Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 04/02/88
Tajuk/Title : MAJLIS MALAM PENGHARGAAN EON
Yang Berhormat Menteri-Menteri dan
Timbalan-Timbalan Menteri;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Edaran
Otomobil Nasional atau EON kerana menjemput saya ke majlis
ini. Saya berharap majlis yang dihadiri oleh berbagai
kumpulan dan individu yang telah memberi sokongan penuh
kepada pemasaran kereta nasional Proton Saga ini akan
menjalinkan lagi hubungan rapat antara sesama sendiri bagi
mempastikan kereta nasional mempunyai pasaran yang lebih
baik pada masa hadapan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
2. Pada hari ini, lebih daripada 60,000 unit kereta Proton
Saga telah dijual di negara kita. Ini merupakan kira-kira
85% pasaran bagi kereta-kereta 1600 c.c. ke bawah.
Memikirkan terdapatnya beberapa jenis kereta dalam
lingkungan tersebut yang dipasarkan di negara ini, saya
menganggapkan bahawa peratusan yang dikuasai oleh Proton
Saga adalah sangat memuaskan. Seperkara lagi yang menarik
ialah kereta nasional ini bukan sahaja dibeli oleh mereka
yang berpendapatan sederhana, tetapi dibeli juga oleh mereka
yang berpendapatan tinggi. Ini menunjukkan rekabentuk dan
kualiti pengeluaran kereta nasional ini dapat memenuhi
citarasa dan keyakinan semua golongan rakyat negara ini.
3. Di samping itu tuan-tuan punya kereta Proton Saga
memerlukan perkhidmatan sokongan atau back-up services yang
baik dan rapi. Keperluan-keperluan alat-alat gantian mudah
didapati termasuklah di bandar-bandar kecil. Sepertimana
yang kita semua maklum, perkhidmatan ini dapat disediakan
oleh EON. Kita berharap perkhidmatan sokongan ini akan
terus dipertingkatkan.
4. Kita mengucapkan tahniah kepada Proton yang telah
mengeluarkan kereta yang bermutu, kepada EON kerana strategi
pemasarannya yang berkesan, dan kepada semua hadirin malam
ini yang telah membantu kedua-dua pihak terutama kepada EON
dalam pemasaran kereta nasional ini. Saya sedar bahawa
sesuatu kejayaan itu tidaklah datang bergolek sahaja tetapi
ianya dicapai dengan usaha yang berterusan, usaha yang
kreatif dan sokongan serta kerjasama daripada semua pihak
yang terlibat.
5. Kejayaan Proton Saga dan EON bergantung juga kepada
layanan istimewa oleh Kerajaan. Satu faktor yang penting
yang menjadikan Proton Saga begitu menarik ialah harga yang
lebih murah daripada harga kereta-kereta lain yang sama
kekuatan enjinnya. Justeru itu, kejayaan sebenar hanya
boleh diketahui jika bantuan Kerajaan tidak ada lagi atau
jika Proton Saga berjaya di pasaran luar negeri di mana
layanan istimewa tidak dapat diberikan oleh Kerajaan dan
persaingan menjadi lebih hebat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6. Di sini saya ingin menegaskan akan pentingnya semua
pihak yang terlibat dengan satu-satu perniagaan itu
bekerjasama. Tidak dapat tidak, akan ada pendapat-pendapat
yang berbeza antara pihak-pihak yang mengadakan perkongsian
atau usahasama dalam satu-satu perniagaan. Kecekapan
peniaga akan terbukti apabila mereka dapat mengatasi masalah
perhubungan di antara mereka dengan tidak menjejaskan
perniagaan mereka.
7. Demikian juga apabila sesuatu perniagaan itu maju, maka
ramai yang akan berminat. Bermacam-macam usaha akan dibuat
untuk mendapatkan sebahagian daripada 'action' ini.
Tuduh-menuduh akan berlaku yang tidak menolong sesiapapun.
Sebaliknya, jika sesuatu perniagaan itu mengalami kejatuhan
pasaran, ramai yang akan melarikan diri atau tidak mahu
menolong memulihkannya. Sebab itulah pada waktu Proton Saga
mengalami kejatuhan pasaran dan jualannya tidak begitu
laris, ramai peniaga membuat helah tidak mahu menerima
bekalan. Sekarang peniaga-peniaga ini pula membuat berbagai
rungutan mengapa mereka tidak diberi layanan yang mereka
perlukan. Sebenarnya, peniaga yang baik ialah peniaga yang
sanggup tenggelam-timbul dengan sesuatu barangan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
8. Semenjak beberapa tahun yang lalu, kita sering
mendengar tentang kes-kes pecah amanah di kalangan ahli-ahli
perniagaan. Orang yang dahulu terkenal sebagai jaguh dalam
bidang perniagaan sekarang ini didedah sebagai penipu yang
telah menyalah-gunakan duit para pelabur kecilan dan
besaran. Demikianlah telatah mereka ini sehinggakan
sekarang pelabur-pelabur Malaysia takut menyerahkan wang
simpanan mereka untuk dijadikan modal perniagaan dalam
syarikat-syarikat atau koperasi-koperasi.
9. Dalam dunia perniagaan moden, kepercayaan kepada para
pengarah dan para pengurus amatlah penting. Perniagaan
milik sendiri atau keluarga tidak mungkin membesar seperti
yang dikehendaki oleh aliran perniagaan di zaman ini. Hanya
syarikat public limited sahaja yang mampu menjadi cukup
besar dan kekal selepas pengasasnya tidak ada lagi. Tetapi,
syarikat public limited memerlukan modal daripada orang
ramai yang akan diuruskan oleh pengarah dan pengurus
syarikat yang mungkin tidak memiliki apa-apa saham atau
saham yang banyak. Mengurus modal sendiri dan menguruskan
modal orang lain amat berbeza. Sementara wang sendiri boleh
digunakan dengan sewenang-wenangnya, pengurusan wang
kepunyaan awam memerlukan amanah dan prosedur tertentu.
Kes-kes yang kita lihat sekarang ini adalah kerana ramai
pengarah dan pengurus menguruskan wang pemegang saham dan
para pelabur seolah-olah milik mereka sendiri.
10. Kerajaan tidak bersimpati dengan orang-orang seperti
ini. Tindakan-tindakan tertentu akan diambil terhadap
mereka. Kita ingin membersihkan masyarakat peniaga daripada
orang-orang yang tidak beramanah dan tidak bertanggungjawab.
Proses pembersihan ini akan berterusan. Oleh itu, eloklah
jika masyarakat peniaga menggubal dan mengamalkan etika
pengurusan yang lebih baik. Jika para peniaga dan para
pengusaha Malaysia terkenal sebagai orang yang lurus dan
bertanggungjawab, mudah sekali bagi mereka mendapat hutang
atau mengumpul modal daripada orang ramai. Demikian juga
mereka akan mudah diterima oleh peniaga-peniaga asing dan
mengadakan urusan dengan mereka. Negara sudah tentu akan
mendapat manfaat daripada sifat-sifat yang mulia ini. Oleh
itu amatlah penting masyarakat peniaga mengadakan kod etika
mereka sendiri. Salah satu cara meningkatkan etika
perniagaan ialah dengan menubuhkan badan-badan eksklusif
yang mana hanya mereka yang terkenal sebagai peniaga yang
lurus sahaja boleh menjadi ahli. Ini akan memberi kedudukan
yang istimewa kepada ahli-ahli. Dengan cara ini sesiapa
yang ingin menjadi ahli akan cuba mengamalkan etika yang
baik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
11. Saya difahamkan EON telah mengumpulkan derma-derma
daripada institusi-institusi yang diwakili oleh para hadirin
malam ini untuk membiayai aktiviti-aktiviti membanteras
penagihan dadah. Saya merakamkan setinggi penghargaan atas
segala sumbangan ini. Sumbangan pihak swasta setakat ini
sangatlah menggalakkan dan saya berharap usaha seperti ini
akan diteruskan sehingga kita semua hidup tanpa gangguan
ancaman yang buruk ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Proton,
EON, wakil-wakil daripada berbagai pihak yang berkaitan
dengan kereta nasional yang hadir pada malam ini dan kepada
semua pembeli Proton Saga. Saya berharap keyakinan kepada
Proton Saga akan kekal dan berterusan.
Terima kasih.
|