home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 17/03/88 Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1988 Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang bernama suatu Akta untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dibacakan kali yang kedua sekarang. Tuan Yang di-Pertua, 2. Semenjak beberapa waktu yang lalu, Kerajaan telah mendapati bahawa beberapa Perkara di dalam Perlembagaan menghalang perjalanan licin jentera pentadbiran. Selain daripada itu, adalah didapati juga bahawa beberapa pindaan perlu dibuat untuk mengemaskini dan menyelaraskan pentadbiran bagi meningkatkan lagi efisiensi pentadbiran. Oleh yang demikian, Kerajaan bercadang untuk meminda beberapa Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti berikut: PERKARA 5 _________ 3. Fasal (4) Perkara 5 memberi perlindungan kepada orang-orang yang kena tangkap, dengan mensyaratkan bahawa mereka hendaklah dibawa ke hadapan majistret dalam tempoh 24 jam dan tidak boleh ditahan selanjutnya tanpa kebenaran majistret. Menurut proviso kepada Fasal itu, perlindungan ini tidak diberi kepada orang-orang yang ditangkap atau ditahan di bawah undang-undang mengenai kediaman terhad (restricted residence). 4. Dari pengalaman dalam menguruskan kes-kes orang-orang yang memasuki negara ini secara haram, Kerajaan mendapati bahawa adalah sukar hendak membawa mereka ke hadapan majistret dalam tempoh 24 jam sebagaimana disyaratkan oleh Fasal (4) itu. Oleh kerana mereka ini adalah rakyat negara asing, banyak perkara yang perlu diuruskan dalam memproses kes mereka sebelum pihak Kerajaan dapat bersedia untuk membawa mereka ke hadapan majistret. Identiti dan latarbelakang mereka perlu disiasat dan dipastikan dahulu, dan juga sebab-sebab dan tujuan mereka masuk ke negara ini. Kerapkali mereka datang beramai-ramai pada satu ketika. Ini semua menyebabkan pengendalian kes mereka terpaksa mengambil masa. 5. Kerajaan berpendapat bahawa orang-orang ini tidak dapat diberi perlindungan yang begitu istimewa seperti yang diberi oleh Fasal (4) sekarang ini. Mereka datang dengan tiba-tiba. Pegawai-pegawai kita tidak dapat maklumat dan butiran yang cukup untuk membolehkan mereka dibawa ke hadapan majistret dalam tempoh 24 jam. 6. Fasal 2 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya dimasukkan dua lagi proviso tambahan kepada Fasal (4) Perkara 5. Atas sebab-sebab yang saya nyatakan tadi, proviso tambahan pertama bertujuan mengubahsuai syarat Fasal (4) itu supaya, dalam hal orang-orang yang bukan warganegara yang ditangkap di bawah undang-undang mengenai imigeresen, tempoh untuk membawa mereka ke hadapan majistret ialah empat belas hari dan bukan 24 jam. 7. Oleh kerana Fasal (4) mensyaratkan orang-orang yang kena tangkap dibawa ke hadapan majistret, maka orang-orang yang ditangkap kerana kesalahan-kesalahan di bawah bidang kuasa mahkamah Syariah kenalah juga dibawa ke hadapan majistret. Keperluan ini adalah tidak sesuai bagi kes-kes yang bakal dihadapkan ke mahkamah Syariah, dan akan menjejaskan kelicinan pengurusan kes-kes seperti itu. 8. Oleh sebab itu, adalah perlu diadakan proviso tambahan kedua di bawah Fasal 2 Rang Undang-Undang ini, yang bermaksud bahawa, untuk mematuhi Fasal (4) dalam hal orang-orang yang ditangkap kerana kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah Syariah, mereka boleh juga dibawa ke hadapan hakim mahkamah Syariah dan penahanan mereka selanjutnya bolehlah juga dibenarkan oleh hakim mahkamah Syariah. Ingin saya menjelaskan bahawa ini tidaklah bermakna orang-orang itu tidak boleh dibawa ke hadapan majistret. Sekiranya didapati sukar membawa orang-orang yang ditangkap ke hadapan hakim Mahkamah Syariah di sesuatu tempat kerana tidak ada hakim Mahkamah Syariah, misalnya, orang-orang itu masih boleh dibawa ke hadapan majistret. PERKARA 83 __________ 9. Perkara 83 memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk meminta Kerajaan Negeri memberikan kepadanya apa-apa tanah dalam Negeri yang berkenaan yang dikehendaki untuk maksud-maksud persekutuan, dan mewajibkan Negeri untuk memberikan tanah yang diminta itu. Hak Kerajaan Persekutuan dan kewajipan Kerajaan Negeri di bawah Perkara 83 berbangkit hanya apabila tanah diperlukan bagi 'maksud-maksud persekutuan'. 10. Ada kemungkinan akan timbul keadaan-keadaan di mana akan menguntungkan kedua-dua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sekiranya Kerajaan Negeri boleh memberikan tanah kepada Kerajaan Persekutuan, atas syarat-syarat yang dipersetujui di antara mereka, tanpa tertakluk kepada formaliti membuat permintaan di bawah Perkara 83 walaupun tanah itu mungkin tidak diperlukan pada masa itu untuk maksud-maksud persekutuan. Perkiraan seperti ini tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Perkara 83 itu. 11. Fasal 3 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya Perkara 83 itu dipinda dengan memasukkan Fasal baru (8) yang menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri boleh memberi tanah kepada Kerajaan Persekutuan, atas syarat-syarat yang dipersetujui bersama, tanpa Kerajaan Persekutuan membuat permintaan formal atas kuasanya di bawah Perkara itu. PERKARA 84 __________ 12. Perkara ini memperkatakan tentang keadaannya apabila tanah yang terletakhak pada Persekutuan atau pihak berkuasa awam tidak lagi dikehendaki untuk maksud-maksud persekutuan. Dalam keadaan begini, tanah itu mestilah berbalik kepada Negeri, dengan syarat Kerajaan Negeri bersetuju membayar kepada Persekutuan amaun-amaun yang ditetapkan di dalam Fasal (1) Perkara itu. Jika Kerajaan Negeri tidak bersetuju membuat bayaran, maka tanah itu tidak akan berbalik kepada Negeri, dan Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa awam akan bebas menjual tanah itu. 13. Pelaksanaan dasar penswastaan Kerajaan Persekutuan mungkin melibatkan tanah-tanah yang dipegang untuk maksud-maksud persekutuan oleh Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa awam diuruskan dengan cara yang mungkin menimbulkan anggapan bahawa tanah-tanah itu telah terhenti diperlukan untuk maksud-maksud persekutuan. Syarat Perkara 84 bahawa tanah yang tidak diperlukan untuk maksud-maksud persekutuan mestilah berbalik kepada Negeri akan menyekat atau menyulitkan pelaksanaan dasar penswastaan Kerajaan Persekutuan. 14. Fasal 4 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya Perkara 84 itu dimansuhkan untuk menghapuskan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk menawarkan balik kepada Kerajaan Negeri tanah-tanah yang tidak lagi diperlukan untuk maksud-maksud persekutuan, supaya Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa awam yang berkenaan akan kekal memiliki tanah-tanah itu, walaupun ia tidak lagi diperlukan untuk maksud-maksud persekutuan. PERKARA 85 __________ 15. Perkara 85 mengawal tanah-tanah yang dirizabkan untuk maksud-maksud persekutuan. Jika tanah-tanah itu tidak lagi diperlukan untuk maksud-maksud persekutuan, Kerajaan Persekutuan diwajib melepaskannya balik kepada Negeri jika Negeri membayar kepada Persekutuan pampasan yang ditetapkan dalam Fasal (1) Perkara itu. Jika Kerajaan Negeri tidak bersetuju menerima tawaran yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan itu, Kerajaan Negeri diwajib, jika diminta, memberikan tanah itu kepada Kerajaan Persekutuan secara kekal tanpa had tentang kegunaannya, dengan syarat Kerajaan Persekutuan membayar premium dan sebagainya, dan selepas itu Kerajaan Persekutuan bebas melupuskan tanah itu. 16. Tanah-tanah rizab mungkin terlibat juga dalam pelaksanaan dasar penswastaan Kerajaan Persekutuan. Dalam melaksanakan dasar itu, tanah-tanah rizab mungkin akan diuruskan dengan cara yang akan dianggap bahawa tanah-tanah itu tidak lagi diperlukan untuk maksud-maksud persekutuan. 17. Syarat yang dikenakan oleh Perkara 85 bahawa tanah itu hendaklah ditawarkan balik kepada Kerajaan Negeri akan menyekat atau menyulitkan pelaksanaan dasar penswastaan. 18. Fasal 5 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya Perkara 85 itu digantikan dengan Perkara 85 yang baru. Di bawah peruntukan baru itu, Kerajaan Persekutuan berhak meminta Kerajaan Negeri supaya memberi milik tanah-tanah rizab persekutuan kepada Kerajaan Persekutuan, dengan syarat Kerajaan Persekutuan membayar nilai pasaran bagi tanah-tanah itu, setelah ditolak nilai pasaran bagi apa-apa pemajuan yang dibuat semasa tanah-tanah itu digunakan untuk maksud-maksud persekutuan, dan juga apa-apa bayaran yang telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan pada mulanya untuk membolehkan Kerajaan Negeri mengambil balik tanah-tanah itu untuk dirizabkan. Di bawah Perkara 85 yang baru itu Kerajaan Persekutuan tidak lagi berkewajipan melepaskan kepada Negeri tanah-tanah rizab yang tidak lagi diperlukan untuk maksud-maksud persekutuan, tetapi ia boleh berbuat demikian di bawah Fasal (3), asalkan Kerajaan Negeri membayar balik nilai pasaran bagi pemajuan-pemajuan dan kos pengambilan balik tanah sebagaimana yang tersebut tadi. 19. Tentang tanah-tanah yang terus dirizabkan untuk maksud-maksud persekutuan, Fasal (4) dalam Perkara 85 yang baru itu memberi kuasa yang luas kepada Kerajaan Persekutuan terhadap penggunaannya. Kerajaan Persekutuan boleh memberikan kepada mana-mana orang, hak untuk menggunakan tanah itu bagi maksud-maksud persekutuan atau bagi maksud-maksud sampingan, dan jika Kerajaan Persekutuan tidak dapat menggunakan tanah itu buat sementara waktu untuk maksud persekutuan, Kerajaan Persekutuan boleh memberi kepada mana-mana orang, hak untuk menggunakannya bagi apa-apa maksud selain daripada maksud persekutuan, bagi tempoh dan dengan syarat-syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. PERKARA 86 __________ 20. Perkara 86 mengawal pelupusan tanah-tanah yang terletakhak pada Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan tidak boleh melupuskan tanah-tanah itu kecuali untuk maksud-maksud persekutuan. Selain daripada itu, jika hendak dilupuskan kepada orang lain selain daripada pihak berkuasa awam, pelupusan itu hendaklah dibuat di bawah undang-undang persekutuan atau atas perintah Yang di-Pertuan Agong yang diluluskan oleh Parlimen. Sesuatu pihak berkuasa awam atau mana-mana orang yang memegang tanah daripada Kerajaan Persekutuan untuk maksud-maksud persekutuan tidak boleh melupuskan tanah itu seterusnya kepada pihak lain kecuali kepada Kerajaan Persekutuan. 21. Kawalan yang dikenakan oleh Perkara 86 itu akan menyulitkan pelaksanaan rancangan-rancangan pembangunan dan ekonomi Kerajaan Persekutuan, khususnya rancangan penswastaan, yang akan melibatkan pelupusan tanah-tanah kepada pihak-pihak lain selain daripada pihak berkuasa awam, yang mungkin pula akan mengakibatkan tanah-tanah itu digunakan bagi maksud-maksud yang bukan maksud-maksud persekutuan, sedangkan tanah-tanah itu tidak dirancang akan berbalik kepada Kerajaan Persekutuan. 22. Fasal 6 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya Perkara 86 yang ada sekarang digantikan dengan Perkara 86 yang baru. Peruntukan baru itu memberi kebebasan kepada Kerajaan Persekutuan melupuskan apa-apa tanah yang terletakhak padanya kepada mana-mana orang sebagaimana yang ia fikirkan patut. PERKARA 118A ____________ 23. Perkara 118A menyatakan bahawa sesuatu aduan tentang tidak adanya dibuat pemilihan ke Dewan Rakyat hendaklah dianggap sebagai petisyen pilihanraya, dan Mahkamah Tinggi boleh membuat perintah untuk memaksa supaya pemilihan dibuat. Perkara itu juga menyatakan bahawa kegagalan membuat pemilihan dalam tempoh yang dinyatakan oleh Perkara 54 dan 55 tidak boleh dijadikan alasan untuk mengisytiharkan bahawa seseorang ahli itu telah tidak dipilih sewajarnya. Fasal 7 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya Perkara 118A itu dipinda supaya ianya terpakai juga bagi pemilihan ke Dewan Undangan Negeri. PERKARA 121 ___________ 24. Perkara 121 meletakhak kuasa kehakiman Persekutuan pada Mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah rendah. Ia juga meletakhak bidangkuasa tertentu pada Mahkamah Agung. 25. Fasal 8 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya Perkara 121 dipinda dengan menghapuskan peruntukan tentang meletakhak kuasa-kuasa kehakiman pada mahkamah-mahkamah dan dengan memasukkan ke dalam Fasal (1) Perkara itu peruntukan yang menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah rendah hendaklah mempunyai bidangkuasa dan kuasa-kuasa sebagaimana yang diberi oleh atau di bawah undang-undang persekutuan. Dengan ini, Perkara itu tidak lagi akan memberi penekanan pada meletakhak kuasa kehakiman persekutuan pada mahkamah-mahkamah tetapi akan hanya memperkatakan tentang jenis-jenis mahkamah dan bidangkuasa serta kuasa-kuasanya. 26. Pindaan ini adalah perlu untuk menjelaskan lagi kedudukan mahkamah-mahkamah. Pada masa ini, dengan adanya peruntukan tentang meletakhak kuasa kehakiman Persekutuan itu, batasan antara bidang kehakiman dan bidang eksekutif atau perundangan adalah samar-samar. Dengan pindaan ini, Kerajaan berharap akan dapat menggariskan batasan itu dengan jelasnya. Ini adalah penting supaya pihak eksekutif, perundangan dan kehakiman dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing tanpa mengganggu atau diganggu oleh pihak yang lain. Kebelakangan ini telah terdapat tanda-tanda bahawa perkara-perkara yang disangka adalah kuasa eksekutif semata-mata telah dianggap sebagai boleh disentuh oleh pihak kehakiman. Jika bidang tugas satu pihak dapat diganggu oleh pihak lain, pentadbiran negara akan terancam dan akan menjadi lemah, dan pentadbiran yang lemah tidak akan dapat menjamin kestabilan dan kesejahteraan dalam sesuatu negara. Tuan Yang di-Pertua, 27. Pindaan ini diperlukan kerana rakyat dan penduduk negara ini dan juga Kerajaan perlu mengetahui dengan jelas apakah yang salah dan apakah yang tidak salah dari segi undang-undang negara. Untuk ini, adalah perlu kuasa eksekutif, kuasa perundangan dan kuasa kehakiman ditentukan dengan jelas. 28. Amatlah sukar bagi sesiapa juga membuat sesuatu jika ia tidak tahu sama ada perbuatannya itu salah atau tidak salah kerana undang-undang yang bertulis boleh diketepikan. Mungkin ia bertindak kerana ia berfikir apa yang dibuat olehnya tidak melanggar apa-apa undang-undang. Alangkah malang baginya jika tiba-tiba ia didakwa dan mahkamah memutuskan kesnya mengikut budi bicara mahkamah tanpa mengambilkira undang-undang yang sedia ada. Mahkamah boleh membuat keputusan ini dengan membuat bandingan dengan kes di negara-negara lain yang tidak diketahui umum, bahkan kadang-kadang tidak pun diketahui oleh peguam-peguam yang mungkin memberi nasihat kepada pihak yang didakwa. Sebab itu, biasa terjadi di mana mahkamah membuat keputusan yang berlainan terhadap dua kes yang sama latarbelakangnya. Sebab itu juga kes yang dahulu tidak pernah disoal oleh mahkamah kerana mematuhi peruntukan undang-undang, tiba-tiba disoal dan didapati salah berasaskan Natural Justice atau Judicial Review yang tidak bertulis. 29. Penggunaan British Common Law secara tidak terhad tanpa mengambilkira kebudayaan dan peradaban yang berlainan antara Britain dan Malaysia, penggunaan hak mahkamah yang tidak bertulis seperti Judicial Review, Natural Justice dan lain-lain menjadikan undang-undang yang bertulis tidak berguna lagi dan orang awam serta Kerajaan tidak lagi boleh berpandukan kepada undang-undang apabila bertindak. 30. Di Britain, Tuan Yang di-Pertua, Parlimen mempunyai kuasa yang tertinggi sekali. Perlembagaan Britain tidak bertulis dan tidak berkuasa lebih dari Parlimen. Dengan itu, Parlimen dapat membuat keputusan yang muktamad mengenai sesuatu. Pihak lain perlulah menerima keputusan Parlimen dan tidak membuat interpretasi yang berlainan daripada Parlimen. 31. Di Malaysia, kita bersetuju menjadikan Perlembagaan yang bertulis sebagai sumber undang-undang dan kuasa tertinggi sekali. Tetapi interpretasi semua undang-undang dan perlembagaan kita diserahkan kepada mahkamah tanpa had. Ini bermakna bahawa sebenarnya Perlembagaan yang bertulis tertakluk kepada budi-bicara kehakiman yang kadang-kadang bertukar-tukar dan berbeza antara satu hakim dengan hakim yang lain. Ini telah berlaku dalam kes bidang-kuasa Kerajaan dan hak menteri berkenaan mengenai soal keselamatan. 32. Dengan kuasa membuat interpretasi ini, mahkamah boleh dan telahpun membuat interpretasi yang lari jauh daripada maksud dan semangat sesuatu undang-undang itu digubal. Mahkamah telah membuat keputusan bahawa dalam menguatkuasakan undang-undang, mereka tidak terikat dengan tujuan dan maksud undang-undang itu digubal oleh Parlimen. Mereka membuat dasar sendiri bahawa mereka hanya terikat dengan interpretasi mereka terhadap ayat-ayat yang didapati dalam undang-undang. Dengan itu, segala keterangan, penjelasan dan perbahasan semasa undang-undang digubal dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara menjadi sia-sia sahaja. Perbahasan kita di Dewan yang mulia ini tidak mencapai apa-apa faedah. 33. Walaupun Mahkamah berkata mereka hanya terikat kepada susunan ayat dalam undang-undang, tetapi dalam kes-kes tertentu, mereka membelakangkan undang-undang bertulis sama sekali. Biasa terjadi di mana undang-undang yang begitu jelas sehingga tidak ada sesiapapun yang boleh keliru atau membuat tafsiran yang berbeza, tetapi ada mahkamah yang masih juga membuat tafsiran yang berlainan atau mengenepikan sama sekali undang-undang berkenaan. 34. Ada mahkamah yang membelakangkan undang-undang yang bertulis kerana lebih mengutamakan keputusan kes-kes di Britain dan di lain-lain negara. Sekali lagi saya ingin menarik perhatian bahawa Malaysia bukan Britain. Kebudayaan dan tamadun British dan lain-lain negara barat berbeza dengan ketaranya daripada kebudayaan dan tamadun masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di Malaysia. 35. Sebagai contoh, orang-orang Eropah dan Amerika sekarang menerima kesedudukan dan perkahwinan secara de facto antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan. Mereka juga mengiktiraf berkesedudukan sebagai perkahwinan sehingga jika mereka berpisah ini dianggap sebagai 'bercerai', dan mahkamah boleh menetapkan 'palimony' atau saraan kepada isteri atau suami pura-pura dalam perkahwinan ini. Apakah ada persamaan antara kebudayaan ganjil ini dengan kebudayaan di Malaysia? Apakah nilai-nilai seperti ini secucuk dengan agama yang kita anuti? Apakah perlunya kita mengikut nilai hidup mereka atau tafsiran dan konsep mereka berkenaan dengan kebebasan individu membuat sesuka hati mereka? Apakah hanya tafsiran dan logik mereka sahaja yang betul sehingga kita patut membelakangkan undang-undang yang kita buat dengan proses yang panjang dan perbahasan yang mendalam? Apakah Natural Justice mereka lebih utama daripada undang-undang kita? 36. Apakah dianya Natural Justice ini? Apakah yang 'natural' sangat berkenaan dengan keadilan yang dilaksanakan oleh mahkamah Barat. Pada satu ketika dahulu mereka mengenakan hukuman gantung kepada seseorang yang mencuri kambing. Sekarang, orang yang membunuh berpuluh orang, pengganas atau terrorist yang ganas yang membunuh dengan sesuka hati pun tidak dikenakan hukuman mati. Maka dengan itu, ramai yang dahulu takut membunuh, sekarang berani membunuh dengan sewenang-wenangnya. Jika terdapat sepucuk senapang, ada mereka yang dengan gembira, menembak mati orang yang berjalan di jalan atau melintas di hadapan mereka. Apa yang hendak ditakutkan? Hukuman yang terberat sekali ialah hukuman penjara seumur hidup. Itu pun jika baik kelakuan, mereka boleh dibebaskan selepas di penjara beberapa tahun sahaja. Selepas dibebaskan, ada yang membunuh lagi. Apakah ini satu jenis Natural Justice? Apakah yang begitu natural dengan simpati yang ditunjukkan kepada pembunuh tetapi tidak ditunjukkan kepada yang dibunuh? 37. Apakah ini yang menjadikan Natural Justice lebih baik daripada undang-undang kita sehingga kita mesti mengikutnya? Apakah kebebasan yang terlampau yang diberikan kepada orang barat mesti diberikan juga kepada kita? Apakah nyawa orang yang dibunuh tidak bernilai tetapi nyawa pembunuh begitu 'sacred' sehingga ia tidak boleh dikenakan hukuman mati? 38. Malaysia bukan Eropah, bukan Amerika. Kita mempunyai kebudayaan kita sendiri, nilai-nilai kita sendiri. Kita boleh meminjam apa yang dianggap baik dan secocok dengan kita, tetapi kita tidak terikat dengan semua yang dibuat atau dipercayai oleh mereka. Kita terima demokrasi tetapi kita tidak perlu terima semua yang mereka anggap demokratik. Hak memiliki senjata api, umpamanya, bukanlah asas demokrasi sehingga jika tidak dibenarkan, maka kita tidak demokratik. 39. Dalam demokrasi kita, rakyat berkuasa. Rakyat melantik wakil mereka yang ditugaskan untuk membentuk Kerajaan dan membuat undang-undang. Jika rakyat mahu Kerajaan disekat sehingga tidak boleh menggubal undang-undang tertentu, rakyat akan menjatuhkan Kerajaan itu dan membahagi-bahagikan perwakilan mereka antara parti-parti politik sehingga tidak akan terbentuk sebuah Kerajaan yang boleh melanggar kehendak rakyat. Jika rakyat memilih untuk memberi kuasa kepada sebuah parti sehingga parti itu boleh meminda perlembagaan, rakyat boleh memilih bilangan ahli yang mencukupi daripada parti itu untuk berbuat demikian. Seorang individu, walau apapun jawatannya, tidak berhak mengenepikan kehendak rakyat. Satu golongan elit tidak berhak menghalang kehendak rakyat kerana golongan elit ini memikirkan mereka lebih arif daripada rakyat. 40. Jika pihak lain mengenepikan hak rakyat dengan melanggar konsep demokrasi kita, maka perbuatan itu adalah tidak demokratik. Sebab itu, undang-undang yang dibentuk oleh wakil rakyat mesti dihormati. Sesiapa yang membelakangkan undang-undang yang dibuat oleh Kerajaan pilihan rakyat, ianya mencabul demokrasi. Justeru itu, kita wakil rakyat dan rakyat amnya tidak boleh menerimanya. 41. Namun demikian, sistem demokrasi kita memberi peluang kepada pihak kehakiman dan pihak perkhidmatan awam yang kekal, atau permanent civil service, untuk menegur wakil rakyat -- iaitu Kerajaan -- dalam urusan harian melalui saluran-saluran tertentu. Kuasa menegur dan mengawal Kerajaan tidak bermakna anugerahan kuasa menidakkan hak rakyat dan wakil-wakil mereka. Juga jika wakil rakyat dan Kerajaan menyeleweng atau melakukan jenayah, mereka boleh dihukum sama seperti orang lain. Sejarah menunjukkan bahawa Kerajaan mematuhi keputusan mahkamah berkenaan dengan Menteri-Menteri Kabinet. Ada yang disingkir daripada Kabinet kerana menyalahi undang-undang. Tetapi mahkamah juga perlu patuh kepada undang-undang. 42. Untuk menentukan bahawa suatu imbangan tercapai, kita memerlukan kehakiman dan perkhidmatan awam yang tidak terlibat dengan parti politik. Malangnya, pada masa yang lampau ini, kita mendapati beberapa anggota kehakiman sudah terlibat dengan politik. Mempunyai sikap yang ditakrifkan sebagai 'fiercely independent' di kalangan beberapa anggota kehakiman bermakna secara tidak langsung mereka terlibat dengan politik pembangkang. Sudah tentu untuk memperlihatkan kebebasan mereka itu bersungguh-sungguh atau fierce, mereka akan 'bend over backwards' untuk memberi keputusan yang memihak kepada pencabar Kerajaan. 43. Kehakiman sepatutnya menumpukan perhatian kepada keadilan dan tidak memihak kepada sesiapapun. Apabila hakim berasa perlu ia membuktikan kebebasannya terlebih dahulu, maka keadilan akan mendapat tempat yang kedua. Dengan perkataan lain, keadilan tidak tercapai apabila hakim lebih mengutamakan sikap bebasnya dari Kerajaan. Oleh sebab inilah, maka ada hakim-hakim yang semasa menjatuhkan hukuman membuat kenyataan yang tidak berasas, seolah-olah melepaskan geram. Kenyataan-kenyataan ini dibuat kerana kepercayaan bahawa apa yang dikata oleh hakim tidak boleh ditegur. Jika dikritik, maka hakim boleh mendakwa di bawah 'menghina mahkamah' atau 'contempt of court'. Jika ada rayuan, maka kes itu menjadi 'sub-judice' dan sekali lagi segala komen terhadap kes berkenaan dianggap salah. Dengan perkataan lain, hakim boleh mencemuh seseorang kerana orang itu tidak berhak mempertahankan diri. 44. Ini dapat dilihat apabila seorang hakim mendakwa menteri mempunyai niat buruk atau 'mala fide' kerana tidak menyiasat sama ada maklumat yang disampaikan oleh pegawainya tepat atau tidak. Setiap orang menteri mempunyai berpuluh pegawai yang ditugaskan dengan tugas-tugas tertentu. Setiap hari menteri menerima berbagai-bagai laporan daripada pegawai-pegawai ini. Jika kerja-kerja menteri hendak dijalankan, maka menteri terpaksa mempercayai maklumat yang disampaikan oleh pegawai kepadanya. Jika tidak, menteri mestilah memeriksa dan menyelidik sendiri setiap butir maklumat yang disampaikan oleh pegawainya, sebelum ia membuat apa-apa keputusan. Jika menteri terpaksa menyelidik sendiri untuk menentukan benar atau tidak sesuatu butir maklumat, maka pegawai tidaklah diperlukan lagi. Dalam keadaan yang menteri mempunyai masa yang terhad untuk membuat keputusan, maka penyelidikan terhadap kebenaran tiap-tiap maklumat tidak mungkin dibuat. Hanya apabila menteri mensyakki maklumat yang disampaikan kepadanya tidak tepat, baharulah ia akan mengarahkan supaya penyelidikan dibuat oleh pegawai yang lebih tinggi. Jika laporan yang disampaikan kepadanya adalah dari pegawai yang biasa melaporkan kepadanya di masa lepas dan biasanya laporan itu tepat, tidak ada sebab kenapa menteri patut mengesyakki apa-apa. Menteri harus menerima laporan yang disampaikan kepadanya. 45. Memang ada kemungkinan bahawa di antara beratus butir laporan yang diterima oleh menteri, terdapat satu yang tidak tepat. Hanya dengan kerana menteri tidak mengesyakki satu butir maklumat dan tidak menyelidik, tidak bermakna ia berniat buruk. 46. Jika kerana satu butir maklumat tidak tepat, maka ini bermakna menteri berniat buruk dan dengan itu lima butir maklumat yang benar diketepikan, maka keadilan tidak akan tercapai. Jika seorang dituduh membunuh enam orang dan terdapat tuduhan terhadap satu kes tidak benar, apakah yang lima lagi yang mempunyai bukti yang jelas menjadi tidak benar? Jika inilah asas pertimbangan kehakiman, maka di mana letaknya keadilan? Berasaskan kepada logik ini, mungkin tidak ada siapapun yang akan didapati bersalah. 47. Hakim bukanlah seorang yang tidak boleh membuat salah atau tidak boleh berniat buruk. Dalam kes Carrian di Hong Kong, seorang hakim, Justice Barker, telah membuat keputusan yang ganjil dalam pandangan seluruh dunia. Keputusan ini dikesan oleh akhbar dan juga Majlis Peguam atau Bar Council Hong Kong. Apabila Hakim Besar Hong Kong disoal dalam temuramah di televisyen, beliau enggan menjawab. Nampaknya, beliau juga tidak percaya hakim berkenaan membuat keputusan yang adil. 48. Perkara yang menarik ialah orang awam dan Majlis Peguam di Hong Kong berani membuat teguran terhadap keputusan hakim. Kata seorang QC yang terkenal, keputusan Justice Barker adalah 'irrational and bizarre' atau 'tidak siuman dan pelek'. Apakah tidak mungkin di Malaysia juga terdapat keputusan hakim yang irrational, bizarre dan mala fide? 49. Setiap kuasa yang diberi mesti digunakan dengan penuh tanggungjawab. Janganlah kerana immunity yang diberi, maka kita melemparkan tohmahan dengan sewenang-wenangnya dan kita membuat sesuatu sesuka hati kita. Mengikut laporan akhbar semalam, Justice Barker telah meletakkan jawatannya. Tuan Yang di-Pertua, 50. Saya membuat kenyataan ini kerana adalah amat penting rakyat mempunyai kepercayaan kepada sistem kehakiman negara. Jika saya tidak menjelaskan tentang lemahnya asas hukuman yang dibuat oleh seseorang hakim, maka rakyat akan tertanya-tanya akan tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan. Mungkin kenyataan ini akan prejudice kes rayuan Kerajaan. Ini adalah risiko yang kita tidak dapat elakkan. Hakikatnya ialah amalan sub-judice dan contempt of court kadang-kadang menghalang hak pihak yang dicemuh mempertahankan diri. Seperti juga apa-apa sistem, baik-buruknya bergantung kepada orang yang menjalankannya. Jika orang ini menyalahgunakan sistem ini, dengan kepercayaan bahawa tiada sesiapa boleh membuat apa-apa kepadanya, maka sistem ini akan membawa keburukan. 51. Membuat tuduhan bahawa menteri bertindak dengan sewenang-wenangnya atau cavalier dan mempunyai niat buruk (mala fide) adalah perkara yang serius yang mencemar nama menteri. Sudah tentu akhbar luar negeri akan gembira dengan tuduhan ini, dan sudah tentu imej negara terjejas. Sudah tentu parti pembangkang akan gembira. Soalnya, benarkah tuduhan ini? Oleh kerana contempt of court, mulut pihak yang dicemoh ditutup. Bahkan akhbar tempatan pun tidak dapat membuat apa-apa komen. Apakah ini keadilan? 52. Sebab itu, Tuan Yang di-Pertua, kita perlu berpegang kepada undang-undang yang jelas. Kehakiman dipenuhi dengan manusia biasa yang mempunyai perasaan yang tidak berbeza dengan manusia lain. Jika mereka begitu bebas dan kebebasan ini membawa kepada ketidakadilan, maka hasrat kehakiman tidak akan tercapai. Oleh itu, adalah lebih adil kita berpegang kepada undang-undang yang bertulis yang dibuat mengikut kehendak rakyat dalam sistem demokrasi berparlimen ini. Hakim perlulah menjelaskan di bawah undang-undang mana yang ia membuat hukuman. Budi-bicara hakim hendaklah tertakluk kepada undang-undang negara melainkan tidak ada undang-undang negara berkaitan dengan kes berkenaan. Tuan Yang di-Pertua, 53. Pada masa ini, terdapat lebih 300,000 kes yang belum dibicarakan. Bagi mereka yang menunggu keadilan dalam kes-kes ini, tidak adanya perbicaraan bermakna keadilan tidak ada bagi mereka. Mungkin ada di antara mereka yang akan meninggal dunia sebelum kes mereka didengar. Jika didengar sekalipun, mungkin butir-butir berkenaan dengan kes mereka sudahpun dilupai oleh saksi-saksi dan pegawai-pegawai yang berkenaan. Mungkin pihak yang mendakwa dan yang didakwa sendiri pun sudah lupa. Ramai pula yang ditahan dalam penjara reman atau remand prison sementara menanti perbicaraan. Baru-baru ini seorang pengedar dadah telah berada dalam tahanan selama 8 tahun. Jika ia bersalah, ini tidak mengapa. Tetapi jika akhirnya ia didapati tidak bersalah, maka teraniayalah dia. Walau apa pun dibuat, tempoh beberapa tahun yang ia merengkok dalam penjara tidak dapat diganti. 54. Justeru itu, amatlah penting bagi kes-kes mereka didengar dengan segera. Dan ini boleh dibuat jika pelaksanaan undang-undang bertulis diutamakan dalam kes-kes yang dibicarakan. Tuan Yang di-Pertua, 55. Satu perkara yang sering menjadi sungutan dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat Islam di negara ini ialah keadaan di mana mahkamah-mahkamah sivil dapat mengubah atau membatalkan sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah Syariah. Misalnya, pernah berlaku keadaan di mana seseorang yang tidak puashati dengan keputusan mahkamah Syariah tentang penjagaan kanak-kanak telah membawa guaman itu ke Mahkamah Tinggi pula dan berjaya mendapat keputusan yang berlainan. 56. Kerajaan berpendapat bahawa keadaan seperti itu menjejaskan kewibawaan mahkamah Syariah dan pelaksanaan dan pentadbiran Hukum Syara' di kalangan umat Islam di negara ini. Adalah sangat penting menjamin kewibawaan mahkamah Syariah oleh kerana sudah sewajarnya mahkamah Syariah diberi kuasa penuh untuk menentu dan memutuskan perkara-perkara yang termasuk dalam bidangkuasanya, apatah lagi kerana perkara-perkara itu melibatkan Hukum Syara'. 57. Oleh yang demikian, adalah dicadangkan juga supaya ditambah satu Fasal baru kepada Perkara 121 itu, iaitu Fasal (1A), yang menjelaskan bahawa mahkamah-mahkamah yang tersebut dalam Perkara itu tidak mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara yang terletak di bawah bidangkuasa mahkamah Syariah. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk mengadakan Mahkamah Tinggi supaya rujukan boleh dibuat oleh pihak yang tidak berpuas hati. PERKARA 142 ___________ 58. Fasal (2A) dalam Perkara 142 menetapkan bahawa pengerusi sesuatu Suruhanjaya Perkhidmatan tidak layak memegang jawatan jika dia bergiat dalam urusan perniagaan dan sebagainya. Fasal 9 Rang Undang-Undang ini bertujuan meminda Fasal (2A) itu supaya timbalan pengerusi sesuatu Suruhanjaya Perkhidmatan akan juga tertakluk kepada Fasal itu. PERKARA 145 ___________ 59. Fasal (3) Perkara 145 memberi budibicara kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding bagi sesuatu kesalahan. Dalam membuat sesuatu keputusan semasa menjalankan budibicaranya, Peguam Negara sewajarnyalah berpandukan kepada kenyataan-kenyataan yang dikemukakan kepadanya oleh pihak penyiasat. Mungkin dari kenyataan-kenyataan yang diterima, dan atas sebab-sebab tertentu, mungkin dari segi keselamatan, kerumitan kes, dan lain-lain lagi, sesuatu kes itu tidak sesuai dibicarakan di mahkamah rendah di sesuatu tempat tertentu. Untuk kepentingan keadilan, untuk menjamin agar kedua-dua pihak mendapat peluang yang sama untuk mengemukakan kes mereka sewajarnya, mungkin perlu memindahkan kes yang berkenaan dari mahkamah rendah ke Mahkamah Tinggi tanpa mengadakan penyiasatan awal atau 'preliminary enquiry'. 60. Memandangkan keperluan tersebut, Parlimen telah mengkanunkan Akta Kanun Prosedur Jenayah (Pindaan dan Perluasan) 1976 yang menambahkan kepada Kanun Prosedur Jenayah satu seksyen baru, iaitu seksyen 418A. Seksyen itu memberi kuasa kepada Pendakwa Raya untuk meminta mahkamah rendah memindahkan kes yang menunggu penyelesaian di hadapannya ke Mahkamah Tinggi di tempat yang ditetapkan oleh Pendakwa Raya, dan mahkamah rendah berkewajipan menghantar kes itu ke Mahkamah Tinggi yang ditetapkan itu tanpa mengadakan apa-apa penyiasatan awal. 61. Beberapa kes telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di bawah seksyen itu. Dalam tahun 1976 seksyen itu telah dicabar dan Mahkamah Tinggi memutuskan seksyen itu tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan, tetapi Mahkamah Persekutuan, setelah mendengar rayuan terhadap keputusan itu, telah memutuskan seksyen itu adalah sah. Dalam tahun 1987 seksyen itu dicabar lagi atas alasan-alasan lain pula, dan kali ini Mahkamah Agung memutuskan bahawa seksyen itu tidak sah. Semua ini jelas menunjukkan terdapatnya ketidak-pastian tentang sahnya seksyen itu. 62. Oleh itu, demi untuk membolehkan Peguam Negara menjalankan tugas-tugasnya sebagai Pendakwa Raya dengan tegas, adalah difikirkan perlu mengadakan peruntukan khusus dalam Perlembagaan yang akan membolehkan peruntukan seperti seksyen 418A itu dibuat dalam undang-undang. 63. Untuk maksud itu, fasal 10 Rang Undang-Undang ini mencadangkan supaya dimasukkan ke dalam Perkara 145 Fasal baru (3A) yang membolehkan undang-undang persekutuan memberi kuasa kepada Peguam Negara menentukan mahkamah-mahkamah di mana prosiding-prosiding yang Peguam Negara berkuasa memulakan akan diadakan atau kepada mana prosiding itu akan dipindahkan. PERKARA 158 ___________ 64. Perkara ini membolehkan perkiraan-perkiraan dibuat berkenaan dengan Kerajaan Brunei tentang hal-hal pentadbiran, perkhidmatan dan kuasa eksekutif. 65. Oleh kerana perkiraan-perkiraan itu tidak diperlukan lagi sekarang, setelah Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan, adalah dicadangkan melalui fasal 11 Rang Undang-Undang ini supaya Perkara 158 itu dimansuhkan. JADUAL KESEMBILAN _________________ 66. Fasal 12 Rang Undang-Undang ini bertujuan membuat beberapa pindaan kepada Senarai-Senarai Undangan dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan. Pindaan-pindaan itu menyentuh perkara-perkara perumahan, peninggalan purba dan sebagainya, dan kebudayaan dan sukan. Perumahan _________ 67. Tentang perumahan, butiran 24 dalam Senarai I (Senarai Persekutuan) menetapkan 'perumahan persekutuan dan amanah kemajuan' ('federal housing and improvement trusts') sebagai perkara Persekutuan. Butiran 4(c) Senarai II (Senarai Negeri) menetapkan sebagai perkara Negeri 'perumahan dan peruntukan-peruntukan bagi kemudahan perumahan: amanah kemajuan' ('housing and provisions for housing accommodation: improvement trusts'). 68. Kerajaan Persekutuan merancang untuk memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan dasar perumahan negara. Hasrat untuk menyediakan perumahan bagi rakyat negara ini yang memerlukan tempat tinggal tentu akan dapat dicapai ke tahap yang lebih tinggi sekiranya usaha-usaha Kerajaan-Kerajaan Negeri ditampung dengan penglibatan yang gigih di pihak Kerajaan Persekutuan. 69. Untuk memainkan peranannya dalam usaha ini dengan berkesan, Kerajaan Persekutuan mungkin perlu mewujudkan undang-undang tertentu. Tetapi dengan keadaan butiran-butiran dalam Senarai I dan II sebagaimana dinyatakan tadi, adalah sukar hendak menentukan apakah batasan bidangkuasa Persekutuan dalam perkara perumahan. Bahawasanya butiran 24 dalam Senarai I menggunakan perkataan 'federal' tidak dapat membantu dalam soal ini oleh kerana tentu sekali apa yang diusahakan oleh Kerajaan Persekutuan itu adalah perumahan persekutuan. 70. Adalah dicadangkan supaya butiran 24 Senarai I dimansuhkan dan butiran 4(c) dalam Senarai II dipindahkan kepada Senarai III (Senarai Bersama) dengan menjadi butiran 9C. Dengan itu, perkara perumahan dan sebagainya akan menjadi perkara bersama yang tidak ada batasannya bagi Kerajaan Persekutuan daripada segi Perlembagaan. Peninggalan Purba Dan Sebagainya ________________________________ 71. Tentang peninggalan purba dan sebagainya, di bawah butiran 13(b) Senarai I perkara 'perpustakaan; muzium, monumen dan rekod purbakala dan sejarah serta tapak dan peninggalan zaman purba' adalah perkara Persekutuan. Perkara itu adalah juga perkara Negeri bagi Negeri-Negeri Sabah dan Sarawak sahaja, sebagaimana diperuntukan oleh butiran 17 Senarai IIA, kecuali jika mana-mana perkara itu diisytiharkan sebagai hak Persekutuan oleh undang-undang Persekutuan. 72. Negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, seperti Negeri Melaka misalnya, yang berhasrat menjalankan usaha-usaha untuk mengekal dan memperbaiki peninggalan-peninggalan atau warisan-warisan sejarahnya, tidak dapat berbuat demikian dengan berkesan oleh kerana mereka tidak ada kuasa membuat undang-undang mengenai perkara itu. 73. Adalah dicadangkan supaya butiran 17 dalam Senarai IIA itu dipindahkan kepada Senarai II supaya perkara ini, tertakluk kepada butiran 13(b) Senarai I, akan menjadi perkara Negeri bagi semua Negeri di Malaysia. Kebudayaan Dan Sukan ____________________ 74. Mengenai kebudayaan dan sukan, pada masa ini perkara kebudayaan dan sukan tidak disebut dalam Jadual Kesembilan. Oleh yang demikian, menurut Perkara 77, hal kebudayaan dan sukan menjadi hal yang di bawah kuasa perundangan Negeri-Negeri, sedangkan Kerajaan Persekutuan banyak menjalankan usaha-usaha bagi kepentingan kebudayaan dan sukan seluruh negara dan usaha-usaha itu adakalanya memerlukan undang-undang untuk menjadi lebih berkesan. 75. Adalah dicadangkan supaya perkara kebudayaan dan sukan dimasukkan ke dalam Senarai III sebagai butiran 9B, dengan itu menjadi perkara bersama. Tuan Yang di-Pertua, 76. Pindaan-pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan itu tadi adalah difikirkan penting bagi menyelaraskan Perlembagan dengan keperluan semasa. Ianya juga adalah untuk melicinkan lagi pentadbiran negara. Tentangan terhadapnya daripada pihak-pihak tertentu adalah dijangkakan. Mereka ini, seperti biasa, meminta orang asing campurtangan dalam urusan rumahtangga kita. Sementara mereka bercakap tentang kebebasan kehakiman atau independence of the judiciary, mereka nampaknya belum sedar akan kemerdekaan negara sendiri. 77. Undang-undang ini tidak menjejaskan kebebasan kehakiman. Mereka tidak dikehendaki memihak kepada Kerajaan. Mereka hanya dikehendaki berpegang kepada undang-undang negara. Undang-undang negara disahkan atau dibuat oleh Parlimen. Jika Parlimen di Britain adalah agung atau supreme, apakah salahnya jika dalam penggubalan undang-undang di Malaysia, Parlimen diberi hak yang sama? 78. Membenarkan mahkamah-mahkamah membuat undang-undang sendiri dan kemudian melaksanakan undang-undang itu, bermakna mahkamah memainkan peranan sebagai badan perundangan dan kehakiman. Ini adalah bertentangan dengan Doktrin Perasingan Kuasa atau Doctrine of Separation of Powers. Mengikut doktrin ini, badan perundangan hendaklah membuat undang-undang dan pihak kehakiman menghukum mengikut undang-undang itu. Pindaan perlembagaan ini menentukan perasingan kuasa ini diamalkan dan timbal-tindih kuasa tidak lagi berlaku antara pihak kehakiman dengan perundangan. Tuan Yang di-Pertua, 79. Saya mohon mencadangkan. |