal dalam mana-mana Mahkamah.
Seksyen 13B menjelaskan bahawa peluang untuk didengar tidak
akan diberi kepada sesiapapun berkenaan dengan permohonannya
mendapatkan lesen atau permit atau berhubung dengan
pembatalan atau penggantungan lesen atau permit yang
dikeluarkan kepadanya di bawah Akta ini. Dengan wujudnya
Seksyen 13B ini maka peruntukan memberi peluang untuk
didengar di dalam Seksyen 13 perlu digugurkan. Pindaan
sewajarnya dibuat kepada Seksyen 13 melalui Fasal 8.
17. Kuasa muktamad ini diberi kepada Menteri kerana
kerapkali maklumat yang diberi kepadanya jika didedahkan
kepada orang ramai akan menyebabkan kesan buruk kepada
keselamatan dan kepentingan negara. Jika kes-kes seperti
ini dibicarakan secara terbuka tidak dapat tidak Mahkamah
akan menjadi gelanggang politik. Jika Menteri
menyalah-gunakan kuasa yang diberikan kepadanya, rakyat akan
menentukan tindakan terhadapnya melalui saluran demokrasi
yang diamalkan dalam negara kita ini.
Tuan Yang di-Pertua,
18. Pindaan-pindaan yang dibuat ini adalah kerana
pentingnya kuasa-kuasa Kerajaan dijelaskan dalam
undang-undang bertulis. Pindaan ini menjadi lebih perlu
kerana kecenderungan setengah-setengah pihak menggunakan
undang-undang yang tidak bertulis untuk menghalang fungsi
Kerajaan. Adalah sukar bagi Kerajaan untuk menerima
undang-undang yang tidak bertulis oleh kerana Kerajaan tidak
mungkin tahu apa yang boleh dibuat oleh Kerajaan dan apa
yang tidak boleh. Dalam keadaan kabur atau tidak jelas ini
pemerintahan menjadi kelam-kabut. Sesiapa sahaja boleh
mencabar Kerajaan dan menghalang tindakan yang dianggap sah
oleh Kerajaan.
Tuan Yang Di Pertua,
19. Hormat-menghormati antara pihak-pihak dalam masyarakat
adalah asas kestabilan negara kita. Jika kita tidak
menghormati orang lain, sudah tentu orang lain tidak akan
menghormati kita. Tidak ada sesiapa dalam masyarakat kita
yang lebih utama daripada yang lain. Ahli-ahli politik dan
Kerajaan tidak lebih utama daripada orang awam. Jika mereka
tidak menghormati pihak lain mereka juga tidak akan
dihormati. Demikian juga dengan pihak-pihak lain dalam
masyarakat.
Tuan Yang di-Pertua,
20. Kerajaan memerintah dan mengambil tindakan melalui
peruntukan undang-undang yang bertulis. Ini menjamin
Kerajaan tidak bertindak sesuka hati dan di luar batasan.
Undang-undang bertulis jelas menyatakan apa yang boleh
dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat. Dengan perkataan
lain Kerajaan, seperti juga rakyat, tertakluk kepada
undang-undang.
21. Mungkin undang-undang yang digubal dan diluluskan oleh
Parlimen tidak begitu tepat. Tetapi ini tidak mudah berlaku
dalam sistem demokrasi seperti di Malaysia kerana kelulusan
sesuatu undang-undang perlu melalui suatu proses yang telah
ditentukan mengikut undang-undang tertinggi kita, iaitu
Perlembagaan Negara.
22. Sesuatu deraf undang-undang disemak dengan teliti oleh
penggubal-penggubal undang-undang di Jabatan Peguam Negara.
Mereka ini mengambil kira bukan sahaja prinsip-prinsip yang
diterima umum untuk undang-undang tetapi berpandukan juga
kepada tradisi dan undang-undang lama kita. Undang-undang
yang digubal tertakluk kepada undang-undang asas kita --
iaitu Perlembagaan. Deraf yang dibuat dikaji juga oleh
Kementerian atau agensi-agensi Kerajaan yang lain yang
terlibat dan akan tertakluk kepada undang-undang itu.
23. Selepas itu deraf undang-undang dibentangkan kepada
Jemaah Menteri. Jemaah Menteri dianggotai juga oleh
beberapa orang yang mempunyai latarbelakang undang-undang
dan orang-orang yang berpengalaman dalam pentadbiran.
Mereka juga telah dipilih oleh rakyat dan dapat melihat
sesuatu dari sudut rakyat. Kerapkali berlaku hukuman yang
berat diringankan kerana mengambil-kira perasaan dan
pandangan rakyat.
24. Melainkan undang-undang yang tidak kontroversial,
biasanya deraf undang-undang dipinda oleh Kabinet dan
dihantar balik kepada Jabatan Peguam Negara untuk dipinda
supaya lebih sesuai dengan keperluan rakyat dan negara.
25. Selepas diluluskan oleh Jemaah Menteri rang
undang-undang itu dikemukakan dalam Dewan Rakyat untuk
disemak dan dibahas. Di Dewan Rakyat pihak parti-parti
pembangkang berpeluang membuat kritikan dan memberi
pandangan-pandangan mereka bersama dengan
penyokong-penyokong Kerajaan. Bukanlah satu perkara yang
mustahil bagi pihak Kerajaan menerima pandangan-pandangan
ahli-ahli Dewan Rakyat, sama ada dari parti pembangkang atau
parti Kerajaan dan membuat pindaan mengikut
pandangan-pandangan itu. Bahkan ada kalanya yang pihak
Kerajaan menarik balik rang undang-undang yang dicadangkan.
26. Sesudah Dewan Rakyat meluluskan undang-undang atau
pindaaan yang dikemukakan oleh Kerajaan, ia dibentang pula
dalam Dewan Negara. Dewan Negara boleh memberi pandangan
menyokong atau mengkritik, menghantar balik ke Dewan Rakyat,
atau melewat-lewatkan rang undang-undang yang
dipertimbangkan olehnya. Biasa berlaku di mana Dewan Negara
membuat kritikan yang tajam terhadap undang-undang yang
disyorkan oleh Kerajaan.
27. Apabila akhirnya diluluskan oleh Dewan Negara, rang
undang-undang tersebut dipersembahkan kepada Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong
untuk tandatangan Baginda. Di sini sekali lagi Duli Yang
Maha Mulia boleh menolak dan tidak menandatangani rang
undang-undang berkenaan dan menghantarkannya balik ke Dewan
Rakyat di mana Dewan Rakyat perlu menimbang semula rang
undang-undang itu dengan mengambilkira sebab-musabab Duli
Yang Maha Mulia enggan menandatangani undang-undang
berkenaan.
28. Jika Dewan Rakyat berpegang terus kepada rang
undang-undang asal atau membuat pindaan, dan sesudah
diluluskan oleh Dewan Negara, ia perlu dipersembahkan semula
kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk ditandatangani.
Jika tandatangan Duli Yang Maha Mulia diberi barulah rang
undang-undang berkenaan menjadi undang-undang. Jika Duli
Yang Maha Mulia enggan menandatangani rang undang-undang
yang telah disemak semula itu, jangkamasa 30 hari mestilah
genap sebelum ia boleh menjadi undang-undang tanpa
tandatangan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
DiPertuan Agong.
Tuan Yang di-Pertua,
29. Demikianlah proses membuat undang-undang di negara kita
yang demokratik ini. Prosesnya tidak mudah. Undang-undang
tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya, dengan sesuka
hati satu atau dua orang, atau dengan sesuka hati
wakil-wakil rakyat yang dipilih. Tidak mudah bagi Kerajaan
membuat undang-undang. Tapisan demi tapisan, kajian demi
kajian terpaksa dilakukan sebelum sesuatu rang undang-undang
diterima sebagai undang-undang negara yang sah. Kerap kali
rang undang-undang atau pindaan mengambil beberapa bulan
atau tahun sebelum diluluskan.
30. Jika undang-undang yang digubal dan disahkan dengan
begitu payah diketepikan dengan begitu sahaja, apakah
gunanya kita membuat undang-undang? Apa gunanya kita
bersusah-payah memilih 'legislators' iaitu pembuat
undang-undang? Apa gunanya kita mengadakan Dewan Rakyat dan
Dewan Negara? Apa gunanya kita bermesyuarat, berbincang,
bertukar fikiran seperti yang ditegaskan dalam doa
Dewan-Dewan ini?
Tuan Yang di-Pertua,
31. Tetapi ada pihak yang berkata bahawa tujuan sesuatu
undang-undang dibuat oleh Dewan Rakyat tidak ada
kena-mengena dengan penguatkuasaan undang-undang. Pihak
yang mentafsir undang-undang tidak perlu sama sekali
menimbangkan sebab-sebabnya undang-undang digubal. Kata
pakar undang-undang ini, yang perlu ialah pentafsir
undang-undang mentafsirkan perkataan-perkataan yang terdapat
dalam undang-undang. Perkataan itu adalah lebih penting
daripada niat, walaupun jelas ada tujuan-tujuan tertentu
yang mendorongkan pembentukan undang-undang itu.
Tuan Yang di-Pertua,
32. Malangnya apabila perkataan yang digunakan begitu jelas
sehingga tidak mungkin disalah-tafsir, pentafsir
menggantikan undang-undang ini dengan undang-undang tidak
bertulis yang begitu umum sehingga boleh ditafsirkan
mengikut sesuka hati pentafsir dalam kes-kes tertentu.
Kadang-kadang tafsiran yang bertentangan digunakan dalam
satu kes, berbanding dengan satu kes yang lain. Maka dengan
itu pihak Kerajaan tidak akan mengetahui sama ada Kerajaan
bertindak mengikut undang-undang atau tidak. Apa sahaja
keputusan Kerajaan boleh dicabar oleh sesiapa sahaja dan
ditolak dengan sewenang-wenangnya.
33. Undang-undang tidak bertulis yang dimaksudkan ialah
English Common Law, natural justice, judicial review dan
sebagainya.
34. Apakah dianya English Common Law? Mengikut Professor
R.H. Hickling, seorang pensyarah undang-undang yang mahir
dengan undang-undang di Malaysia, English Common Law berasal
dari adat resam dan falsafah orang British. Ia tidak sama
dengan asas undang-undang di negara-negara Eropah yang lain
di mana Civil Law digunakan. Sudah tentu ia tidak secocok
dengan hukum-hukum adat orang-orang Melayu atau lain-lain
kaum di Malaysia.
35. Dalam konsep British, yang berasaskan kepada
pertandingan sukan yang digemari oleh mereka, dalam setiap
masalah ada dua pihak; iaitu pihak yang mendakwa dan pihak
yang didakwa. Untuk menyelesaikan pertikaian antara mereka
ini diperlukan seorang pengadil dan keputusan pengadil
adalah muktamad dan tidak boleh disoal atau dicabar.
36. Sekali dipandang cara ini amat sesuai untuk
menyelesaikan sebarang pertikaian. Tetapi apa akan terjadi
jika pengadil tersalah atau jelas ia berat sebelah? Dalam
sukan, rayuan boleh dibuat kepada badan lain seperti board
yang dianggotai bukan semata-mata oleh pengadil-pengadil
tetapi juga oleh beberapa pihak lain. Kemungkinan berat
sebelah berlaku dikurangkan dengan cara ini.
Tuan Yang di-Pertua,
37. Yang menjadi masalah ialah dalam undang-undang yang
tidak bertulis orang yang didakwa tidak mungkin tahu apa
yang ada dalam pemikiran pengadil. Jika pengadil membuat
rujukan kepada kes-kes terdahulu di Britain atau lain-lain
negara, yang didakwa tidak mungkin tahu yang mana satu kes
yang akan menjadi punca rujukan. Asas-asas kes-kes yang
terdahulu tidak selalunya sama. Dengan demikian maka pihak
yang perlu bertindak, terutama Kerajaan dalam menjalankan
tugas-tugasnya, tidak mungkin tahu apakah asas yang akan
mempengaruhi pihak pengadil. Mungkin Kerajaan British tahu
tetapi Kerajaan seperti di Malaysia tidak tahu akan
selok-belok Undang-undang Adat British atau English
Common Law ini. Amat sukar bagi sesuatu Kerajaan menjalankan
tugasnya jika ia tidak tahu di bawah undang-undang apa yang
ia bertindak -- tidak tahu ia bersalah atau tidak. Semuanya
bergantung kepada pengadil berkenaan -- lain pengadil
mungkin lain pula tafsiran yang dibuat bagi undang-undang
yang tidak bertulis ini.
38. Professor Hickling dalam bukunya "Malaysian Law" telah
berkata bahawa mendewa-dewakan English Common Law ini akan
menjadikan kita gila. Seperti kata beliau, dengan izin,
Tuan Yang di-Pertua, "..........but whatever system is to be
adopted should grow out of and be in harmony with the nature
of the people it is designed to serve, for otherwise it will
work to injustice. For too long the virtues of the common
law have been praised, especially by those English and
American lawyers who see in 'Our Lady the Common Law' a
figure of romance so powerful, as to convert the common law
its elf almost into a religion. That way, madness lies".
39. Demikian juga dengan undang-undang lain yang tidak
bertulis, 'Natural Justice' atau 'Keadilan Asasi' boleh
ditafsir dengan bermacam-macam tafsiran mengikut budibicara
pengadil yang terlibat. Di zaman dahulu di Britain seorang
yang mencuri kambing boleh dihukum gantung. Sekarang
pembunuh pun tidak boleh dihukum mati. Jika hendak difikir
secara lojik yang natural, yang betul-betul 'natural
justice' ialah 'an eye for an eye, a tooth for a tooth'.
40. Kita tahu pada satu masa dahulu hubungan seks sejenis
dianggap salah di Britain. Tetapi sekarang sodomy tidak
salah jika kedua-dua pihak bersetuju. Mungkin ini dianggap
'natural' sekarang. Mungkin juga dengan 'Common Law Wife'
yang telah menghasilkan kesedudukan di Britain sebagai
perkara natural yang diterima oleh masyarakat. Tetapi
pemikiran yang sebegini tidak dianggap natural di Malaysia.
Dengan itu kita sepatutnya tidak menggunakan konsep natural
justice British ini. Ianya tidak natural bagi kita. Lebih
baik kita pegang kepada undang-undang bertulis kita.
41. Judicial review pula memberi kuasa yang tidak terhad
kepada pentafsir undang-undang sehingga mereka boleh
menidakkan pelaksanaan atau penguatkuasaan apa sahaja
undang-undang. Tiada sesiapa yang boleh meneka apakah hasil
review oleh seorang pengadil kerana ia bergantung kepada
budibicara orang berkenaan. Dengan diputuskan bahawa siapa
sahaja boleh mendakwa Kerajaan, maka Kerajaan tidak lagi
boleh memutuskan apa-apa dengan tepat. Setiap keputusan
boleh dicabar dan mungkin ditolak. Dengan ini Kerajaan
tidak lagi menjadi executive. Pihak lain sudah mengambil
alih tugas ini.
Tuan Yang di-Pertua,
42. Undang-undang ini dipinda kerana Kerajaan yang mewakili
rakyat berpendapat amatlah bahaya jika pentadbiran negara
ditafsirkan mengikut budibicara dua tiga orang sahaja.
Walau bagaimana bijak sekalipun orang-orang ini, sebagai
manusia biasa mereka mempunyai perasaan yang boleh
mempengaruhi fikiran dan pendirian mereka. Bukanlah satu
perkara yang mustahil bahawa tafsiran dibuat bukan secara
terkecuali tetapi kerana nilai dan kepercayaan tertentu yang
ada pada dan mempengaruhi pihak pentafsir tersebut.
43. Di dalam bukunya 'The Politics of the Judiciary'
seorang penulis British yang bernama J.A.G. Griffith dari
London School of Economics and Political Science telah
berkata, dengan izin, "Every practising barrister knows
before which judges he would prefer not to appear in a
political case because he believes ............ that certain
judges are much more likely than others to be biased against
certain groups ...........". Ini jelas membuktikan bahawa
bukan pertimbangan yang wajar yang menentukan keputusan
pengadil tertentu tetapi sifat yang ada pada mereka. Jika
undang-undang digubal dan ditafsir oleh pentafsir
undang-undang, kemungkinan pertimbangan yang mirip kepada
pendirian pentafsir berkenaan akan bertambah. Apabila
undang-undang yang tidak bertulis digunakan maka sebenarnya
pengadil membentuk undang-undangnya sendiri dan ia tentulah
akan bias kepada undang-undangnya.
Tuan Yang di-Pertua,
44. Dalam demokrasi, kita membahagikan tugas kepada tiga
pihak, iaitu pihak pengubal undang-undang atau legislators,
pihak pelaksana undang-undang dan dasar atau executive, dan
pihak pengadil atau judiciary. Sepatutnya pihak-pihak ini
melakukan 'checks and balance' supaya tiada sesiapapun dapat
melampaui batasannya. Jika penggubal undang-undang juga
menjadi pelaksana dan pengadil maka 'checks and balance'
dalam demokrasi tidak akan dapat diamalkan. Perkara ini
sudah pun berlaku di Malaysia. Oleh itu Kerajaaan berhajat
untuk 'codify', iaitu menentukan melalui undang-undang
khusus berkenaan dengan kuasa dan tugas masing-masing bagi
ketiga-tiga pihak ini supaya dapat mereka melakukan tugas
'checks and balance' dengan sempurna.
45. Sementara itu Kerajaan berhajat untuk membuat
undang-undang yang tidak boleh disalah-tafsir oleh sesiapa.
Inilah pindaan yang dibuat sekarang terhadap Akta Mesin
Cetak dan Penerbitan 1984. Dengan pindaan ini pengeluar dan
pengimport bahan cetak akan tahu dengan jelas apa yang baik
bagi negara kita dan mereka dapat mengawal diri mereka.
Kebebasan akhbar bukanlah absolute. Di mana-mana juga
akhbar dicontrol bukan sahaja oleh Kerajaan tetapi juga oleh
pengarang dan kakitangan lain dalam akhbar berkenaan, oleh
pengiklan dan juga oleh pemilik akhbar. Setiap pihak
mempunyai pendirian dan kepentingan tertentu. Kebebasan
akhbar adalah kebebasan bagi golongan ini sahaja. Jika ada
di antara golongan ini yang tidak bertanggungjawab atau
ingin mengembangkan sesuatu pandangan yang tidak sihat,
masyarakat akan menjadi mangsa. Kerajaan bertanggungjawab
mengawasi supaya perkara-perkara yang tidak sihat tidak
dikembangkan terutama dalam negara majmuk kita ini.
Undang-undang seperti ini bukan hanya terdapat di Malaysia
sahaja tetapi juga di negara-negara lain. Ia juga terdapat
di negara di mana beberapa majalah antarabangsa diterbitkan.
46. Hakikat yang perlu kita beri perhatian yang serius
ialah kestabilan dan pembangunan negara kita yang berbilang
kaum ini. Jika untuk kepentingan ini kita perlu mengawal
sedikit kebebasan satu golongan yang mengancam kestabilan
kita, kita perlulah melakukan pengawalan ini.
47. Inilah sahaja yang mendorong Kerajaan membuat beberapa
pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang
telah saya jelaskan.
Tuan Yang di-Pertua,
48. Saya mohon mencadangkan.
|