Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 18/03/88
Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG
UNTUK MEMINDA AKTA PERTUBUHAN 1966
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan bahawa Rang Undang-undang
bernama suatu Akta untuk meminda Akta Pertubuhan 1966 dibaca
bagi kali yang kedua.
Tuan Yang di-Pertua,
2. Sesuatu undang-undang itu digubal oleh kerana masalah
yang dihadapi oleh masyarakat memerlukan penyelesaian atau
perlindungan. Penggubal undang-undang dan Kerajaan, dalam
membekalkan undang-undang, mungkin tidak dapat memilih dan
mengambil-kira akan semua perubahan situasi yang boleh
berlaku dalam masyarakat. Justeru itu kerap juga terjadi
yang mana satu undang-undang yang sesuai bagi sesuatu masa
didapati tidak sesuai di masa yang lain. Sebab itu, kita
terpaksa membuat pindaan, kadang-kadang berkali-kali,
terhadap undang-undang negara.
3. Demikianlah dengan undang-undang pertubuhan yang
berkuat-kuasa ke atas bermacam-macam jenis pertubuhan dari
persatuan belia hingga kepada pertubuhan politik, dari badan
amal hingga ke badan profesional. Badan-badan ini bukan
sahaja berbeza daripada segi tujuan dan undang-undang
tubuhnya tetapi juga daripada segi bilangan ahli dan skop
kegiatannya. Justeru itu apa yang sesuai bagi satu
pertubuhan mungkin tidak praktikal bagi pertubuhan yang
lain. Dengan itu juga apa yang sesuai bagi satu masa
mungkin tidak sesuai pada masa yang lain.
4. Di antara peruntukan undang-undang pertubuhan yang
sukar diamalkan oleh pertubuhan yang besar ialah keperluan
mengawasi kegiatan semua ahli dan semua cawangan supaya
semua pihak mematuhi undang-undang. Peruntukan dalam
Seksyen 12 Akta Pertubuhan bermaksud jika mana-mana cawangan
sesuatu pertubuhan menyalahi undang-undang sehingga ia
dihukum tidak sah atau haram, maka pertubuhan induk juga
akan menjadi tidak sah dan dengan itu semua cawangan yang
sah menjadi tidak sah.
5. Bagi pertubuhan yang mempunyai hanya beberapa cawangan,
pengawasan mungkin boleh dibuat oleh pihak badan induk.
Tetapi, adalah mustahil dan tidak praktikal bagi mana-mana
ibu pejabat pertubuhan yang mempunyai beribu-ribu cawangan
dan berjuta ahli mengawasi semua kegiatan cawangan dan ahli
sepanjang masa. Tanpa pengawasan yang rapi, maka
kemungkinan amalan yang salah dibuat diperingkat cawangan
amatlah besar dan cawangan-cawangan ini mungkin diharamkan.
Dengan ini mengikut peruntukan dalam Akta Pertubuhan
sekarang, seluruh pertubuhan diharamkan.
6. Pengharaman pertubuhan yang besar yang terlibat secara
langsung dengan politik negara dan Kerajaan seperti yang
berlaku baru-baru ini membawa implikasi yang amat luas yang
tidak boleh diselesaikan dalam masa berpuluh tahun.
Penyelesaian menjadi lebih sukar lagi apabila berlaku
perselisihan faham antara ahli-ahli pertubuhan. Apa sahaja
yang dibuat untuk mengatasi masalah yang timbul boleh
dicabar di mahkamah. Hak majoriti ahli akan terjejas oleh
kerana seorang daripada sejuta ahli tidak mahu menerima
penyelesaian. Keadaan di mana seorang ahli boleh mengugut
atau dengan izin, 'hold to ransom' sejuta ahli lain amatlah
tidak adil.
7. Bagi parti politik yang mempunyai ratusan ribu, bahkan
lebih sejuta ahli, yang mempunyai cawangan-cawangan di
hampir setiap kampung dan bandar, yang memiliki berbagai
jenis harta termasuk bangunan kecil dan besar, saham dalam
berpuluh syarikat dan anak syarikat, simpanan dalam bank,
hutang kepada berbagai bank dan cawangan-cawangan bank,
pekerja-pekerja yang bergaji, sewaan bangunan, pengarah dan
pengurus yang mewakili pertubuhan dalam berbagai syarikat,
alat-alat pejabat dan lain-lain, pentadbiran oleh Pendaftar
Pertubuhan dan Pegawai Pemegang Harta amatlah sukar,
melainkan jabatan-jabatan ini menambahkan bilangan
kakitangan mereka dengan beribu-ribu orang. Dalam keadaan
sekarang Jabatan-jabatan ini tidak mungkin mengurus dan
melaksanakan tanggungjawab mereka mengikut yang diperlukan
oleh undang-undang pertubuhan.
8. Mengenal dan menentukan siapa yang ahli dan siapa yang
tidak, siapa yang berhak dan siapa yang tidak pun menjadi
amat sukar. Sudah tentu jika ada harta pertubuhan yang
hendak dibahagikan, maka ramai yang akan mengaku menjadi
ahli. Pegawai Pemegang Harta yang ditugas untuk mentadbir
harta sesebuah pertubuhan yang telah diharamkan terpaksa
mengambil masa yang amat panjang, mungkin berpuluh tahun,
untuk menyelesaikan segala tuntutan. Dalam masa itu, harta
di bawah jagaannya dan hutang-piutang yang perlu diuruskan,
akan menjadi beban yang lebih berat kepadanya. Sebenarnya,
Jabatan Pemegang Harta tidak berkeupayaan daripada segi
tenaga manusia mentadbir harta dan hutang yang berjumlah
ratusan juta yang berkecamuk di segenap pelosok negara.
9. Sebenarnya apa yang dicadangkan di sini bukanlah satu
perkara yang luar biasa. Pertubuhan Kebajikan Orang-orang
India Semenyih Selangor dan Kelab Sukan Sepakat Setia
Perunding telah dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar
Pertubuhan. Pertubuhan baru yang sama namanya telah
didaftarkan dan harta kedua-dua pertubuhan tersebut
dipindahkan kepada pertubuhan-pertubuhan baru ini. Apa yang
dilakukan melalui pindaan undang-undang pertubuhan yang
dicadangkan sekarang ialah untuk menjelaskan lagi cara yang
harus dilakukan untuk mentadbir dan menguruskan harta-harta
dan hutang-piutang sesebuah pertubuhan apabila
pendaftarannya dibatalkan. Dengan ini pindaan ini adalah
diasaskan kepada cara yang telah dilakukan berkenaan dengan
pembatalan pendaftaran beberapa kes yang sama sebelum ini.
Di samping itu pindaan ini menjadi penting kerana, seperti
yang saya katakan tadi, Jabatan Pemegang Harta tidak mampu
untuk mentadbir harta dan hutang-piutang sesebuah pertubuhan
yang besar.
10. Hakikat ini terpaksa diakui dan untuk mengatasi
masalah-masalah ini beberapa pindaan terpaksa dibuat dengan
segera terhadap Akta Pertubuhan 1966.
Tuan Yang di-Pertua,
11. Berikut adalah pindaan-pindaan yang dicadangkan dan
asas-asasnya:
Pindaan kepada Seksyen 12
_________________________
Menurut peruntukan Seksyen 12(3) Akta sekarang,
keseluruhan pertubuhan menjadi pertubuhan yang
menyalahi undang-undang jika satu sahaja daripada
cawangannya ditubuhkan tanpa terlebih dahulu mendapat
kebenaran Pendaftar Pertubuhan. Pindaan ini bertujuan
untuk menjadikan hanya cawangan yang menyalahi
undang-undang sahaja dan bukannya keseluruhan
pertubuhan itu yang menjadi tidak sah. Untuk maklumat
Dewan yang mulia ini, peruntukan yang sama terdapat
dalam Akta Pertubuhan di Singapura dan Ordinan
Pertubuhan di Hong Kong.
Pindaan kepada Seksyen 17
_________________________
Pindaan-pindaan kepada Seksyen 17 Akta, ialah
mewujudkan subseksyen-subseksyen baru (3), (4), (5),
(6) dan (7) di bawah Seksyen itu. Subseksyen (3)
adalah bertujuan memberi kuasa kepada Pendaftar dan
Pegawai Pemegang Harta membuat urusan dengan badan
pengelola, pemegang-pemegang jawatan dan pekerja suatu
pertubuhan yang telah dibatalkan pendaftarannya.
Pindaan ini juga memperuntukkan bahawa orang-orang
tersebut, dalam memberi apa-apa bantuan berhubung
dengan urusan tersebut, tidak akan didakwa atas suatu
kesalahan di bawah berbagai peruntukan Akta ini.
Subseksyen baru (4) adalah memperuntukkan hukuman
kepada mana-mana orang yang tidak mematuhi kehendak
Subseksyen (3) tersebut. Penalti bagi sesiapa yang
tidak mematuhi subseksyen tersebut ialah hukuman
penjara tidak lebih daripada 5 tahun atau denda tidak
lebih daripada $10,000 atau kedua-duanya.
Subseksyen baru (6) di bawah Seksyen 17 pula adalah
bertujuan menjelaskan bahawasanya jika harta suatu
pertubuhan adalah terletakhak pada Pegawai Pemegang
Harta, maka harta-harta tiap-tiap cawangan pertubuhan
itu, sama ada cawangan itu cawangan yang sah menurut
undang-undang atau yang menyalahi undang-undang, akan
juga terletakhak pada Pegawai Pemegang Harta. Dalam
keadaan sedemikian, kuasa Pegawai Pemegang Harta dan
Pendaftar di bawah Seksyen 17 mengenai penyelesaian
harta adalah terpakai bagi tiap-tiap cawangan itu dan
hartanya. Peruntukan ini adalah perlu memandangkan
terdapatnya cawangan-cawangan setengah pertubuhan
memiliki harta dan membuat kontrak mengikut keperluan
mereka sendiri.
Seksyen baru 17A
________________
Seksyen baru 17A bertujuan mempastikan bahawa Seksyen
17, yang berkaitan dengan penggulungan suatu pertubuhan
menyalahi undang-undang oleh Pegawai Pemegang Harta itu
terpakai bagi suatu cawangan yang menyalahi
undang-undang.
Seksyen baru 17B
________________
Seksyen baru 17B bertujuan memberi kuasa kepada Pegawai
Pemegang Harta untuk memohon kepada Mahkamah Tinggi
bagi suatu perintah meletakhakkan segala aset, hutang
dan liabiliti sesuatu pertubuhan, yang pendaftarannya
telah dibatalkan oleh Pendaftar di bawah Seksyen 13
dalam sesuatu pertubuhan baru, jika perlembagaan dan
kaedah-kaedah pertubuhan baru adalah pada matannya
serupa dengan perlembagaan dan kaedah-kaedah pertubuhan
lama, dan jika sebilangan besar orang yang menjadi ahli
pertubuhan lama adalah ahli pertubuhan baru. Kuasa
Pegawai Pemegang Harta dalam hubungan ini hanya boleh
dijalankan jika ia menerima permintaan bertulis dan
mendapat keizinan bertulis daripada badan pengelola
pertubuhan baru bagi perletakhakkan tersebut, serta
juga suatu akujanji yang menyatakan bahawa pertubuhan
baru akan mengambil-alih tanggungjawab bagi segala
hutang dan liabiliti pertubuhan lama yang ada ketika
itu.
Perintah perletakhakkan Mahkamah ke atas permohonan
Pegawai Pemegang Harta akan meletakhakkan pada
pertubuhan baru segala harta yang terkandung dalam
perintah itu, tanpa apa-apa pindahhak, serahhak atau
pindahmilik selanjutnya.
Seksyen baru 48
_______________
Mengenai Seksyen baru 48 pula, ianya memperuntukan
bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa yang
bertindak bagi pihak, atau membantu, dengan cara apa
jua pun, mana-mana pertubuhan yang menyalahi
undang-undang dan juga pemegang-pemegang jawatan
pertubuhan berkenaan. Peruntukan ini juga terpakai
kepada mana-mana badan pengelola pertubuhan yang
menyalahi undang-undang dan pemegang jawatannya. Walau
bagaimanapun, peruntukan seksyen ini tidak terpakai
bagi sesuatu rayuan oleh pertubuhan yang menyalahi
undang-undang atau berhubung dengan apa-apa prosiding
dalam mahkamah yang melibatkan pertubuhan itu. Penalti
bagi kesalahan-kesalahan di bawah seksyen ini ialah
hukuman penjara tidak lebih daripada 5 tahun, atau
denda tidak lebih daripada $10,000, atau kedua-duanya.
Pindaan kepada Seksyen 49
_________________________
Pindaan kepada Seksyen 49 adalah bertujuan
mengecualikan pemegang-pemegang jawatan dalam
parti-parti politik daripada tertakluk kepada
peruntukan Seksyen 49 sekarang. Seksyen 49 Akta
sekarang memperuntukkan bahawa adalah menjadi suatu
kesalahan bagi seseorang pemegang jawatan pertubuhan
yang telah terbatal pendaftarannya daripada terus
memegang jawatan mana-mana pertubuhan lain, tanpa izin
Pendaftar. Dengan ini, pemegang-pemegang jawatan dalam
parti-parti politik adalah dikecualikan daripada
peruntukan ini.
Pindaan kepada seksyen ini juga memperuntukkan tempoh
masa 30 hari bagi pemegang jawatan pertubuhan yang
terbatal pendaftarannya untuk meminta kebenaran
Pendaftar bagi terus memegang jawatan dalam
pertubuhan-pertubuhan lain.
Tuan Yang di-Pertua,
12. Pindaan-pindaan lain yang dicadangkan dalam Rang
Undang-Undang Akta Pertubuhan (Pindaan) 1988 adalah untuk
mengatasi berbagai masalah pentadbiran sahaja.
Seksyen baru 3A
_______________
Seksyen baru 3A adalah bertujuan memberi kuasa bakian,
atau dengan izin, kuasa 'residual' kepada Pendaftar
yang tidak disebutkan dengan nyatanya dalam Akta untuk
membolehkan Pendaftar menjalankan fungsi-fungsinya di
bawah Akta ini dengan berkesan.
Seksyen baru 6A
_______________
Seksyen baru 6A pula akan memberi kuasa kepada
Pendaftar untuk meminta maklumat lanjut, membuat
apa-apa pertanyaan berhubung dengan berbagai permohonan
di bawah Akta, termasuk permohonan untuk mendaftar
pertubuhan-pertubuhan, kebenaran penubuhan
cawangan-cawangan, kebenaran meminda kaedah, atau
kebenaran untuk terus memegang jawatan dalam pertubuhan
yang lain, atau menjadi pemegang jawatan di suatu
pertubuhan lain. Kegagalan pihak pertubuhan memenuhi
kehendak Pendaftar itu boleh menyebabkan permohonannya
ditolak.
Pindaan Kepada Seksyen 10
_________________________
Pindaan kepada Seksyen 10 menghendaki sesiapa yang
memohon untuk membuat pemeriksaan atau mendapatkan
salinan dokumen-dokumen yang telah difailkan dengan
Pendaftar menyatakan maksud permintaan itu. Pendaftar
akan membenarkan permohonan itu jika ia berpuashati
bahawa maksud permohonan itu adalah menurut
undang-undang, dan ia tidak diminta oleh atau bagi
pihak sesuatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Pindaan ini bertujuan menghalang permintaan remeh-temeh
dan juga permintaan bagi maksud yang tidak sah di sisi
undang-undang.
Tuan Yang di-Pertua,
13. Pindaan-pindaan ini bertujuan untuk memperbaiki
beberapa kelemahan dan ketidakpastian yang terdapat di dalam
Akta Pertubuhan sekarang, serta melicinkan lagi pentadbiran
Akta tersebut.
Tuan Yang di-Pertua,
14. Saya mohon mencadangkan.
|