Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ANGKASAPURI
Tarikh/Date : 21/01/88
Tajuk/Title : PELANCARAN TAHUN PEMBACA 1988
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Saya berasa sukacita dapat melancarkan Tahun Pembaca
1988 ini. Tema Tahun Pembaca ini ialah 'Membaca Jambatan
Ilmu'.
2. Tema ini amat tepat sekali. Walaupun ilmu pengetahuan
boleh didapati melalui pengalaman seseorang dan asuhan
secara lisan oleh ahli pemikir yang terkenal, seperti di
zaman purba, tetapi kemudahan mencetak telah memudahkan
pengumpulan ilmu dalam buku-buku yang boleh dibaca oleh
sesiapa sahaja yang berminat. Dari buku segala ilmu boleh
dipelajari tanpa persekolahan atau asuhan secara formal.
3. Di zaman moden ini buku mengenai apa juga ilmu serta
buku-buku cerita boleh didapati di mana-mana sahaja. Harga
buku amatlah murah berbanding dengan ilmu yang terkandung di
dalamnya. Kedai-kedai buku membekal ribuan buku dengan
berbagai tajuk, sehingga dengan perbelanjaan sedikit sahaja
kita dapat mendalami seribu satu bidang ilmu yang boleh
memperkayakan akal fikiran kita. Hanya yang diperlukan
ialah minat membaca oleh kita.
4. Tetapi kita tidak harus lupa bahawa di zaman dahulu
buku tidak begitu mudah didapati. Ia dianggap sebagai alat
pengetahuan yang ajaib dan terhad kepada orang-orang
tertentu sahaja. Kulit-kulit buku dahulu disalut dengan
logam dan mempunyai kunci supaya hanya orang-orang yang
tertentu sahaja boleh membuka buku dan membaca isi
kandungannya. Ini adalah kerana isi kandungan buku memberi
pengetahuan yang ditegah bagi orang biasa. Sebabnya ialah
kerana pengetahuan yang mungkin didapati dipercayai boleh
memberi kuasa istimewa kepada pemiliknya.
5. Hari ini tidak ada lagi larangan bagi sesiapa pun untuk
membaca dan menerap apa juga ilmu dalam mana-mana buku.
Yang dahulu dilarang, sekarang sudah didedah dan dibukakan
kepada sesiapa sahaja yang ingin mengetahuinya. Bagi
manusia yang bersyukur, peluang keemasan ini tidak boleh
dilepaskan. Secara kebetulan, membaca dan menerap ilmu
dengan mudah ini adalah satu nikmat yang perlu kita hargai
dan kita gunakan dengan sepenuhnya.
6. Masyarakat yang jahil tidak akan mengecapi kebahagiaan.
Mereka akan hidup untuk makan, minum, tidur dan memenuhi
nafsu sahaja. Masyarakat yang hidup kerana memenuhi nafsu
semata-mata akan ditindas dan diperalatkan oleh orang yang
berpengetahuan. Mereka akan diperhambakan. Mereka akan
menjadi masyarakat yang tidak bermaruah.
7. Di zaman di mana segala ilmu dibukukan dan banyak
terdapat kemudahan membaca, tidak ada alasan bagi mana-mana
masyarakat menjadi jahil. Sudah tentu di Malaysia, di mana
pelajaran asas boleh didapati secara percuma, kegagalan
menimba ilmu daripada buku-buku tidak boleh dipertahankan.
8. Sudah tentu tidak ada sesiapa pun yang boleh mendalami
semua ilmu yang dapat diperolehi sekarang. Tetapi, rakyat
di negara yang ingin maju mestilah faham dengan lebih luas
akan perkembangan-perkembangan yang mempunyai kesan terhadap
kehidupan mereka. Ini bermakna kefahaman serba sedikit
berkenaan alam sekeliling, sejarah, sains dan teknologi dan
agama. Rakyat yang lebih berpengetahuan akan menjadi lebih
waras dan lebih cekap dalam mempertimbangkan reaksinya
terhadap segala kejadian dan tindakan yang mempunyai kesan
kepada diri mereka dan kepada masyarakat. Sudah tentu
masyarakat yang dianggotai oleh rakyat yang waras dan
bertanggungjawab akan menjadi lebih maju dan bahagia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Penerapan ilmu daripada buku-buku tidak bermakna
membaca buku-buku yang khusus untuk ilmu-ilmu tertentu.
Buku-buku novel juga dapat membekalkan berbagai ilmu kepada
pembacanya. Di samping itu, kita dapat mengenali pemikiran
penulis dan falsafahnya. Banyak daripada cerita-cerita yang
dihasilkan oleh penulis-penulis terkenal seperti Tolstoy,
Dickens, Pramoedya, Shahnon dan lain-lain mempunyai analisa
sosial yang mempengaruhi aliran pemikiran dan pembangunan
masyarakat di zaman-zaman tertentu.
10. Untuk memperolehi ilmu, kita tidak boleh memiliki
nasionalisme yang terlalu sempit. Sepertimana juga kita
sanggup menjelajah ke negara jauh dan menguasai
bahasa-bahasa asing untuk mendapat ilmu, begitu juga kita
harus menguasai bahasa-bahasa lain untuk membaca buku-buku
dalam bahasa asing.
11. Walau bagaimana kita berusaha sekalipun, tidak mungkin
kita boleh mengalih-bahasakan semua buku di dunia ini. Oleh
itu, untuk mendapat faedah daripada pembacaan buku,
penguasaan bahasa-bahasa asing amatlah penting. Jika kita
ingin menterjemahkan buku bahasa asing sekalipun, kefasihan
dalam bahasa-bahasa asing adalah perlu. Di zaman moden ini,
orang yang berilmu mesti menguasai sekurang-kurangnya dua
bahasa -- iaitu bahasa ibunda atau bahasa kebangsaannya dan
satu lagi bahasa asing. Orang biasa juga perlu mengetahui
sedikit-sebanyak bahasa asing. Dengan itu, maka akan
terbukalah sumber ilmu yang lebih luas kepadanya -- terutama
melalui pembacaan buku-buku dalam bahasa asing. Semangat
kebangsaan seseorang itu tidak akan terjejas kerana ia faham
dua atau tiga bahasa. Yang penting ialah ia tidak
membelakangkan bahasanya sendiri. Yang penting ialah ia
menjadi warganegara yang berilmu. Warganegara yang jahil
tidak dengan sendirinya menjadi warganegara yang setia.
Demikian juga warganegara yang boleh bertutur lebih daripada
satu bahasa tidak semestinya tidak setia. Jika kerana
mengejar ilmu kita perlu menguasai bahasa-bahasa lain, kita
tidak harus teragak-agak menguasai bahasa-bahasa ini.
Dengan keupayaan membaca buku-buku dalam bahasa lain, kita
akan memperolehi ganjaran yang tidak ternilai harganya.
Jika ilmu yang kita perolehi dalam bahasa lain diedarkan
pula dalam bahasa kita sendiri, maka akan bertambah kukuh
dan berkesanlah bahasa kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Maklumat yang kita perolehi menunjukkan bahawa ramai
daripada penuntut kita membaca hanya buku-buku teks mereka
sahaja. Sebahagian besar daripada mereka yang tamat
pelajaran, di semua peringkat, tidak membaca buku lagi,
walaupun akhbar biasanya menarik minat mereka. Keadaan ini
menyedihkan. Demikianlah keadaannya sehingga Kerajaan
terpaksa mensyaratkan bahawa hanya calon yang membaca
sekurang-kurangnya 3 buah buku, yang bukan buku teks, akan
dipilih untuk menjadi guru. Alangkah sedihnya kerana kita
terpaksa mengupah untuk menentukan kita membaca. Sepatutnya
di Malaysia yang mewah dengan bahan-bahan bacaan, kita
mensyaratkan hanya mereka yang banyak membaca buku sahaja
yang akan dipilih untuk sesuatu jawatan.
13. Minat membaca ini perlu dipupuk dari bangku sekolah
lagi. Sepatutnya murid atau penuntut tamat membaca semua
buku teks mereka pada bulan pertama buku-buku itu didapati.
Sepatutnya semua murid meminjam buku perpustakaan untuk
dibaca di rumah. Sepatutnya waktu rehat atau recess
digunakan juga untuk membaca di perpustakaan.
14. Dalam usaha menyemai minat membaca ini, para guru harus
memainkan peranan utama. Pelajar-pelajar yang membaca
buku-buku selain daripada buku teks mestilah diberi
kepujian. Jika ia menggunakan buku-buku ini sebagai sumber
dalam rencana atau apa juga kegiatan pelajaran, ini patut
diiktirafkan.
15. Guru sendiri haruslah lebih membaca, termasuk buku-buku
perpustakaan yang mungkin dibaca oleh murid. Sudah tentu
buku-buku lain yang boleh meningkatkan keupayaan guru
mengajar perlu dibaca. Dengan ini, murid akan kagum
terhadap pengetahuan guru dan mereka akan lebih menghormati
guru. Ini akan memudahkan proses pemindahan ilmu dari guru
kepada murid.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16. Oleh kerana tahun ini ialah Tahun Pembaca maka fokus
kita hendaklah ditumpukan kepada pembaca. Pembaca buku
bukan sahaja perlu digalakkan supaya lebih membaca buku,
tetapi juga perlu dibantu untuk mengatasi beberapa masalah
yang selalu dihadapi oleh pembaca buku di Malaysia.
17. Saya percaya ramai orang suka membaca tetapi menghadapi
masalah tidak tahu apakah buku-buku terutamanya buku-buku
baru yang diterbitkan di negara ini. Ini ialah kerana
maklumat atau publisiti mengenai buku-buku itu tidak
mencukupi. Para pembaca terpaksa mencari-cari buku di
kedai-kedai buku, dan malangnya tidak semua kedai ada
menyimpan atau menjual buku-buku itu. Lagipun, kedai-kedai
buku lebih banyak terdapat di kawasan-kawasan bandar, dan
jarang atau tidak terdapat di kawasan-kawasan luar bandar.
Jadi sukarlah pembeli hendak mendapatkan buku-buku yang
mungkin mereka ingin beli atau baca.
18. Untuk mengatasi masalah ini, saya syorkan supaya Majlis
Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) atau Persatuan Penerbit Buku
mengeluarkan katalog buku baru tiap-tiap tahun untuk
diedarkan percuma atau dijual dengan harga yang berpatutan
kepada orang ramai bagi panduan mereka. Saya difahamkan
bahawa pihak MKBK sedang menyusun satu katalog buku
kebangsaan dan juga akan menerbitkan sebuah Berita Buku
tidak lama lagi. Langkah-langkah ini akan menolong
pembaca. Di samping itu, peranan akhbar yang sekarang
membuat ulasan mengenai buku-buku baru haruslah
dipertingkatkan. Satu halaman patutlah dikhaskan kepada
ringkasan buku-buku yang dianggap bermutu tinggi, jika tidak
oleh akhbar harian sekurang-kurangnya oleh akhbar mingguan.
Kita tidak patut lupa bahawa akhbar juga merupakan bahan
bacaan. Jika teknik akhbar diguna untuk mempopularkan
bacaan rencana yang berilmiah, tidak dapat tidak negara akan
mendapat banyak manfaat dan minat membaca akan
dipertingkatkan.
19. Mungkin ada baiknya juga buku umum untuk bacaan orang
ramai diterbitkan dalam bentuk yang murah, misalnya dalam
edisi 'paperback'. Ini akan membolehkan lebih ramai lagi
orang membeli buku. Di samping itu, lebih banyak buku-buku
terjemahan daripada bahasa-bahasa asing hendaklah
diterbitkan, terutamanya karya-karya oleh penulis-penulis
terkemuka dari seluruh dunia. Kerajaan sedia menimbang
untuk membantu usaha ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
20. Saya berharap saudara-saudara dapat menjadikan buku
sebagai teman hidup sehari-hari, kerana buku adalah jambatan
ilmu yang dapat menghubungkan kita dengan alam persekitaran
kita, dengan masyarakat kita, dengan negara kita dan
dengan dunia luar. Melalui buku dan pembacaan, kita akan
dapat membentuk suatu budaya dan tradisi nilai dan
pemikiran bangsa yang akan menjadi asas kekuatan bangsa dan
negara.
21. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan Tahun
Pembaca 1988.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|