Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BURMA
Tarikh/Date : 25/02/88
Tajuk/Title : JAMUAN RASMI OLEH TUAN YANG
TERUTAMA U MAUNG MAUNG KHA, PERDANA
MENTERI BURMA
Tuan Yang Terutama U Maung Maung Kha,
Perdana Menteri Burma;
Yang Berhormat Menteri-Menteri;
Tuan-Tuan Yang Terutama;
Tuan-tuan dan Puan-puan.
Saya berasa sungguh gembira berada di bandar Rangoon
ini. Sambutan yang begitu meriah dan layanan yang sangat
mesra yang diberikan kepada saya dan isteri saya serta
rombongan dari Malaysia akan saya jadikan sebagai satu
kenangan yang akan kekal dalam ingatan. Saya berharap
semasa lawatan pertama ini, saya akan dapat mengambil
peluang untuk melihat keindahan Burma di samping mengenali
negara ini dan rakyatnya dengan lebih dekat lagi.
2. Hanya beberapa bulan dahulu, saya telah diberi
penghormatan menerima kunjungan Tuan Yang Terutama dan
delegasi dari Burma. Dalam pertemuan tersebut, kita telah
dapat bertukar-tukar pendapat mengenai hal-hal hubungan
dua-hala, isu-isu serantau dan antarabangsa yang menyentuh
kepentingan kita bersama. Saya merasakan pertemuan tersebut
sungguh bermakna kepada kedua-dua pihak. Kita juga
menghargai pandangan serta pendirian masing-masing berkenaan
dengan isu-isu tersebut.
3. Saya berharap lawatan saya ini akan mengukuhkan lagi
hubungan persahabatan dan kerjasama di antara kedua-dua
negara kita. Malaysia sungguh berhasrat untuk meningkatkan
lagi hubungan ini terutamanya dalam bidang ekonomi dan
perdagangan. Saya percaya terdapat peluang-peluang yang
boleh diterokai bersama. Adalah menjadi harapan saya agar
sektor ekonomi kita merebut segala peluang yang ada bagi
menerokai bidang-bidang kerjasama ekonomi serta mewujudkan
hubungan yang dapat meningkatkan kerjasama di antara
kedua-dua negara kita.
Tuan Yang Terutama,
4. Seterusnya saya ingin menyatakan di sini bahawa saya
amat senang hati di atas kerjasama yang rapat di bidang
teknikal di antara kedua-dua negara kita. Satu kumpulan
pakar-pakar perubatan Burma telah tiba di Kuala Lumpur
baru-baru ini untuk memulakan perkhidmatan mereka. Ini
adalah sebagai tambahan kepada mereka yang sedang berkhidmat
di Malaysia. Di atas kerjasama ikhlas ini, saya bagi pihak
Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kami kepada
Kerajaan Burma. Bagi pihak Malaysia, kami sentiasa bersedia
untuk terus mengadakan tempat latihan bagi pegawai-pegawai
atau pelajar-pelajar dari Burma di institusi-institusi
latihan Malaysia seperti INTAN, sekiranya Kerajaan Burma
memerlukan latihan dalam bidang-bidang yang tertentu.
5. Kedua-dua negara kita merupakan negara yang sedang
membangun. Oleh itu, hanya melalui kerjasama dan sikap
ingin berkongsi pengalaman di antara satu sama lain
sahajalah yang dapat membantu kemajuan kedua-dua buah negara
kita. Tuan Yang Terutama mungkin akan bersetuju dengan saya
bahawa kita telah mempelajari satu pengajaran yang pahit di
mana bergantung semata-mata kepada negara-negara maju tidak
semestinya membawa faedah atau keuntungan yang
diharap-harapkan. Negara-negara membangun, seperti
Malaysia dan Burma, tidak mampu untuk menunggu
selama-lamanya atau mengharapkan kepada negara-negara maju.
Adalah penting bagi negara-negara seperti kita mengambil
inisiatif untuk meningkatkan lagi kerjasama sesama kita.
Berdasarkan inilah, Malaysia telah mengutarakan kerjasama
Selatan-Selatan yang lebih erat. Penubuhan Suruhanjaya
Selatan pada tahun lepas merupakan langkah yang tepat ke
arah menggariskan panduan kerjasama yang praktik bagi
negara-negara Selatan.
Tuan Yang Terutama,
6. Saya berasa sukacita bahawa daripada perbincangan kita,
Malaysia dan Burma mempunyai pandangan yang sama mengenai
berbagai isu-isu antarabangsa. Adalah tidak keterlaluan
bagi saya menyatakan bahawa kedua-dua negara kita mempunyai
komitmen yang kuat dalam usaha mewujudkan keselamatan dan
keamanan antarabangsa. Tuan Yang Terutama akan bersetuju
bahawa pencapaian keamanan dan keselamatan yang berterusan
merupakan satu proses yang panjang dan penuh cabaran yang
memerlukan dayausaha daripada semua pihak. Di Asia
Tenggara, Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain telah
berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan satu rantau
Aman, Bebas dan Berkecuali atau ZOPFAN. Walau bagaimanapun,
keadaan di Kampuchea bukan sahaja merupakan batu penghalang
kepada pencapaian objektif ini, tetapi ia juga merupakan
keadaan yang dapat diatasi oleh ZOPFAN. Sesungguhnya tidak
dapat dinafikan bahawa masalah Kampuchea ini mempunyai
unsur-unsur pergolakan kuasa-kuasa besar. Keadaan ini
menjadikan penyelesaian politik yang boleh dipersetujui oleh
semua pihak bertambah sukar lagi. Suatu pencapaian politik
yang awal akan mengurangkan campurtangan kuasa luar dan ini
memberi peluang bagi pendekatan dan kerjasama yang
sepenuhnya di kalangan negara-negara di Asia Tenggara.
Tuan Yang Terutama,
7. Negara Burma harus dipuji kerana mempunyai
kebijaksanaan dan kearifan di bidang politik sehingga
berjaya menjauhkan diri daripada tekanan kuasa-kuasa besar.
Sebaliknya, Burma telah membina asas-asas 'indigenous' yang
akan menambahkan lagi ketahanan rantau ini. Sungguhpun
Burma tidak menganggotai ASEAN, langkah-langkah yang
diambilnya adalah selaras dengan usaha-usaha ASEAN.
8. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi
saya menyatakan perasaan sukacita saya kerana dapat
melakukan lawatan ke Burma. Walaupun ia merupakan satu
lawatan yang singkat, saya berharap dalam lawatan ini saya
dapat melihat negara ini sedikit sebanyak dan menemui rakyat
Burma.
9. Akhir sekali saya ingin menjemput tuan-tuan dan
puan-puan sekalian untuk bersama-sama saya mengucapkan
selamat kepada Tuan Yang Terutama, Presiden U San Yu, Tuan
Yang Terutama, Perdana Menteri, U Maung Maung Kha, dan
kepada persahabatan di antara Malaysia dan Burma.
|