Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HUTAN LIPUR KANCHING, TAMAN TEMPLER
Tarikh/Date : 08/12/87
Tajuk/Title : PELANCARAN KHEMAHKERJA KEJIRANAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat
sejahtera;
Yang Berhormat Encik Kasitah Gaddam,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri;
Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar
serta Yang Berhormat Menteri-Menteri;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan.
Syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana di
atas limpah kurniaNya, dapat kita berhimpun pada pagi ini.
Terlebih dahulu ingin saya merakamkan penghargaan kepada
Jabatan Perpaduan Negara, kerana menjemput saya pada pagi
ini, dan seterusnya untuk merasmikan upacara Pelancaran
Khemahkerja Kejiranan. Saya difahamkan bahawa Khemahkerja
Kejiranan ini mempunyai cirinya tersendiri. Ia dijalankan
bukan semata-mata untuk memenuhi masa lapang cuti sekolah,
bahkan bertujuan untuk membolehkan generasi muda menghayati
akan unsur-unsur perpaduan, melalui aktiviti yang disusun
khusus bagi melahirkan peluang berinteraksi, berkomunikasi
dan bekerjasama di tahap yang maksima, antara peserta
berbagai kaum.
2. Selain daripada itu, di dalam pengelolaan Khemahkerja
ini terdapat penyertaan sektor swasta secara langsung, bukan
setakat menyumbangkan peralatan Khemahkerja, bahkan juga
dalam menyampaikan ceramah kepada peserta-peserta sekalian.
Saya merasa amat gembira di atas daya-usaha ini, iaitu
menggemblingkan pihak swasta dengan agensi-agensi Kerajaan,
dalam satu usahasama seperti Khemahkerja ini. Kepada pihak
swasta yang belum lagi menyumbangkan ke arah ini, saya
berharap mereka akan bermurah hati berbuat demikian, bukan
sahaja untuk Khemahkerja, tetapi juga bagi lain-lain
aktiviti penggalakkan perpaduan rakyat. Ini juga dapat
memenuhi konsep bahawa usaha untuk memupuk perpaduan
nasional adalah tanggungjawab bersama. Sekiranya banyak
lagi firma yang tampil ke hadapan untuk membantu Kerajaan
dalam aspek perpaduan negara, maka banyaklah lagi program
penggalakkan, seperti Khemahkerja ini dapat dilaksanakan,
baik di peringkat negeri mahupun daerah.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
3. Perpaduan antara kaum yang menjadi warganegara negara
ini amatlah penting kerana kita tidak boleh mengelak
daripada realiti kehidupan kita di negara kita Malaysia yang
kita cintai ini. Realiti yang dimaksudkan ialah penduduk
dan rakyat negara ini terdiri daripada berbagai kaum. Jika
kaum-kaum di negara ini tidak bersefahaman dan berhubung
rapat, maka masa kita akan dihabiskan dengan bersengketa
sesama sendiri, semasa dunia luar berkembang maju dan mara
jauh ke hadapan kita. Sebaliknya, jika kita menerima
hakikat bahawa penduduk di negara ini terdiri daripada
berbagai kaum dan kita menyusun langkah untuk menyatukan
segala kekuatan yang terdapat pada setiap kaum, dan kita
gabungkan kekuatan ini, tidak dapat tidak kejayaan kita
boleh meningkat dengan lebih pesat.
4. Untuk ini, langkah yang pertama ialah kita mengenali
kaum-kaum yang ada dalam negara kita. Ini bukan sahaja
bermakna berdamping rapat dan berkawan, tetapi mengetahui
adat resam dan pantang-larang masing-masing. Setelah kita
mengenali perkara-perkara ini dan mengetahui sensitiviti
masing-masing hendaklah kita secara sedar mengelak daripada
membuat atau memperkatakan sesuatu yang boleh menyinggung
perasaan rakan kita yang berlainan keturunan dan agama.
5. Kita tahu bahawa sesuatu kaum itu bukan sahaja
mempunyai kekuatan tetapi juga kelemahannya. Semua kaum
perlu menolong kaum lain mengatasi kelemahannya. Ada kaum
yang tidak begitu menitikberatkan adat resam dan mereka
perlu dibimbing oleh mereka yang menitikberatkan adat resam.
Sebaliknya ada kaum yang lemah dalam bidang perniagaan dan
perusahaan dan mereka juga perlu dibimbing oleh kaum yang
lebih berjaya dalam bidang ini.
6. Segala-gala yang dilakukan hendaklah dilakukan dengan
ikhlas dan jujur. Melepas batuk di tangga bukanlah
caranya. Perkongsian hendaklah dibuat dengan semua pihak
bersama-sama menanggung beban kerja. Perbuatan 'window
dressing', atau menjadikan usaha ke arah perimbangan kaum
sebagai hiasan sahaja hendaklah dihapuskan sama sekali.
7. Perbuatan seperti mengadakan perniagaan Ali-Baba yang
mana Ali tidur, Baba bekerja, tidak akan menolong
mengeratkan perhubungan kaum. Di sini kita harus
persalahkan bukan Baba tetapi rakannya Ali. Selagi ada
amalan ini Ali tidak akan dapat meningkatkan kecekapannya
dan ia akan bergantung selama-lamanya kepada Baba.
Perseimbangan tidak akan tercapai antara kaum dan dengan itu
akan kekallah perasaan curiga antara satu kaum dengan kaum
yang lain. Sudah tentu perpaduan tidak mungkin wujud.
Sebaliknya jika Ali terpaksa menanggung beban bersama dengan
Baba, maka lama kelamaan Ali akan menjadi sama cekap dengan
Baba dan perasaan syak wasangka akan hapus. Oleh itu
kedua-dua pihak hendaklah mengadakan kerjasama yang ikhlas
untuk mempercepatkan persefahaman antara kaum.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Bila kita memperkatakan mengenai perpaduan nasional,
kita dapati bahawa ramai rakyat yang belum memahami akan
unsur-unsurnya. Ini menimbulkan berbagai-bagai persepsi
terhadap konsepnya, yang dibuat oleh golongan rakyat yang
berbeza-beza, melalui perspektif masing-masing. Perkara ini
perlu diperbetulkan dan saya berbangga bahawa Jabatan
Perpaduan Negara sedang berusaha menguruskan perkara ini.
9. Arus pembangunan bangsa berkembang dan bergerak di atas
landasan-landasan tertentu. Dalam hal ini, bagi kita,
landasan pertama ialah penghayatan akan latarbelakang
sejarah negara ini semenjak zaman dahulu kala. Sebelum
kedatangan penjajah, negara ini telah pun mempunyai
ketamadunan dan peradabannya sendiri, melalui satu bentuk
pentadbiran yang tersusun. Apabila orang-orang dari negara
luar datang bermastautin di negara ini, mereka mendapati
perlu untuk menyesuaikan diri serta cara hidup mereka kepada
suasana dan masyarakat yang telah pun wujud di negara ini.
10. Landasan kedua ialah pengiktirafan pihak penjajah ke
atas ketamadunan dan peradaban itu. Oleh kerana
pengiktirafan ini, maka mereka telah menghormati akan adat
resam, pantang larang, agama, institusi beraja dan rakyat
negara ini, sehinggalah faktor-faktor tersebut dimaktubkan
dalam Perlembagaan Persekutuan, yang telah digubalkan dengan
bantuan nasihat pihak penjajah juga.
11. Landasan ketiga ialah apa yang saya anggap sebagai amat
penting sekali, iaitu muafakat antara kaum menjelangnya
Kemerdekaan negara ini. Di dalam muafakat itu beberapa
perkara yang menyentuh faktor-faktor seperti yang disebut
sebagai landasan yang kedua tadi, telah dibincang dan
dipersetujui melalui semangat tolak-ansur,
hormat-menghormati antara pemimpin-pemimpin negara dari
semua kaum pada masa itu.
12. Landasan keempat ialah penguasaan dan penggunaan Bahasa
Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara
ini tanpa menyekat penggunaan bahasa-bahasa lain.
Berdasarkan kepada empat landasan itulah maka kita telah
'committed' kepada pencapaian matlamat utama, iaitu
pembangunan bangsa yang merdeka, di negara yang aman, makmur
dan stabil, melalui perpaduan nasional. Dari itu adalah
menjadi kewajipan kita semua untuk menonjolkan nilai-nilai
asas perpaduan melalui proses pemasyarakatan dan
pembudayaan. Penghayatan nilai-nilai asas atau core values
akan membawa pula kepada penerapan nilai-nilai bersama atau
'shared values'. Seterusnya perpaduan mencakupi pelbagai
aspek integrasi, termasuk integrasi kawasan, wilayah,
sosial, budaya, bahasa dan ekonomi.
13. Dengan itu, melalui Khemahkerja seperti ini, saya
berharap perkara-perkara yang telah saya nyatakan sebentar
tadi, dapat dimaklumkan kepada peserta-peserta sekalian yang
terdiri daripada generasi baru. Ini ialah supaya ianya
betul-betul dapat dihayati oleh mereka, yang kemudiannya
akan menyebarkan kepada kawan-kawan mereka yang lain.
14. Apabila generasi muda ini kelak meningkat dewasa,
perlulah pula mereka menerangkan hal-hal yang demikian
kepada anak-anak mereka nanti. Pernah dinyatakan bahawa
kanak-kanak dilahirkan tanpa prejudis. Oleh itu saya
berharap kanak-kanak akan terus dipupuk dengan aspek-aspek
positif yang boleh mengukuhkan perpaduan, supaya mereka
terus hidup tanpa prejudis dari kecil sehingga dewasa.
Aspek ini hendaklah dijadikan kesinambungan warisan, dari
satu generasi ke generasi yang lain, kalau kita mahu negara
ini terus aman, makmur dan sejahtera.
15. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih sekali
lagi kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini.
Dengan berdoa ke hadrat Ilahi, saya dengan sukacitanya
merasmikan Pelancaran Khemahkerja Kejiranan ini.
|