Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT
Tarikh/Date : 04/12/87
Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG
BERNAMA SUATU AKTA UNTUK MEMINDA
AKTA POLIS 1967
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang
bernama suatu Akta untuk meminda Akta Polis 1967 dibacakan
kali yang kedua sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
2. Kerajaan menyedari beberapa Seksyen dalam Akta Polis
1967 perlu dipinda dengan tujuan untuk mengemaskinikan
undang-undang tersebut supaya dapat pihak polis mengambil
tindakan yang lebih berkesan ke atas pihak-pihak yang tidak
mematuhi undang-undang dalam menganjurkan perhimpunan,
perjumpaan dan perarakan.
3. Dalam masyarakat kita, perhimpunan, perjumpaan dan
perarakan boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan dan
ketenteraman awam jika ia bermaksud mencabar dan mengancam
pihak-pihak yang tertentu. Dalam masyarakat kita yang
majmuk tindakan melahirkan perasaan tidak puashati melalui
perhimpunan berkemungkinan mencetuskan perbalahan antara
kaum. Bagi maksud mengawal perhimpunan, perjumpaan dan
perarakan, Akta Polis memperuntukkan di bawah Seksyen 27,
peraturan yang perlu dipatuhi oleh penganjur dan orang-orang
yang mengambil bahagian. Seksyen ini juga menetapkan
peraturan dan syarat mengenai kelulusan lesen mengadakan
perhimpunan, perjumpaan dan perarakan dan kuasa polis untuk
menyuraikan perhimpunan, perjumpaan dan perarakan yang tidak
sah. Seksyen berkenaan juga memperuntukkan kesalahan yang
boleh dijatuhkan ke atas mereka yang didapati bersalah.
4. Dari pengalaman pihak polis terdapat beberapa kelemahan
dalam peruntukan itu yang menyebabkan pihak berkuasa tidak
dapat bertindak dengan berkesan ke atas mereka yang
melanggar undang-undang.
5. Di antara peruntukan yang dikenalpasti mempunyai
kelemahan itu termasuklah:-
Pertama,
Mengikut undang-undang yang sedia ada sekarang ini
orang-orang yang bertanggungjawab mengadakan
perhimpunan awam tidak dapat didakwa dan hanya pemegang
lesen sahaja yang selalunya didakwa. Pemegang lesen
tidak semestinya merupakan orang-orang yang penting
dalam organisasi yang menganjurkan perhimpunan haram
berkenaan.
Kedua,
Hukuman yang boleh dikenakan ke atas orang yang
disabit kesalahan adalah terlalu ringan dan ini boleh
menggalakkan wujudnya satu budaya yang menggunakan
demonstrasi sebagai alat untuk menonjolkan kepentingan
mereka. Ini bukanlah satu trend yang sihat.
Ketiga,
Kelemahan dalam undang-undang yang ada sekarang
ini telah diperalatkan oleh pihak yang dilarang
mengadakan perhimpunan di tempat awam untuk
menganjurkan perhimpunan itu di tempat persendirian dan
dengan menggunakan pembesar suara, perbincangan dan
ucapan yang diadakan telah dapat didengar oleh
orang-orang yang berada di luar tempat persendirian
tersebut. Dengan cara ini perhimpunan yang diadakan di
tempat persendirian itu menjadi satu perhimpunan awam.
Tuan Yang di-Pertua,
6. Menyedari kelemahan-kelemahan itu, Kerajaan yakin
bahawa perkara ini perlulah diatasi dengan segera supaya
keselamatan dan ketenteraman awam dapat terus dipelihara.
7. Kajian yang teliti telah dibuat ke atas masalah ini dan
Kerajaan dengan ini memperakukan supaya pindaan dibuat
kepada Seksyen 27 Akta Polis berkenaan. Secara ringkasnya
pindaan itu adalah seperti berikut:-
Fasal 3(a)
__________
Fasal 3(a) ini bertujuan meminda Seksyen 27(1)
untuk memberi kuasa kepada mana-mana pegawai polis
untuk mengarahkan perjalanan perhimpunan, perjumpaan
dan perarakan di tempat awam. Pada masa sekarang kuasa
ini terletak kepada pegawai-pegawai kanan polis
berpangkat (Inspektor ke atas). Pindaan ini adalah
perlu supaya polis dapat bertindak dengan segera dan
berkesan.
Fasal 3(b)
__________
Mewujudkan subseksyen baru (2A), (2B), (2C) dan
(2D) yang memperuntukkan syarat-syarat bagi memohon
lesen untuk mengadakan perhimpunan, perjumpaan dan
perarakan di tempat awam. Mengikut peruntukan yang
dipinda ini sebarang permohonan untuk mengadakan
perhimpunan hendaklah dibuat oleh suatu pertubuhan atau
bersesama oleh tiga orang individu. Tujuan pindaan ini
ialah untuk menentukan supaya mana-mana perhimpunan
adalah dianjurkan oleh sesebuah organisasi atau
sekurang-kurangnya oleh tiga orang.
Fasal 3(c) dan 3 (d)
____________________
Fasal 3(c) bertujuan untuk mengkanunkan semula
subseksyen 4(a) yang sedia ada dan fasal 3(d) bertujuan
untuk memperkenalkan subseksyen baru 4(A) bagi
menggantikan subseksyen 4(b) yang sedia ada.
Fasal 3(e) dan 3(f)
___________________
Fasal 3(e) meminda subseksyen 5 seksyen 27 yang
memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan ke atas
sesiapa yang hadir dalam mana-mana perhimpunan,
perjumpaan dan perarakan yang tidak dikeluarkan lesen.
Fasal 3(f) pula bertujuan meminda subseksyen yang sama
untuk memperuntukkan bahawa orang-orang yang ada
sangkut-paut memanggil, mengumpul ataupun mengarah
satu-satu perhimpunan, perjumpaan dan perarakan tanpa
lesen adalah melakukan kesalahan. Pindaan ini dibuat
dengan tujuan untuk memastikan supaya orang-orang yang
terlibat tidak terlepas daripada tindakan
undang-undang.
Fasal 3(g)
__________
Fasal 3(g) mewujudkan tiga subseksyen baru iaitu
subseksyen (5A), (5B), (5C). Subseksyen (5A)
memperuntukkan bahawa seseorang yang dituduh tidak
boleh membela dirinya dengan alasan bahawa ia tidak
mengetahui yang perhimpunan, perjumpaan dan perarakan
itu adalah satu perhimpunan, perjumpaan dan perarakan
yang haram. Walau bagaimanapun seseorang yang berada
di tempat perhimpunan, perjumpaan dan perarakan itu
secara kebetulan dan tidak berniat untuk mengambil
bahagian boleh menggunakan alasan itu untuk membela
dirinya. Ini diperuntukan dalam subseksyen (5B).
Subseksyen (5C) pula memperuntukkan bahawa kesemua
ahli-ahli pengelola mana-mana pertubuhan yang terlibat
dalam sesuatu perhimpunan haram adalah melakukan satu
kesalahan kecuali jika mereka dapat membuktikan bahawa
mereka tidak tahu-menahu mengenai perhimpunan,
perjumpaan dan perarakan yang diadakan itu atau
telahpun mengambil tindakan untuk menghalang atau telah
mengumumkan pendirian yang mereka tidak bersetuju
dengan keputusan mengadakan perhimpunan, perjumpaan dan
perarakan itu.
Fasal 3(h)
__________
Fasal 3(h) menggantikan subseksyen 8 Seksyen 27
yang menetapkan denda minima $2,000 ringgit dan maksima
$10,000 ringgit dan penjara tidak lebih dari satu
tahun. Hukuman sekarang ialah denda tidak melebihi
$500 ringgit atau penjara tidak lebih dari enam bulan
atau kedua-keduanya sekali.
Fasal 4
_______
Mewujudkan seksyen baru 27A, 27B dan 27C untuk
mengawal perhimpunan di tempat-tempat bukan tempat
awam. Di bawah peruntukan ini polis boleh
memberhentikan mana-mana aktiviti yang dijalankan di
tempat persendirian jika didapati perhimpunan,
perjumpaan dan perarakan itu memudaratkan keselamatan
atau ketenteraman awam. Polis juga boleh menyuraikan
orang-orang yang berkumpul di luar premis persendirian
itu jika bilangan orang-orang yang berkumpul itu
melebihi 20 orang. Pihak polis juga diberi kuasa untuk
menyuraikan perhimpunan, perjumpaan dan perarakan yang
diadakan di dalam atau di luar premis persendirian itu;
dan jika mereka yang terlibat tidak mematuhi arahan
polis untuk bersurai, pihak polis diberi kuasa untuk
kanan polis berpangkat Inspektor ke atas. Oleh kerana
bukan di semua tempat ada pegawai kanan polis, maka
peruntukan ini telah menghadkan tindakan yang boleh
diambil oleh pihak polis. Peruntukan ini telah
menghalang pihak polis bertindak dengan segera. Untuk
mengatasi masalah ini adalah perlu pindaan dibuat
supaya kuasa ini diberikan kepada mana-mana
pegawai-pegawai polis supaya tindakan segera dapat
diambil untuk mengadakan sekatan jalanraya.
10. Seksyen 30 dalam Akta Polis pula memperuntukkan kuasa
kepada Pesuruhjaya Polis atau Ketua Polis Negeri dengan
persetujuan Menteri bagi melarang penggunaan bendera,
sepanduk dan pembesar suara. Bagi membolehkan pihak polis
bertindak dengan segera, maka peruntukan ini dipinda supaya
kuasa ini dapat dijalankan oleh Pesuruhjaya Polis atau Ketua
Polis Negeri sahaja tanpa mendapat persetujuan Menteri
terlebih dahulu.
Tuan Yang di-Pertua,
11. Ini adalah kali yang kedua saya membentangkan rang
undang-undang (pindaan) yang Kerajaan tidak dapat berbangga
dengannya. Sepatutnya bukan sahaja Kerajaan tetapi juga
rakyat keseluruhannya tidak boleh berbangga dengan pindaan
undang-undang ini.
12. Sebabnya saya berkata demikian ialah kerana ia
membuktikan bahawa terdapat dalam masyarakat kita
individu-individu dan kumpulan-kumpulan yang belum dewasa
politik mereka, yang tidak tahu mengawal diri sendiri, yang
tidak menghargai sikap liberal Kerajaan.
13. Orang yang sudah dewasa akan tahu mengawal diri tanpa
dikawal oleh undang-undang yang ketat. Mereka tidak akan
membuat sesuatu yang mereka tahu boleh membawa keburukan
kepada masyarakat. Mereka bertanggungjawab dan tidak akan
membuat apa-apa yang boleh menjejas kestabilan dan
pembangunan negara.
Tuan Yang di-Pertua,
14. Malangnya, golongan ini sentiasa mencari 'loopholes'
dalam undang-undang supaya mereka boleh melakukan sesuatu
yang tidak baik tanpa Kerajaan dapat membuat apa-apa kepada
mereka melalui undang-undang.
15. Oleh kerana denda yang dikenakan adalah rendah
umpamanya, mereka sanggup melanggar undang-undang dan
membayar denda dengan tidak berasa malu sedikitpun. Bahawa
tindakan mereka memburukkan keadaan politik dan ekonomi
negara tidak sedikitpun menghalang mereka. Yang penting
bagi mereka ialah parti mereka dan politik parti mereka.
Jika negara Malaysia mendapat gambaran sebagai sebuah negara
yang tidak tenang dan tidak menarik kepada para pelabur, ini
sangat disukai oleh mereka ini. Biarlah rakyat menderita
kerana tidak ada peluang kerja asalkan mereka boleh mendakwa
bahawa Malaysia tidak demoktratik, tidas stabil dan tidak
dapat menarik para pelabur. Mereka berharap dengan cara ini
mereka dapat memburukkan imej Kerajaan untuk kepentingan
politik parti mereka.
16. Mereka inilah yang sering mencerita kepada orang-orang
asing kononnya keadaan di Malaysia sangat buruk. Mereka
berbohong mengenai keadaan di Malaysia untuk mendapat
simpati kepada perjuangan parti mereka. Bahawa ini
menjejaskan pembangunan negara dan rakyat Malaysia tidak
menjadi masalah kepada mereka. Jika dikatakan mereka tidak
setia, mereka amat marah. Tetapi apa lagi yang hendak
dipanggil mereka ini?
17. Mereka tahu jika mereka dapat memaksa Kerajaan
bertindak keras ke atas mereka, tindakan Kerajaan ini juga
boleh dijadikan isu politik. Oleh itu mereka sengaja
mempermainkan undang-undang yang ada untuk memaksa Kerajaan
mengadakan undang-undang yang lebih keras. Kemudian mereka
mengecam Kerajaan dan menyoal mengapa membuat undang-undang
yang begitu keras. Mereka akan berkata Kerajaan tidak
demokratik, walhal merekalah yang sengaja menjolok Kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua,
18. Kerajaan menghadapi dilemma dalam perkara ini. Jika
undang-undang tidak diperkukuhkan, mereka ini akan membuat
bermacam-macam untuk mencetuskan huru-hara dan ketegangan
dalam negara kita. Jika Kerajaan mengukuhkan
undang-undang, Kerajaan akan dikecam dengan berbagai
tohmahan dan tuduhan. Kerajaan akan dituduh tidak liberal.
19. Tetapi Kerajaan ini tidak akan lari daripada
tanggungjawabnya. Biar apa juga tohmahan dan fitnah yang
dilemparkan terhadapnya, Kerajaan akan terus menjalankan
tugasnya dan bersikap bertanggungjawab. Kepada
individu-individu yang tidak menghargai sikap liberal
Kerajaan, kita tidak perlu liberal. Bersikap liberal kepada
individu-invididu ini samalah seperti memberi bunga kepada
kera. Kecantikan bunga tidak menawan hati kera dan ia
biasanya mengoyak-ngoyakkan bunga itu.
Tuan Yang di-Pertua,
20. Tidak dapat tidak pihak DAP akan berkata bahawa dengan
adanya pindaan kepada Akta Polis ini maka negara akan
menjadi tidak demokratik. Mereka akan berkata 'Loceng Maut'
berbunyi lagi kerana kematian demokrasi. Mereka akan
menambah bahawa pelabur-pelabur tidak akan datang ke negara
ini.
Tuan Yang di-Pertua,
21. Jika benar seperti kata DAP bahawa dengan berbagai
undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan ini dahulu
'loceng maut' sudah berbunyi terhadap demokrasi di Malaysia,
bagaimanakah demokrasi boleh mati berkali-kali?
22. Dengan DAP berkata bahawa 'loceng maut' telah berbunyi
sekali lagi bermaknalah undang-undang yang diluluskan dahulu
tidak membunuh demokrasi. DAP sebenarnya mengakui bahawa
demokrasi masih hidup di Malaysia, dan akan terus hidup
melainkan parti DAP memerintah.
Tuan Yang di-Pertua,
23. Sebenarnya pelabur-pelabur asing tidak mengambilkira
sama ada wujud atau tidak demokrasi dalam negara-negara yang
mereka ingin melabur. Perkara utama bagi mereka ialah
kestabilan politik dan Kerajaan yang kuat dan boleh
menguat-kuasakan undang-undang.
24. Jika kita mengkaji dengan ikhlas kita akan mendapati
bahawa pelaburan asing yang terbesar di rantau Timur ini
ialah dalam negara-negara yang kurang atau tidak begitu
demokratik, tetapi mempunyai Kerajaan yang kuat yang dapat
menentukan kestabilan politik dalam negara. Tidak sesiapa
pun yang mahu melabur dalam sesebuah negara yang begitu
demokratik sehingga setiap hari tunjuk perasaan berlaku dan
Kerajaan jatuh dua bulan sekali.
25. Para pelabur tidak melabur kerana ingin menegakkan
demokrasi di negara-negara di dunia ini. Para pelabur
datang kerana keuntungan yang boleh diperolehi. Keadaan
kacau bilau yang disebabkan oleh penyalah-gunaan hak-hak
demokrasi tidak akan menarik mereka. Sebab itulah Kerajaan
yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan kesejahteraan
rakyat negara ini perlu menentukan kestabilan walaupun ini
bermakna sedikit sebanyak kebebasan yang boleh
disalah-gunakan oleh sebilangan kecil daripada ahli-ahli
politik yang 'frustrated' terpaksa dibendung.
Tuan Yang di-Pertua,
26. Inilah sebabnya pindaan undang-undang ini dibuat kepada
Akta Polis. Ia bertujuan menentukan tindakan polis lebih
cepat dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan negara.
Tuang Yang di-Pertua,
27. Dengan pindaan ini suatu kawalan yang lebih berkesan
dapat diwujudkan untuk mengawasi perhimpunan, perjumpaan dan
perarakan. Dengan kawalan ini adalah diharapkan
perhimpunan, perjumpaan dan perarakan yang diadakan pada
masa hadapan akan berjalan dengan lebih bertanggungjawab dan
mengikut batasan-batasan yang wajar demi memelihara
keselamatan dan ketenteraman awam.
Tuan Yang di-Pertua,
28. Saya mohon mencadangkan.
|