Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	06/02/88 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN YAYASAN NADWAH 
			AKADEMI ISLAM (NADI) BERHAD 





 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Amat Berhormat
     Dato' Seri Amar Diraja Haji Wan Mokhtar
     Ahmad, Pengerusi Yayasan Nadwah Akademi
     Islam Berhad;
Ahli-Ahli Lembaga Amanah Yayasan;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana
dengan   limpah   rahmatNya   dapat  kita  hadir  di  Majlis
Pelancaran Yayasan Nadwah Akademi Islam Berhad  ini.    Saya
mengucapkan  terima  kasih  kepada  ahli-ahli Lembaga Amanah
Yayasan yang menjemput saya untuk melancarkan Yayasan ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Penubuhan Yayasan ini kena pada masanya,  iaitu  ketika
kita  memerlukan  kegiatan-kegiatan  yang  memberi kefahaman
yang lebih luas dan tepat mengenai Islam.  Lebih-lebih  lagi
dalam   kontek   masyarakat   majmuk  negara  kita  di  mana
penerangan mengenai Islam perlu dijalankan secara menyeluruh
bagi menjamin keharmonian dan persefahaman dalam  masyarakat
Malaysia.
3.   Saya  difahamkan  Yayasan  ini  akan berusaha dalam dua
aspek.      Pertamanya   Yayasan   ini   akan    menjalankan
kegiatan-kegiatan   yang   memberi   kefahaman   Islam,  dan
keduanya,  menjalankan   kegiatan-kegiatan   ekonomi   untuk
mencari  sumber  kewangan.    Ini  bererti  Yayasan ini akan
berusaha untuk berdikari bagi menjalankan  aktiviti-aktiviti
keilmuan  dan  keIslaman  tanpa  bergantung  kepada  bantuan
pihak-pihak lain.  Pendirian dan dasar  yang  dipegang  oleh
Yayasan  ini  adalah  sangat  menggalakkan  kerana  terdapat
banyak organisasi yang mengharapkan bantuan  daripada  pihak
Kerajaan    bagi    menjalankan   kegiatannya.      Kerajaan
mengalu-alukan sikap Yayasan  ini  untuk  membantu  Kerajaan
dalam  menyebarkan  syiar  Islam  di samping menyatu-padukan
lagi umat Islam melalui kefahaman ilmu yang mantap.   Tetapi
sayugia   diingatkan   bahawa   mencari   kejayaan  daripada
perniagaan bukanlah mudah kerana ia  memerlukan  usaha  yang
bersungguh-sungguh.
Tuan-tuan dan puan-puan,
4.   Sebenarnya  sikap  yang  diambil oleh Yayasan ini dalam
dua aspek yang tersebut tadi  adalah  sesuai  dengan  amalan
ajaran  Islam.  Kita tidak harus memperkatakan sahaja bahawa
Islam adalah sesuai dengan semua  zaman,  semua  tempat  dan
keadaan,  tanpa membuktikan dengan jelas akan kebaikan hasil
daripada amalan ajaran Islam.    Sama  ada  kita  suka  atau
tidak,  kebanyakan  orang-orang  Islam dan yang bukan Islam,
tidak dapat menerima semua kenyataan  agama  sebagai  dogma,
iaitu  sebagai  perkara  yang  mesti  diterima tanpa disoal,
sebagai    satu    kepercayaan     semata-mata     melainkan
perkara-perkara  berkaitan akidah.  Manusia yang dikurniakan
akal fikiran oleh  Tuhan  perlu  dan  akan  menyoal  sesuatu
kenyataan.    Justeru itu, amat penting sekali bagi pengamal
ajaran Islam membuktikan apa yang didakwa oleh Islam  adalah
benar dan nyata.
5.   Pada  masa  ini, apa yang berlaku dalam bidang politik,
ekonomi  dan  sosial  ialah   tindakan   orang-orang   Islam
kerap-kali  tidak  secucuk  dengan  ajaran  Islam  dan tidak
mencerminkan  kenyataan-kenyataan  yang   dibuat   berkenaan
dengan  baiknya  hasil  ajaran  Islam.    Hanya  yang  boleh
ditonjolkan  ialah  kejayaan  Islam  di  zaman  yang  lampau
apabila  Islam  berkembang  ke  seluruh  dunia  dan kejayaan
tokoh-tokoh lama Islam dalam berbagai bidang.  Di zaman  ini
sukar   bagi  kita  menunjukkan  kejayaan  umat  Islam  yang
dikatakan mengamal ajaran Islam.   Yang  selalu  ditunjukkan
ialah peperangan antara Islam dengan Islam, sengketa politik
mereka,  kemunduran  mereka dalam bidang ekonomi, sosial dan
lain-lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6.   Memandangkan hakikat-hakikat yang tidak boleh dinafikan
ini, masyarakat Islam di negara  kita  memerlukan  bimbingan
bukan  sahaja  melalui  kata-kata, tetapi juga dengan amalan
yang   boleh    membuktikan    kebenaran    ajaran    Islam.
Cerdik-pandai  Islam  di  negara  ini perlu membuktikan kata
sepakat,  kerjasama  dan  persaudaraan   yang   mencerminkan
falsafah   Islam.     Mereka  dan  orang-orang  Islam  perlu
menjalankan kegiatan politik, ekonomi dan sosial yang  bukan
sahaja  boleh  berjaya  tetapi nyata berjaya.   Memang benar
kejayaan hanya boleh dicapai  dengan  izin  Allah  Subhanahu
Wataala, tetapi janganlah kerana menunggu Allah mengizinkan,
kita   tidak   berusaha  bersungguh-sungguh  untuk  mencapai
kejayaan.   Allah cuma menolong mereka  yang  menolong  diri
mereka  sendiri.    Jikalau  kita berusaha separuh jalan dan
kemudian  kita  berkata   Allah   tidak   mengizinkan,   ini
sebenarnya  mencerminkan  kekecewaan  kita.   Dan umat Islam
tidak  boleh  mudah   kecewa,   tidak   boleh   putus   asa.
Insya-Allah,  jika  kita  bertekun,  jujur  dan  tidak mudah
kecewa, umat Islam akan mencapai kejayaan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
7.   Dalam bidang perniagaan, umat  Islam  tidak  boleh  dan
lebih-lebih  lagi  sekarang tidak mahu terlibat dengan jenis
perniagaan yang diharamkan oleh  Islam.    Kita  tidak  mahu
terlibat  dengan  perniagaan  arak,  atau  judi,  atau  yang
melibatkan faedah.  Malangnya, ada di  antara  kita  apabila
berniaga  tidak pula mengutamakan amanah dan kejujuran.  Ada
yang meminjam wang dengan niat tidak  mahu  membayar.    Ada
yang  menggunakan duit pinjaman untuk kegiatan lain, dan ada
pula yang melesapkan wang yang  diamanahkan  kepada  mereka.
Ada  yang berjanji untuk membekalkan barang-barang tertentu,
tetapi menggantikan barang-barang itu  dengan  barang-barang
lain   atau   dengan   barang-barang  yang  bermutu  rendah.
Perbuatan-perbuatan  ini  tidak  kurang  buruknya   daripada
perniagaan  yang  diharamkan.    Tetapi,  ada di antara kita
tidak memandang berat perbuatan ini.   Sebenarnya  perbuatan
ini  menghilangkan kepercayaan masyarakat kepada orang-orang
Islam dan menyukarkan perniagaan orang-orang Islam lain.
8.   Penerapan  nilai-nilai  Islam  dalam  bidang  muamallah
tidak  diberi  pandangan  yang serius seperti yang diberikan
kepada rupa Islam.  Nampaknya ikrar  oleh  setengah-setengah
orang  Islam  sudah  tidak  bermakna  lagi.    Dalam hal ini
Yayasan yang kita tubuhkan ini hendaklah menunjukkan  contoh
yang  baik  dan prestasi yang tinggi dalam bidang perniagaan
supaya  dakwah  yang  dilakukannya   tidak   terhad   kepada
kata-kata sahaja.  Jika Yayasan ini gagal, maka bukan sahaja
kita  semua  akan  rugi, tetapi sedikit-sebanyak kredibiliti
Islam akan tercemar.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.   Umat Islam sekarang ini perlu menerima  kebenaran  atau
realiti  yang  terdapat.   Di zaman moden ini, tidak mungkin
umat Islam dapat mengasingkan dirinya  daripada  orang-orang
bukan  Islam.    Demikian  juga  tidak mungkin kita menakluk
wilayah mereka dan menjadikan mereka penganut  agama  Islam.
Di  Malaysia,    hakikat  yang  perlu kita terima ialah kita
hidup dalam masyarakat majmuk, masyarakat  berbilang  agama.
Mahu  tak mahu kita terpaksa bergaul dengan orang-orang yang
bukan  Islam.    Jika  masyarakat  Islam  ingin  maju  tanpa
menjejaskan  agamanya  sendiri,  kita  mesti pandai bergerak
dalam masyarakat majmuk ini.    Mengasingkan  diri  daripada
orang-orang  bukan  Islam bukanlah caranya.   Malangnya, ada
orang-orang  Islam  yang  terpelajar  yang  tidak  bercampur
langsung dengan orang-orang yang bukan Islam.  Ini membentuk
sikap   yang  tidak  sesuai  dengan  keadaan  sebenar  dalam
masyarakat Malaysia.  Segala rancangan dan  pendekatan  yang
dibuat  tidak  akan  berhasil  kerana  tidak  mengambil-kira
keadaan sebenar.
10.  Bagaimana   orang-orang   Islam   berinteraksi   dengan
orang-orang   beragama   lain   patutlah  diberi  perhatian,
terutamanya oleh ulamak-ulamak Islam di Malaysia.  Dalam hal
ini, para ulamak sendiri perlu mengadakan  interaksi  dengan
orang  lain  supaya  nasihat  mereka  berasaskan juga kepada
pengalaman.    Hanya  membuat  larangan-larangan  dari  jauh
sahaja akan mengelirukan orang-orang Islam, sedangkan mereka
tidak dapat mengelakkan diri daripada mengadakan perhubungan
dengan  penganut-penganut agama lain.  Perhubungan yang baik
dan mesra  perlu  dikekalkan  di  antara  orang-orang  Islam
dengan  orang-orang  bukan  Islam untuk menjamin keamanan di
negara ini sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
11.  Dakwah secara kasarnya bolehlah dibahagikan kepada  dua
kumpulan  sasaran  iaitu  berdakwah  bagi  menguatkan akidah
serta keimanan orang-orang Islam, dan keduanya, menyampaikan
mesej Islam kepada rakan-rakan yang  bukan  beragama  Islam.
Saya  akui  bahawa ramai alim ulamak di negara kita ini yang
telah menyumbangkan tenaga dan  berusaha  bersungguh-sungguh
untuk  menguatkan  akidah  serta  keimanan  di kalangan umat
Islam.   Tetapi tidak begitu  ramai  yang  mendekatkan  diri
mereka  dengan  orang-orang  bukan Islam, sekurang-kurangnya
untuk memastikan supaya Islam  tidak  disalah-ertikan.  Niat
kita  supaya  Islam  tidak  disalah-ertikan dan menyampaikan
ajaran-ajaran Islam kepada mereka yang  belum  menganutinya,
sudah  tentu  termasuk  dalam  ruangan  perkara-perkara yang
dituntut oleh Allah ke atas setiap umat Islam.   Kita  harus
ingat  bahawa  apabila  Nabi  Muhammad  s.a.w. mula menerima
wahyu, tidak ada seorangpun orang Islam di kota Mekah.  Jika
Junjungan kita  tidak  bercampur  dengan  orang-orang  bukan
Islam, mustahil agama Islam dapat berkembang.
12.  Di   Madinah  Nabi  Muhammad  s.a.w.  tidak  memisahkan
orang-orang Islam daripada orang-orang bukan  Islam  seperti
Nasrani  dan  Yahudi.    Dengan  usaha  dan panduan daripada
Junjungan kita, umat Islam di kota Mekah telah mendampingkan
diri dengan mereka yang belum menganuti  Islam.    Akhirnya,
terdapat  juga  beberapa  orang  daripada  mereka yang bukan
Islam      menganuti   Islam,   dan   sebahagiannya    pula,
sekurang-kurangnya,  dapat memahami dan mengerti nilai-nilai
pentadbiran yang jujur, cekap dan bersemangat toleransi yang
diamalkan oleh Rasullullah  s.a.w.  dan  sahabat-sahabatnya.
Inilah  sunnah  Nabi  s.a.w.  yang patut kita abadikan dalam
usaha kita berdakwah.
13.  Seperkara  lagi  yang  harus  kita  ingat  ialah  kalau
orang-orang Islam yang mula-mula datang menjelajah ke negara
kita  ini  beberapa  abad  dahulu  tidak  bercampur-gaul dan
mendekatkan diri mereka dengan rakyat  tempatan  yang  belum
beragama Islam, mungkin kita tidak akan menganuti Islam hari
ini.    Kita  harus  bersyukur dengan nikmat yang telah kita
perolehi  ini.     Setelah  kita  mendapat   nikmat   kerana
kesanggupan orang-orang Islam yang datang ke sini berdamping
dengan  nenek  moyang  kita,  apakah wajar kita bolot nikmat
beragama Islam ini untuk diri kita  sahaja?    Apakah  wajar
kita  membenarkan  gambaran  yang  tidak  tepat dilihat oleh
bukan Islam kerana  kita  tidak  sanggup  berdekatan  dengan
mereka?
14.  Dewasa  ini  terdapat perasaan syak wasangka yang tidak
harus wujud jikalau orang-orang Islam dan rakan-rakan  bukan
Islam  saling  faham-memahami tentang adat istiadat dan cara
hidup masing-masing.  Saya sedar bukanlah mudah  untuk  kita
menjalinkan  perasaan  saling  faham-memahami  tetapi dengan
usaha yang diredhai Ilahi dan niat yang ikhlas,  insya-Allah
kita  akan  dapat  menjalinkan perasaan itu.  Seperkara lagi
ialah sekiranya iman kita kukuh, maka kita tidak harus risau
yang iktikad kita akan tergugat.
15.  Saya   berharap    Yayasan    ini    akan    memikirkan
perkara-perkara ini demi kebaikan dan kemajuan umat Islam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16.  Dengan  kata-kata  ini  dan dengan doa agar Yayasan ini
mencapai cita-citanya,  dan  dengan  nama  Allah  yang  Maha
Pemurah   lagi   Maha  Mengasihani,  maka  saya  dengan  ini
melancarkan Yayasan Nadwah Akademi Islam Berhad  ini  dengan
rasminya.
     Wabillahitaufik       walhidayah      wassalamu'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google