Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ANGKASAPURI, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 27/12/87
Tajuk/Title : PELANCARAN MINGGU PENYIARAN
DAN PENERANGAN
Yang Berhormat Dato' Mohamed bin Rahmat,
Menteri Penerangan;
Yang Berhormat Menteri-Menteri;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Kita bersyukur kerana dapat bersama-sama merayakan
Minggu Penyiaran dan Penerangan pada pagi ini. Saya
difahamkan ini adalah pertama kali perayaan seperti ini
diadakan mengambil sempena ulangtahun ke 25 TV dilancarkan,
10 tahun TV warna dipancarkan ke udara, 42 tahun siaran
Radio dimulakan dan juga 42 tahun Jabatan Penerangan memberi
khidmatnya kepada masyarakat. Semua sambutan itu disatukan
supaya semua pihak dapat meraikan hari ulangtahun
masing-masing dengan penuh makna dan faedah.
2. Perayaan ini, yang dibuka kepada orang ramai, akan
merapatkan lagi hubungan antara orang ramai dengan semua
agensi di bawah Kementerian Penerangan dan seterusnya dengan
Kerajaan. Hubungan rapat itu amatlah penting kerana dalam
sesebuah negara demokrasi, perhubungan antara Kerajaan
dengan rakyat bukanlah perhubungan satu hala sahaja. Ia
mestilah merupakan perhubungan dua hala. Kerajaan akan
menyampai dan menerangkan berbagai-bagai maklumat mengenai
dasar-dasar dan tindakan-tindakan yang diambil untuk
kepentingan rakyat dan rakyat pula seharusnya memberikan
maklum-balas kepada Kerajaan.
3. Pendapat-pendapat daripada rakyat adalah merupakan
'input' yang sangat penting dalam segala aspek perancangan
Kerajaan dan dalam segala usaha untuk melaksanakan
rancangan-rancangan pembangunan. Ini adalah supaya
perancangan dan pelaksanaan dasar dapat memenuhi aspirasi
rakyat sendiri. Sesungguhnya dalam konteks pemerintahan
berdemokrasi, Kerajaan ialah rakyat kerana rakyatlah yang
memilih wakil-wakil mereka di dalam Kerajaan. Sebaliknya
pula, rakyat ialah Kerajaan kerana kehendak merekalah yang
menentukan bentuk dasar dan rancangan-rancangan yang
dijalankan. Oleh kerana itulah, perhubungan timbal-balik
antara Kerajaan dan rakyat merupakan keperluan asas bagi
menjamin kejayaan sistem pemerintahan demokrasi itu sendiri.
Tuan-tuan dan puan-puan,
4. Sepertimana yang kita sedia maklum, Radio dan TV
memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita. Ia
bukan sahaja menjadi alat penghibur tetapi juga menjadi
sumber berita dan pengetahuan am yang sangat mudah untuk
digunakan. Mungkin sekarang ini kalau Radio dan TV kita
rosak dalam sehari dua pun, kita akan berasa sunyi. Memang
banyak surat-surat khabar, majalah dan buku yang boleh
dibaca untuk dijadikan ganti, tetapi nampaknya semua itu
tidak sama dengan Radio dan TV.
5. Ingin saya tegaskan bahawa pihak Radio dan TV mempunyai
tanggungjawab yang besar kepada negara dan masyarakat.
Radio dan TV bukan sahaja perlu memberi hiburan yang sihat
dan membina kepada masyarakat, tetapi juga memberi maklumat
dan penerangan yang bermanfaat. Ia haruslah dapat membawa
berita dan maklumat serta ilmu pengetahuan yang terbaharu
kepada pendengar-pendengar dan penonton-penonton. Radio dan
TV haruslah mengelakkan diri daripada menyiarkan sesuatu
yang bertentangan dengan matlamat dasar dan pembangunan
negara atau yang boleh merosakkan akhlak serta maruah bangsa
dan negara. Ia juga mestilah menyebarkan semangat taat
setia serta cintakan tanahair.
6. Radio dan TV perlu membanteras dan menentang sebarang
percubaan untuk merosakkan kebudayaan dan nilai-nilai bangsa
kita dengan kemasukan unsur-unsur kebudayaan asing yang
tidak sihat. Kemasukan dan pengaruh kebudayaan serta
nilai-nilai asing yang negatif ini boleh berlaku dengan cara
yang halus sekali melalui muzik, lagu-lagu, filem-filem dan
lain-lain bahan maklumat. Pencerobohan fizikal dapat kita
tangkis dengan tindakan-tindakan tegas oleh Pasukan
Keselamatan kita. Tetapi unsur-unsur penjajahan mental dan
kebudayaan ini, lebih sukar untuk dibanteras. Ianya perlu
dibanteras dengan memperkuat, menyebar dan mempopularkan
seni budaya kita sendiri dan dalam hal ini peranan Radio dan
TV serta filem-filem sangatlah penting bagi menanamkan rasa
cinta dan bangga dengan seni budaya kebangsaan kita sendiri.
7. Nilai seni budaya kita perlu dipertingkatkan melalui
Radio dan TV di samping nilai maklumat dan penerangan yang
diberikan. Siaran-siaran Radio dan TV harus dapat merumus,
menggembleng dan menggambarkan seluruh kekuatan tenaga
senibudaya kita, lama dan baru, supaya dapat membina
ketahanan budaya yang tidak mudah diganggu-gugat oleh
pengaruh kebudayaan asing. Keteguhan budaya dan sosial yang
dapat melambangkan cara hidup masyarakat Malaysia akan juga
memupukkan lagi perpaduan rakyat di negara ini. Perpaduan
amatlah penting dan perlu diutamakan dalam semua rancangan
Radio dan TV, baik dalam bentuk dokumentari, hiburan atau
rancangan-rancangan lain.
8. Ini adalah tugas yang besar dan berat dan ia terletak
di atas bahu para artis, seniman dan budayawan kita di
seluruh tanahair. Ia juga terletak di bahu orang ramai,
khususnya anak-anak muda kita, sebagai pendokong seni dan
kebudayaan kebangsaan. Jika mereka sendiri tidak kenal dan
cinta kepada seni budaya sendiri, maka senang sekalilah
unsur-unsur kebudayaan asing bertapak dihati sanubari
mereka.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Di samping memberikan maklumat, penerangan dan hiburan
kepada orang ramai, RTM sebagai sebuah agensi Kerajaan yang
memerlukan belanja yang banyak haruslah juga berusaha untuk
menampung perbelanjaannya sendiri. RTM harus meningkatkan
lagi hasil komersialnya bagi mendapatkan peruntukan untuk
menukar atau menambah alat dan peralatan yang diperlukan.
10. Langkah-langkah perlulah juga diambil untuk menjimatkan
belanja dan menggunakan kemudahan-kemudahan yang sedia ada
dengan lebih efisien. Produktiviti perlu ditingkatkan dalam
segala bidang dan ini boleh dilakukan dengan perancangan
kerja dan pelaksanaan tugas yang lebih cekap. Kerajaan
telahpun melancarkan kempen produktiviti di seluruh negara.
Saya berharap ia akan benar-benar memberi kesan kerana semua
agensi Kerajaan dan syarikat-syarikat swasta dikehendaki
berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan lagi
produktiviti negara. Ini amatlah penting untuk mengatasi
masalah kemelesetan ekonomi pada masa ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
11. Jabatan Penerangan adalah penyambung suara Kerajaan di
kawasan-kawasan bandar dan di luar bandar. Ia menyampaikan
maklumat secara bersemuka dengan orang ramai dan oleh itu
boleh mendapat maklumbalas daripada mereka secara spontan.
Ini bererti banyak pertukaran pendapat dapat dijalankan dan
sudah tentu pendapat-pendapat rakyat itu sangat berguna
kepada Kerajaan. Oleh yang demikian, Jabatan Penerangan, di
samping menyampaikan maklumat-maklumat penting kepada orang
ramai, juga harus mendapat maklumbalas yang tepat daripada
masyarakat.
12. Filem Negara juga memainkan peranan yang tidak kurang
pentingnya. Maklumat tidak akan begitu menarik jika
disampaikan secara lisan sahaja. Ia akan lebih berkesan
apabila disampaikan dalam bentuk filem cereka yang menarik
atau filem-filem dokumentari. Filem-filem ini akan pula
dijadikan bahan-bahan perpustakaan dan rujukan kepada
generasi akan datang.
13. Memandangkan tentang betapa beratnya tanggungjawab dan
betapa luasnya peranan media-media ini, amatlah penting bagi
mereka yang bertugas dengan media-media tersebut untuk
sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan mereka di samping
mempelajari kaedah-kaedah terbaru supaya dapat melaksanakan
tugas masing-masing dengan lebih baik dan berkesan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Dalam konteks masyarakat kita sekarang ini, matlamat
utama ialah memupuk rasa cinta dan setia rakyat kepada
negara dan semangat bersatupadu di kalangan rakyat sekalian.
Saya yakin dengan adanya kerjasama yang ikhlas dan erat di
antara semua kakitangan, diantara kakitangan Kerajaan dengan
rakyat dan diantara rakyat dengan rakyat, negara kita akan
menjadi negara yang lebih aman, makmur dan dihormati.
15. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Minggu
Penyiaran dan Penerangan dengan rasminya.
|