Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BANGUNAN TABUNG HAJI, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 07/12/87
Tajuk/Title : MAJLIS MEMPERINGATI JASA TOKOH-
TOKOH TABUNG HAJI
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaraktuh.
Yang Berhormat Datuk Dr. Yusof Nor,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri;
Yang Berbahagia Datuk Mohd. Shamsuddin
Yaacob, Pengerusi Lembaga Urusan dan
Tabung Haji;
Tokoh-tokoh Tabung Haji Yang Diraikan;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana
kita dapat bersama-sama hadir dalam majlis malam ini.
Majlis ini menunjukkan bahawa Tabung Haji tidak melupai jasa
mereka yang telah memberi sumbangan, bukan sahaja daripada
segi material, tetapi juga daripada segi usaha dan kerjasama
dalam membantu Tabung Haji mencapai tahap kejayaan seperti
yang kita dapati sekarang ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2. Saya percaya, semenjak 25 tahun wujudnya Tabung Haji,
telah banyak perkara-perkara dan masalah-masalah yang dapat
diselesaikan tentang pengendalian jemaah haji dan di dalam
bidang perusahaan dan pelaburan. Maka masanya telah tiba,
pada pendapat saya, untuk Tabung Haji melihat pengendalian
jemaah haji daripada satu perspektif yang lebih luas lagi.
Pemergian rakyat Malaysia yang beragama Islam semenjak
turun-temurun mengerjakan haji di Tanah Suci telah sedikit
sebanyak memberi kesan serta perubahan, bukan sahaja kepada
jemaah-jemaah berkenaan, tetapi juga kepada masyarakat Islam
di Malaysia daripada segi sikap, cara berfikir dan keadaan
sosio-ekonomi mereka.
3. Tabung Haji dan pihak-pihak yang berkenaan mungkin
dapat mengkaji implikasi jemaah-jemaah kita yang menunaikan
rukun Islam kelima lebih daripada sekali. Kajian ini bukan
sahaja perlu menumpu kepada soal hukum tetapi juga daripada
perspektif kesan kepada mereka ini, kepada masyarakat, kesan
kepada ekonomi negara dan kesan terhadap kawalan keamanan di
Arab Saudi. Seperti yang kita maklum, Nabi Muhammad s.a.w.
sendiri pun mengerjakan haji sekali sahaja seumur hidup
Baginda. Kita ke Mekah buat kali kedua sekiranya mampu dan
difikirkan pemergian yang pertama tidak begitu sempurna.
Mungkin kita dapat memberi panduan kepada mereka yang
menunaikan rukun haji lebih daripada sekali bahawa berbagai
amalan seperti membantu fakir miskin, membiayai
projek-projek agama dan lain-lain usaha adalah juga dituntut
oleh Ilahi.
4. Saya berharap supaya kajian ini menyeluruh dan mendalam
bagi mengelakkan salah sangka. Apabila timbul salah sangka,
akan timbul pula tohmahan dan ini akhirnya akan membawa
kepada pandangan yang negatif. Cadangan ini hendaklah
difikirkan secara terbuka. Sekiranya menunaikan haji
berulang kali ini banyak terjadi, kita harus menekankan
kepada pemberian panduan mengenai berbagai amalan yang
dituntut oleh Allah sekiranya berlebihan rezeki. Saya
berharap juga supaya cadangan ini tidak ditakrifkan sebagai
galakan membelanja rezeki yang lebih itu kepada hal-hal
duniawi, sebaliknya untuk usaha-usaha yang dituntut oleh
Islam. Di samping itu, sekiranya kajian sebegini hendak
dijalankan, pandangan institusi-institusi agama Islam yang
lain haruslah diperolehi supaya terdapat perpaduan dalam
sebarang panduan yang akan kita kemukakan kemudian kelak.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Lima tahun yang lepas, di dalam upacara Meletak Batu
Asas Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji yang tersergam ini,
saya telah menekankan tentang peranan Tabung Haji di dalam
memulihkan ekonomi umat Islam yang saya anggapkan sebagai
satu peranan yang penting. Peranan ini hendaklah diteruskan
oleh Tabung Haji dengan lebih gigih lagi. Walaupun terdapat
lebih kurang 7 juta umat Islam di negara ini, hanya 1.2 juta
sahaja yang menyimpan dengan Tabung Haji. Oleh yang
demikian, adalah menjadi harapan kita semua supaya Tabung
Haji akan terus memberi penerangan yang sebaik-baiknya
supaya lebih banyak lagi umat Islam di negara ini tampil ke
hadapan dan membuka akaun simpanan masing-masing.
6. Begitu juga, jumlah simpanan tiap-tiap penyimpan
hendaklah bertambah. Pada hari ini, purata simpanan ialah
di antara $400 hingga $500 seorang dan ini adalah merupakan
satu jumlah simpanan yang agak rendah. Semua pihak hendaklah
mengambil tindakan yang sepatutnya, supaya jumlah simpanan
purata bagi tiap-tiap seorang penyimpan dipertingkatkan lagi
sekurang-kurangnya kepada $1,000 seorang.
7. Tugas memulihkan ekonomi umat Islam ini berkait rapat
dengan usaha memulihkan maruah umat Islam yang pada ketika
ini adalah pada tahap yang amat mendukacitakan. Kebangkitan
kesedaran Islam yang wujud pada hari ini tidak akan memberi
apa-apa makna, jika sekiranya kita hanya dapat mengagungkan
pemerintahan Islam di zaman para sahabat Nabi sahaja.
Kebangkitan Islam di zaman ini hendaklah juga merangkumi
bidang-bidang ekonomi, pendidikan dan politik. Hanya umat
Islam yang kukuh dan tegap dalam bidang-bidang ini yang akan
dihormati dan bermaruah tinggi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Saya merasa gembira memerhatikan bahawa sebahagian
daripada undangan pada malam ini terdiri daripada yang bukan
Islam. Ini adalah wajar kerana di dalam usaha mencapai
matlamatnya, Tabung Haji juga menggunakan perkhidmatan pihak
yang bukan Islam. Ini juga merupakan satu contoh yang baik
kerana di akhir-akhir ini ada juga pihak-pihak yang
menyarankan bahawa bekerjasama dan bergurukan kepada orang
yang bukan Islam itu menyalahi kehendak Islam.
Saranan-saranan serupa itu bukan sahaja tidak berlandaskan
kepada ajaran Islam yang sebenar, tetapi akan membawa kepada
kelemahan dan keruntuhan umat Islam sendiri. Umat Islam
tidak akan sampai ke mana-mana, jika kita hanya bergantung
kepada pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi hanya di
antara kita sahaja. Umat Islam seharusnya tidak menghadkan
usahanya kepada satu-satu sumber sahaja, tetapi hendaklah
bersikap liberal di dalam perkara seperti ini, supaya dapat
menggunakan segala sumber yang ada demi kebaikan ummah.
9. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa
saya akan mengikuti perkembangan Tabung Haji dari masa ke
semasa. Adalah menjadi harapan saya bahawa Tabung Haji akan
terus berusaha dan berkembang di dalam peranan pelaburannya,
di samping tugasnya yang utama iaitu memberi perkhidmatan
yang baik dan cekap kepada jemaah haji.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10. Kepada pihak pengurusan dan kakitangan Tabung Haji,
saya berharap tuan-tuan dan puan-puan akan dapat meneruskan
prestasi baik yang telah dicapai oleh organisasi ini.
Bagaimanapun kita mestilah sentiasa mencari jalan dan
meningkatkan lagi usaha bagi memajukan lagi prestasi Tabung
Haji pada masa hadapan.
11. Kepada tokoh-tokoh lama yang telah menjayakan
pembangunan dan pengurusan Tabung Haji sehingga ia menjadi
contoh dalam dunia Islam dan bukan Islam, saya mengucapkan
berbanyak terima kasih. Negara akan sentiasa terhutang budi
dan mengenang jasa tuan-tuan dan puan-puan. Moga-moga
tuan-tuan dan puan-puan akan diberkati Allah Subhanahu
Wataala dan diberi ganjaran yang setimpal.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|