Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	RADIO DAN TELEVISYEN 
			MALAYSIA,ANGKASAPURI 
Tarikh/Date 	: 	31/12/87 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN TAHUN BARU 1988 





 Assalamu'alaikum   warahmatullahi   wabarakatuh,  dan  salam
sejahtera.
    Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana
dengan limpah rahmatNya, dapat kita  bersama-sama  melangkah
ke  tahun  baru  1988.   Kita juga bersyukur kerana berbagai
kejayaan telah kita  capai,  manakala  cabaran-cabaran  yang
kita hadapi telah dapat kita atasi dengan jayanya, sepanjang
tahun 1987.
2.   Namun  demikian  sebelum  kita  memandang  ke  hadapan,
marilah kita menoleh ke belakang untuk  mendapat  pengajaran
dan  panduan  daripada peristiwa-peristiwa 1987.  Tahun 1987
memperlihatkan berbagai peristiwa yang menekan dan mencabar.
Setengah daripada peristiwa-peristiwa  ini  disebabkan  oleh
kita  sendiri  tetapi  sebahagian  besarnya  disebabkan oleh
tindak-tanduk dan sikap orang  asing  yang  berada  di  luar
daripada pengaruh kita.
3.   Ekonomi  negara  dilanda  kemelesetan  kerana kejatuhan
harga secara serentak semua bahan mentah yang kita  eksport.
Dengan  itu  pendapatan  kita menurun dan pembangunan negara
kita terjejas.
4.   Sementara kurangnya permintaan  terhadap  bijih  timah,
umpamanya,  menyebabkan  lombong  timah  ditutup dan pekerja
menganggur,  pengurangan  projek-projek   kerana   kelemahan
kedudukan   kewangan   Kerajaan   bukan  sahaja  menyebabkan
pengangguran  tetapi  juga  kurangnya  permintaan   terhadap
bahan-bahan   binaan  dan  bahan-bahan  bekalan  yang  lain.
Kontraktor dan  peniaga  serta  pengusaha  kecil  dan  besar
mengalami  kerugian.  Pekerja juga, sama ada yang berjawatan
tinggi atau buruh kasar, hilang punca pendapatan.    Pekedai
dan  peniaga  gerai  makanan kehilangan pelanggan.  Kenaikan
gaji tidak boleh dilaksanakan.  Pinjaman wang dan  pembelian
rumah  dan  kereta  juga  berkurangan.    Hotel dan restoran
kurang mendapat pelanggan.  Pendek kata, kemelesetan ekonomi
yang  berlaku  membawa  kesan  buruk  kepada  semua  lapisan
masyarakat di Malaysia.
5.   Dalam  keadaan  kemelesetan  ini,  terdapat orang-orang
tertentu yang ingin menjadi kaya dengan serta-merta.  Mereka
mengalihkan   kegiatan   mereka   kepada   pasaran    saham.
Harga-harga   saham   naik  dengan  mendadak,  dengan  tidak
mengambilkira  prestasi  syarikat-syarikat   yang   sahamnya
dijual  di  pasaran  saham.    Kejatuhan  harga saham kerana
peristiwa Pan-El, dilupakan.  Pasaran saham  sebagai  tempat
mendapat modal juga dilupakan sama sekali.
6.   Kemudian  pasaran  saham  dunia  telah runtuh.   Di New
York, London, Paris, Hong Kong  dan  di  tempat-tempat  lain
harga  saham  turun  dengan mendadak dan beribu juta ringgit
atau dolar dengan tiba-tiba hilang ghaib.    Ada  di  antara
pemain-pemain  pasaran  saham ini yang membunuh diri dan ada
juga yang membunuh broker saham mereka.
7.   Malaysia juga tidak terkecuali daripada bencana  buatan
manusia  ini.    Harga  saham  jatuh  dengan  teruk walaupun
syarikat-syarikat berkenaan masih mencatat  keuntungan  yang
baik.   Ramai pemain saham sekali lagi dilanda kerugian yang
amat teruk.    Hutang  bank  tidak  dapat  dibayar.    Harta
terpaksa  dijual.    Masing-masing berlari-lari ke sana sini
untuk mencari perlindungan.
8.   Pada bulan Oktober, tanda-tanda ketegangan antara  kaum
yang   meningkat  telah  dikesan.    Apabila  seorang  askar
mengamuk tanpa sebab, ini dianggap sebagai permulaan rusuhan
kaum.    Kuala  Lumpur  menjadi  sunyi  sepi  apabila  ramai
daripada  penduduknya  berasa  takut dan tidak berani keluar
dari rumah masing-masing.    Barang  makanan  dibeli  dengan
banyak  kerana takut berlakunya kekurangan.  Perniagaan yang
lain terhenti dan kerugian dialami.
9.   Akhirnya,  Kerajaan  terpaksa   bertindak   membatalkan
segala  perhimpunan  dan  menahan  orang-orang  yang menjadi
punca ketegangan ini.  Dengan itu ketenangan kembali  semula
dan kegiatan ekonomi pulih seperti sediakala.  Rakyat berasa
lega  dan  masyarakat tidak lagi menghadapi perhubungan yang
tegang.
10.  Di luar negeri, imej Malaysia sengaja diburuk-burukkan.
Bahawa tindakan Kerajaan disambut baik oleh majoriti  rakyat
dan  ketenangan  kembali pulih, tidak dilaporkan.  Menyedari
bahawa  Malaysia  ingin  mendapat  pelaburan   asing   untuk
mewujudkan   peluang-peluang   pekerjaan  bagi  mereka  yang
menganggur,    akhbar-akhbar    di    luar    negeri     dan
kumpulan-kumpulan  serta  individu-individu tertentu sengaja
memberi gambaran yang buruk dan tidak benar mengenai keadaan
di  Malaysia.     Kononnya  rakyat  Malaysia   hidup   dalam
ketakutan.   Kononnya orang-orang Kristian sering ditangkap.
Kononnya  demokrasi  sudah  tidak  ada  lagi  di   Malaysia.
Tetapi,  usaha-usaha  golongan  'bully'  ini  tidak  berjaya
sepenuhnya.  Malaysia masih mampu memulihkan dirinya.
11.  Demikianlah tahun 1987 yang begitu mencabar.    Potensi
negara  bertuah  ini  tidak  dapat memulihkan ekonomi negara
dengan cepat kerana sikap tidak bertanggungjawab  dan  sifat
tamak  golongan-golongan  tertentu  dalam  masyarakat  kita.
Jika kita ingin tahun 1988 menjadi tahun yang lebih baik dan
lebih bahagia, kita mestilah  sekurang-kurangnya  menentukan
bahawa kita tidak melakukan atau kita mengurangkan perbuatan
yang akhirnya akan merugikan kita.
12.  Bagi  tujuan ini kita harus membuat resolusi tahun baru
untuk tidak sengaja menyakitkan hati kaum-kaum yang  ada  di
negara  kita  ini.    Perkara-perkara yang kecil tidak harus
diperbesar-besarkan,      ditiup      sehingga      menyala.
Perkara-perkara   yang  dianggap  besar  harus  diselesaikan
secara rundingan tertutup.  Media massa  bukanlah  tempatnya
untuk kita berhujah bagi menyelesaikan masalah.
13.  Rakyat   Malaysia  tidak  sepatutnya  memburukkan  imej
negara sendiri di kalangan orang asing.    Penuntut-penuntut
yang  berada di luar negeri, sama ada yang Islam atau tidak,
tidak harus memperkatakan yang tidak benar  dan  memburukkan
nama  negara.    Mereka  harus ingat bahawa perbuatan mereka
akan mengurangkan pelaburan asing di negara mereka  sendiri.
Dengan  ini,  peluang-peluang pekerjaan akan berkurangan dan
mereka juga yang akan menjadi mangsa.
14.  Penganggur pula harus membuat  resolusi  untuk  sanggup
bekerja dan tidak terlalu memilih.  Sebenarnya, masih banyak
peluang-peluang  pekerjaan  yang  terdapat  di  negara kita.
Jika tidak, kenapakah orang  asing  sanggup  bersusah  payah
datang ke sini?  Jika tidak, kenapakah laut kita dicerobohi?
15.  Bagi yang sedang bekerja, utamakanlah produktiviti.  Di
antara negara-negara yang sedang membangun di Asia Tenggara,
Malaysia   mempunyai  prestasi  produktiviti  yang  terendah
sekali.   Kita bergantung hidup kepada hasil keluaran  kita.
Di  zaman moden ini, persaingan tidak boleh dielakkan.  Jika
barangan kita mahal dan  rendah  mutunya,  kita  tidak  akan
berjaya  menjual barangan kita.  Dengan itu, perusahaan kita
akan merosot dan bukan  sahaja  gaji  tidak  akan  meningkat
tetapi  kita  mungkin  menganggur jika kilang dan estet kita
tidak memperolehi keuntungan.  Sekali lagi,  pelabur-pelabur
tidak  akan  melabur dan peluang-peluang pekerjaan bagi yang
menganggur tidak akan wujud  jika  para  pelabur  mengetahui
produktiviti pekerja-pekerja kita rendah.
16.  Gaji  mestilah  ada  kaitan  dengan  produktiviti kita.
Gaji yang rendah tidak bermakna produktiviti meningkat  jika
hasil keluaran juga rendah.  Demikian juga jika gaji tinggi.
Produktiviti   tidak  menurun  jika  hasil  kerja  meningkat
setanding dengan  gaji.    Akhirnya,  yang  akan  menentukan
tinggi  atau  rendahnya  gaji bukanlah tuntutan atau ugutan.
Yang menentukannya ialah keupayaan pihak yang membayar gaji.
Dan  keupayaan  ini  bergantung  kepada  larisnya  penjualan
kerana  produktiviti  yang  tinggi  bersama dengan mutu yang
baik.  Oleh itu, pekerja yang insaf mestilah  berazam  untuk
meningkatkan lagi daya pengeluaran pada tahun 1988.
17.  Para pengurus juga perlu meningkatkan kecekapan mereka.
Jika  pengurus  tidak  cekap  mengurus wang, alat dan tenaga
manusia  dalam  perniagaannya,  segala  bantuan  tidak  akan
menghasilkan produktiviti yang tinggi.  Ada tanda-tanda yang
menunjukkan  prestasi  pengurusan  di Malaysia rendah.  Oleh
itu, para pengurus hendaklah berusaha meningkatkan kecekapan
mereka.
18.  Spekulasi yang keterlaluan hendaklah dikurangkan,  jika
tidak  dihentikan.  Kita dapati bahawa masalah kewangan yang
dihadapi oleh ramai  daripada  peniaga-peniaga  kita  adalah
kerana  mereka  terlalu banyak membuat spekulasi terutamanya
dalam pasaran saham.  Apabila harga saham jatuh, maka mereka
menghadapi masalah yang besar.
19.  Pasaran   saham   bertujuan   memberi   tempat    untuk
mengumpulkan  modal  daripada  orang  awam  bagi memula atau
membesarkan   perniagaan.      Turun-naiknya   harga   saham
sepatutnya  ada  kaitan  dengan  prestasi syarikat dan asset
yang dimilikinya.   Perbuatan menaik  dan  menurunkan  harga
saham  tanpa  mengambilkira  prestasi  syarikat, lambat-laun
akan membawa bencana.   Oleh  yang  demikian,  eloklah  jika
mereka   yang   suka  membuat  spekulasi  di  pasaran  saham
mengurangkan   kegiatan   mereka,   dan   membuat   resolusi
menggunakan tenaga, masa dan fikiran mereka bagi menguruskan
perniagaan yang sebenar.
20.  Kerajaan  juga  sudah menentukan resolusinya.  Kerajaan
akan terus mengawasi perbelanjaan  supaya  pembaziran  tidak
berlaku  agar  perkembangan  ekonomi  dapat  dipertingkatkan
lagi.   Kerajaan akan  terus  berusaha  sedaya  upaya  untuk
mengurangkan  pengangguran.  Kerajaan akan lebih tegas dalam
menentukan keamanan wujud dalam negara kita.
21.  Pada tahun baru  1988  ini,  kita  berharap  sebahagian
besar  daripada  masalah kita dapat diatasi.  Sementara kita
berserah kepada Tuhan, kita tidak harus lupa bahawa  serahan
ini tidak bermakna kita boleh melepaskan tangan.  Kita semua
mestilah  berusaha  demi kepentingan negara yang kita cintai
ini.
     Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan  salam
sejahtera.

 
 



 
Google