Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL REGENT, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	23/12/87 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM ANJURAN 
			PERSATUAN PENGILANG-PENGILANG 
			TEKSTIL MALAYSIA 




 Encik Allan Tan,
     Presiden Persatuan Pengilang-Pengilang
     Tekstil Malaysia;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan;
    Saya   mengucapkan  terima  kasih  kepada  Jawatankuasa
Persatuan  Pengilang-Pengilang   Tekstil   Malaysia   kerana
menjemput  saya ke majlis makan malam tahunan Persatuan ini.
Saya berharap Persatuan ini akan dapat memandu  ahli-ahlinya
dan  industri  perkilangan  bagi  mencapai  pertumbuhan yang
lebih menggalakkan lagi.
2.   Pada mulanya saya menjangkakan saya tidak payah berucap
di Majlis ini, tetapi pihak  penganjur  meminta  juga  untuk
saya  menyampaikan  sepatah-dua kata.   Dengan ini saya akan
memperkatakan satu-dua perkara yang dekat di hati saya.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
3.   Ekonomi  negara  kita  masih  menunjukkan   tanda-tanda
pemulihan selepas beberapa tahun mengalami kelembapan.  Pada
keseluruhannya,  ekonomi  kita  telah  mengalami pertumbuhan
Keluaran Dalam Negara Kasar  atau  KDNK  kira-kira  2%  pada
tahun ini.  Pemulihan ini didorong oleh permintaan dan harga
yang menggalakkan ke atas eksport kita dan juga perbelanjaan
sektor swasta.  Di samping itu ekonomi kita dijangkakan akan
terus  berkembang pada tahun 1988 yang akan menjelang minggu
depan.    Kerajaan  menjangkakan  permintaan   luar   negeri
terhadap  eksport  kita  akan meningkat secara sederhana, di
samping aktiviti sektor swasta bertambah giat.   Dengan  itu
Kerajaan menjangkakan KDNK negara akan mengalami pertumbuhan
melebihi daripada yang kita capai pada tahun 1987 ini.
4.   Walau  bagaimana pun, pertumbuhan ekonomi daripada segi
pengeluaran di antara berbagai sektor  tidaklah  meluas  dan
seimbang, ada yang mencapai pertumbuhan melebihi 10% setahun
dan  ada juga sektor yang mengalami pertumbuhan yang lembab.
Dalam  konteks  ini,  sektor   perkilangan   telah   berjaya
berkembang      dengan     pesatnya,     terutama     sekali
industri-industri yang berorientasikan eksport.   Di  antara
industri-industri  perkilangan  yang berorientasikan eksport
industri tekstil, elektrik dan elektronik adalah yang  telah
berkembang  melebihi  10%  tahun  ini.    Sektor perkilangan
merupakan penyumbang terbesar  tahun  ini  kepada  KDNK,  di
samping  menjadi  penyumbang  terbesar  kepada hasil eksport
negara.
5.   Namun demikian daripada tiga jenis industri perkilangan
yang berjaya,  hanya  tekstil  sahaja  yang  di  miliki  dan
diusahakan  oleh  rakyat negara ini.  Beribu-ribu lagi jenis
perkilangan yang lain tidak terdapat atau tidak  berjaya  di
Malaysia.   Nampaknya keupayaan kita menjadi negara industri
amat terhad  kerana  kita  tidak  perolehi  kecekapan  dalam
bidang  ini  seperti  yang  diharapkan.    Pengusaha  kilang
tekstil perlu kembangkan  peranan  mereka  kepada  upstream,
downstream  dan related industries supaya kecekapan teknikal
dan pengurusan mereka boleh  diguna  untuk  menjayakan  lagi
proses industrialisasi negara kita Malaysia.
6.   Kita  harus  ingat  semasa  kita  dan  dunia  mengalami
kemelesetan ekonomi yang teruk, ada  negara  seperti  Jepun,
Korea   Selatan,   Taiwan   dan   Hong  Kong  yang  mencatat
pertumbuhan ekonomi yang pesat.   Faktor  yang  umum  kepada
mereka  ialah  mereka negara Timur dan mereka berjaya kerana
pertumbuhan pesat dalam bidang perkilangan.   Jika  Kerajaan
mendesak  supaya kita Pandang Ke Timur sebabnya ialah kerana
kejayaan terdapat di Timur.  Dan kejayaan ini berasas kepada
industrialisasi.
7.   Memang  benar  bahawa   industrialisasi   lebih   mudah
diperkatakan  daripada diamalkan.  Tetapi kita telah berjaya
dalam  bidang  tekstil.    Ini  bermakna  bahawa  jika  kita
berminat,  kita  boleh mencapai matlamat kita.  Dalam bidang
tekstil  kita  berjaya  kerana  pada  mulanya  kita  sanggup
menerima  penyertaan  rakyat  asing yang berpengalaman dalam
ekuiti  dan  juga   pengurusan.      Akhirnya   kita   dapat
mengambilalih  industri  ini  apabila  pengalaman  kita pula
telah meningkat.
8.   Seperkara   yang   selalu   menjadi   masalah    kepada
pertumbuhan  industri  di  Malaysia ialah kos kita selalunya
tinggi.   Sesiapa juga yang  ingin  mengadakan  industri  di
Malaysia  selalunya  meminta  perlindungan  Kerajaan.   Saya
ucapkan  syabas  kepada  industri   tekstil   yang   berjaya
mengatasi  masalah  kos ini.   Sepertimana kita semua maklum
subsidi daripada Kerajaan  akan  menghalang  eksport  kerana
negara  lain  akan  menyekat kemasukkan barangan kita.  Oleh
itu  amatlah  penting  industrialis   kita   mencari   jalan
mengurangkan  kos  melalui usaha sendiri.  Dalam perkara ini
yang  penting  sekali  ialah  kecekapan   pengurusan   dalam
meningkatkan   produktiviti.     Gaji  yang  rendah  mungkin
menolong   tetapi   pekerja   yang   rendah   gajinya   yang
menghasilkan  produktiviti  yang  rendah tidak akan menolong
mengurangkan kos.  Kita harus ingat bahawa  di  negara  maju
gaji   jauh   lebih   tinggi   tetapi   mereka  masih  dapat
mengeluarkan barangan buatan yang  di  pasarkan  di  seluruh
dunia.    Apakah rahsia mereka? Ini perlu kita kaji dan kita
tiru jika kita ingin berjaya dalam bidang industri.
Tuan-tuan dan Puan-puan.
9.   Saya mengucapkan  tahniah  kepada  Persatuan  ini  yang
berusaha  meluaskan  pasarannya ke beberapa buah negara maju
seperti Australia,  New  Zealand,  Jepun  dan  negara-negara
Scandanavia,  serta berusaha memenuhi permintaan negara Asia
Barat.  Usaha  mencari  pasaran  baru  adalah  satu   faktor
penting bagi menjamin pertumbuhan yang dicapai oleh industri
tekstil hari ini akan  berterusan  pada  masa  akan  datang.
Setiap  usaha  yang bersungguh-sungguh akan akhirnya membawa
hasil yang diharapkan.
10.  Kerajaan  telah  menggalakkan  para  pengeksport   kita
mencari   pasaran   baru   dan  juga  mengeksport  terus  ke
negara-negara pengimport.  Kalau kita perhatikan perdagangan
antarabangsa kita, masih banyak lagi barangan  eksport  kita
yang melalui negara jiran.  Ini adalah satu jalan mudah yang
bukan    sahaja    mengurangkan   pendapatan   kita   tetapi
mengurangkan  juga  pengetahuan  kita  tentang  pasaran  dan
personaliti-personaliti    yang    penting    dalam    dunia
perdagangan.  Dengan kita membiarkan segala  urusan  eksport
dan   import  kepada  agensi-agensi  di  negara  asing  maka
kegiatan-kegiatan sampingan seperti insuran dan pengangkutan
yang menjadi perniagaan yang besar  tidak  memberikeuntungan
dan manfaat kepada kita.
11.  Dilemma  perdagangan  ini  bukanlah  baru  kita sedari,
sebaliknya   telah   diperkatakan   bertahun-tahun   dahulu.
Kerajaan    berharap    para   pengeksport   akan   berusaha
meningkatkan eksport mereka terus ke negara pengimport  pada
masa  depan.     Ini akan menjamin pertumbuhan sektor-sektor
perkhidmatan seperti insurans dan pengangkutan dengan  lebih
pesat  lagi.    Kerajaan,  dan  para pengusaha yang terlibat
dengan  aktiviti-aktiviti  ekonomi  dan  perdagangan,  sudah
tentu  ternanti-nantikan  di  kala  mana defisit dalam akaun
perkhidmatan imbangan bayaran  kita,  yang  meningkat  tahun
demi  tahun, akan berkurangan.  Dewasa ini defisit akaun itu
nampaknya semakin bertambah.  Defisit tahun ini sudah hampir
10,000 juta ringgit.    Sama-samalah  kita  berusaha  supaya
defisit ini tidak meningkat pada tahun-tahun akan datang.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12.  Majlis makan malam ini diadakan menjelangnya tahun baru
1988,  dan  biasanya  kita  membuat  beberapa  resolusi atau
tekad-tekad baru bagi tahun baru ini.  Kepada para pengusaha
tekstil di negara ini, saya  berharap  salah  satu  resolusi
ialah  meningkatkan  mutu pengeluaran kita supaya permintaan
terhadap tekstil negara akan terus meningkat.
13.  Kita  harus  sedar   bahawa   persaingan   di   pasaran
antarabangsa  akan menjadi begitu hebat sekali dengan adanya
kemasukan   negara-negara   perindustrian   baru.       Saya
berpendapat    negara-negara    yang    dapat   mengeluarkan
barang-barang yang mempunyai kualiti yang tinggi akan  dapat
menembusi pasaran antarabangsa, dan negara-negara yang gagal
berbuat  demikian  tidak akan dapat mengekalkan kedudukannya
dalam pasaran antarabangsa.   Memandangkan  bahawa  Malaysia
sedang  berusaha  untuk  menggalakkan  eksport,  kita  harus
memberi   perhatian   yang   serius  untuk  mewujudkan  satu
keupayaan perindustrian  yang  berasaskan  kepada   kualiti.
Saya  berharap  budaya  kerja  yang mengutamakan kualiti ini
akan   menjadi   asas   yang   akan   mempertingkatkan  lagi
pertumbuhan perindustrian kita.
14.  Di samping  itu  adalah diharapkan  pengilang-pengilang
tekstil  akan  terus  menggunakan  kemudahan-kemudahan  yang
disediakan oleh Kerajaan.  Dengan adanya kemudahan-kemudahan
itu,  Kerajaan  berharap   industri   tekstil   akan   dapat
berkembang dengan baiknya pada  tahun  1988  ini  dan  terus
menyumbangkan kepada pendapatan negara pada tahun-tahun yang
akan datang.
15.  Akhirnya saya  sekali  lagi  mengucapkan  terima  kasih
kepada Jawatankuasa Penganjur Mahlis Makan Malam  ini.  Saya
berharap Persatuan Pengilang-Pengilang Tekstil Malaysia  ini
juga akan menempuh kejayaan yang lebih cemerlang  pada  masa
akan datang.

 



 
Google