Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 19/12/87
Tajuk/Title : PERASMIAN PERAYAAN JUBLI PERAK
KESATUAN GURU-GURU LEPASAN MAKTAB
SEMENANJUNG MALAYSIA
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Encik Anwar Ibrahim,
Menteri Pendidikan;
Ahli-ahli Jawatankuasa
Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan
Maktab Semenanjung Malaysia;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana
dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama di Majlis
ini. Saya mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang
untuk membuka dengan rasminya Perayaan Jubli Perak dan
Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-25 Kesatuan Kebangsaan
Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia ini.
2. Sempena Perayaan dan Persidangan ini, saya berharap
Kesatuan ini akan bertambah kukuh pada masa depan untuk
memperjuangkan kepentingan ahli-ahlinya sesuai dengan amalan
demokrasi negara kita. Kesatuan ini tentulah mengambilkira
kepentingan generasi akan datang dan kepentingan
kesejahteraan negara dalam menyusun program-program dan
aktivitinya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Para guru telah memberi sumbangan yang sangat bermakna
semenjak sebelum merdeka lagi untuk memperjuangkan keutuhan
dan kedaulatan bangsa dan negara ini. Ramai daripada mereka
yang memperjuangkan kemerdekaan, sama ada melalui penyertaan
dalam bidang politik secara langsung atau melalui penulisan,
adalah terdiri daripada para guru. Merekalah yang telah
memberi semangat untuk anak bangsa memperolehi pengetahuan
dan pelajaran tinggi untuk akhirnya memperjuangkan nasib
bangsa dan negara.
4. Selepas kemerdekaan, para guru terus memberi sumbangan
kepada kesejahteraan negara. Pada hari ini, para guru masih
merupakan pemimpin yang berpengaruh terutamanya di kalangan
penduduk luar bandar. Kita percaya para guru, di samping
menjalankan tugas mendidik para pelajar, akan terus memberi
khidmat kepimpinan mereka kepada masyarakat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Kita harus ingat bahawa di zaman dahulu pelajaran dan
ilmu adalah terhad kepada beberapa orang yang bernasib baik
sahaja. Bahawa di zaman ini pelajaran boleh diperolehi oleh
sesiapa sahaja tidak bermakna bahawa pelajaran tidak
bernilai lagi. Sebenarnya dengan tersebar luasnya
pelajaran, maka masyarakat berkeupayaan menghadapi cabaran
zaman dengan lebih baik lagi.
6. Oleh itu, para guru dalam zaman kemajuan ini perlu
mengikuti arus perkembangan dalam masyarakat. Tegasnya,
adalah menjadi tanggungjawab para guru juga untuk memainkan
peranan yang cergas dan gigih dalam membangunkan masyarakat
dan negara. Peranan guru dalam masyarakat yang membangun
dan mengalami perubahan yang pesat adalah lebih luas, berat
dan mencabar lagi.
7. Pendidikan juga merupakan alat yang utama terhadap
pencapaian perpaduan kebangsaan dan dalam menanamkan
semangat cintakan tanahair. Sistem pelajaran kita hari ini
merupakan tapak semaian yang kuat dalam membentuk sikap yang
sihat, serta sikap positif di kalangan masyarakat pelajar.
Persekolahan bersama pelajar-pelajar berbagai kaum yang
diberi penerangan tentang adat-resam dan pantang-larang
sesuatu kaum boleh menolong membangunkan satu masyarakat
yang lebih bersatu-padu di Malaysia kita ini.
8. Sudah tentu para guru perlu memainkan peranan penting
dalam menyediakan murid-murid di sekolah-sekolah untuk
menghadapi realiti kehidupan dalam masyarakat berbilang kaum
di Malaysia. Terdapat ramai keluaran dari sekolah-sekolah
yang terhad kepada hanya satu kaum sahaja yang tidak dapat
menyesuaikan diri dengan masyarakat majmuk di sekeliling
mereka. Mereka selalunya berasa terpisah dan teraniaya
dalam usaha mereka mencari rezeki semasa dewasa. Dengan itu
juga perpaduan kaum sukar dicapai.
9. Sebagai pendidik dalam masyarakat zaman moden, para
guru perlu melengkapkan diri dengan berbagai ilmu
pengetahuan dan kemahiran dengan secukupnya supaya dapat
melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna dan
berkesan. Sama ada disukai atau tidak, guru menjadi contoh
kepada murid. Para pelajar bukan sahaja memberi tumpuan
kepada pelajaran secara formal yang disampaikan dalam bilik
darjah, tetapi mereka juga memerhati gerak-geri dan
tingkah-laku guru-guru di dalam dan di luar bilik darjah.
Nilai-nilai hidup dan sifat-sifat yang menjadi sebahagian
daripada peribadi mereka adalah hasil daripada contoh yang
mereka sanjungi iaitu guru mereka. Jelaslah bahawa
personaliti guru mempengaruhi para pelajar yang bakal
menjadi anggota masyarakat. Baik para pendidik, maka
baiklah masyarakat dan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Janganlah pula ada yang berkata jika benar seperti kata
saya, maka sepatutnyalah Kerajaan memberi nilaian yang lebih
tinggi kepada guru. Jika guru mempunyai pendirian seperti
ini, maka generasi yang akan datang juga akan terdiri
daripada orang-orang yang tidak mengutamakan pengorbanan dan
tanggungjawab. Kita semua maklum bahawa masyarakat yang
bahagia dan berjaya akan wujud hanya jika anggotanya sanggup
berkorban dan bertanggungjawab.
Tuan-tuan dan puan-puan,
11. Negara kita masih lagi menghadapi wabak penagihan
dadah. Wabak ini masih menggugat kesejahteraan hidup rakyat
dan merupakan musuh negara yang utama, dan jika tidak
dibendung ia akan menjejaskan pembangunan negara. Justeru
itu, Kerajaan telah mengambil beberapa tindakan keras dan
tegas terhadap pengedar-pengedar dadah. Dahulu kita telah
dikritik oleh masyarakat antarabangsa kerana tindakan tegas
ini. Kita bersyukur bahawa dengan penerangan yang semakin
luas, kita telah dapat menyedarkan masyarakat antarabangsa
akan betapa perlunya tindakan sedemikian. Mereka mula
menyedari yang tindakan keras itu adalah untuk menyelamatkan
masyarakat dan negara kita daripada ditenggelami oleh bahaya
penagihan dadah ini.
12. Kita memerlukan semua pihak, sama ada di sektor awam
atau swasta, supaya meningkatkan sumbangan dan usaha
masing-masing untuk membanteras masalah ini. Dengan ini,
saya menyeru para pendidik dari semua lapisan agar bergiat
cergas mempastikan para pelajar tidak terjerumus ke lembah
bahaya ini. Salah satu caranya ialah untuk para guru
bergiat cergas dalam Program Pendidikan dan Khidmat Nasihat.
Saya yakin bahawa dengan penglibatan para guru dalam
kegiatan Program ini, perkembangannya akan berjalan dengan
licin dan teratur lagi.
13. Di samping itu, para pelajar kita mestilah ditunjuk
cara untuk mengelakkan pembaziran masa dan tenaga dengan
menyalurkan mereka kepada kerja-kerja yang berfaedah serta
menggunakan masa dengan bijak. Para pelajar perlu
dilibatkan dengan kegiatan-kegiatan yang mendatangkan
manfaat kepada diri mereka sendiri. Saya percaya bahawa
perancangan yang teratur merupakan kaedah yang paling
berkesan dalam menggunakan masa secara produktif.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Sepertimana dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan
yang disertai oleh guru-guru, di zaman ini juga kita percaya
para guru akan terus berjuang untuk mengisikan kemerdekaan.
Untuk menjayakan pembangunan negara, kita bukan sahaja
memerlukan ilmu sains dan teknologi, tetapi juga kecekapan
pengurusan. Kekayaan tidak akan dicapai dan dikekalkan jika
kecekapan mengurus tidak wujud. Dalam hal ini
berjimat-cermat adalah penting. Didikan yang perlu
diberikan oleh para guru kepada murid-murid bukanlah sahaja
mengenai duit yang mereka miliki tetapi juga mengenai harta
sendiri dan harta Kerajaan. Bangsa yang tahu
berjimat-cermat akan menikmati segala kebahagiaan dan
pemberian Tuhan dengan lebih sempurna. Sudah tentu bangsa
itu juga akan lebih maju.
15. Di zaman moden ini ilmu tersebar dan diterokai dengan
luas di seluruh dunia. Untuk mendapat ilmu ini pengetahuan
bahasa-bahasa dunia adalah penting. Soal yang kita hadapi
ialah apakah kepentingan bangsa kita lebih terjamin dengan
kita mengutamakan bahasa kita sehingga penguasaan ilmu
terjejas, atau kita mengutamakan ilmu walaupun ini bermakna
kita perlu menguasai bahasa-bahasa lain juga? Semangat
kebangsaan yang menjadikan bangsa sendiri mundur dan
ketinggalan zaman bukanlah sebenarnya semangat kebangsaan.
Di zaman sains dan teknologi ini, sesiapa yang menguasai
hanya satu bahasa sahaja tidak akan mencapai kejayaan.
Hakikat ini perlu kita renungkan bersama.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada
Jawatankuasa Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab
Semenanjung Malaysia kerana menjemput saya merasmikan
upacara ini. Saya mengucapkan tahniah kepada Kesatuan ini
sempena Perayaan Jubli Peraknya serta Persidangan Perwakilan
Tahunan Kali Ke-25. Adalah diharapkan Kesatuan ini akan
menyusun program-program, yang bukan sahaja dapat membantu
para ahlinya, bahkan juga yang dapat membantu masyarakat
umum.
17. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Perayaan Jubli Perak dan Persidangan Perwakilan Tahunan
Ke-25 Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab
Semenanjung Malaysia ini.
Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|