Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 11/12/87
Tajuk/Title : PELANCARAN "GERAKAN CINTAILAH
BAHASA KITA"
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Yang Berhormat Encik Anwar Ibrahim,
Menteri Pendidikan merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Pusat Gerakan
Cintailah Bahasa Kita;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
Gerakan Cintailah Bahasa Kita kerana menjemput saya
melancarkan upacara pagi ini. Saya berharap Gerakan ini
akan mengukuhkan lagi status Bahasa Malaysia sebagai alat
perpaduan kebangsaan dan juga alat komunikasi yang berkesan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Lebih tiga puluh tahun dahulu, rakyat dan para
cendekiawan berpadu tenaga, bersatu tekad dan membulatkan
kesetiaan untuk memperjuangkan kedudukan dan taraf Bahasa
Melayu di tanahair tercinta ini. Di dalam usaha untuk
membangkitkan kesedaran rakyat berbilang kaum terhadap
pentingnya diwujudkan satu Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu
telah dipersetujui bersama menjadi Bahasa Kebangsaan dan
bahasa rasmi negara yang baru merdeka. Maka secara rasminya
bahasa rasmi ini dikenali sebagai Bahasa Malaysia.
3. Kita juga telah menyaksikan peristiwa perkembangan
Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama di dalam
sistem pendidikan kebangsaan yang bertujuan menyatu-padukan
rakyat dan membina masyarakat yang berjiwa Malaysia.
4. Pelbagai usaha dan rancangan telah dijalankan di dalam
proses mengisi kehendak dan semangat Perlembagaan dan Akta
Bahasa Kebangsaan untuk membina, mengembang dan mendaulatkan
bahasa itu, sesuai dengan taraf dan peranan yang diberikan
kepadanya. Pembinaan dan pengembangan Bahasa Malaysia untuk
memenuhi fungsinya sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi
dan bahasa pendidikan berlaku dengan program yang
terperancang, bukan sahaja pada peringkat nasional malah
pada peringkat wilayah di Asia Tenggara.
5. Badan-badan pembinaan dan pengembangan bahasa dan
institusi-institusi pengajian tinggi memainkan peranan yang
penting bagi peningkatan mutu bahasa dan pengembangan
penggunaannya di dalam pelbagai bidang. Penyelidikan korpus
atau aspek-aspek bahasa, penyeragaman ejaan rumi,
pembentukan istilah sains dan teknologi dan penerbitan telah
dijalankan bagi memantapkan aspek-aspek Bahasa Malaysia.
6. Proses memaju dan mengembangkan Bahasa Malaysia sebagai
Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan itu
dilakukan tanpa menafikan kedudukan dan fungsi bahasa-bahasa
lain sebagai bahasa bukan rasmi dan bahasa ibunda kaum-kaum
tertentu serta kedudukan dan peranan Bahasa Inggeris sebagai
bahasa kedua di negara ini.
7. Kini, selepas tiga puluh tahun merdeka, kita tidak
seharusnya lagi mempersoalkan kedudukan dan taraf Bahasa
Malaysia di sisi undang-undang. Sehubungan dengan ini, kita
juga tidak seharusnya mempersoalkan kedudukan dan taraf
bahasa-bahasa kaum yang lain, seperti bahasa-bahasa kaum
Cina dan bahasa Tamil, di sisi undang-undang. Bukan sahaja
kerana sudah diperuntukkan dalam undang-undang, malahan
dalam amalan pun tidak pernah kita melarang orang
menggunakan, mempelajari atau mengajar bahasa-bahasa yang
lain daripada Bahasa Malaysia. Di antara negara-negara yang
membangun, amalan ini adalah unik. Di negara-negara yang
maju pun sikap liberal ini jarangkali diamalkan.
8. Segala-galanya sudah begitu jelas dan tidak harus sama
sekali dijadikan isu oleh mana-mana pihak pun. Di dalam
konteks ini, bahasa tidak akan dibenarkan lagi menjadi isu
politik, apatah lagi menjadi isu perkauman yang boleh
menjejaskan kestabilan dan perpaduan negara, kerana
kedudukan dan taraf setiap bahasa yang wujud di negara ini
telah disepakati bersama.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Pertemuan hari ini menyaksikan suatu lagi peristiwa
bersejarah di dalam usaha kita bersama hendak menegakkan
kedaulatan Bahasa Malaysia yang sudah diterima umum sebagai
Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Pertemuan hari
ini juga menekankan pentingnya kita mencintai Bahasa
Kebangsaan Kita. Cinta atau kecintaan sebagai sesuatu yang
abstrak dan yang bersifat peribadi tidak dapat dipaksakan ke
atas seseorang individu, tetapi saya percaya bahawa setiap
orang mempunyai perasaan cinta yang bersemi terhadap sesuatu
dan perasaan cinta itu dapat dimekar atau dikembangkan
apabila ada kesempatan atau persekitaran untuk berbuat
demikian. Dalam hal ini, kecintaan terhadap bahasa kita pun
dapat bersemi, menjadi mekar dan bercambah apabila kita
berusaha dari dalam diri sendiri atau dengan pengaruh dari
luar.
10. Bukti yang jelas di depan mata kita menunjukkan bahawa
Bahasa Malaysia tidak digunakan seratus peratus sebagai
Bahasa Kebangsaan, iaitu sebagai alat komunikasi yang
menyeluruh di kalangan semua rakyat di dalam semua keadaan
dan urusan kerja sehari-hari. Tidak habis-habis kita
mendengar rungutan, malah kecaman tentang Bahasa Malaysia
tidak diberikan keutamaan atau diabaikan langsung di dalam
bidang-bidang tertentu di sektor swasta, perindustrian dan
bidang profesional.
11. Umpamanya masih ada papan tanda perniagaan dan
pengiklanan yang tidak mendaulatkan Bahasa Kebangsaan dan
menggunakan bahasa yang tidak tepat. Tidak ada larangan
terhadap penggunaan bahasa lain, tetapi keistimewaan
hendaklah diberikan kepada Bahasa Kebangsaan di dalam
tulisan rumi yang menjadi huruf yang diterima rasmi.
12. Kita tidak menafikan tentang penting dan perlunya
Bahasa Inggeris di dalam kebanyakan urusan pentadbiran dan
perniagaan di sektor swasta, terutama di syarikat-syarikat
besar yang berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris dengan
dunia antarabangsa. Tentulah tidak adil dan tidak munasabah
apabila kita memaksa atau mengharapkan syarikat-syarikat
besar menggunakan Bahasa Malaysia apabila berurusan dengan
syarikat-syarikat di Amerika, negara-negara Arab, Jepun,
India atau Republik Rakyat China.
13. Tetapi apa yang kita persoalkan ialah kecenderungan ke
arah penggunaan Bahasa Inggeris secara besar-besaran, bahkan
dengan membelakangkan Bahasa Kebangsaan sama sekali.
Perbuatan ini menunjukkan bahawa kita tidak berbangga dan
tidak mencintai Bahasa Kebangsaan kita. Amalan ini amat
ketara di pusat-pusat membeli-belah dan di setengah-setengah
tempat awam. Saya syak bahawa amalan ini timbul akibat
daripada kurang keyakinan akan kedudukan dan keupayaan
Bahasa Kebangsaan. Sikap ini perlulah dikikis. Tidak ada
kekurangan di dalam Bahasa Kebangsaan kita untuk apa juga
jurusan komunikasi.
14. Saya percaya bahawa Gerakan yang akan dilancarkan ini
mempunyai hikmatnya yang tersendiri, iaitu bertujuan supaya
menimbulkan kesedaran untuk memupuk dan mengembangkan
perasaan "cinta yang sejati" atau "cinta yang suci" atau
"cinta yang tulus ikhlas" di dalam hati sanubari setiap
rakyat Malaysia terhadap Bahasa Kebangsaan kita, yang mana
ia akan meningkatkan prestij dan maruah bangsa dan negara
Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15. Generasi baru yang akan mewarisi kita sudah dapat
menguasai Bahasa Malaysia dengan baik. Dengan ini
penggunaan Bahasa Kebangsaan menjadi lebih penting. Ia
tidak akan menjejaskan komunikasi antara satu pihak dengan
pihak yang lain kerana semua pihak sudah pun menguasai
Bahasa Kebangsaan. Sebaliknya, ia akan mengurangkan
keperluan menguasai dan menggunakan berbagai bahasa untuk
berhubung dengan penduduk berbagai kaum di Malaysia. Dengan
satu bahasa sahaja, iaitu Bahasa Kebangsaan, kita sudah
boleh berhubung dengan semua rakyat dan penduduk Malaysia.
16. Sikap kita harus segera berubah daripada sekadar
melihat dan menggunakan Bahasa Malaysia untuk urusan yang
mudah-mudah sahaja, atau untuk berkomunikasi dengan Kerajaan
semata-mata, kepada penerimaannya sebagai lambang prestij
bangsa dan negara serta menjadikannya bahasa perhubungan
yang berkesan di antara pelbagai kaum di negara ini.
Kecintaan terhadap Bahasa Kebangsaan sebagai asas kecintaan
terhadap negara perlu dipupuk dan dikembangkan dengan
amalan. Amalanlah yang menjadi bukti perasaan cinta.
Amalanlah yang akan memberikan keyakinan kepada kita untuk
terus mencintai bahasa kita. Tanpa mengamalkannya, sukar
kita hendak meyakinkan diri kita sendiri dan orang lain
bahawa kita mencintai Bahasa Kebangsaan. Inilah faktor di
dalam diri yang harus dibina tanpa paksaan oleh mana-mana
pihak.
17. Untuk tujuan tersebut, saya suka menggesa semua pihak
di sektor swasta khususnya supaya lebih banyak menggunakan
Bahasa Malaysia dalam urusan mereka dengan masyarakat
Malaysia, sama ada di dalam tulisan ataupun dengan lisan dan
bukan sekadar dalam urusan rasmi dengan Kerajaan sahaja.
Walau bagaimanapun, faktor luaran yang berupa kesempatan dan
persekitaran perlu dipertimbangkan dalam membina semula atau
memupuk kecintaan rakyat terhadap Bahasa Kebangsaan kita.
Unsur yang paling utama adalah berupa perhatian, galakan,
dorongan dan kawalan daripada pihak perancang dan pengembang
bahasa, di samping daripada Kerajaan sendiri.
18. Badan-badan perancangan bahasa seperti Dewan Bahasa dan
Pustaka perlu memainkan peranan yang lebih besar dan lebih
berkesan serta meningkatkan usaha untuk memperluas dan
mengawal penggunaan Bahasa Kebangsaan. Pertubuhan sukarela
dan pertubuhan bahasa dan sastera mempunyai peranan yang
penting, bukan sahaja untuk membantu membina dan
mengembangkan bahasa tetapi juga mengawal penggunaannya.
19. Pada pihak Kerajaan, penggunaan Bahasa Malaysia dalam
bidang pendidikan tidak menjadi isu dan masalah lagi kerana
segala-galanya berjalan dengan baik menurut perancangan
dalam sistem pendidikan kebangsaan. Di samping itu, Bahasa
Malaysia sebagai bahasa rasmi di sektor awam sudah mencapai
tahap penggunaan yang hampir menyeluruh. Sungguhpun
demikian, mutu bahasa rasmi Kerajaan dikatakan belum
mencapai tahap paling tinggi yang dapat dibanggakan dan
boleh menjadi teladan bagi sektor pengguna yang lain.
Perkara ini perlulah mendapat perhatian segera kerana
pedoman ejaan, peristilahan dan tatabahasa sudah dimantapkan
dan tidak menjadi masalah yang besar lagi bagi
pegawai-pegawai Kerajaan menggunakannya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
20. Untuk tujuan memperkukuhkan penggunaan Bahasa Malaysia
dalam urusan rasmi dan melaksanakan dasar Bahasa Kebangsaan
sepenuhnya, kita perlu mengkaji semula peruntukan
undang-undang dan peraturan yang ada hubungannya dengan
penggunaan bahasa, tanpa menyentuh persefahaman antara kaum
yang dicapai semasa perjuangan kemerdekaan.
21. Kita harus juga mengkaji beberapa langkah yang patut
dilaksanakan untuk meluaskan lagi penggunaan Bahasa
Malaysia. Kaji selidik perlu diadakan untuk mengetahui
kemajuan dan pencapaian serta mengenal pasti masalah yang
utama dalam pelaksanaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi
di sektor awam, iaitu di kalangan semua Jabatan Kerajaan,
Kerajaan Negeri, Badan Berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
Kajian juga perlu dilakukan secara menyeluruh untuk
mengetahui pencapaian dan masalah utama yang dihadapi dalam
penggunaan bahasa di sektor swasta dan dalam bidang
profesional seperti perundangan, kehakiman, kejuruteraan,
perubatan, perindustrian dan perdagangan. Rancangan
tindakan untuk mengatasi masalah perlu juga diadakan.
22. Dalam usaha mengembangkan Bahasa Kebangsaan, rakyat
yang bahasa ibundanya ialah Bahasa Melayu mempunyai peranan
yang istimewa. Adalah menjadi tabiat kita mengikut telor
atau loghat orang yang bahasa ibundanya bukan Bahasa Melayu.
Dengan perbuatan ini, maka Bahasa Kebangsaan yang standard
tidak dapat berkembang. Sebaliknya, wujud Bahasa Kebangsaan
loghat Tamil, loghat Cina dan lain-lain. Pencemaran ini
hanya boleh diatasi jika orang-orang Melayu tidak sengaja
mengikut loghat rakan percakapan mereka. Mereka mestilah
menggunakan Bahasa Kebangsaan yang baik walau siapapun yang
mereka temui.
23. Seperkara lagi ialah pementasan lawak jenaka yang
berunsur etnik. Adalah menjadi perkara yang mudah
diketawakan apabila loghat-loghat kaum lain dijadikan
perkara ejekan dalam pementasan. Tetapi ini membuktikan
ketandusan idea seseorang pelawak. Seseorang pelawak yang
betul-betul cekap tidak perlu menggunakan kelemahan orang
lain dalam menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai daya
penarik.
24. Sebenarnya percakapan yang pelat dan telor ini tidak
lagi menjadi amalan orang-orang bukan Melayu. Ramai
daripada mereka sekarang amat fasih berbahasa Bahasa
Kebangsaan. Demikianlah kefasihan mereka sehingga jika kita
hanya dengar mereka bercakap tanpa melihat mereka, kita
tidak akan mengetahui sama ada yang bercakap itu orang
keturunan Cina atau keturunan India atau orang Melayu.
Ramai juga daripada mereka yang telah dipilih sebagai
juruhebah Bahasa Kebangsaan di radio dan televisyen. Soal
loghat tidak begitu ketara lagi. Saya percaya dalam satu
generasi lagi, penguasaan Bahasa Kebangsaan oleh bukan
Melayu akan meningkat ke tahap yang penuh.
Tuan-tuan dan puan-puan,
25. Walaupun proses perkembangan Bahasa Kebangsaan akan
berterusan, ia tidak bermakna kita tidak perlu memupuk
perkembangannya. Jika kita alpa dan kita biarkan sahaja,
ada kemungkinan ia akan berhenti dan terus merosot. Inilah
sebabnya saya menyokong kempen Gerakan Cintailah Bahasa
Kita, dan saya dengan gembiranya melancarkan Gerakan ini.
Mudah-mudahan ianya diberi taufik dan hidayah oleh Tuhan
yang Maha Esa.
Wassamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|